Isnin, 7 Mac 2016

KELEMAHAN PELAJAR MELAYU DARI KACA MATA "KING GHAZ"



6 OCT 2000

               http://www.marymartin.com/web/mmbs/BookImages/133843_big.jpg



 KUALA LUMPUR; -- Isu kelemahan penuntut Melayu dalam bidang pendidikan nampaknya masih terus diperkatakan, termasuk yang terbaru iaitu prestasi pelajar-pelajar Malaysia di beberapa buah universiti di Mesir.

Pada umumnya, pelajar Melayu dikatakan sentiasa tercicir di belakang kaum lain dalam bidang-bidang penting termasuk sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan dan komputer, sehingga ada kalangan yang mendakwa ia ada kaitan dengan genetik bangsa itu sendiri.

Sejauh mana pekanya para penggubal dasar, pelaksana dan masyarakat Melayu sendiri terhadap permasalahan itu belumlah dapat dipantau. Bagaimanapun, ia telah benar-benar mengusik hati kecil sesetengah pemimpin negara, termasuk Perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini telah secara terbuka meluahkan kekecewaannya.
Turut berkongsi kekecewaan itu ialah seorang tokoh politik veteran, Tan Sri Ghazali Shafie yang turut memain peranan penting dalam proses awal pembentukan Malaysia serta penggarisan dan penyusunan semula struktur politik, ekonomi dan sosial masyarakat berbilang kaum di negara ini menerusi penggubalan Dasar Ekonomi Baru selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Ghazali yang turut terkenal dengan panggilan "King Ghaz" juga memainkan peranan utama dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara (NECC) selaku pengerusinya selepas bersara daripada kabinet, selain daripada dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri berhubung hal ehwal luar.

Sebelum itu beliau pernah menyandang jawatan Menteri Tugas-Tugas Khas selepas peristiwa 13 Mei, disusuli dengan jawatan Menteri Penerangan, Menteri Dalam Negeri dan akhir sekali Menteri Luar.


GHAZALI BUKAN "RACIST"


Ketika membicarakan isu itu baru-baru ini, Ghazali awal-awal lagi meminta supaya jangan disalah anggap dengan menekankan bahawa beliau bukan seorang "racist" tetapi sebaliknya ialah seorang nasionalis Melayu.
Dan sebagai seorang nasionalis, beliau ternyata amat kecewa kerana menurutnya, keciciran pelajar Melayu tidak sepatutnya terus berbangkit selepas empat dekad negara mencapai kemerdekaan.
Beliau ternyata belum berpuas hati dengan langkah-langkah pembetulan yang telah diambil bagi mengatasi masalah itu, lebih-lebih lagi apabila polimik berhubung dengannya hanya tertumpu kepada pendidikan peringkat menengah dan tinggi, mengabaikan situasi di peringkat rendah.

"Kalau kita tidak mengetahui prestasi di peringkat rendah, bagaimana kita boleh perbetulkan di peringkat tengah dan tinggi?" tanya beliau.
Menurutnya, pendidikan mempunyai beberapa maksud. Yang pertama ialah "membaja akal" yang mesti dilakukan di peringkat rendah lagi kerana akal mesti dicanai dan dipupuk.
Maksud kedua ialah "melatih untuk menggunakan akal" kerana tanpa latihan, akal itu tidak boleh menjadi berguna, ujarnya.

Pendidikan juga, katanya, bermaksud "menambah atau meluaskan pengetahuan". Ia suatu input yang penting selepas berlakunya maksud pertama dan kedua itu, kerana kalau tidak pengajaran untuk pengetahuan itu akan membosankan.

Pendidikan, katanya, hendaklah mengikut lunas tertentu, berwawasan dan memenuhi kehendak semasa.


ADA PENGAJARAN SUDAH TIDAK RELEVAN

"Apa faedahnya di sekolah teknik diajar bagaimana membaiki enjin kereta model tahun 1935? Itu sudah tidak relevan lagi," tegasnya.
Ghazali menekankan, proses pendidikan menuntut penyediaan alat yang sempurna

- bukan sekadar bangunan sekolah yang bagus, siap dengan kerusi meja atau kantin, sedangkan ilmu yang diajar sudah usang dan tidak cocok lagi dengan kehendak semasa.
Beliau menolak anggapan kononnya kelemahan anak Melayu berkaitan dengan genetik. Beliau juga tidak dapat menerima anggapan kolonialis dulu bahawa Melayu itu malas.
"Saya tidak sanggup sekali-kali menerima anggapan itu selagi saya belum menerima dalil yang sah bahawa genetik Melayu itu lemah.

"Dulu Melayu dikatakan malas, sekarang Melayu dikatakan lemah otaknya, sehingga seakan-akan menjadi satu kepercayaan baru....inilah nasib Melayu seperti "Tuskegee Syndrome", suatu label yang buruk mengenai orang kulit hitam di Amerika Syarikat sewaktu di antara dua perang dunia," katanya.

Bersandar pada nalurinya, beliau percaya kelemahan pelajr Melayu bukan mencerminkan bangsa atau genetik tetapi dasar kolonialis dulu terutama di luar bandar masih mempengaruhi dan meninggalkan kesan.
"Adakah sekolah di luar bandar cukup setakat membaja akal, melatih penggunaan akal dan menambah atau meluaskan pengetahuan daripada peringkat rendah? Kalau waktu di peringkat rendah dibiarkan, macam mana boleh berlainan sewaktu di peringkat menengah nanti?

PINDAH MURID KE SEKOLAH BISTARI ADA KESANNYA


"Apatah lagi kalau pelajar yang pandai dipindahkan ke sekolah bistari atau istimewa....yang tinggal hanya sederhana sahaja, dan apabila dibiar lingkuplah mereka," katanya.
Ghazali juga mengupas persoalan berhubung maksud "Melayu" dalam konteks permasalahan yang sedang dibicarakan itu dengan menyoal balik apakah yang dimaksudkan itu "bangsa" atau "bahasa".
Menurutnya, "bahasa" sudah berhasil dicatitkan dalam Perlembagaan negara, sementara "bangsa" adalah satu soal yang sangat sensitif.
Beliau sendiri tidak dapat menjawab soalan "siapakah Melayu yang dimaksudkan kerana katanya, istilah orang Melayu itu dalam Perlembagaan adalah sangat tidak memuaskan.
Beliau lalu mencadangkan agar kajian mendalam hendaklah dibuat dan semua kaum hendaklah diajak untuk mendokong cadangan seumpama itu supaya perubahan maksud "Melayu" dalam Perlembagaan kelak tidak lagi menjadi pertikaian.

Ghazali juga mencadangkan agar satu Suruhanjaya Khas dibentuk bagi mengkaji isu kelemahan penuntut Melayu itu dengan mendalam dan teliti secepat mungkin, tanpa pakai agak-agak sahaja.

JANGAN BUAT KENYATAAN MELULU

"Janganlah hendaknya kenyataan atau perakuan dibuat dengan melulu atau "ex-post rationalisation". Pendapat dan perakuan hendaklah benar-benar memandang ke hadapan dan berwawasan.
"Ini bukan lagi soal perkauman atau khusus untuk bangsa Melayu sahaja. Ini masalah nasional yang merangkumi semua kaum yang berada di bandar atau luar bandar yang sama-sama berkongsi nasib sebagai warga Malaysia," katanya.

Demikian luahan hati Ghazali yang juga seorang Distinguished Fellow di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Fellow di University of Wales, United Kingdom dan Fellow di INTAN, bekas Profesor Pelawat National University of Singapore dan Profesor Adjung Universiti Kebangsaan Malaysia.


Di sebalik usianya yang sudah menjangkau 78 tahun, Ghazali ternyata masih peka dengan perkembangan semasa dan amat prihatin terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh bangsa, agama dan tanah airnya.

-- Bernama

AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan