WISMA Putra yang kita tahu, mungkin ia nama lain buat Kementerian Luar. Atau, kita barangkali mungkin terdetik, Wisma Putra itu bangunan menempatkan petugas Kementerian Luar, yang sekarang ini diterajui Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Tetapi bagi generasi baru pula, Wisma Putra yang mereka tahu terletaknya di Presint 2, Putrajaya, bukan di Jalan Wisma Putra, berhampiran bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pernahkah kita mahu bertanya kenapa namanya ialah Wisma Putra bukan Wisma Putri atau sebarang nama lain? Bilakah usaha penubuhannya mula dilakukan?
Di antara banyak kementerian yang ada di Malaysia, Kementerian Luar antara yang pertama memiliki bangunannya sendiri iaitu Wisma Putra.
Asal sejarah, usaha mewujudkannya (asalnya juga dipanggil Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA), dibuat setahun sebelum negara merdeka pada tahun 1957.
Tujuan asalnya pula ialah mahu melatih sekumpulan 11 diplomat untuk bertugas bagi misi diplomatik negara di luar negara. Kumpulan perintis ini dilatih di Britain dan Australia. Antara yang paling awal berkhidmat dengan Wisma Putra ialah Tan Sri Zainal Abidin Sulung. Zainal sendiri menulis sejarah awal Kementerian Luar dalam sebuah buku terbitan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) berjudul Number One Wisma Putra.
Dalam pada itu, MEA mengambil model daripada Kementerian Luar Britain, seiring dengan birokrasi yang direka dengan mengambil kira struktur Perkhidmatan Awam British. Kita juga mempunyai Malaysian Civil Service (MCS) yang kemudiannya menjadi Malaysia Home and Foreign Service (MHFS) dan sekarang ini Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Laman web rasmi Wisma Putra menyebut, pada awalnya, tiga pegawai membahagikan tugas masing-masing di kawasan yang dipertanggungjawabkan.
‘‘Misi diplomatik Malaysia pada awal sejarahnya ada di London, Washington, Canberra, New York, New Delhi, Jakarta dan Bangkok. Ia berkembang pesat sehingga kini negara memiliki 102 perwakilan (kedutaan dan konsuler) di negara luar.
‘‘Kedutaan sebuah negara Komanwel di sebuah negara Komanwel yang lain dikenali sebagai Suruhanjaya Tinggi, manakala di negara-negara bukan Komanwel ia dikenali sebagai Kedutaan Besar seperti biasa,’’ kata bekas diplomat yang kini pensyarah di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), Datuk Ahmad Mokhtar Selat.
Kalau kedutaan dibuka di ibu kota sesebuah negara, konsuler kebiasaannya dibangunkan di wilayah-wilayah.
Dalam pada itu, seperti bangunan, pejabat dan syarikat yang menyaksikan perubahan demi perubahan kerana faktor masa, Kementerian Luar juga tidak ketinggalan.
Selain namanya juga bertukar, lokasi menempatkan bangunan kementerian turut berubah.
Tahun 1966 menyaksikan perubahan bagi Kementerian Luar ini, ujar beliau yang mula ‘memasuki’ Wisma Putra pada tahun 1971.
Pada 31 Ogos, Kementerian Luar memiliki bangunannya sendiri iaitu Wisma Putra, terletak di Persiaran Hose, Bukit Petaling sebelum ia bertukar nama menjadi Jalan Wisma Putra selepas itu.
Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada pukul 10.30 pagi, 31 Ogos 1966. Beliau juga Menteri Luar Malaysia yang pertama.
Bangunan berkenaan bernilai RM2 juta dan pada masa itu ia memiliki 200 anggota.
Dalam ucapannya, Tunku Abdul Rahman mengakui bangunan Kementerian Luar itu mempunyai signifikan tersendiri buat diri beliau dan kepada negara.
Malahan, beliau turut mengimbau bagaimana bangunan itu adalah tapak tempat tinggalnya yang dihadiahkan oleh kerajaan British semasa beliau menjadi Ketua Menteri Persekutuan Malaya pada tahun 1955.
Signifikan
‘‘Rumah itu sangat lama dan uzur. Ia bocor di sana sini, terutamanya di bilik tidur. Apabila hujan, saya dan isteri terpaksa mengalihkan katil ke mana-mana sudut yang selamat daripada ditimpa hujan. Jadi, ia memberi signifikan kepada saya apabila ia dijadikan bangunan Kementerian Luar di tapak sama,’’ katanya semasa merasmikan bangunan terbabit.
Katanya, mana-mana tetamu asing akan melawat Kementerian Luar jika datang ke Malaysia walaupun tetamu itu adalah wakil daripada kementerian lain di negaranya. Jadi, dengan menjemput tetamu luar datang, ia sedikit sebanyak ‘menonjolkan’ bagaimana rupa sebenar asal Wisma Putra itu sendiri.
Ucapan Tunku Abdul Rahman semasa merasmikan Wisma Putra itu dijilidkan sebagai volume 1-No 1 dalam buletin Wisma Putra.
Nama Wisma Putra dicadangkan oleh Tan Sri Ghazali Shafie pada tarikh ia dirasmikan.
Katanya, Wisma Putra adalah gabungan perkataan Sanskrit di mana Wisma itu bermakna bangunan dan Putra itu adalah nama Tunku Abdul Rahman.
Kata Ahmad Mokhtar, ramai yang tidak tahu bahawa surau Wisma Putra adalah dapur kediaman Tunku Abdul Rahman. Tetapi kini setelah IDFR menduduki bangunan itu, segala-galanya diruntuhkan dan tiada lagi asal kediaman Tunku Abdul Rahman.
Selepas lebih empat dekad beroperasi di Jalan Wisma Putra, Kementerian Luar sekali lagi menyaksikan perubahan di mana pada 5 September 2001, Syed Hamid sebagai Menteri Luar mendapat replika kunci bagi Kompleks Wisma Putra yang baru daripada Profesor Zainuddin Muhammad, Pengerusi Putrajaya Holding pada satu majlis ringkas di Putrajaya.
Kementerian memulakan operasi di kompleks baru yang bernilai RM170 juta itu 12 hari kemudian iaitu pada 17 September.
Kompleks itu tersergam di atas bukit dan panoramanya dikelilingi oleh Taman Wawasan dengan ia dibina di atas tanah seluar 12.12 hektar.
Kalau sebelum ini Jalan Wisma Putra dinamakan sempena terdapat Wisma Putra di situ, apa salahnya jika Presint 2, tempat duduk letak Wisma Putra sekarang ditukarkan menjadi Bukit Wisma Putra, begitu syor Ahmad Mokhtar.
Hujahnya, ia penting bagi mengekalkan penjenamaan Wisma Putra itu sendiri.
Kompleks Wisma Putra baru itu melambangkan kekuatan institusi kerajaan yang berdasarkan kepada kombinasi seni bina tradisional dan moden. Perlambangan tradisional misalnya boleh dilihat pada reka bentuk bumbung di mana ia adalah simbol rumah Melayu lama. Begitu juga motif flora yang terdapat di tingkap-tingkap bangunan tersebut. Reka bentuk geometri Islam turut dicipta pada lantai marmar dan granit di dalam bangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan