Rabu, 22 Oktober 2014

KELICIKAN BRITISH MENJAJAH TANAH MELAYU

Kelicikan British dapat dilihat dengan ketara setelah diteliti kembali sejarah selama mereka menduduki Tanam Melayu. Kepintaran dan kelicikan ini dibuat demi untuk mengelakkan kebangkitan besar-besaran penduduk Tanah Melayu yang beragama Islam terhadap mereka. Salah satu caranya adalah dengan menyekat berita yang berlaku di Eropah dan Turki Uthmaniah serta di Tanah Hejaz semasa perang dunia pertama.


Pihak British amat khuatir sekirannya sebarang berita mengenai peperangan disiarkan di surat khabar, pasti bangsa Melayu yang beragama Islam akan memberikan sokongan kepada pihak Turki Uthmaniah yang juga terlibat dalam peperangan tersebut. Dalam peperangan tersebut British adalah lawan dan seteru utama empayar Turki Uthmaniah di samping Russia dan Peranchis. Dalam peperangan ini, Mufti kerajaan Turki Uthmaniah Khairi Effendi telah mengeluarkan fatwa supaya umat Islam sedunia mengisytiharkan peperangan terhadap pihak Inggeris. Pengisytiharan tersebut menyuruh semua umat Islam berjihad melawan tentara kafir yang mahu menghancurkan IslaM.

Walau pun pihak Inggeris berusaha menapis kejadian di Timur Tengah tersebut, masih ada sesetengah surat khabar di Tanah Melayu dengan beraninya menulis dan mencetak berita mengenai peperangan yang berlaku di sana. Sesetengah berita tersebut disampaikan oleh orang yang menunaikan haji di Makkah, yang mana Makkah ketika itu masih dalam naungan kerajaan Turki Uthmaniah. Kehancuran empayar Turki Uthmaniah juga banyak diusahakan oleh pihak Inggeris. Betapa liciknya siasah yang diaturkan oleh Inggeris untuk memecahkan empayar tersebut sehinggalah mereka berjaya. 

British amat takut sekiranya penduduk di Tanah Melayu mengetahui perkara ini, maka mereka akan bangkit menentangnya secara besar besaran. Ini kerana peperangan di sana adalah antara orang Kristian dengan Islam. Kerajaan Turki Uthmaniah telah mengisytiharkan perang tersebut sebagai jihad, walaupun hakikatnya keadaan di Turki masa itu bukan lagi seperti di zaman kegemilangannya kerana khalifah sudah kehilangan kuasa mutlak. Kuasa pemerintahan kerajaan empayar Turki Uthmaniah di kala itu sudah dikongsi bersama di tangan pemimpin tentera yang lebih bersikap liberal dan kebaratan. 

Membaca secara teliti dan mengkaji dengan mendalam sejarah perang dunia pertama amat memberi kesan kepada hati dan jiwa raga. Detik perang dunia pertamalah merupakan titik kejatuhan keseluruhan empayar Turki Uthmaniah. Berakhirnya perang ini menyaksikan runtuhnya institusi khilafah Islamiah yang merupakan payung kepada seluruh umat Islam sedunia. Wilayah yang bernaung di bawah kesatuan ini berpecah satu persatu disebabkan perancangan jahat yang cukup licik musuh Islam. Dalam Peperangan ini, empayar Turki Uthmaniah yang merupakan negara umat Islam dikatakan tersilap percaturan politik dan terpaksa melibatkan diri dalam peperangan. 

Sebenarnya ketika berlangsungnya peperangan dunia pertama, telah berlaku satu kejadian pemberontakan di kalangan tentera British sendiri. Pemberontakan ini adalah daripada tentera British yang berbangsa India dan beragama Islam. Mereka semua ditempatkan di kem di Singapura. Mereka merasakan amat bersalah sekiranya terus bersikap setia kepada Queen Elizabeth yang mana ketika itu sedang berperang dengan dahsyat dengan tentera empayar Turki Uthmaniah. Mereka semua bangkit memberontak kerana terpengaruh dengan seorang pendakwah yang dikenali sebagai Maulana Nur Alam. Akan tetapi mereka terpaksa membayar perbuatan itu dengan harga yang cukup mahal di mana akhirnya mereka semua ditumpaskan dan dibunuh. Kejadian pemberontakan ini di dalam sejarah dikenali sebagai peristiwa Dahagi.


Berita tersebut cuba ditutup oleh pihak British. tetapi dengan cepat ianya terus tersebar sehingga ke seluruh pelusuk Tanah Melayu. Kemudiannya pihak British di Kelantan terpaksa berhadapan dengan pemberontakan daripada penduduk Melayu yang diketuai oleh Haji Mat Hassan Panglima Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut. Pemberontakan itu tercetus di daerah Pasir Putih. Adalah dipercayai bahawa mereka mendapat berita mengenai peperangan antara empayar Turki Uthmaniah dan British daripada kalangan ulama' yang menunaikan haji di Makkah. Demikian juga dengan pembunuhan tentera India Muslim di Singapura juga diketahui oleh mereka. Tuan guru pondok begitu bersemangat mengobarkan semangat jihad untuk berjuang menentang British, British amat terkejut dan cukup risau dengan kebangkitan tersebut.
British amat risau sekiranya kebangkitan tersebut akan merebak ke lain-lain daerah. Ini kerana sekiranya ia merebak ke tempat lain dan semakin ramai yang bangkit memberontak, maka British terpaksa berhadapan dengan peperangan di banyak tempat. Keadaan ini pasti menyukarkan British untuk menanganinya. Dengan itu, British dengan segera tanpa membuang masa telah mengerahkan sebuah kapal perangnya ke Kelantan untuk menyekat sebarang bantuan yang mungkin sampai kepada pemberontak. Kapal perang ini adalah sebuah kapal perang yang canggih di zaman itu terus bergerak ke Kelantan untuk menghancurkan terus pemberontakan itu. Betapa banyak askar dari Singapura yang turut sama dihantar ke sana. Sayangnya sebahagian daripada askar tersebut adalah bangsa Melayu juga. Pihak British dengan siasahnya yang cukup licik segera memaksa Sultan Kelantan supaya mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka bagi mengaburi mata rakyat Kelantan yang lain. 

Jika dilihat pada sejarah, pihak British telah menggunakan strategi menguasai Tanah Melayu dengan cara memujuk sultan supaya menandatangani surat perjanjian. Sebahagian besar sultan tidak memahami isi kandungan perjanjian tersebut. Sekiranya sultan enggan menandatanganinya, maka sultan akan diugut dengan bermacam-macam ugutan. British melalui pengalamannya yang cukup banyak di Timur Tengah berusaha sedaya upaya mungkin untuk mempengaruhi Sultan di tanah Melayu. Ini kerana Britush mengetahui sekiranya sultan telah dapat dipengaruhi, maka rakyat akan dapat dipegang. Umat Melayu juga akan berpecah belah dan tidak lagi akan bersatu padu. Ini memudahkan lagi perancangan mereka untuk mengaut sebanyak mana hasil dari Tanah Melayu. 

Salah satu strategi British di masa itu adalah dengan menggunakan surat-surat perjanjian yang mesti ditandatangani oleh sultan-sultan Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu. Surat-surat perjanjian ini akan menjerat sultan sendiri. Ini kerana sebahagian isi perjanjian ini bersifat penipuan yang mana isinya lebih cenderung memberikan keuntungan kepada pihak British. Sebahagian isi kandungan surat perjanjian tersebut langsung tidak diketahui isinya oleh sultan dan pembesar yang menandatanganinya. Dalam sesetengah kes, penasihat Inggeris dengan begitu berani mengugut sultan supaya menandatangani surat perjanjian tersebut. Sultan telah diugut dengan bermacam-macam ancaman andai tidak mahu menandatangani surat tersebut. 

Ketika sengitnya perang dunia pertama, British mengambil kesempatan semaksima mungkin mengaut kekayaan yang ada di Tanah Melayu. Ketika itu, Tanah Melayu merupakan pengeluar bijih timah dan getah. Kedua hasil ini digunakan untuk menguatkan ekonomi British dalam mengadapi perang ini. Dikatakan kekayaan hasil dari Tanah Melayu ini akhirnya dapat menampung pembuatan sebuah kapal perang yang diberi nama HMS Malaya. Kepal perang itu digunakan semaksima mungkin dalam peperangan ini. Sayangnya kapal perang ini juga digunakan untuk menentang empayar Turki Uthmaniah. 

Cerita-cerita begini tidak diberitahu kepada rakyat bawahan. British mengetahui dengan jelas sekiranya diketahui maka akan mengakibatkan segala perancangannya di Tanah melayu akan terbantut. Begitu sedih apabila kisah demi kisah sebegini terbongkar satu persatu. Betapa liciknya pihak British dan betapa sayunya mengenangkan bangsa Melayu melalui sultannya diperbodohkan sebegitu.

kredit kepada ( http://www.blogigo.co.uk/pengalamanku/Kelicikan-Dan-Kecerdikan-British-Ketika-Menjajah-Malaysia/146/)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan