Rabu, 30 September 2015

PEMIKIRAN STRATEGIK DR. M

PEMIKIRAN STRATEGIK DR. M

PEMIKIRAN ialah apa saja yang difikirkan dalam fakulti akal. Maknanya terlalu umum. Ia juga
membawa maksud lintasan dalam akal. Ia juga bermakna suatu upaya membuat analisis (mencari baik
buruk) mengenai sesuatu yang difikirkan, membuat keputusan, melakukan menungan, membuat penelitian
atau kajian dan sebagainya. Semua usaha ini berlaku dalam akal manusia. Jadi pemikiran hanyalah teori
semata-mata jika tidak diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.

Pemikiran strategik (PS) pula berlangsung dalam akal secara mendalam, radikal, drastik dan menyeluruh.
Unsur yang penting dalam PS ialah unsur strateginya iaitu langkah yang dilaksanakannya dengan
memanfaatkan taktik atau kaedah yang bersembunyi, boleh berbentuk menyerang (ofensif) dan
mempertahankan (defensif), memiliki unsur pertandingan dan sebagainya. Jadi, pemikiran strategik ialah
pemikiran yang menggunakan unsur strategi dan taktikal untuk mencapai matlamat. PS juga disebut
sebagai pemikiran analitikal atau pemikiran logik yang memanfaatkan unsur strategi dan taktikal untuk
mencapai matlamat atau mencapai kemenangan. Untuk membolehkan seseorang berpemikiran strategik
mereka haruslah:

1.Mempunyai kebolehan menganalisis yakni memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu perkara;

2.Mempunyai kebolehan membaca secara kritis; dan

3.Mempunyai kebolehan melihat sesuatu perkara secara keseluruhan yakni secara wholistic.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, memiliki sekurang-kurangnya tiga kebolehan
pemikiran strategik seperti yang digariskan itu. Malah, ada orang mengatakan beliau memiliki lebih
daripada tiga kebolehan berfikir secara strategik. Persoalannya bukanlah jumlah kebolehan yang
dimilikinya, tetapi kemampuan menterjemah kemampuan berfikir secara strategik yang sedia dimilikinya
dalam bentuk tindakan yang memanfaatkan negara.

Contoh pertama: ketika beliau cuba menghasilkan projek kereta nasional seperti Proton Saga dan Kancil,
terlebih dulu beliau berfikir secara strategik.

Beliau terlebih dulu akan:

1.Membaca laporan mengenai kekuatan-kelemahan kereta yang dihasilkan di Barat;

2.Menganalisis sedalam-dalamnya peralatan sesebuah kereta, misalnya (komponen enjinnya dan
banyak lagi hal yang berkaitan dengan kereta); dan

3.Meminta diadakan taklimat mengenai kereta bukan di bilik pendingin hawa, tetapi di kilang kereta
itu sendiri (di Jepun) supaya beliau dapat melihat sendiri cara kereta Jepun dibuat.

Dengan pemikiran strategik ini, maka lahirlah idea membuat kereta tempatan. Maka, lahirlah Proton Saga,
Kancil dan Rusa yang sesuai dengan cita rasa setempat.

Contoh kedua: pemikiran strategik Dr Mahathir ialah ketika negara berura-ura membeli kapal terbang
pejuang supersonik MiG-29 buatan Russia. Terlebih dulu Dr Mahathir membaca komen mengenai
kekuatan dan kelemahan MiG-29. Ketika pameran LIMA di Langkawi, Mahathir meneliti, menganalisis
kekuatan dan kelemahan pesawat itu. Beliau bertanya kepada penganjur antarabangsa LIMA mengenai
hal teknikal yang relevan dengan MiG-29. Pertanyaan ini menyebabkan penganjur mengetahui bahawa Dr
Mahathir benar-benar mengetahui seluruh aspek MiG-29.

Contoh ketiga: bagaimana Dr Mahathir menggunakan pemikiran strategiknya untuk menumpaskan hujah
dan tohmahan George Bush (ketika itu Presiden Amerika) terhadap Malaysia pada Sidang Bumi di Rio de
Janerio, Brazil.

Hujah Bush: Malaysia menebang balak. Oleh itu Malaysia kekurangan hutan dan menyebabkan terjadinya
pencemaran alam. Ertinya Malaysia menyumbang kepada terjadinya pencemaran alam secara berleluasa.

Hujah balas Dr Mahathir: Negara manakah yang lebih banyak menyumbang kepada pencemaran
udara/alam. Malaysia atau Amerika?

Secara nyata Dr Mahathir mengemukakan fakta mengenai begitu banyak kereta di Amerika Syarikat
(AS) mengeluarkan asapnya. Malah, kilang di Amerika Syarikat juga mengeluarkan asap yang banyak
dan tidak terkawal. Asap daripada kenderaan dan kilang menyerap ke dalam udara Eropah malah angin
yang bertiup membawa pencemaran itu ke negara Asia. Ertinya negara-negara Asia ikut mendapat kesan
daripada pencemaran asap yang dimulakan di Amerika Syarikat. Malah, Malaysia juga ikut tercemar
akibat pencemaran alam buatan Amerika.

Sebaliknya meskipun Malaysia menebang balak tetapi penebangan ini hanyalah untuk tujuan
pembangunan. Malaysia mengusahakan cara yang terbaik untuk mengawal usaha pembangunan ini supaya
tidak berlaku pencemaran alam yang teruk. Jadi negara manakah yang sebenarnya yang mencemarkan
alam ini?

Berdasarkan kebolehannya menggunakan pemikiran strategiknya, dunia yang sebelum ini cuba menuding
jari kepada Malaysia akhirnya berpusing balik kepada Amerika dan menyedari kesalahannya.

Begitulah sekelumit senario sekitar penggunaan pemikiran strategik beliau di dalam dan di luar negara.

Pemikiran kreatif (PK) pula ialah pemikiran yang memanfaatkan khayalan, fantasi, angan-angan dan
wawasan dalam bentuknya yang kabur. Ia memanfaatkan imaginasi seseorang mengenai cita-cita,
wawasan, mamai atau mimpinya. Meskipun pada permulaannya ia cuma imaginasi dan fantasi yang tidak
dapat dibuktikan tetapi apabila ia dikonkritkan, disaring atau diberi penilaian, maka imaginasi atau yang
fantasi itu menjadi kenyataan.

Dr Mahathir juga berfikir menggunakan pemikiran kreatif. Antara pemikiran kreatif yang beliau hasilkan
ialah menyamakan waktu Semenanjung (waktu di Malaysia Barat sama dengan Sabah/Sarawak, dasar
pandang ke Timur, melaksanakan industri Berat, dasar penswastaan, Wawasan 2020, Koridor Raya
Multi Media (MSC), Siberjaya, Putera Jaya dan pemulihan ekonomi melalui Majlis Tindakan Ekonomi
Negara (MTEN).

Pemikiran Kreatif ini adalah secara umum. Bagaimanapun ada kaedah yang lebih khusus dalam pemikiran
kreatif ini dilaksanakan oleh Dr Mahathir. Dr Mahathir juga memanfaatkan cabang pemikiran kreatif yang
lain yang lebih radikal.

Misalnya, Pemikiran Lateral (pengasasnya Edward de Bono) yakni pemikiran yang gila-gila, yang tidak
masuk akal yang digunakan untuk menyelesaikan masalah dan mencipta idea baru. Ia dibezakan daripada
cara lama yang diamalkan oleh pemikiran konvensional.

Pada 15 Julai 1993, kami menghadiri kursus Supertition Developing Creative Managers: To Outsmart the
Competition di Kuala lumpur.

"Dr Edward de Bono kini berada di pejabat Perdana Menteri. Kursus ditangguh sebentar" pengacara
mengumumkan bagi pihak penganjur. De Bono ialah penceramah bagi kursus yang diadakan sepanjang
hari itu.

"De Bono di pejabat Perdana Menteri, buat apa ya?" saya bertanya sendiri. Tiada jawapan.
Bagaimanapun saya cuba membuat tanggapan dan kesimpulan. De Bono adalah guru pemikiran yang
terkenal di dunia yang mencipta teknik berfikir kreatif iaitu Pemikiran Lateral (Lateral Thinking).

Saya berasa Perdana Menteri memerlukan nasihat de Bono mengenai bagaimana cara untuk memajukan
negara. Boleh jadi, cetus hati saya. Dr Mahathir memang akrab dengan pemikir di dunia apa lagi kalau
mereka dapat membantu beliau memajukan negara.

Saya kira Dr Mahathir memang serius dalam soal reformasi dan inovasi negara. Pertemuan beliau dengan
de Bono, pada saya memang wajar. De Bono banyak membantu memperkembang korporat besar di
dunia dan memajukan sistem pendidikan yang ketinggalan dan sebagainya. Dalam banyak hal, beliau
berhasil menerapkan pemikiran lateral dalam pelbagai bidang kehidupan yang menuntut inovasi. Banyak
korporat dan sistem pendidikan di dunia ikut merasai sentuhan dan keberkesanan pemikiran lateral ini.

Malaysia demikian juga. Semenjak Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, banyak
perubahan terjadi kepada rakyat dan negara. Kebanyakan perubahan ini cukup radikal dan mengejutkan.
Perubahan yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir ada kalanya dipandang cukup radikal, menolak langsung
yang konvensional, melompat-lompat, kabur, tidak logik, mengarut, ganjil, tidak pernah dilakukan
sebelumnya, kompleks, mustahil, tak disangka-sangka, banyak memerlukan tafsiran, banyak
kemungkinan, mencabar dan banyak lagi.

Ada orang yang memandang perubahan ini dengan pandangan yang cukup positif. Perubahan ini dianggap
cukup kreatif, inovatif, exploratif, mencari terra incognita (daerah baru yang belum diterokai), memikirkan
perkara yang tidak terfikir, menjadikan kenyataan terhadap perkara mustahil dan sebagainya. Pada
mereka perubahan yang memanfaatkan hal-hal ini memang cukup wajar demi kemajuan dan kelangsungan
hidup negara.

Begitulah perubahan dalam keadaan apa pun diterima secara pro dan kontra. Yang penting dan yang
harus dipastikan ialah perubahan itu dapat dinikmati oleh rakyat dan negara. Dr Mahathir berhasil
membuktikan perubahan yang dibawanya dapat memanfaatkan negara walaupun beliau menerima kritikan
yang cukup hebat.

Apakah rahsia kehebatan perubahan Dr Mahathir? Pemikiran! Benar, pemikiran boleh saja ketinggalan
zaman atau boleh saja maju bergantung kepada cara orang menggunakannya. Dr Mahathir cenderung
menggunakan pemikiran untuk memajukan rakyat dan negara.

Beliau membuat sesuatu yang pelik, sesuatu yang mustahil dan tidak pernah dibuat orang sebelumnya.
Dengan perubahannya, beliau tidak peduli apa orang kata kerana kalau kita mendengar kata orang, tak
ada apa yang boleh dilakukan. Dr Mahathir melakukan perubahan dengan penuh keyakinan.

Selanjutnya ada gaya berfikir beliau yang memanfaatkan pemikiran rentas berani (breakthrough thinking)
dan pemikiran berisiko (risk thinking). Pemikiran rentas berani bukan saja memerlukan kekuatan
pemikiran kreatif malah keberanian melaksanakan idea kreatif dengan kekuatan luar biasa. Tatkala orang
lain pusing kepala bagaimana cara menangani kejatuhan nilai ringgit, Dr Mahathir muncul dengan kaedah
berfikir barunya.

Satu contoh pemikiran berisiko ialah pemikiran yang beliau manfaatkan apabila beliau menyerang George
Soros, spekulator mata wang antarabangsa. Dr Mahathir menganggap Soros sebagai penyangak mata
wang. Menyanggah Soros, pengarang buku The Crisis of global Capitalism apalagi tokoh kewangan dunia
adalah suatu risiko terhadap Dr Mahathir. Sebelum ini tiada pemimpin dunia yang berani menentang Soros
apa lagi pemimpin negara-negara Asia. Tetapi Dr Mahathir melakukannya dengan berani dan berisiko.

Kata Musashi "apabila seseorang mengerti kegunaan senjata, maka ia dapat menggunakan setiap senjata
dengan waktu dan keadaan." Saya percaya konsep senjata ini digunakan dengan berkesan oleh Dr
Mahathir untuk menewaskan musuh-musuhnya sehingga mereka tertiarap dan tidak dapat bangun lagi.
Kesimpulannya Musashi memanfaatkan kelemahan musuh dan kekuatan diri sendiri.

Sun Tzu dalam strategi peperangannya yang dipaparkan dalam buku Seni Peperangan pernah menyebut
"sama ada musuh akan melakukan kesilapan yang membolehkan kita berkesempatan menewaskannya
terletak di tangan mereka" dan "kita harus menyerbu apabila yakin akan mencapai kemenangan."
Pemikiran begini diikuti tindakan digunakan sebaiknya oleh Dr Mahathir untuk menangani
musuh-musuhnya terutama yang degil. Ternyata musuh kecundang sementara Dr Mahathir tetap utuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan