Penyampai | : | DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD |
---|
Tajuk | : | PELANCARAN KERETA PROTON SAGA MEGAVALVE |
---|
Lokasi | : | DATARAN MERDEKA, KUALA LUMPUR (K.L) |
---|
Tarikh : 12/08/1990 |
---|
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berbahagia Tan Sri Jamil Jan, Pengerusi EON; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan EON yang telah menjemput saya ke majlis pelancaran Proton Saga Megavalve atau Proton Saga Enjin 12 injap ini. Majlis pelancaran ini menandakan satu lagi langkah ke hadapan bagi kereta nasional kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Proton Saga telah menempa satu demi satu kemajuan. Lima tahun telah berlalu dan berbagai-bagai prasangka negatif pun terhapus. Daripada cakap-cakap kononnya Proton Saga tidak berupaya naik Bukit Genting, tidak beberapa hari dibeli sudah dijual semula sebagai kereta terpakai, putus dua kalau dilanggar dan berbagai-bagai sindiran lagi, kita sekarang mendengar cakap-cakap positif dan pujian yang tidak kita duga semasa pelancaran. Daripada kata-kata bahawa Pro- ton bukan kereta Malaysia oleh kerana komponen tempatan terlampau sedikit kepada realiti bahawa hampir dua-per-tiga adalah komponen tempatan. Pasarannya pula telah menjangkau daripada pasaran tempatan ke beberapa pasaran luar negeri. Selepas mengeluar beberapa model bagi 1300 cc dan 1500 cc, PROTON telah mengeluarkan limosin atau kereta mewah yang lebih panjang daripada model biasa, satu pilihan bagi mereka yang lebih berupaya daripada segi kewangan. Setelah masuk tahun keempat pengeluaran, PROTON mula memperolehi keuntungan, dan pada tahun 1989 hutangnya sudah dihapuskan.
3. Hari ini, kita akan mula menjual Proton Saga Megavalve atau Proton Saga Megainjap. Dewasa ini kereta yang mempunyai serbainjap atau multi-valve adalah satu trend dan saya sungguh berbangga Proton Saga juga dilengkapkan dengan serbainjap ini. Saya mengucapkan tahniah kepada PROTON yang telah berjaya mengeluarkan enjin yang berupaya tinggi ini dan juga kepada EON yang akan memasarkannya. Harga bagi kereta megavalve ini adalah di dalam jangka keupayaan para pembeli tempatan. Kerajaan juga yakin ianya yang paling murah di negara kita dan mungkin juga merupakan yang termurah sekali di rantau ini.
4. Selain daripada memasang injin yang lebih kuat, model Proton Saga ini juga telah diberi rupabentuk yang baru yang sesuai dengan trend design kereta semasa dan lebih menarik serta moden. Dengan ini Proton yang baru ini mengalami perubahan luar dan dalam dan boleh dikenal sebagai kereta jenis baru.
5. Proton Saga Megavalve ini adalah salah satu daripada peningkatan kualiti bagi kereta nasional kita dan ianya mungkin memuaskan hati mereka yang memerlukan prestasi enjin yang lebih tinggi lagi. Kerajaan berharap PROTON akan sentiasa mengkaji sebarang peningkatan kualiti yang wajar diperkenalkan dari masa ke masa. Kereta nasional ini walau bagaimanapun akan mengalami pertukaran model secara keseluruhannya, atau complete model change, mungkin dalam masa empat tahun yang akan datang.
6. Pencapaian Proton Saga setakat ini memang boleh dibanggakan. Bagi kereta kelas 1600cc ke bawah, kereta nasional ini sudahpun menguasai sebahagian besar pasaran tempatan semenjak dua-tiga tahun yang lalu dan pada masa ini ianya menguasai kira-kira 74% pasaran tempatan. Jualan tujuh bulan pertama tahun ini adalah kira-kira 40,000 unit dan jumlah jualan sehingga akhir tahun ini dijangka berjumlah 64,000 unit. Dengan itu Kerajaan sangat berbangga dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap kereta Proton Saga. Dengan adanya usaha untuk mempelbagaikan model Proton Saga, saya yakin ianya dapat memuaskan citarasa lebih ramai pembelinya.
7. Mengenai komponen tempatan bagi Proton Saga pula, di pelancaran jualan kereta nasional ini pada bulan September 1985 dahulu, saya telah menyatakan bahawa PROTON akan bergerak satu langkah demi satu langkah dengan cermat untuk meningkatkan komponen tempatan. Pencapaian daripada 18% pada tahun 1985 kepada 65% sekarang ini boleh dikatakan amat menggalakkan. Dengan adanya komponen tempatan yang melebihi 60% ini kita telah dapat mengeksport Proton Saga ke Britain. Negara tersebut membenarkan import kereta yang mempunyai sekurang-kurangnya 60% komponen tempatan. Usaha-usaha untuk meningkatkan peratusan tersebut akan diteruskan supaya sekurang-kurangnya 80% komponen kereta nasional ini dibekalkan oleh pengusaha-pengusaha tempatan dalam masa dua tahun yang akan datang, insya-Allah.
8. Dengan adanya pasaran kereta yang berkembang dan penjualan Proton Saga yang kian meningkat, pengusaha- pengusaha komponen mempunyai kadar tempahan yang tinggi. Telahpun wujud sekarang ini satu industri sampingan otomotif yang kuat. Industri ini bukan sahaja dapat membekal komponen-komponen kepada PROTON, tetapi juga untuk kereta- kereta yang dipasang dalam negara kita dan untuk dieksport ke negara-negara lain. Kerajaan yakin industri sampingan otomotif ini akan terus maju pada masa-masa hadapan. Dengan wujudnya industri sampingan ini maka tercapailah matlamat kedua kerajaan apabila mengadakan industri kereta nasional.
9. Pendek kata kita berjaya dengan kereta nasional kita ini. Tetapi janganlah terlalu seronok dan berbangga sehingga lalai. Semua pihak -- PROTON, EON, HICOM, dan agensi-agensi awam yang berkaitan -- hendaklah terus berusaha dan berikhtiar untuk maju dan terus maju. Dalam pasaran tempatan dan eksport yang sangat bersaing dan com- petitive, kita mesti sentiasa mendahului lawan yang juga sentiasa cuba menewaskan kita. Kejayaan setakat ini hendaklah dijadikan penggalak untuk kita bekerja kuat, meningkatkan kecekapan dan berusaha mendahului lawan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Di majlis ini saya akan diberi peluang menyampaikan kereta nasional kita kepada skuad badminton negara ke Kejohanan Piala Thomas baru-baru ini. Walaupun kereta- kereta ini dijanjikan sekiranya skuad kita berjaya menjadi juara, kita tetap menyampaikan kereta nasional ini kepada pemain-pemain negara oleh kerana mereka telah menunjukkan kesungguhan dan mutu permainan yang tinggi sehingga menjadi naib juara di kejohanan itu. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain badminton kita.
11. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada EON yang memberi kesempatan untuk saya berucap pada hari ini. Saya berharap EON akan terus berusaha memasarkan kereta nasional ini secara agresif. Di samping itu, EON harus juga mengkaji sama ada jumlah cawangan pemasaran, serta cawangan- cawangan perkhidmatan dan alatgantinya mencukupi dan dapat memberi perkhidmatan yang memuaskan. Kerajaan berharap kejayaan-kejayaan setakat ini tidak akan melalaikan pihak pengurusan dan kakitangan EON. Apa yang diharapkan ialah kejayaan selama ini akan menjadi perangsang untuk menempa kejayaan yang lebih cemerlang lagi pada masa hadapan.
12. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Proton Saga Megavalve ini dengan rasminya.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan