1986
1986
1986
1999
SEKITAR tahun 1950-an, timbul cadangan untuk merobohkan balai rong
seri di Istana Raja Dewa Tuan Zainal Abidin. Kediaman Raja Dewa itu
terletak berhampiran Istana Balai Besar di Kota Bharu, Kelantan.
Balai rong seri yang diperbuat daripada kayu yang dibina sekitar
tahun 1900 itu mahu dirobohkan untuk memperbesar istana. Berita itu
kemudian didengari beberapa pekerja istana yang tinggal di Kampung Kedai
Mulong, yang percaya balai rong seri itu masih ada kegunaannya.
Meskipun binaan balai rong seri itu kelihatan usang kerana sudah
ditinggalkan kosong sejak Perang Dunia Kedua, penduduk Kampung Kedai
Mulong tetap sepakat mengadakan mesyuarat demi mencari jalan untuk
menggunakannya.
Hasil perbincangan penduduk kampung itu, mereka menyedari mengenai
kesukaran penduduk bersolat kerana ketiadaan masjid di kampung itu.
"Dari situlah tercetusnya idea untuk membeli balai rong itu untuk
dijadikan sebuah masjid," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Konservasi dan Arkeologi Jabatan Warisan Negara (JWN), Mat Nasir Baba
ketika menceritakan sejarah awal kewujudan Masjid Lama Mulong, yang
terletak kira-kira 11 kilometer dari bandar Kota Bharu.
Balai rong seri jadi masjid
Mat Nasir memberitahu, pihak istana menawarkan balai rong seri itu
pada harga RM1,000. Tidak menunggu lama, penduduk kampung berpakat
mengumpul duit untuk membeli bangunan lama tersebut dan mempercepat
proses pemindahannya.
Pemindahan pada waktu itu dilakukan dengan lori. Struktur lantai dan
bumbungnya telah dipotong dua untuk memudahkan kerja pemindahan ke
Kampung Kedai Mulong yang jaraknya kira-kira 11 kilometer.
Binaan lama itu kemudiannya dirombak dan dibina semula sebagai masjid
yang berlokasi di bahu jalan atas tanah wakaf Abdul Rahman Ismail dan
dinamakan sebagai Masjid Ar-Rahman atau dikenali sebagai Masjid Lama
Mulong.
"Balai rong seri itu dipasang semula secara gotong-royong seperti
bentuk asalnya dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk,"
tambahnya.
Penduduk kampung bersepakat menghulurkan derma untuk menyiapkan
masjid yang boleh memuatkan lebih 100 jemaah itu dan mula digunakan
sejak tahun 1958.
Keunikan masjid
Sebagai sebuah masjid yang berasal daripada sebuah balai rong seri,
bangunan kayu itu memiliki pelbagai keunikan tersendiri. Antaranya, ia
didirikan tanpa menggunakan paku selain sambungan tanggam dan pasak pada
era 50-an yang sekali gus mengetengahkan keunikan warisan silam seni
bina Melayu Kelantan yang kini amat jarang dapat dilihat.
Walaupun reka bentuk binaannya ringkas, ia tetap menonjolkan
ciri-ciri sebuah istana dan kediaman golongan bangsawan di negeri ini
pada masa silam.
"Ini boleh dilihat pada struktur keseluruhan bangunan, bahagian
dinding, pintu, tiang dan ruang atapnya, walaupun bahagian yang berukir
sudah hampir tiada," katanya.
Masjid itu turut menggabungkan pelbagai unsur seni bina Melayu
Kelantan dan Cina. Memandangkan struktur asalnya ialah balai rong seri,
maka bangunan itu dibina tanpa tiang tengah. Strukturnya dikukuhkan
dengan 16 batang tiang di sekelilingnya.
Jika dinilai dari sudut kejuruteraan moden, binaan tanpa tiang tengah
dibimbangi tidak tahan lama, tetapi kepakaran generasi lampau dalam
pertukangan membuktikan sebaliknya.
Mat Nasir juga menyatakan masjid tersebut berlainan dengan binaan
tradisional Kelantan yang lain kerana lantainya tidak disokong oleh
'rasuk panjang'.
"Apa yang ada hanyalah rasuk melintang dan lantainya disokong oleh 32
kayu penyokong berbentuk kaki cermin. Biasanya sebuah rumah tidak
memerlukan kayu penyokong atau 'tongkat' yang sebegitu banyak. Tetapi
ketiadaan 'rasuk panjang' menyebabkan perlunya kepada bilangan tongkat
sedemikian," katanya lagi.
Sebenarnya Masjid Lama Mulong ini terlalu istimewa, bukan hanya kerana
seni rekanya yang cantik dan unik, malah sejarah di sebalik
kewujudannya itu yang menjadi faktor utama ia dipilih sebagai Bangunan
Warisan Negara.
Penyenaraian itu menjadikannya antara 11 buah bangunan bersejarah di
seluruh negara yang diberi tumpuan untuk proses baik pulih sepanjang
tahun ini.
Keunikan Masjid Lama Mulong tidak harus disia-siakan. JWN mahu
menjadikan bangunan ini sebagai satu monumen yang akan terus dipulihara
untuk kegunaan dan tatapan generasi akan datang.
Mat Nasir mengakui bahawa tanpa usaha dan kesungguhan penduduk
kampung untuk konservasi bangunan itu yang pada mulanya dipelopori oleh
Allahyarham Cikgu Hamzah Mahmud, JWN mungkin langsung tidak mengetahui
kewujudan masjid bersejarah ini.
Projek konservasi
Sebaik sahaja Masjid Lama Mulong disenaraikan sebagai Bangunan
Warisan Negara, projek pemuliharaan binaan berusia lebih 100 tahun itu
terus dilaksanakan.
Ia melibatkan proses awal mencerap kayu, mengikis lapisan cat pada
tiang, dinding dalam dan luar, panel janda berhias, jejala, motif serta
menukar bata asbestos bumbung kepada batu jenis senggora Thailand.
Pemuliharaan masjid itu juga mencatat sejarah apabila ia melibatkan
peralihan masjid dari tapaknya yang asal berikutan masalah berkaitan
keluasan tanah wakaf.
Masjid itu dianjakkan ke depan sejauh enam meter dan ke kanan sebanyak tiga meter dengan menggunakan kaedah
chain-lock. Kaki-kaki tiang masjid diangkat dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya penuh hati-hati.
Semasa pekerja mengikis cat lama di bahagian atas panel 'janda
berhias' atau dinding asal balai rong seri, mereka terjumpa ukiran awal
berbentuk bunga.
"Ukiran bunga ini akan dikekalkan agar sejarah asal balai rong tidak hilang," kata Mat Nasir.
Ciri uniknya diperkukuh dengan sisip angin berukir geometri bagi
memudahkan pengaliran udara yang menyejukkan ruang dalaman dan buah
guntong pada siling menggantikan tiang.
Kini, selepas lapan bulan menjalani proses baik pulih, Masjid
Ar-Rahman atau Masjid Lama Mulong muncul dengan wajah silamnya yang
indah dan dibuka untuk diimarahkan semula oleh pengunjungnya.Seorang ahli jawatankuasa kariah masjid, Ahmad Farid Mahmood
memberitahu, selepas projek konservasi itu siap, ia sering lokasi
kunjungan masyarakat dari serata pelosok negeri.
"Apatah lagi sejak ia dirasmikan Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 17 Julai lalu, ramai yang mula
sedar kewujudan masjid ini," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan