Bab 4 PENGURUSAN MAKLUMAT DAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
OBJEKTIF
1. Merancang strategi untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran.
2. Meneroka isu atau masalah yang memerlukan penyelesaian masalah secara sendiri.
3. Mengumpul dan mengurus maklumat secara kendiri.
PENGENALAN
Kita
sebagai manusia, belajar adalah perlu.pembelajaran bermula sejak
kandungan ibu lagi. Apabila dilahirkan prosesnya diteruskan. Bermula
daripada komuniti yang kecil iaitu keluarga da seterusnya hingga dalam
kelompok masyarakat yang besar, banyak maklumat yang diterima sepanjang
proses pembelajaran tersebut, namun tidak semua maklumat itu benar dan
tidak semua yang benar itu berguna kepada semua manusia, tetapi mungkin
berguna kepada manusia yang lain. PENGURUSAN MAKLUMAT DAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
dalam konteks pembangunan diri merentas pelbagai dimensi yang bermula
dengan dimensi diri, keluarga , dan masyarakat. Pelajar didedahkan
dengan pemikiran tentang maklumat dan penyaringan maklumat yang benar
sehingga mampu dihayati menjadi ilmu yang berguna kepada diri. Dengan
kemantapan dan kefahaman yang benar tentang ilmu, maka potensi yang ada
itu dikembangkan kepada keluarga dan seterusnya kepada masyarakat.
Dalam proses tersebut akan berlaku tindak balas (reflex) dan cabaran
yang membentuk ketajaman berfikir kepada pelajar. Proses pembelajaran
tidak hanya melibatkan belajar tetapi juga mengajar dan berkomunikasi
untuk mengesahkan bahawa maklumat dan pendirian yang dipegang selama
ini adalah benar dan mantap.
Ketepatan
dan kecekapan maklumat adalah antara faktor utama dalam pembelajaran.
Aspek ini menjadi keutamaan dalam pencapaian matlamat pembelajaran.
Perkembangan ini wajar diteruskan berterusan sepanjang kehidupan seorang
individu itu terutama semasa tempoh pendidikan formal yang dilalui
mereka.
KEPENTINGAN KEMAHIRAN PENGURUSAN MAKLUMAT DAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Kepentingan pengurusan maklumat memang
tidak dinafikan. Pada peringkat individu, ia boleh membantu individu
merancang strategi untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran untuk
meningkatkan kerjaya mereka. Alam kerjaya adalah berbeza daripada alam
universiti. Banyak kemahiran dan pengetahuan yang baru perlu dipelajari
oleh setiap manusia. Justeru, kemahiran pengurusan maklumat amatlah
penting untuk menguasai pelbagai kemahiran terkini. Pada peringkat
organisasi, pengurusan pengetahuan juga dapat membantu organisasi dalam
memperbaiki keberkesanan dan kecekapan, memperbaiki kedudukan pasaran,
memperbaiki komunikasi antara pekerja, meningkatkan sinergi antara
pekerja dan membolehkan pembelajaran menjadi lebih berkesan dan cekap
(Beijerse 1999).
Pada abad ke-21 ini,
perkembangan teknologi dan pelbagai perkara yang berkait rapat dengan
kehidupan kita berlaku dengan amat pesat. Kita perlu sentiasa mengikuti
perkembangan isu semasa bagi menghasilkan keputusan yang betul
mengenai isu-isu yang penting sama ada berkaitan kerjaya, keluarga,
masyarakat, atau Negara. Jadi, kemahiran pengurusan maklumat dan
pembelajran sepanjang hayat amat relevan dalam aspek ini.
Menurut Zahiyah dan Abdul Razak (2010), PSH
ialah satu proses pencarian ilmu pengetahuan samada untuk kepribadian
atau golongan profesional yang berlaku sepanjang masa, bersifat
sukarela dan atas motivasi kendiri. PSH berupaya mengembangkan potensi
seseorang itu melalui proses pembelajaran berterusan yang dapat
memotivasi dan membolehkan seseorang individu itu menguasai ilmu,
menghayati nilai murni, dan memperluaskan pengalaman hidup supaya
individu itu berupaya menangani pelbagai cabaran hidup dengan yakin
serta kreatif.penguasaan PSH adlah sejajar dengan kehendak sosial dan
ekonomi semasa yang mendorong individu supaya menjadi aktif demi
kebaikan diri sendiri.
PENGURUSAN MAKLUMAT
Definisi dan Konsep Maklumat
Menurut beberapa kamus umum, maklumat
ialah data, bahan dan pengetahuan. Selain itu, maklumat juga adalah
data yang tersusun dalam satu struktur yang mempunyai makna.
Ciri-ciri Maklumat
1. Relevan
2. Boleh dipercayai
3. Boleh difahami
4. Lengkap
5. Tepat
6. Membantu mengurangkan ketidakpastian
Maklumat iaitu pengetahuan diperoleh
menerusi proses mengetahui atau mengumpul maklumat yang akan
mengembangkan kemampuan kita dalam berinteraksi dengan dunia
sekeliling. Proses pengumpulan maklumat ini akan berterusan sepanjang
hayat. Sepanjang kehidupan setiap individu akan mengalami pelbagai
bentuk permasalahan yang membuatkan dirinya mempelajari sesuatu dan
mendapat maklumat yang baru.
Konsep Literasi Maklumat
Literasi dari sudut bahasa bermaksud
celik atau berpengetahuan. Dari segi istilah, literasi maklumat adalah
keupayaan mencari dan menggunakan maklumat yang menjadi kunci
pembelajaran sepanjang hayat (Byerly et al. 1999). Pelajar yang celik
maklumat seharusnya bukan sekadar mampu mengakses sumber maklumat
dengan cekap semasa proses pengumpulan maklumat, bahkan mampu menilai
maklumat secara kritis dan menggunakan maklumat tersebut dengan tepat
dan kreatif (Byerly et al. 1999).
Menurut
Mackenzie (1997), dalam garis panduan mengenai literasi maklumat untuk
Pembelajaran Sepanjang Hayat(PSH) yang telah disediakan ole Lau (2006),
orang yang celik maklumat berkebolehan dalam :-
· Menggali : berkeupayaan mengesan maklumat yang berkaitan, menyaring, menyisih, dan mimilih maklumat.
· Mentafsir : berupaya untuk menterjemahkan data dan maklumat kepada pengetahuan, wawasan, dan kefahaman.
· Mencipta idea-idea baru : berkeupayaan membangunkan wawasan-wawasan baru.
Literasi maklumat adalah satu “set
kemahiran “ yang boleh dipelajari. Set kemahiran itu termasuk sikap
tertentu terhadap pembelajaran itu sendiri, penggunaan alatan, seperti
tutorial dalam talian ; penggunaan teknik,seperti bekerja dalam
kumpulan; dan penggunaan kaedah,seperti pergantungan kepada mentor;
pembimbing ; dan omsbudman (Lau 2006).
Tiga komponen asas sebagai piawaian literasi maklumat
1. Akses
2. Penilaian
3. Penggunaan maklumat
Akses : Pengguna berkebolehan mengakses maklumat dengan cekap dan berkesan
· Definisi dan Pernyataan Keperluan Maklumat
i) Kebolehan untuk mendefinisi atau mengenal pasti keperluan maklumat.
ii) Kebolehan untuk memutuskan untuk berbuat sesuatu bagi mencari maklumat.
iii) Kebolehan untuk menyatakan dan mendefinisi keperluan maklumat
iv) Kebolehan untuk memulakan proses pencarian.
· Pengesanan maklumat
i) Kebolehan untuk mengenal pasti dan menilai sumber-sumber maklumat berpotensi.
ii) Kebolehan untuk menghasilkan strategi pencarian.
iii) Kebolehan untuk mengakses sumber-sumber maklumat terpilih.
iv) Kebolehan untuk memilih dan mendapatkan semula maklumat yang dikesan.
Penilaian : Pengguna menilai maklumat dengan cekap dan kritis.
· Pentaksiran maklumat
i) Kebolehan untuk menganalisis, memeriksa, dan mengekstrak maklumat.
ii) Kebolehan untuk membuat tanggapan umum dan mentafsir maklumat.
iii) Kebolehan untuk memilih dan mensintesis maklumat
iv) Kebolehan untuk menilai ketepatan dan kerelevanan maklumat yang didapatkan semula.
· Penyusunan maklumat
i) Kebolehan untuk menyusun dan mengkategorikan maklumat.
ii) Kebolehan untuk mengelompokkan dan menyusun maklumat yang telah diperoleh.
iii) Kebolehan untuk menentukan maklumat mana yang terbaik dan paling berguna.
Penggunaan : Pengguna berupaya mengaplikasikan / menggunakan maklumat dengan tepat dan kreatif
· Penggunaan maklumat
i) Kebolehan untuk mencari cara-cara baru untuk berkomunikasi,mempersembah dan menggunakan maklumat.
ii) Kebolehan untuk menggunakan maklumat.
iii) Kebolehan untuk mempelajari atau mendalami maklumat.
iv) Kebolehan untuk memperssembahkan produk.
· Komunikasi dan penggunaan beretika maklumat
I. Kebolehan untuk memahami penggunaan beretika maklumat.
II. Kebolehan untuk menghormati perundangan berkaitan penggunaan maklumat.
III. Kebolehan untuk memperkatakan tentang produk pembelajaran.
PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT
Konsep
Proses
pembelajaran manusia bermula melalui persekitaran keluarga.
Pembelajaran sepanjang hayat ialah pencarian ilmu pengetahuan untuk
peribadi atau profesion yang dilakukan sepanjang masa, sukarela, dan
atas motivasi sendiri. Ia juga pembangunan potensi manusia melalui
proses pembelajaran berterusan yang memotivasi dan mengupayakan individu
menguasai ilmu, menghayati nilai murni yang diperlukan sepanjang hayat
dan meluasi pengalaman hidup supaya individu mengambil tanggungjawab
dalam berbagai peranan dan keadaan dengan yakin serta kreatif menghadapi
segala cabaran hidup. Ini bermakna seseorang akan menghadapi perubahan
dalam peringkat kehidupan maka keperluan belajar akan menjadi penting
tetapi jenis maklumat, ilmu dan fokusnya adalah berbeza pada setiap
peringkat. PSH selari dengan kehendak sosial dan ekonomi sezaman yang
memaksa individu menjadi aktif untuk kebaikan diri sendiri. PSH adalah
proses sepanjang hayat yang terdiri daripada latihan, pembangunan diri
dan pembelajaran.
PSH dilaksanakan dalam beberapa konsep dan konteks berikut iaitu :
- Home schooling yang berkonsep tidak formal dan dijalankan di rumah.
- Pendidikan dewasa yang berkonsep formal untuk mendapatkan kemahiran dan sijil yang diperlukan untuk memulakan kerjaya.
- Pendidikan lanjutan yang berkonsep formal dan dijalankan di institusi pengajian tinggi.
- Latihan dalam perkhidmatan yang berkonsep formal atau tidak formal untuk meningkatkan profesionalisme dan kemahiran melalu bengkel atau kursus yang dianjurkan oleh organisasi.
- Pembelajaran maya yang berkonsep formal dan tidak formal berasakan pembelajaran kendiri menggunakan alat multimedia dan sumber dalam talian.
RUMUSAN
Kemahiran
pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat adalah saling
berkait antara satu sama lain. Kebolehan individu menggarap pengetahuan
dari masa ke semasa dengan kebijaksanaan menguasai pelbagai kaedah dan
teknik komunikasi yang mudah dan mampu menganalisi segala maklumat yang
datang, serta berkebolehan mencerakinkan pada tempatnya yang wajar
membuktikan potensi sebagai insan kian terserlah. Insan sebagai khalifah
ALLAH SWT sebenar menggunakan maklumat bukan untuk dicemarkan hubungan
sesama manusia dan melakukan fitnah serta mengaibkan manusia, tetapi
sebaliknya mengharmonikan suasana dan menjelaskan realiti kebenaran
sebagai seorang insan yang bermaruah dan bertanggungjawab untuk
mewujudkan kebaikan dan kesejahteraan bersama di dunia dan selanjutnya
di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan