Syed Hussein Alatas.
Mitos Pribumi Malas: kajian imej orang Jawa,Melayu dan Filipina dalam
kapitalisme penjajah, penterjemah Zainab Kassim, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1989, m/s 275.
Buku ini sangat menarik untuk dibaca walaupun kandungannya
mempunyai kerangka konseptual yang bersifat akademik. Syed Hussein melihat
kapitalisme kolonial yang berlaku di tanah jajahan membawa kepada satu
penindasan kepada masyarakat pribumi. Metodologi yang digunakan adalah
sosiologi pengetahuan yang mana pengkajian tentang ideologi kapitalisme
kolonialisme yang menganggap bahawa masyarakat pribumi malas dan tidak
mempunyai inisiatif untuk melakukan pekerjaan dan begitu pula pengkajian
ideologi masyarakat peribumi yang tidak sebegitu rupa walaupun terdapat
sebahagian yang berwatakan pemalas tetapi Syed Hussein menganggap perkara ini
tidak boleh diwakilkan kepada keseluruhan masyarakat pribumi tersebut.
Buku ini juga menelusuri bukti – bukti sejarah yang bermula
daripada abad ke 16 hingga abad ke 20 yang mana sepanjang masa tersebut berlaku
zaman industri di barat yang menyebabkan barat melaksanakan dasar
imprealismenya di seluruh dunia untuk mendapatkan bahan mentah bagi memenuhi
kehendak industri yang pesat. Implikasi daripadanya negara yang lemah telah
ditindas dengan mengambil semua sumber galian mereka dengan tujuan menampung
sumber ekonomi yang semakin berkurangan di barat dan menggunakan helah tertentu
untuk membenarkan semua kegiatan pemerasan yang dilaksanakan terutama di
kalangan rantau asia tenggara ini.
Idea utamanya adalah berdasarkan kepada ideologi kolonialisme yang
menginterpretasi kemalasan pribumi seperti orang Jawa, Melayu dan Filipina sebagai
keengganan masyarakat pribumi dalam kegiatan ekonomi mereka semasa penjajahan
berlaku. Perkara ini dianggap sebagai satu
andaian yang salah mengenai keperibadian pribumi yang enggan bersama
dalam arus kapitalisme kolonialisme tetapi keserakahan dan sifat menghisap
kolonial tanpa memikirkan faktor kemanusiaan telah dijadikan sebagai dinding
pemisah untuk masyarakat pribumi turut bersama dalam ekonomi kapitalisme.
Sebagai contoh kerja paksa dikalangan orang Jawa yang dilaksanakan oleh Belanda,
kengganan orang Melayu dalam perladangan dan perkebunan British, dan
kemorosatan masyarakat Filipina adalah permasalahan candu yang melanda orang Filipina
ketika itu yang digunakan oleh kolonialisme sebagai senjata melemahkan
masyarakat pribumi.
Sebagaimana yang dihuraikan oleh Syed Hussein mengenai pelbagai
pandangan dan tulisan sarjana mengenai kemalasan pribumi ini, terdapat beberapa
keadaan yang menyebabkan masyarakat pribumi dipandang dengan watak-watak
negatif oleh kolonial iaitu penggunaan kuasa pekerja yang memaksa kaum peribumi
lari daripada kegiatan ekonomi kapitalismenya, wabak penyakit, dan penonjolan
sikap kolonial terhadap pribumi. Umpamanya Belanda telah memaksa mereka kerja
paksa untuk mendapatkan keuntungan daripadanya, orang Filipina dituduh sebagai
penyebab kepada kemalasan orang Sepanyol dan mempunyai watak tidak beradab
kepada orang Sepanyol, dan orang Melayu dikategorikan malas kerana mengelak
daripada terlibat dengan kegiatan perlombongan dan perladangan British. Layanan
kolonial terhadap pekerja – pekerja mereka sangat teruk dan menyebabkan mereka
menghidapi penyakit seperti malaria, tibi, taun dan sebagainya yang berlaku di
tanah melayu ketika British membawa imigran Cina dan India untuk bekerja di
ladang dan tempat perlombongan mereka. Selain itu Syed Hussein juga memberikan
penerangan kepada ketidaksertaan golongan kolonial dalam kegiatan ekonomi mereka
sendiri dan bertindak kejam kepada
masyarakat peribumi tersebut seperti Tuan Bean
yang menculik anak-anak peribumi untuk keseronokannya sahaja.
Syed Hussein juga
menceritakan tentang kegemilangan orang pribumi yang sangat terkenal dengan
sifat dagang yang juga menunjukkan sifat kerajinan mereka. Abad ke 16 adalah
zaman kegemilangan para masyarakat peribumi dengan kegiatan perdagangannya yang
menggunakan perdagangan terbuka dikalangan pedagang. Kegemilangan ini telah terbukti dengan
kemunculan pelabuhan interport yang
selamat, murah cukainya, dan sebagainya dan disitu terletaknya
keunggulan bahasa melayu sebagai lingua franca yang diterima umum dalam
kegiatan perdagangan. Namun kegemilangan tidak selalunya cerah dengan
kedatangan kolonial yang telah menindas dan memporakporandakan kegemilangan
yang dicipta. Di sini Syed Hussein menyatakan dengan tegas tentang kekejaman Belanda
sebagai koordinator hilangnya pedagang
peribumi sejak abad ke 16 hingga abad ke 19. Belanda mula mengambil langkahnya
untuk memonopoli perdagangan di rantau ini dengan pertolongannya kepada
kerajaan Acheh dan sehingga dia melebarkan sayapnya di Johor dan Selat Melaka. Di
sini faktor penentu kepada kekuasaan Belanda
dalam melenyapkan pedagang peribumi adalah faktor kepimpinan pribumi
yang tidak berwibawa, kekecohan etnik, dan peletakan syarat-syarat yang ketat
di pelabuhan utama dan kesannya kebanyakan pedagang melayu berada di Makasar dan
Tanjung Harapan. Walaupun begitu ideologi kolonial tentang masyarkat peribumi
terhadap kurangnya menjalankan perdagangan adalah menjengkelkan kerana mereka yang menyebabkan pedagang itu
hilang malahan menuduh orang melayu, Filipina dan Jawa itu sebagai malas dan
tidak ada usaha dalam kehidupan. Inilah yang cuba ditonjolkan oleh Syed Hussein
mengenai satu ideologi kolonial terhadap masyarakat peribumi.
Analisisnya juga tidak tertumpu kepada masyarakat sahaja yang
banyak direkodkan oleh residen, pelancong, dan pemerintah kolonial tetapi
melihat kepada penguasa peribumi yang dibicarakan di atas bahawa kelemahan
penguasa penyebab kepada kehilangan pedagang pribumi dan juga menyebabkan
rakyat berasa malas untuk bekerja. Penguasa peribumi adalah sebagai satu punca
utama yang menunjukkan kemalasan orang peribumi yang mana watak mereka yang
suka bersabung ayam, kejam dan menindas telah memberi kesan kepada rakyatnya. Rakyat
banyak menerima kesan di antaranya mencontohi tabiat sabung ayam, rakyat berasa takut untuk keluar dan kekejaman
penguasa sehingga sanggup membunuh rakyat bagi memenuhi impiannya. Akibatnya
rakyat terpaksa berusaha untuk sara dirinya sahaja dan tidak ada usaha untuk
lebih daripada itu kerana kerakusan pemerintah dalam mengaut keuntungan sendiri
dengan merampas harta rakyatnya.
Selain itu beliau juga
mengambil pandangan sarjana seperti Karl Marx dan Engels yang memandang enteng
masyarakat timur padahal penafsiran mereka yang berat sebelah dan hanya
mendapat maklumat tersebut daripada catatan penjajah, pelancong dan sebagainya yang
menggambarkan kehidupan dan perwatakan orang timur tanpa melihat scara realiti
kehidupan masyarakat timur. Malahan juga beliau melihat dan menganalisis pemikiran atau
pengetahuan peribumi dalam lingkungan Malaysia iaitu melalui buku dilema melayu
oleh Mahathir dan buku revolusi mental.
Perkara yang dibangkitkan di dalam buku tersebut adalah berdasarkan kepada
kemalasan orang melayu ketika abad ke- 20. Oleh yang demikian analisis Syed
Hussein mengenainya adalah sokongan pihak UMNO terhadap pemerintahan kolonial
yang menyebabkan kedua-dua karya tersebut dipengaruhi oleh kolonialisme.
Ungkapan kemalasan yang diterima adalah menerusi kaca mata kolonial oleh buku
tersebut yang dianggap mencuit hati oleh Syed Hussein dan tidak ada analisis terperinci
mengenai kemalasan orang melayu dan sepatutnya tidak boleh dijadikan hujah.
Akhirnya
dapatlah kita simpulkan di sini mengenai satu pengiktirafan yang terbaik kepada
Syed Hussein kerana sumbangannya kepada dunia melayu untuk membela segala
cemuhan dan kutukan daripada pelbagai pendapat terutama kolonial dan anak
angkatnya. Namun terdapat beberapa pandangan yang mungkin dapat ditambah untuk
menguatkan hujah mengenai kemalasan pribumi.
Antara
hujah
tersebut adalah mengenai masyarakat pribumi yang dianggap malas kerana
mereka
sangat suka berehat-rehat dan tidak menggunakan masa dengan baik. Baik
dilihat
sebagai duduk dan bermain permainan dan bertiduran. Tetapi di sini kita
menghadapi
keadaan yang sama sebagaimana ketepatan masa dikalangan orang melayu
terutamanya yang pada akhir-akhir ini sebagai satu fenomena yang sangat
menular
dalam budaya masyarakat. Mungkin ketepatan masa yang diungkapkan oleh
Syed
Hussein mengenai masuknya waktu solat adalah tepat tetapi terdapat
permasalahan
yang berlaku selain waktu solat yang
menyebabkan orang melayu tidak dapat melaksanakan tuntutan ketetapan
masa. Kata
“janji melayu”(Pg 141) seperti dijadikan budaya dalam masyarakat melayu
hari
ini. Kajian tentang ketetapan masa ini telah dilakukan yang mengengahkan
kata –
kata atau perbualan orang melayu mengenai masa yang menyimpulkan bahawa
konsep
masa orang melayu adalah abstrak dan bergantung kepada seseorang untuk
menepati
janji yang dibuat, jika dia menepati janji untuk pergi sebelum maghrib
maka
sebelum maghrib dia akan sampai dan begitulah sebaliknya. Namun kajian
ini
menunjukkan kebergantungan kepada seseorang dalam menepati masa
sedangkan pandangan dunia mengenai masalah ketetapan masa masyarakat
melayu
direkodkan dalam “The Cultural Dictionary Of People From Culturally And
Linguistically Diverse Backgrounds” mengenai ketidaktepatan masa yang
disebut
sebagai ketetapan masa di Malaysia
tidak begitu penting kerana
bergantung kepada jadual seseorang.
Manakala buku ini juga tidak banyak menggunakan nilai
– nilai islam sebagai menunjukkan sifat kerajinan masyarakat terutama
orang melayu dan orang jawa yang mana islam tidak menolak kerajinan umatnya bahkan
menuntut umatnya berusaha dalam kehidupan. Rasulullah juga pernah menggalakkan pengemis untuk menjual barangan
kepunyaannya bagi memulakan pekerjaan yang mana ia menunjukkan Rasulullah
menyeru kepada seseorang untuk tidak meminta-minta dan bermalas-malasan tanpa
usaha sekiranya dia tidak uzur dan tidak berupaya untuk bekerja. Dalam hal ini juga dapat kita petik kata – kata Umar
Al Khattab iaitu “langit tidak akan hujan perak dan emas” yang membawa
maksud galakan kepada usaha umat islam kepada pekerjaan. Sebenarnya perkara ini
sangat berkaitan dengan kemajuan yang islam kehendaki dalam diri umat islam
yang mana galakan-galakan dalam islam berupa wang zakat, berniaga dan
sebagainya dapat digunakan untuk menggambarkan kerajinan yang digalakkan oleh
islam, maka saya bersetuju bahawa Syed Hussein menolak pandangan kolonial
terhadap orang Melayu dan Jawa ini adalah fatalist yang menyerahkan kepada tuhan
sepenuhnya sudah tentunya bertentangan dengan fahaman islam sebenar.
Secara keseluruhannya karya ini sangat berguna untuk membentuk semula
pandangan negatif masyarakat barat terhadap masyarakat timur terutama asia
tenggara yang dianggap sebagai malas dan tidak ada usaha dan komitmen dalam
diri mereka. Tetapi kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia telah menunjukkan
kemalasan masyarakat melayu bukanlah di sebabkan budayanya yang dicipta tetapi
kerana pengaruh kolonialisme yang disebarkan untuk mempengaruhi masyarakat
melayu. Sehubungan dengan itu konstruksi sosial yang dibina oleh pelabagai ahli
intelektual seperti Zaaba, Syed Hussein, dan Haji Wan Mohammed Haji Wan Daud
Patani, dan sebagainya adalah suatu usaha yang murni untuk membina peradaban
Melayu di mata dunia.
KREDIT (http://teorisainssosial.blogspot.com/2011/11/normal-0-false-false-false-en-us-x-none.html)
Mitos Melayu Pemalas
‘MELAYU pemalas’.
Sekurang-kurangnya sekali dalam hidup,
seseorang anak Melayu akan mendengar frasa itu. Tetapi biasanya dia
mendengar lebih daripada sekali. Selalunya berpuluh atau beratus kali!
Frasa yang menyakitkan itu memang cukup
tersohor. Ia telah sampai ke segenap penjuru alam. Tidak sedikit orang
asing yang mengenali Melayu melalui tulisan atau cakap orang mempercayai
bahawa pemalas itu adalah sifat semulajadi manusia Melayu. Jangan
hairan kalau ada di kalangan mereka yang mendefinasikan Melayu sebagai
‘sebangsa manusia pemalas yang mendiami suatu kawasan di tenggara Asia.’
Yang menariknya, mitos Melayu malas ini
lebih tertumpu pada orang-orang Melayu di Malaysia sahaja. Bangsa Melayu
di tempat lain bagaikan terkecuali. Malah orang Melayu Deli dan Kampar,
misalnya sentiasa dilihat lebih rajin daripada kita di sini. Bagi
sesetengah orang Melayu rumpun Jawa pula, kita orang Melayu Malaysia,
bukanlah jenis sahabat yang sesuai dijadikan teman dan bukanlah kawan
yang baik untuk diajak mencari makan. Kita, bagi mereka, tidak cukup
rajin.
Pendeknya, secara langsung atau tidak, kita telah diterima sebagai bangsa yang pemalas, hatta oleh rakan-rakan yang serumpun dengan kita sendiri.
Pendeknya, secara langsung atau tidak, kita telah diterima sebagai bangsa yang pemalas, hatta oleh rakan-rakan yang serumpun dengan kita sendiri.
Kenapa?
Sering terjadi apabila frasa itu timbul,
kita – hampir semua Melayu – akan menghalakan tudingan kepada Munsyi
Abdullah, jurutulis dan khadam nombor satu Stamford Raffles. Kebanyakan
kita percaya bahawa tulisan-tulisan Munsyi Abdullah telah menjadi racun
yang telah merosakkan fikiran dan pandangan semua orang terhadap
keperibadian Melayu. Dia, Munsyi Abdullah, oleh sesetengah kita, telah
diangkat sebagai musuh besar setiap Melayu.
Selain daripada menuduh Abdullah menulis
begitu kerana disuruh oleh Raffles, yang mahu melaksanakan agenda
kolonialnya dengan bertujuan meranapkan kehormatan masyarakat pribumi,
kita jarang bertanya apakah yang ditulis oleh Munsyi itu seratus peratus
salah?
Memang benar, Munsyi Abdullah adalah
khadam belaan penjajah. Mungkin benar keinginan yang luar biasa untuk
menyekutukan dirinya dengan tuan besar dan atas angin telah menyebabkan
dia berasa dirinya terlalu istimewa, dan terpisah terus daripada cara
hidup Melayu, yang dilihatnya penuh dengan kelekaan dan kealpaan.
Tetapi bolehkah dia mereka-rekakan
kenyataan-kenyataan tentang sikap orang Melayu tanpa asas dan bukti yang
kukuh? Setakat sekarang ini, apakah segala yang ditulis oleh Munsyi itu
karut belaka?
Jawablah, dengan akal yang waras dan dengan hati yang ikhlas.
Jawablah, dengan akal yang waras dan dengan hati yang ikhlas.
Dalam membincangkan isu ini, perkara
paling pokok yang harus kita semua fikirkan ialah bagaimanakah
kepercayaan bahawa Melayu itu pemalas boleh timbul? Di mana puncanya?
Tulisan Munsyi Abdullah atau lain-lain orientalis barat hanyalah sebahagian daripada sebab. Memanglah budaya penjajahan pada bila-bila masa pun akan disulami dengan cerita buruk tentang anak pribumi. Penjajah, dalam usaha menegakkan kedaulatan mereka, akan bersusah payah mencipta kehebatan sendiri dan memperlekehkan kumpulan yang dijajah. Red Indian dikatakan bangsa yang liar dan jahat oleh tukang-tukang cerita Amerika. Aborigines di Australia dituduh pemalas dan hidup bersandarkan takdir oleh anak cucu lanun yang menjadi penjajah benua Australia; malah orang-orang Scotland dan Ireland, yang serumpun dengan Inggeris itu pun, sampai sekarang masih sering dijadikan bahan jenaka di London.
Tulisan Munsyi Abdullah atau lain-lain orientalis barat hanyalah sebahagian daripada sebab. Memanglah budaya penjajahan pada bila-bila masa pun akan disulami dengan cerita buruk tentang anak pribumi. Penjajah, dalam usaha menegakkan kedaulatan mereka, akan bersusah payah mencipta kehebatan sendiri dan memperlekehkan kumpulan yang dijajah. Red Indian dikatakan bangsa yang liar dan jahat oleh tukang-tukang cerita Amerika. Aborigines di Australia dituduh pemalas dan hidup bersandarkan takdir oleh anak cucu lanun yang menjadi penjajah benua Australia; malah orang-orang Scotland dan Ireland, yang serumpun dengan Inggeris itu pun, sampai sekarang masih sering dijadikan bahan jenaka di London.
Tetapi semua tohmah yang bersifat
memburuk-burukkan anak pribumi itu biasanya boleh berdiri tegak sehingga
menjadi semacam kepercayaan disebabkan oleh ‘sokongan’ yang diberi oleh
anak-anak pribumi tersebut sendiri. Dengan perkataan lain, sikap, cara
dan tindakan mereka selalunya mendorong orang beranggapan apa yang
dicanangkan itu adalah betul dan benar.
Dalam hal ini, orang Melayu di Malaysia
tidak terkecuali. Kalau orang lain mempunyai sepuluh sebab untuk
mengatakan kita ini malas, kita sendiri menyediakan seribu sebab untuk
membenarkan kenyataan mereka. Sebab-sebab itu bukanlah berpunca daripada
kemalasan kita, tetapi lebih didorong oleh kealpaan kita. Kealpaanlah
yang meletakkan Melayu dalam jaket yang dipakainya. Kealpaanlah yang
menjadikan Melayu lemah. Kealpaan jugalah yang menyebabkan daya saing
Melayu seringkali dipersoalkan.
Mahathir, sejak sebelum kelahiran ‘Dilema
Melayu’nya beranggapan kelemahan Melayu lebih berpunca daripada
faktor-faktor keturunan dan alam sekitar. Profesor Diraja Ungku Aziz
pula menyanggah pandangan itu dengan berkata, Melayu sebenarnya mewarisi
sifat rendah din sejak turun temurun.
Sama seperti orang lain, saya tidak tahu
pendapat mana yang patut dipakai. Kedua-duanya kelihatan betul, tetapi
kedua-duanya juga kelihatan tidak betul.
Hendak dikatakan Melayu lemah kerana
pengaruh keturunan, terbukti mereka yang berketurunan Melayu telah
pernah berjaya pada masa-masa dahulu. Mereka telah berupaya membina
tamadun, telah mampu menjadi pelayar-pelayar agung dan telah terbukti
menjadi kuasa yang disegani.
Sekarang ini pun banyak yang berketurunan
Melayu mencipta kejayaan, baik di sini mahupun di tempat lain. Di
Afrika Selatan, Melayu adalah kelompok manusia kaya yang berpengaruh
besar di bidang ekonomi. Di Filipina, Melayu adalah pejuang-pejuang yang
berani dan disegani. Di sana sini, anak-anak Melayu yang membawa diri
mampu bersaing dan bangkit menjadi orang yang berjaya. Di England, ada
anak Melayu telah naik martabatnya sehingga menjadi Datuk Bandar.
Di Hollywood, seorang lagi anak Melayu
bergerak naik di celah nama ribuan manusia lain untuk berdiri sebagai
karyawan yang dihormati dalam teknologi animasi komputer. Malah studio
di mana berlangsungnya penggambaran bagi siri filem-filem James Bond
yang terkenal itu pun dikatakan milik anak Melayu!
Persekitaran, di mana-mana dan pada
bila-bila masa pun, memanglah merupakan faktor besar yang mempengaruhi
kehidupan. Hukum ini tidak sahaja terbatas kepada manusia, tetapi juga
mencakupi segala makhluk lain. Anak benih pokok yang sedang membesar
sekalipun akan condong mengikut arah datangnya cahaya.
Dalam ‘Dilema Melayu’, Mahathir mengulas
bagaimana persekitaran yang melingkungi kehidupan mereka menyebabkan
orang Melayu kurang berminat untuk bersaing. Beliau beranggapan tanah
semenanjung yang subur telah menyediakan segala-galanya untuk orang
Melayu hidup selesa.
“Pendeknya alam keliling menjamin
keperluan makanan yang mencukupi untuk menampung seluruh penduduk
sepanjang tahun. Kelaparan dan kebuluran yang sentiasa mengancam
negeri-negeri lain, seperti Negeri China, tidak terdapat di Tanah
Melayu. Dalam keadaan begini maka semua orang dapat terus hidup. Malahan
mereka yang paling lemah dan paling malas juga boleh hidup dengan
selesa dan dapat berkahwin dan beranak pinak. Dalam keadaan yang begini
tidak dapat hendak dikatakan bahawa cuma mereka yang paling kuat dapat
terus hidup. Oleh kerana terdapat banyaknya bahan makanan maka orang
yang lemah juga akan dapat terus hidup.” (DILEMA MELAYU, ms.25).
Ada benarnya pendapat itu. Tetapi ianya
menjadi kurang benar apabila mengambil kira bagaimana keadaan serba
kurang di negara-negara seperti Bangladesh, Nepal dan Bhutan juga gagal
melahirkan bangsa yang kuat berdaya saing. Kebanyakan tanah di benua
Afrika boleh dikatakan gersang dan tidak subur. Ia menuntut setiap orang
yang mahu hidup di atas buminya mempunyai ketahanan yang luar biasa.
Penduduk-penduduk pribumi Afrika biasanya mempunyai ketahanan itu.
Persekitaran mereka hanya membuka pintu pada yang kuat sahaja untuk
hidup selesa.
Tetapi kenapa mereka gagal berkembang
sebagai bangsa yang besar, hebat dan kuat ? Kenapa anak cucu mereka yang
terlontar ke Amerika, atau ke segala penjuru dunia yang lain, gagal
mengangkat ketahanan itu untuk dijadikan aset yang boleh menjanjikan
kegemilangan pada bangsa mereka? Kenapa?
Memanglah benar orang-orang Melayu, pada
peringkat awal penempatannya di Semenanjung ini, lebih tertumpu ke
kawasan-kawasan dataran yang subur. Mereka menghuni kawasan pesisir
sungai dan pantai yang menjanjikan mereka kesuburan dan kemakmuran.
Mereka tidak begitu berminat untuk meneroka bukit bukau dan hutan
belantara bagi menambah sumber kesuburan dan kemakmuran tersebut. Hasil
daripada keadaan itu timbul suatu tanggapan bahawa orang Melayu lebih
suka pada kehidupan yang mudah. Mereka telah terasuh untuk menjadi
begitu. Mereka telah dimanjakan oleh alam sekeliling. Mereka lebih
senang menerima apa yang ada daripada berusaha mencari sesuatu yang
baru.
Namun siapakah yang berani bertaruh untuk
berkata bahawa peneroka bukit bukau itu mempunyai keupayaan bersaing
yang lebih hebat daripada pemastautin di kawasan kawasan dataran yang
subur? Tertumpu pada kawasan pesisir sungai yang subur untuk membina
penempatan bukanlah terbatas pada orang Melayu sahaja. Ia merupakan
amalan lazim zaman berzaman. Hampir semua tamadun besar terbina di
kawasan seperti itu. Nil, Yang Tze dan Ganges tidak akan menjadi
terkenal kalau bukan kerana disokong oleh kebangkitan tamadun-tamadun di
pinggirnya.
Mencari kesenangan secara mudah bukanlah
setakat sifat semulajadi orang Melayu. Ianya fitrah semua bangsa. Semua
manusia. Sebab itu bukan pelik jika manusia pada zaman dahulu berebut
untuk tinggal di kawasan pinggir sungai yang tidak sahaja menyediakan
tanah yang subur, tetapi juga pelbagai kemudahan lain, termasuk
mendapatkan bekalan air dan untuk dijadikan laluan pengangkutan.
Orang-orang Cina yang baru datang ke Tanah Melayu pada era awal
penghijrahan mereka dahulu pun memilih kawasan pinggir sungai untuk
bermastautin.
Jika mendiami kawasan-kawasan yang subur
itu menyebabkan orang Melayu terasuh untuk menjadi tidak rajin berusaha,
maka soalan yang patut ditanya ialah kenapa orang-orang China di
pinggir Yang Tze, dan kemudiannya di pinggir Sungai Kelang dan Sungai
Gombak tidak pula menjadi malas? Kenapa bangsa-bangsa lain yang turut
berkembang biak di kawasan yang serupa tidak menjadi selemah bangsa
Melayu? Dan pada masa yang sama patut pula ditanya, mengapa ‘raja-raja
bukit’ seperti orang-orang Karen di Burma tidak menjadi bangsa yang
hebat sedangkan mereka adalah jenis orang yang sanggup bekerja keras
meneroka rimba jerun yang tidak berani dijengah oleh manusia lain?
Banyak orang yang bersependapat dengan
Mahathir, yang lewat ‘Dilema Melayu’nya berkata, iklim panas dan lembap
di negara ini juga tidak begitu menggalakkan (orang Melayu) untuk
melakukan kerja-kerja yang berat. Ia juga tidak merangsang pemikiran
mereka untuk menjadi lebih aktif.
Sewaktu menulis fasa-frasa itu Mahathir
barangkali terlupa untuk bertanya, kenapa dalam cuaca yang panas dan
lembap,orang lain, yang bukan Melayu boleh melakukan kerja-kerja berat
dan boleh berfikir secara aktif? Kenapa kesan buruk cuaca itu hanya
mempengaruhi orang Melayu bukannya bangsa-bangsa lain? Bagaimana pula
halnya dengan orang-orang Mesir Purba yang hidup dalam keadaan serba
kontang dan serba kurang, namun mampu membina tamadun besar? Tidakkah
cuaca yang panas juga sepatutnya menyebabkan orang-orang Arab tidak
mampu berbuat apa-apa selain daripada duduk berbual di bawah pohon-pohon
kurma?
Keturunan mungkin mempunyai pengaruhnya.
Namun ada banyak contoh untuk dijadikan bukti bahawa ia bukan penyebab
mutlak ke arah menentukan maju mundurnya sesuatu bangsa. Janji Allah
bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu
sendiri mengubahnya adalah suatu isyarat yang amat jelas bahawa setiap
manusia ini dijadikan dengan kemampuan yang sama. Biar dari perdu mana
pun seseorang itu lahir, dia berupaya naik ke puncak jika usahanya ke
arah itu dilakukan secara sungguh-sungguh. Teori genetik tidak selamanya
benar terutama dalam soal menentukan masa depan seseorang manusia atau
sesuatu rumpun bangsa. Tuhan akan menjadi sangat tidak adil kalau
menentukan karma manusia dengan bakanya. Sesungguhnya tidak adil itu
bukanlah sifat Tuhan.
Bangsa-bangsa yang besar dan kuat suatu
masa dahulu banyak yang lenyap dan ranap walaupun daripada segi teori
mereka memiliki baka yang hebat. Ke mana perginya wira-wira Monggol? Ke
mana hilangnya anak cucu Socrates atau Aristotle? Jika hendak dikatakan
mereka pupus kerana faktor putaran masa, kenapa anak cucu Shih-Huang Ti
masih ada? Kenapa anak cucu pelopor Tamadun China masih sehebat dahulu?
Pendapat tentang sifat semulajadi Melayu
yang dibelenggu rasa rendah diri juga mempunyai banyak ruang untuk
dipertikaikan. Yang paling penting untuk ditanya ialah, kenapa sifat itu
harus ada dan adakah ianya cuma hakmilik istimewa bangsa Melayu?
Kalau dikatakan sifat rendah diri itu
lahir secara semulajadi, apakah buktinya? Atas alasan apakah Tuhan
memilih orang Melayu untuk diabadikan dengan sifat-sifat itu?
Ada orang berpendapat sifat rendah diri
ini datang ke sanubari orang Melayu selepas mereka menganut Islam. Nenek
moyang orang Melayu dahulu menganggap diri mereka orang yang jahil
dalam ilmu-ilmu akhirat. Oleh itu, setiap kali berhadapan dengan
pendakwah-pendakwah Islam yang berilmu tinggi, terutama yang datang
daripada Asia Barat, mereka akan dibelenggu oleh rasa ‘kecil’ dan rasa
untuk ‘merendah’. Lama-kelamaan perasaan itu berkembang biak lalu
terbina menjadi suatu tabiat.
Soalnya, kalaupun betul, kenapa perkara
begitu hanya terjadi pada orang Melayu? Kenapa orang Putih yang baru
memeluk Islam tidak berasa rendah diri? Kenapa orang India, orang China,
orang Parsi dan segala macam orang lain tidak mempunyai perasaan yang
sama sedangkan hakikatnya tatkala mula memeluk Islam mereka sudah pasti
berada dalam situasi yang sama dengan orang Melayu – berasa kecil dan
jahil?
Satu lagi andaian popular ialah perasaan
rendah diri orang Melayu ini berpunca daripada salah tanggapan terhadap
ajaran Islam. Ketaatan kepada Islam menyebabkan Melayu mentafsirkan
nilai toleransi yang dituntut oleh Islam dengan perspektif yang sempit.
Mereka juga menerima hukum qada dan qadar dengan cara berfikir yang
jumud. Konsep keredhaan mereka ada kalanya melebihi tahap yang dituntut
sehingga menyebabkan mereka bersikap ‘tidak apa’ dalam segala perkara.
Himpunan daripada semua inilah akhirnya menyebabkan orang Melayu berasa
mereka tidak perlu bersaing dan bersikap pasrah kepada kehidupan.
Tetapi sekali lagi persoalannya ialah
kenapa anggapan begitu cuma timbul di jiwa orang Melayu? Kenapa bangsa
lain yang menganut Islam tidak mempunyai tanggapan dan pemikiran yang
sama? Mengapa orang China Islam dan orang India Muslim tidak dibelenggu
oleh kejumudan tersebut sedangkan mereka juga tidak kurang taatnya
berbanding dengan kita?
Saya sengaja timbulkan soalan-soalan ini kerana saya tahu tiada sesiapa yang akan dapat menjawabnya.
Melayu secara umumnya berada dalam satu
posisi yang cukup unik, dan cukup kronik, sehingga tiada mana-mana
pengkaji dapat memberikan jawapan mutlak terhadap masalah yang
membelenggu kehidupan mereka, khususnya dalam aspek yang membabitkan
sikap dan tabiat. Apa juga andaian tentang mereka sampai bila-bila pun
akan tinggal sebagai hepotitis yang tidak akan bertukar menjadi teori.
Keunikan peribadi Melayu ini
berkemungkinan besar dipengaruhi oleh banyak faktor. Kedudukan bumi
Melayu yang terdedah pada segala macam elemen budaya, latar belakang
bangsa yang berkembang daripada penganut animisme kepada penganut Islam
yang taat, semuanya sama-sama memainkan peranan untuk menjadikan Melayu
satu bangsa yang agak berkecamuk akal fikirannya. Perhatikanlah
mana-mana juga Melayu, di dalam dirinya pasti terpancar seribu wajah.
Pada tubuhnya tersembunyi unsur Arab, unsur Mamak, unsur orang Putih dan
seribu satu unsur lain yang bercampur aduk.
Keperibadian yang berbagai-bagai inilah
menyebabkan Melayu menjadi begitu sukar difahami. Dan ketidakfahaman itu
menjadi punca terhadap timbulnya pelbagai salah tanggapan terhadap
mereka.
‘Melayu pemalas’ adalah rentetan daripada
salah tanggapan itu. Orang-orang asing yang gagal memahami susur galur
Melayu dengan mudah akan berasa hairan kenapa Melayu boleh menjadi warga
kelas dua di bumi yang subur ini. Mereka lalu beranggapan ianya berlaku
kerana Melayu tidak rajin.
Silap orang Melayu ialah mereka tidak
pernah berusaha memberi kefahaman tentang asal usul mereka kepada orang
lain. Sebaliknya, mereka dengan penuh kealpaan hanya menerima
bulat-bulat teori yang orang lain sogokkan kepada mereka. Paling Iebih,
sekiranya pendapat itu kurang memihak pada mereka, sebahagian daripada
orang Melayu mungkin akan marah-marah.
Semua ini tidak akan berlaku kalau orang
Melayu mempunyai hubungkait yang kuat dengan akar umbi bangsanya. Mereka
tidak akan berasa susah untuk meyakinkan orang lain bahawa Melayu
sebenarnya bangsa yang hebat jika mereka rajin mencungkil, mengenang dan
menghargai sejarah kehebatan datuk nenek mereka. Tidak susah untuk
membuka mata orang asing bagi mengakui bahawa lebih seribu tahun dahulu
tamadun-tamadun Melayu telah berkembang biak, telah menjadi gah dan
tersohor di nusantara. Dan bangsa yang pemalas sudah tentu tidak akan
mampu membina tamadun-tamadun seumpama itu.
Tamadun Greek sudah lama punah. Ranap
sama sekali. Greece sekarang hanya tinggal tersepit sebagai sebuah
negara kecil di pinggir Mediterranean dan Laut Ageans. Tetapi cubalah
anda berkunjung ke Athens. Anda pasti akan dapat mendengar
orang-orangnya bercerita seolah-olah Julius Caesar dan Pompei baru
meninggal dunia pagi semalam.
Cubalah berkunjung ke China dan dengar
sendiri bagaimana anak-anak negerinya bercerita tentang Tembok Besar,
tentang Shih-Huang Ti atau tentang Confusius. Bunyinya seolah-olah
mereka pernah hidup di era itu. Mereka jelas berbangga dengan apa yang
mereka pernah ada.
Kita?
Sementara majoriti orang Melayu tidak
pernah tahu di mana letaknya Lembah Bujang, sebahagian besar yang lain
pula berkunjung ke Melaka untuk melihat simbol kekuatan Portugis iaitu A
Famosa, bukannya untuk menjengah simbol ketuanan Melayu seperti Perigi
Hang Tuah atau Makam Hang Jebat. Untuk melihat tingginya seni
pertukangan Melayu di Istana Seri Menanti yang tidak berpaku itu pun
kita terasa berat hati.
Tidak banyak di kalangan kita yang boleh
bercerita tentang kegemilangan silam anak bangsanya. Apabila bercerita
pada anak cucu, kita lebih seronok mengulangi kisah ‘Cinderella’ atau
‘Snow White’. Kita biasakan anak-anak kita dengan nama Robin Hood dan
Kapten Cook bukannya dengan nama Hang Nadim atau Tun Teja. Kita
seolah-olah tidak pernah berbangga dengan apa yang kita ada.
Orang lain sanggup menghabiskan berjuta ringgit untuk mencari sesuatu yang boleh menghidupkan kembali kegemilangan bangsanya. Dalam kes tertentu, mereka malah sanggup mengubah fakta yang ada dan mencipta fakta-fakta baru yang palsu. Mereka melakukannya kerana sayangkan bangsa.
Orang lain sanggup menghabiskan berjuta ringgit untuk mencari sesuatu yang boleh menghidupkan kembali kegemilangan bangsanya. Dalam kes tertentu, mereka malah sanggup mengubah fakta yang ada dan mencipta fakta-fakta baru yang palsu. Mereka melakukannya kerana sayangkan bangsa.
Kita tidak begitu. Kita boleh
menghabiskan cukup banyak wang untuk membiayai rombongan ke luar negara,
tetapi kita akan ‘berkira’ untuk membina sesuatu yang boleh
menghubungkan generasi sekarang dengan masa silamnya.
Pahit atau tidak, kita perlu mengaku
bahawa apa yang dilakukan setakat ini belum cukup untuk menggambarkan
terima kasih kita pada generasi terdahulu. Apa yang ada itu belum
memadai untuk menghidupkan jiwa Melayu sebagaimana hidupnya jiwa orang
Amerika setiap kali melihat ‘Statue of Liberty’.
Usahlah melihat terlalu jauh ke belakang.
Lihat sahajalah bagaimana kita menghargai Tuk Gajah, Mat Kilau, Tuk
Janggut atau pejuang-pejuang selepas mereka. Malah setakat manakah
sumbangan kita kepada pejuang-pejuang kemerdekaan selain daripada Datuk
Onn dan Tunku Abdul Rahman? Hendak membukukan sejarah perjuangan mereka
pun tidak banyak pihak yang sanggup.
Berdasarkan apa yang ada tergambar jelas
yang kita bagaikan tidak menghargai kebolehan orang-orang yang dahulu
daripada kita. Kita tak pernah ambil kisah. Kita tak pernah peduli. Kita
alpa dalam menghargai sumbangan mereka.
Dan apabila kita alpa menghargai bangsa sendiri, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghargai kita?
KREDIT : http://zanas.wordpress.com/kembalikan-kekuatan-orang-melayu-62-tahun-yang-lalu/mitos-melayu-pemalas/
Demo baca dah ke buku ni?
BalasPadam