Sabtu, 20 Februari 2016

SYARIKAT NORTH EASTERN TRANSPORT SERVICE (NETS) SYARIKAT BUMIPUTERA TERAWAL DI KELANTAN


http://4.bp.blogspot.com/-mUpmgUFWwM8/US9lx8mVrQI/AAAAAAAADkg/t9PhMOoGKbY/s1600/bas+nets.jpg

Sejarah pengangkutan awam negara telah bermula sejak sebelum merdeka lagi, bagi negeri kelantan, ianya bermula dengan tertubuhnya syarikat pengangkutan awam pertama dan terbesar, iaitu North Eastern Transport Service atau dikenali sebagai N.E.T.S. Syarikat milik orang melayu ini ditubuhkan dalam tahun 1947 dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam menggunakan 27 buah bas bersaiz kecil yang boleh memuatkan 10 orang penumpang pada satu-satu masa, bas seperti ini dikenali juga sebagai 'Mosquito Bus'. Dalam tahun-tahun awal perkhidmatannya, syarikat ini hanya beroperasi di laluan sekitar bandar sahaja dek kerana kemudahan jalan raya yang menghubungkan kawasan bandar dengan pedalaman belum dibina.Selain dari pengangkutan awam, syarikat ini turut menyediakan kemudahan bas sekolah. 

Menarik....pakaian seragam konduktor bas N.E.T.S yang bersongkok. (Foto: Jabatan Penerangan)

Kondukter Wanita.....tiada deskriminasi gender di N.E.T.S (Foto: Jabatan Penerangan)
Meskipun syarikat ini mempunyai pegangan saham orang melayu, namun ianya pernah diuruskan oleh Pengerusi berbangsa inggeris, antaranya W.M. Macleod dan Mr. B.J Moss. Antara anak tempatan yang  pernah menjadi pengarah syarikat N.E.T.S ialah Kamarudin Haji Omar dan Omar Haji Ali,

Semakin teguh
 
Dengan prestasi syarikat yang semakin teguh, dalam tahun 1949, N.E.T.S telah menambahbaik perkhidmatan mereka dengan menambah 50 buah bas baru yang lebih besar dengan kapasiti penumpang seramai 25 orang dalam satu-satu masa. Dalam memastikan perkembangannya, syarikat ini telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang berkaitan, umpamanya kemudahan pinjaman dari RIDA dalam tahun 1957, wang pinjaman yang diluluskan telah digunakan bagi membeli 47 buah bas. Pinjaman seterusnya dalam tahun 1965, dimana ianya digunakan bagi menampung kos pembelian 113 buah bas lagi.
Sebuah bas N.E.T.S sedang dibaiki di bengkelnya di Kota Bahru  (Foto: Jabatan Penerangan)

Teliti...seorang mekanik sedang bekerja di depot N.E.T.S. (Foto:Jabatan Penerangan)

Sekitar tahun 60an, dengan pertambahan bilangan bas syarikat serta kemudahan jalanraya yang semakin baik, N.E.T.S dapat meluaskan laluan perkhidmatan mereka. Antara kawasan yang mendapat perkhidmatan syarikat ini ialah kawasan diantara  Pasir Mas - Tanah Merah - Kuala Krai - Machang dan Pasir Puteh, sementara perkhidmatan bas ekspress disediakan bagi perjalanan yang melalui Terengganu - Bachok - Tumpat. Mulai 1 April 1962,  N.E.T.S telah menambah perkhidmatan bas ekspress mereka ke Kuala Terengganu dari empat perjalanan kepada 6 perjalanan dalam sehari. Dalam pada masa itu, syarikat juga mempunyai 450 orang pekerja dan jarak laluan 750 batu seluruh negeri kelantan dengan purata perjalanan 11 batu setiap hari.
Berpusu-pusu....gelagat pengguna bas NETS.

Tertib...bas NETS sedia berkhidmat  (Foto: Jabatan Penerangan)

Mogok kakitangan

Seperti mana kebanyakkan perusahaan lain yang berasaskan pengangkutan, syarikat ini juga tidak lari dari berhadapan dengan mogok pekerja. Dalam tahun 1956, pengangkutan awam di Kelantan telah lumpuh akibat mogok yang dilancarkan oleh para pekerja  N.E.T.S, mogok ini berlarutan dalam tempoh yang lama  sehingga mengundang campur tangan kerajaan pusat. Peristiwa mogok ini turut berulang dalam tahun 1963, kali ini lebih buruk apabila melibatkan campurtangan anggota keselamatan dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Barisan Bas milik syarikat NETS...(Foto:Jabatan Penerangan)

Dari NETS menjadi SKMK

Pada tahun 1967, NETS telah dijenamakan semula dengan nama Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK), perkara ini diumumkan oleh Encik Ghaffar Baba ( Allahyarham Tun ) yang pada masa itu merupakan Pengerusi MARA.
 
 
KREDIT KEPADA http://harithsidek.blogspot.my/2013/02/syarikat-north-eastern-transport.html

Khamis, 18 Februari 2016

RAJA CHAMPA & DINASTI JEMBAL DALAM PATANI BESAR ( PATANI, KELANTAN & TERENGGANU )


 Buku Tulisan Haji Abdul Halim Bashah


 Patani pada suatu ketika dahulu pernah bersama Kelantan dalam suatu pemerintahan atau di lain perkataan keduanya terangkum dalam satu kesatuan dan kebudayaan dan sama-sama mempunyai tamadun yang lebih awal. Sewaktu keduanya ( ketika itu bernama Langkasuka dan Medang Gana) berada dalam ‘YAWADWIPA’  atau Chryse Chersonesos dalam abad pertama dahulu maka telah muncul sebagai ibu kepada sejarah bangsa Melayu di Nusantara.

            Bermula dari sinilah kebudayaan Jawa ( Melayu dalam erti kata yang lebih luas) melebar hingga ke seluruh Asia Tenggara. Kerana itulah dalam setiap kajian sejarah tamadun mengenai kerajaan, politik mahupun tamadunnya Patani dan Kelantan selalu berkait rapat. Hakikat inilah yang diabadikan oleh Raja Sakti Pembangunan Keluarga Di Raja Jembal (Kelantan) dalam bentuk simbolik dan lambang dua ekor Kijang Kencana (berbulu keemasan) peliharaan Cik Siti Wan Kembang yang kemudian menjadi lambang kerajaan Jembal. Lambang ini juga yang digunakan semasa baginda memerintah PATANI BESAR dan akhirnya menjadi lambang (setelah diubahsuai) kepada kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.

            Nama Patani mula muncul pada abad ke 15. Adapun raja-raja yang memerintah Patani bermula dari Sultan Ismail Muhammad Syah (Phya Tu Intira/Indera) keturunan Sultan Muhammad Tahir, Raja Ligor. Sultan Muhammad Tahir ialah putera kepada Raja Bharubhasa (kekanda Raja Sulaiman Syah), Raja Langkasuka di abad ke 14, titisan dari Maharaja Srimat Trailokyaraja yang bergelar Maharaja Bukit Siguntang.

            Timbulnya dakwaan mengatakan raja-raja Patani adalah dari keturunan Cau Seri Bangsa adalah ekoran episod dimana seorang anak raja Siam bernama Rama Raja (yang bergelar Cau Seri Bangsa) berjaya menewaskan membunuh Raja Sulaiman Syah dalam satu peperangan. Cau Seri Bangsa berazam sekiranya kemenangan berpihak kepadanya maka ia akan memeluk Islam.

            Apabila terjadinya ketegangan politik antara raja-raja Melayu Patani dan Johor maka timbullah semacam ‘combat de pretige’ (penulis meminjam kalimah yang sering digunakan oleh A. teeaw) dimana di dalam Salalatul Salatin ( Sejarah Melayu ) yang ditulis oleh Tun Sri Lanang, seolah-olah tampak cuba menonjolkan kelemahan di pihak Patani dengan membabitkan keturunan dan bangsa raja-raja Melayu Patani yang kononnya keturunan Siam ( kerana disusur galurkan dengan Cau Seri Bangsa). Supaya timbul kelak atau akan dikatakan bangsa yang sememangnya menjadi musuh tradisi kepada kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung.

            Tun Seri Lanang mungkin berbuat demikian kerana dia sendiri muncul dari kalangan pembesar (Bendahara) Johor. Dan barangkali mempunyai tanggungjawab moral untuk membela hak dan kebenaran di pihaknya. Nyatalah Tun Seri Lanang sebenarnya (atau mungkin secara tidak disengajakan) telah memutar belitkan fakta dan data sejarah dimana Patani telah menjadi mangsa kerana yang timbul kemudiannya ialah kesan neratif sejarah yang lain pula.  Oleh kerana kurang telitinya sesetengah penulis-penulis sejarah maka tulisan Tun Seri Lanang ini dianggap sebagai sumber mantan yang paling benar.

            Selepas Ratu Kuning, pemerintah Patani diambil olah keturunan Kerabat D’raja Kelantan. Pada masa ini, Patani digabungkan bersama Kelantan, Terengganu, Senggoro dan Patthalung dalam kesatuan ‘Patani Besar’ oleh Raja Sakti, Pembangun Dinasti Jembal. Puteranya, Raja Bahar telah ditabal menjadi raja Patani bersama permaisurinya Raja Mas Kelantan. Patani sekali lagi bertukar tangan, kali ini Raja Sakti II yang menjadi Raja Patani Besar telah melepaskan kuasanya kepada Long Baha, menentunya dari keturunan Datu Nik Mustapha (bekas Datu Wilayah Jambu) yang menjadi Raja Champa (Kambayat Nagara). Keturunan inilah yang kemudiannya memainkan peranan besar dalam percaturan politik negeri Patani dan Kelantan.

Sumber :  http://jejakpatani.blogspot.my/2013/10/buku-tulisan-hj-abdul-halim-bashah.html

Jumaat, 5 Februari 2016

KEMANA HILANGNYA KERAJAAN KEMBAYAT NEGARA....


KEMANA HILANGNYA KERAJAAN KEMBAYAT NEGARA.... Champa atau Kembayat Negara sering disebutkan dalam sejarah kerajaan-kerajaan Melayu lama, akan tetapi tak banyak diceritakan tentangnya. Dalam sastera-sastera Melayu pula Champa banyak dikaitkan dalam mitos-mitos sehingga gambaran yang diperolehi adalah seolah-olah negeri ini terletak di kayangan atau pun ia hanya negara khayalan sasterawan dahulukala. Sejarah Champa penting dalam kajian tentang ulamak-ulamak Patani serta dalam mengkaji susur galur keturunan Wan, Nik, Long dan Tuan. Champa (abad ke-2M hingga ke-19M) merupakan kerajaan Melayu kuno terawal yang ditubuhkan. Pada abad yang sama kerajaan Hindu Langkasuka (abad ke-2 hingga ke-9) yang keluasannya meliputi kawasan-kawasan dari Segenting Kra (dari selatan Senggora [Songkhla] iaitu keseluruh Patani) hingga ke Kedah Lama dan Kelantan, muncul sebagai kerajaan Melayu kedua dan maju berkembang sebagai pusat pertukangan dan pengeluar barang-barang terutamanya daripada perak dan barang-barang keluaran Langkasuka terkenal hingga ke semenanjung Arab. Di Sumatera pula pada abad ke-7 terdiri kerajaan Buddha Srivijaya (abad ke-7 hingga ke-12) yang berpusat di Palembang sebagai kuasa Melayu yang agak berbeza daripada Champa dan Langkasuka kerana kekuatannya bukan dari segi peranannya sebagai pusat dagangan, tetapi sebagai kerajaan Melayu pertama yang mementingkan kuasa ketenteraan daripada perdagangan. Kemudian diikuti oleh Perlak, sebuah pusat dagang penting di Sumatera di kawasan yang kini di dalam Propinsi Aceh, diasaskan dalam tahun 804 (abad ke-9) dan merupakan Kerajaan Melayu-Islam pertama di rantau ini. Dengan munculnya kekuatan Srivijaya timbullah perebutan kawasan dan jajahan dan pada abad ke-9 Langkasuka jatuh ke tangan Srivijaya dan bermulalah pengembangan jajahan Srivijaya ke Tanah Melayu (termasuk juga ke Pahang dan Terengganu). 

http://kyotoreview.org/wp-content/uploads/ChamRemains.jpg

Kejatuhan Langkasuka diganti dengan terdirinya Patani yang kemudiannya dikenal sebagai Patani Darus Salam. Patani yang tekenal sebagai pusat dakwah Islamiah serta mempunyai ramai ulamak-ulamak yang terkenal di serata dunia Islam, berkembang maju sehingga pertengahan abad ke-19 apabila ianya jatuh ke tangan Siam. Proses perebutan wilayah dan dominasi kuasa ini berterusan apabila kerajaan Hindu Majapahit di Pulau Jawa (abad ke-10 hingga ke-14) muncul sebagai kekuatan yang baru dan akhirnya pada abad ke-12 Srivijaya dijatuhkan oleh Majapahit. Dalam kesebokan Majapahit dengan misi-misi tenteranya, pada 1403 di Tanah Melayu muncul pula Kerajaan Melayu (pada awalnya Hindu dan kemudiannya bertukar kepada Islam) yang baru di Melaka (awal abad ke-15 hingga ke-16). Sesuai dengan panggilannya oleh pedagang-pedagang Arab dengan nama Mulaqat yang bermakna ‘Tempat Berhimpun Pedagang-pedagang’, Melaka termasyhur sebagai pusat dagangan terbesar di dunia ketika itu, sehinga pernah dilaporkan sebagai mempunyai simpanan emas terbesar di dunia. Dengan kejayaan yang dicapai oleh Melaka, ia tidak sunyi daripada gangguan Majapahit. Akan tetapi seperti mana dikisahkan dalam Hikayat Hang Tuah, pahlawan Majapahit yang termasyhur, Adi Taming Sari telah dikalahkan oleh Hang Tuah dalam satu pertarungan sehingga keris keramatnya yang terkenal dengan segala kesaktian telah dapat dirampas oleh Pahlawan Melaka itu. Dengan itu lenyaplah ambisi Majapahit ke atas Melaka. Majapahit jatuh pada 1478 dan terdiri pula kerajaan Islam di Demak. Melaka pula jatuh ke tangan penjajah Portugis, pada 1511. Ketahanan Champa sebagai sebuah kerajaan melampaui satu ruang masa yang lama meskipun ianya tidak sunyi daripada serangan-serangan dari negara-negara jirannya.

Berbeza dengan kerajaan-kerajaan Melayu lain yang terus hancur apabila dikalahkan, Champa terus wujud sebagai kerajaan meskipun keluasan kawasan pemerintahannya semakin mengecut dari masa ke masa. Negara Champa (chäm-’pä) sering dikaitkan terutamanya dengan sejarah-sejarah kedatangan Islam ke Patani, Malaysia, Jawa, Sulawesi dan Sumatera. Akan tetapi banyak tanda-tanya dan kekeliruan yang timbul tentang Champa disebabkan terlampau sedikit maklumat yang terdapat tentang kerajaannya dan orang-orang Cham. Ada yang berpendapat bahawa Cham itu sebuah Negara. Qaul-qaul yang lain pula berpendapat bahawa Champa adalah sebuah negeri yang ditubuhkan oleh sekumpulan orang Patani bersama dengan mubaligh-mubaligh dari Yaman dan Parsi, di suatu kawasan yang hampir dengan Siam dan Kemboja. Ramai juga yang menyangka bahawa Champa adalah Kemboja atau Cambodia, dan malahan ada yang berpendapat bahawa ianya sebuah negeri di India. Sir Stamford Raffles, dalam ‘History of Java’ yang dikarangnya pada 1817 berpendapat bahawa Champa merupakan sebuah tempat yang terletak di Acheh, yang dikenali dengan nama Jeumpa.

Lin Yi Rekod terawal tentang negara kaum yang didirikan oleh kaum Cham, terdapat dalam manuskrip-manuskrip China yang dicatat oleh dua orang wakil Maharaja Wu, bernama Kang Thai dan Zhu Ying, bertarikh pertengahan abad ke-3 Masihi. Rekod itu adalah keterangan tentang Kerajaan Funan dan dinyatakan bahawa ‘Kerajaan Funan terletak lebih dari 3000 li3 ke barat Negara Lin Yi’. Kerajaan ini yang di gelar oleh pengkaji sejarah sebagai Champa dikenali di kalangan orang China sebagai Lin Yi (yang Bermakna ‘hutan yang penoh dengan keganasan’); dan L?m-Âp, Ho?n-Vúòng, dan Chi?m-Thánh oleh orang-orang Vietnam. Adalah dipercayai bahawa kerajaan ini wujud semenjak tahun 192M di bawah pemerintahan raja Hindu bernama Sri Mara. Pengkaji sejarah menganggap Lin Yi yang dikenali juga sebagai Indrapura atau Angadvipa, sebagai negara Champa yang terawal. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kerajaan Lin Yi bermula semenjak 137M setelah kejatuhan Dinasti Han di negara China. Akibat daripada kejatuhan ini maka Pegawai Tinggi Han yang mentadbir wilayah tersebut telah mendirikan sebuah kerajaan di kawasan yang sekarang ini terletaknya bandar Hue di Vietnam dan melantik dirinya sebagai raja. Pada ketika itu kawasan itu diduduki oleh suku-suku yang senantiasa berperang dengan kawasan-kawasan jajahan China di Tonkin. Suku-suku ini dikenali sebagai puak-puak Cham dan adalah daripada rumpun Malayo-Polynesian yang berbudaya India (’Indianised Culture’). Negara Champa Terdapat banyak perkaitan sejarah, budaya dan agama antara Lin Yi dan wilayah-wilayah lain yang didiami oleh orang-orang Cham. Sekitar 400M terbentuk satu persekutuan antara suku-suku tersebut dan terdirilah lima wilayah atau negeri yang dikenali sebagai Nagara Champa. Disebabkan pengaruh India dan budaya Hindu terlampau kuat di kalangan orang Cham maka kelima-lima wilayah tersebut dikenali mengikut tempat-tempat di India, iaitu: Indrapura (Lin Yi), Amravati (Quang Nam), Vijaya (Binh Dinh), Kauthara (Nha Trang) dan Panduranga (Phan Rang). Malahan nama Champa juga adalah sempena atau mengikut nama sebuah kerajaan Hindu di India Selatan. Penyatuan kelima-lima wilayah ini berlaku di atas kebijaksanaan Raja Bhadravarman I yang juga menjadi raja pertama yang memerintah persekutuan lima wilayah ini. Disebabkan kelima-lima wilayah tersebut adalah di pesisir laut maka Champa mempunyai kekuatan dari segi angkatan laut. Mereka terkenal sebagai pelayar dan pedagang laut dan juga sebagai lanun. Berbeza dengan jiran-jiran mereka, Kaum Cham lebih berjaya dalam bidang perdagangan laut dan tidak dalam pertanian. Ekspot utama mereka adalah kayu gaharu yang termasyhur keseluruh dunia pada ketika itu. Pada abad Ke-5M Lin Yi atau Champa telah menjelma sebagai satu kuasa yang kuat sehingga dapat menyediakan sebanyak lebih seratus kapal-kapal untuk dihantar menyerang pantai-pantai Sino-Vietnam di utara. Tetapi malangnya mereka tidak dapat menundukkan kuasa China yang lebih kuat dan pihak China telah menyerang balas. Akibatnya berlakulah penjarahan terhadap ibu negara Champa di Hue dan tentera China telah merampas lebih 100,000 pound emas tulen sebagai rampasan perang. Kaum tertua Meskipun kaum Cham merupakan kaum tertua di Indo-China, terlalu sedikit maklumat yang terdapat tentang kerajaan dan tamadun mereka. Mereka merupakan pewaris tradisi yang merangkumi satu zaman yang melebihi dua ribu tahun terdahulu. Tamadun mereka lebih tua dan awal daripada kerajaan Kemboja (Cambodia) yang bermula hanya sekitar 550M dan juga sebelum kerajaan Vietnam bermula sebagai satu kuasa penjajah ke kawasan-kawasan di selatan Delta Sungai Merah di Tonkin yang hanya bermula pada pertengahan abad ke-10M. Pada kemuncak kekuasaan, sekitar 12 abad dulu, kaum Cham menguasai tanah-tanah yang subur bermula di Hue Utara di Annam Tengah sehingga Delta Mekong di Cochin China. Kawasan-kawasan ini kini menjadi sebahagian daripada negara Vietnam yang terdapat bandar-bandar Da Nang dan Nha Trang. Kesan-kesan Cham yang tinggal kini hanyalah rumah-rumah berhala sepi yang penuh misteri yang di kenali sebagai Menara Cham (’Cham Towers’). Kehilangan negara atau kerajaan Champa dari bumi ini seolah-olah merupakan satu keganjilan kerana yang tinggal hanyalah warisan-warisan sejarah dan keturunan yang berselerak. Apakah agaknya bala yang telah diturunkan ke atas mereka sehingga menjadi seakan-akan negaranegara yang dihancurkan (’Perished Nations’) yang disebut dalam Al-Quran. Ke mana perginya keturunan mereka? Mengikut sejarah Cham, kebudayaan Hindu lebih terserlah di kalangan kaum Cham disebabkan mereka merupakan kaum pedagang dan pelaut yang mempunyai sejarah perhubungan yang lama dengan India dan Jawa. Kedua-dua negara tersebut adalah pusat agama Hindu. Orang-orang Cham berbahasa Malayo-Polynesian (Austronesian) berbeza dengan jiran-jiran mereka (Khmer dan Vietnam) yang berbahasa Mon-Khmer atau Austroasiatic. Dari segi perbandingan bahasa pula bahasa Cham lebih mirip kepada bahasa-bahasa di kepulauan Nusantara dan Pasifik terutamanya bahasa-bahasa yang dipertuturkan di Malaysia, Kalimantan, Sumatera, Java, Bali dan di kepulauan Indonesia lain di Lautan Pasifik. Bahasa Cham dipertuturkan juga di kawasan pergunungan di Banjaran Annam atau kawasan pergunugnan Troung Son. Suku orang-orang bukit seperti Chru, Ed?, Hroy, Jörai, Rhade (Koho), dan Raglai menggunakan bahasa yang banyak persamaan dengan bahasa Cham. Dengan sebab ini mereka juga diiktiraf juga sebagai orang-orang Cham. Dari segi perawakan pula, kaum Cham lebih mirip kepada keturunan Melayu dan Jawa dan ada teori-teori bahawa asal mereka adalah pendatang dari tanah-tanah tersebut. Malahan terdapat persamaan adat di antara orang Cham dan orang Pagar Ruyung atau Minangkabau, di mana kaum perempuan mempunyai kuasa adat dan perwarisan (matriarchal system), yakni keturunan menurut garis Ibu, sebagai salah satu ciri khas kebudayaan. Sistem materilinial ini telah membawa konsekwensi kepada budaya meneroka atau berkelana yang selalunya diamalkan oleh kaum lelaki. Ada pula pendapat bahawa orang-orang Aceh adalah daripada keturunan orang Cham. Dalam perkembangan agama meskipun Hindu Brahmana menjadi agama rasmi kerajaan Champa, terdapat juga perkembangan dan pengaruh agama Buddhisma Mahayana. Dalam sejarah Champa, perhubungan dan pertalian antara Champa dan kerajaan-kerajaan di Indonesia, seperti Sri Vijaya atau Majapahit adalah berdasarkan kepada agama Hindu yang menjadi kesamaan antara mereka. Dan perhubungan dengan Sailendra (di Jawa Tengah) pula adalah di atas pertalian agama Buddhisma Mahayana yang pada ketika itu berpusat di Borobudur. Kerajaan Baru Champa di Panduranga, adakah ini kerajaan Islam Champa? Dengan kejatuhan Vijaya pada 1471 maka ibu negara Champa berpindah untuk kesekian kalinya dan kali ini ke Panduranga. Mengikut sejarah, semenjak perlantikan Po Tri Tri sebagai raja untuk keseluruh Champa dan dengan perpindahan beliau ke Panduranga maka bermulalah perkembangan Islam secara besar-besaran di Champa. Bahasa Sanskrit yang selama ini menjadi bahasa rasmi Champa juga tidak digunakan lagi. Semenjak era inilah Champa bertukar corak. Tidak pasti sama ada Champa terus menerus diperintah oleh raja Islam sehingga kejatuhannya ke Vietnam, akan tetapi berdasarkan kepada keunikan sistem pentadbiran yang diamalkan di Champa di mana terdapat pelbagai kerajaan dalam satu wilayah pada masa yang sama, maka berkemungkinan bahawa ada raja-raja Islam yang memerintah Champa pada zaman tiga abad selepas kejatuhan Vijaya. Mengikut rekod sejarah Johor, pada 1594 kerajaan Champa telah menghantar bala tenteranya untuk membantu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II Sultan Johor (memerintah: 1571 ? 1597) dalam peperangannya dengan Portugis. Daripada rekod-rekod Belanda pula terdapat catatan bahawa perhubungan baik antara Kerajaan Melayu Johor dan Champa wujud pada 1607, iaitu sewaktu Champa di bawah pemerintahan Po Nit dan Johor pula di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah II (memerintah: 1597 ? 1614). Ini tak mungkin berlaku sekiranya tidak ada persamaan atau ikatan yang kuat antara kedua negara tersebut. Apakah asas setiakawan antara mereka? Adakah kerana mereka menganuti agama yang sama atau disebabkan oleh persamaan rumpun bangsa? Daripada rekod-rekod yang terdapat di Belanda pula, terdapat maklumat yang meperkukuhkan pendapat bahawa pada tiga abad tersebut, Raja Champa adalah terdiri daripada raja yang beragama Islam dan Bahasa Melayu pula digunakan dengan meluas di Champa. Terdapat sepucuk surat yang dikirimkan oleh Raja Champa pada 1680 kepada Penguasa Syarikat Dutch East Indies (’VOC’) di Betawi, dalam bahasa Melayu. Raja Champa sewaktu itu, Po Saut, di dalam surat tersebut telah menggelarkan dirinya sebagai ‘Paduka Seri Sultan’. Dengan gelaran ini sebagaimana yang diterangkan, besar kemungkinan bahawa kedudukannya adalah sebagai ‘Raja kepada Raja-raja di Champa’! Pada zaman itu, pengaruh Bahasa Melayu di negara-negara pesisiran pantai di Asia Tenggara sungguh meluas sehinggakan Raja Kemboja juga menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik dalam perhubungan surat menyuratnya dengan pihak-pihak Portugis dan Belanda. Ini satu kemungkinan sekiranya berdasarkan kepada kewujudan pertalian antara Kelantan dan Champa semenjak dahulu kala. Di Kelantan terdapat nama-nama yang ada kaitan dengan Champa seperti Pengkalan Chepa, Kampung Chepa dan Gong Chepa; dan nama-nama pakaian dan perhiasan seperti tanjak Cepa, kain tenun Cepa, sutera Cepa, sanggul Cepa dan keris Cepa. Masjid Kampung Laut, yang merupakan antara masjid yang tertua di Malaysia juga dipercayai dibina oleh orang-orang Champa yang singgah di Kampung Laut dalam perjalanan ke Demak di pulau Jawa pada awal abad ke-16. Malahan ada sebuah hikayat Cham yang bertajuk Nai Mai Mang Makah (Puteri dari [Serambi] Mekah) yang meriwayatkan tentang seorang puteri diraja Kelantan (Serambi Mekah) yang datang ke Champa untuk mengajak seorang Raja Champa kepada Islam. Garisan Zaman (’Timeline’) Champa Abad ke-2M = Lin Yi wujud sebagai Negara Kaum Cham di bawah pemerintahan Sri Mara. Abad ke-3M = Kerajaan Lin Yi (L?m-Âp) dicatat dalam Sejarah China. Lin Yi menyerang Viet Nam and China Selatan pada tahun 248. Abad ke-5M = Penyatuan lima wilayah Cham iaitu Indrapura (Lin Yi), Amravati (Quang Nam), Vijaya (Binh Dinh), Kauthara (Nha Trang) dan Panduranga (Phan Rang) sebagai Negara Champa di bawah pemerintahan Raja Bhadravarman I. 543 = Champa menyerang Viet Nam tetapi telah dikalahkan oleh Pham Tu, Panglima kepada Raja Ly Bon. 982 = Tentera Ðai Viet di bawah Ly Thuong Kiet menyerang dan mengundurkan sempadan Champa sehingga ke selatan Hoanh Son (Thanh Hoa) 1069 Raja Ly Thanh Tong mengepalai serangan Ðai Viet ke atas Champa; menjarah Vijaya dan menahan Raja Rudravarman III (Che Cu) sebagai tebusan untuk penukaran tiga wilayah iaitu Dia Ly, Ma Linh dan Bo Chanh (kini dikenali sebagai Quang Binh dan Quang Tri) 1307 = Puteri Vietnam Huyen Tran berkahwin dengan Raja Jaya Sinhavarman III (Che M?n), dan sebagai ‘dowry’ telah diserahkan dua wilayah iaitu O dan Ly. 1370 = Raja Che Bong Ng? berkali-kali menyerang dan menjarah Thang Long (Ha Noi). Che Bong Ng? mati dibunuh dalam peperangan yang lain pada 1382. 1402 = Ðai Viet menyerang Champa. Ho Quy Ly memaksa Raja Campadhiraya untuk menyerahkan Indrapura (Quang Nam) dan wilayah Amaravati (Champa Utara) kepada Ðai Viet. 1471 = Tentera Ðai Viet dibawah pimpinan Raja Le Thanh Tong menawan dan menghancurkan Vijaya. Ðai Viet menduduki kawasan yang baru dirampas ini dan menjadikan kawasannya jajahan baru sebagai wilayah Thang Hoa, Tu Nghia dan Hoai Nhon. 1578 = Panglima Nguyen Hoang merampas kawasan Champa di Phu Yen. 1611 = Champa menyerang Ðai Viet dalam usahanya untuk merebut kembali Binh-Dinh, tetapi gagal. 1653 = Champa melancarkan serangan ke atas Ðai Viet sekali lagi dan gagal. Batasan sempadan selatan Ðai Viet meluas sehingga ke Cam-Ranh. 1653 = Panglima Nguyen Phuc Tan menawan wilayah Kauthara dan membesarkan sempadan Ðai Viet ke selatan sehingga ke Cam Ranh. 1692 = Panglima Nguyen Phuc Chu merampas wilayah saki baki Champa yang lain dan menjadikan mereka sebagai wilayah jajahan dalam Tran Thuan Thanh. 1832 = Raja Ðai Viet, Minh-Menh menjatuhkan Raja Champa yang dilantik oleh Ðai Viet dan ini menandakan pengakhiran kepada Champa sebagai satu wilayah khusus untuk orang Cham. 1833 – 1834 = Pemberontakan Katip (Khatib) Sumat (seorang Muslim) untuk merampas kembali wilayah Champa dari Ðai Viet tetapi gagal. 1834 – 1835 = Pemberontakan Khatib Ja Thak Va (juga seorang Muslim tetapi bermazhab Syi’ah) untuk menyambung perjuangan Katip Sumat menentang Ðai Viet. Juga gagal. Penindasan KEMBOJA, Kebencian Terhadap Islam Selama Bertahun-Tahun Kemboja adalah sebuah negara yang kecil dan miskin di Asia, yang berada di antara India dan China, di sebuah kawasan yang dipanggil Indochina. Kebanyakan rakyatnya buta huruf dan selama berabad-abad bergantung kepada pertanian untuk meneruskan kehidupan. Elemen paling penting dalam pertanian ini ialah tanaman padi beras yang banyak terdapat di negara itu. Majoriti masyarakatnya terdiri daripada bangsa Khmer, sebuah kumpulan etnik tertua di kawasan tersebut. Terdapat ramai juga minoriti Cina dan Budda di situ. Umat Islam juga membentuk sebuah minoriti yang lain. Umat Islam di Kemboja dilarang hidup berlandaskan agama, menggunakan abjad Arab, ataupun menunaikan solat. Sesiapa yang melanggar larangan-larangan tersebut akan dihukum dan dibelasah teruk. Rakyat menjadi semakin miskin: Harta benda peribadi telah dirampas oleh kerajaan dan hak-hak mereka dicabuli. Mereka mati akal untuk menentang penindasan kerajaan. Satu-satunya cara yang mereka ada ialah melarikan diri. Gambar ini menunjukkan umat Islam yang lari dari penindasan di bawah keadaan yang amat susah. Islam datang ke Kemboja melalui jalan laut, dibawa oleh pedagang dan pelayar Islam. Kebanyakan umat Islam di Kemboja berasal dari Thailand, daripada sebuah kerajaan yang dimusnahkan dalam peperangan dan kebangkitan. Walau bagaimanapun, sehingga tahun 1975, masih terdapat kira-kira 75 buah masjid yang bersejarah di negara ini. Kita sudah pun meng­kaji kebencian komunisme terhadap agama dan pem­bunuhan kejam yang di­lakukan oleh komunis ke atas tanah penduduk Islam. Contohnya, rejim Maoist Khmer Rouge ada­lah rejim yang tersangat kejam di Kemboja. Ia men­dapat kuasa melalui so­ko­ngan orang-orang Cina. Sewaktu rejim ini ber­kuasa, terdapat usaha-usaha untuk memisahkan umat Islam dari agama mereka sendiri. Khmer Rouge adalah sebuah kumpulan komunis yang dibentuk dan dipimpin oleh Maoist yang digelar Pol Pot. Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun di dalam hutan Kemboja sambil mengimpikan sebuah kekuasaan, dan akhir­nya pada tahun 1975 ia menjadi kenyataan. Selepas menawan negara itu, mereka telah menu­buh­kan sebuah rejim yang kejam dan totalitarian (Pent: iaitu sistem peme­rintahan yang memiliki sebuah parti politik sa­haja), yang mana ia tidak pernah dilihat sebelum ini. Rejim Khmer Rouge me­mutuskan tugas utama komunis adalah untuk bekerja bermatia-matian di sawah padi, dan dengan itu memaksa keseluruhan masyarakat di negara tersebut berkerja untuk mereka. Berpuluh-puluh ribu rakyat yang hidup di bandar-bandar – ahli politik, pegawai kerajaan, guru dan golongan intelektual – telah dihantar ke perkampungan dan dipaksa berkerja dalam keadaan yang serba kekurangan. Berehat sebentar semasa waktu berkerja, memakan hasil tuaian tanpa kebenaran walau sebahagian kecil sahaja, ataupun meng­amalkan sebarang bentuk agama dianggap sebagai “aktiviti-aktiviti yang menentang kerajaan,” dan dengan itu pembunuhan pun bermula. Di antara tahun 1975 dan 1979, kawasan sawah padi telah bertukar menjadi sebuah “padang pembunuhan.” Kira-kira 3 juta orang daripada populasi total seramai 9 juta orang telah dibunuh, sama ada ditembak, atau dikapak di kepala, atau dicekik, atau dibiarkan mati kelaparan. Seperti disemua negara-negara komunis yang lain, polisi kejam yang menindas umat Islam telah diwujudkan. Perang telah diisy­tiharkan ke atas nilai-nilai keagamaan rakyat, dan rejim terbabit telah melakukan kezaliman dalam usaha mereka memalingkan rakyat dari agama yang dianuti. Beratus-ratus ribu umat Islam telah dibunuh. Statistik berikut sudah cukup untuk membuktikannya: Kira-kira 200,000 umat Islam hidup di Kemboja pada hari ini. Sebelum revolusi komunis, angkanya adalah 800,000 orang, iaitu umat Islam mewakili seramai 7 peratus dari keseluruhan populasi. The Black Book of Communism telah menggambarkan kebuasan yang dilakukan oleh rejim Khmer Rouge ke atas umat Islam Cham: Pada tahun 1973, masjid-masjid dirobohkan dan solat diharamkan di dalam zon bebas. Tindakan sedemikian menjadi lebih meluas selepas bulan Mei 1975. Al-Quran dikumpulkan dan dibakar, dan masjid-masjid sama ada telah ditukar menjadi bangunan lain atau diranapkan. 13 orang pembesar Islam telah dihukum pada bulan Jun, setengahnya kerana pergi bersolat dan tidak menghadiri penyatuan politik, yang lain pula kerana berkempen mendapatkan hak mengadakan majlis perkahwinan keagamaan. Ada lagi yang lebih dahsyat: kira-kira 1000 orang yang pergi mengerjakan haji ke Makkah, hanya 30 orang sahaja yang berjaya hidup. Tidak seperti rakyat Kemboja yang lain, bangsa Cham sering memberontak, dan ramai di antara mereka yang mati dalam pembunuhan beramai-ramai dan serangan balas yang tercetus berikutan kebangkitan tersebut. Selepas pertengahan tahun 1978, rejim Khmer Rouge memulakan proses penghapusan sistematik ke atas masyarakat Cham, termasuklah wanita dan kanak-kanak… Ben Kiernan mengira bahawa kadar keseluruhan kematian di kalangan Cham ialah 50 peratus.65 Kira-kira 70 peratus umat Islam yang tinggal di ibu negaranya, Phnom Penh, telah meninggalkan negara ini disebabkan oleh kekejaman rejim Khmer Rouge dan terpaksa mencari perlindungan di negara-negara jiran seperti Thailand, Malaysia dan Laos. Apabila Vietnam menakluk Kemboja pada tahun 1979, kezaliman Khmer Rouge pun berakhir. Namun, penindasan ke atas umat Islam masih juga tidak reda. Kerajaan Vietnam yang disokong oleh Soviet, terus melakukan kekejaman ala Khmer Rouge. Mereka mengenakan polisi yang benar-benar menekan bagi menghapuskan Islam secara total. Beberapa tempat ibadah telah dimusnahkan dan tokoh-tokoh keagamaan telah dibunuh. Kebanyakan dari mereka telah diseksa dengan kejam di dalam penjara dan dijadikan buruh paksa. Sehingga hari ini sekali pun, adalah menjadi satu kesalahan untuk menyebarkan Islam atau untuk berkomunikasi dengan rakyat Kemboja di negara-negara lain. Ibadah secara berjemaah diharamkan. Vietnam turut memusnahkan semua artifak-artifak bersejarah yang mereka temui. Ketika ini terdapat hanya 20 buah masjid kecil yang masih berdiri di Kemboja. Hari ini, berpuluh-puluh ribu ketulan tulang manusia dan tengkorak mangsa bunuh rejim Khmer Rouge dipamerkan di sebuah muzium di Phnom Penh. Seperti juga Chechnya dan Turkestan Timur, peristiwa di Kemboja telah mendedahkan kepada dunia wajah sebenar kezaliman komunis.

sekian.

Sumber :
 http://tangisanmelayu.blogspot.my/


Khamis, 4 Februari 2016

CARA JADI KAKI BACA

Amalan suka membaca ini merupakan amalan yang amat kurang di kalangan penduduk di Malaysia. Jika anda pernah merantau ke negara-negara maju seperti Amerikan dan Jepun, anda akan dapati amalan membaca ini begitu berleluasa sekali. Tidak hairanlah jika anda dapati ramai yang membaca buku atau majalah dalam pengangkutan awam seperti bas, keretapi dan juga sewaktu menunggu ketibaan pengangkutan awam yang dinanti dan seumpamanya. Mengapa ianya amat terkebelakang di Malaysia? Apakah cara yang mampu membuatkan anda minat untuk membaca?


Baca buku bukannya aktiviti seronok bagi mereka yang tak suka membaca. Sejak sekolah dulu perintah yang paling kita benci adalah suruhan baca buku. Rasa kembang telinga bila dengar suruhan baca buku. Tabiat tersebut kita bawa sampai ke tua selepas tamatnya sekolah. Dan sampai sekarang ramai yang masih tak ubah sikap tak suka baca buku.


Tak pernah saya jumpa orang yang suka membaca tidak berjaya dalam hidupnya. Sekurang-kurangnya mereka yang kaki membaca tak akan jadi peminta sedekah dan hidup mengharapkan belas kasihan orang.


Biasanya mereka yang suka membaca berfikiran luas, terbuka dan mempunyai banyak maklumat. Lebih-lebih lagi mereka yang mempelbagaikan buku bacannya. Majoriti orang yang mula membuat perubahan positif dalam hidup mereka adalah mereka yang mula membaca buku motivasi.


 Bukan sebab buku yang mereka baca itu bagus. Tapi sebabnya adalah kerana tidak ada orang yang akan membeli buku motivasi lalu membacanya melainkan orang itu sudah ada idea untuk berubah dan memajukan dirinya kepada keadaan yang lebih baik. Buku yang dibacanya hanya sekadar mengambil kesempatan meningkatkan lagi semangat ingin berubahnya saja.



Ringkasnya tak ada benda tidak berfaedah yang akan berlaku jika kita jadi kaki membaca. Tak ada orang yang akan berjaya baca tafsir Quran dari mula sampai habis melainkan dia seorang yang suka membaca.


Oleh itu jika kita mahu menjadi seorang muslim yang menjadikan Al-Quran sebagai buku bacaannya yang sering dibaca, terlebih dulu kita perlu menjadi kaki baca. Berikut beberapa tip dan petua ringkas untuk jadi kaki baca:



1. Buang sikap malu takut apa orang akan kata. Biasalah bila kita buat benda baru yang tak pernah kita buat tambahan pulak benda tu kerja yang mulia, kita akan ada sedikit rasa segan takut orang pandang semacam pada kita. Sikap ini perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Jika anda perasan ada yang melihat perubahan itu terus terang bertanya pada orang itu dan jangan lupa jegilkan mata anda.


2. Perlu ada buku dalam rumah. Samada beli pinjam atau apa-apa saja, pastikan anda ada punyai buku dalam rumah. Jika anda seorang yang sering kena bayar cukai. Tak rugi beli buku tidak melebihi RM1000 setahun, anda boleh tolak cukai asalkan simpan bil.


3. Pastikan buku yang anda minat. Jika anda minat menjadi usahawan, belilah buku-buku yang menarik dalam dunia keusahawan. Anda tentu tak jemu membacanya sebab boleh diaplikasikan dengan minat anda. Jika anda minat politik belilah buku politik. Yang pentingnya anda tidak merasakan terpaksa untuk membaca. Membaca perlu menjadi sesuatu yang sukarela dan bersahaja sebagaimana aktiviti melepak dan mengata yang sering kita amalkan.


4. Baca buku sebelum tidur sekurang-kurangnya 20 atau 30 minit setiap hari. Jadikan amalan ini sebagi rutin anda setiap kali sebelum tidur. Samada faham atau tak faham, letih atau cergas, susah atau senang luangkan masa 20 ke 30 minit setiap hari sebelum tidur. Amalkan ia sehingga jadi habit yang kalau tak buat anda rasa satu kekurangan.



Jika anda amalkan amalan yang saya sebut di atas, tabiat membaca akhirnya menjadi kerja rutin yang dilakukan tanpa perlu difikirkan lagi. Bila sikap membaca dah ada, lambat laun anda mula bina sikap menghayati apa yang anda baca dan akhirnya anda akan ketagihan membaca dan tak dapat menahan untuk membeli kesemua buku yang bagus dan menarik.



Bila anda dah sampai ke tahap itu pastikan ada sebuah buku dalam kereta setiap kali memandu. Anda boleh belek sedikit bahan bacaan tersebut setiap kali terpaksa berhenti di depan lampu trafik merah. Anda juga perlu selitkan buku dalam beg. Ini boleh digunakan bila anda terpaksa menunggu orang dalam temujanji atau ketika beratur membayar bil di bank dan lain-lain seumpamanya.

Sekian.