Buku Tulisan Haji Abdul Halim Bashah
Patani pada suatu ketika dahulu pernah bersama Kelantan
dalam suatu pemerintahan atau di lain perkataan keduanya terangkum dalam satu
kesatuan dan kebudayaan dan sama-sama mempunyai tamadun yang lebih awal.
Sewaktu keduanya ( ketika itu bernama Langkasuka dan Medang Gana) berada dalam
‘YAWADWIPA’ atau Chryse Chersonesos
dalam abad pertama dahulu maka telah muncul sebagai ibu kepada sejarah bangsa
Melayu di Nusantara.
Bermula
dari sinilah kebudayaan Jawa ( Melayu dalam erti kata yang lebih luas) melebar
hingga ke seluruh Asia Tenggara. Kerana itulah dalam setiap kajian sejarah
tamadun mengenai kerajaan, politik mahupun tamadunnya Patani dan Kelantan
selalu berkait rapat. Hakikat inilah yang diabadikan oleh Raja Sakti
Pembangunan Keluarga Di Raja Jembal (Kelantan) dalam bentuk simbolik dan
lambang dua ekor Kijang Kencana (berbulu keemasan) peliharaan Cik Siti Wan
Kembang yang kemudian menjadi lambang kerajaan Jembal. Lambang ini juga yang
digunakan semasa baginda memerintah PATANI BESAR dan akhirnya menjadi lambang
(setelah diubahsuai) kepada kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim.
Nama
Patani mula muncul pada abad ke 15. Adapun raja-raja yang memerintah Patani
bermula dari Sultan Ismail Muhammad Syah (Phya Tu Intira/Indera) keturunan Sultan
Muhammad Tahir, Raja Ligor. Sultan Muhammad Tahir ialah putera kepada Raja
Bharubhasa (kekanda Raja Sulaiman Syah), Raja Langkasuka di abad ke 14, titisan
dari Maharaja Srimat Trailokyaraja yang bergelar Maharaja Bukit Siguntang.
Timbulnya
dakwaan mengatakan raja-raja Patani adalah dari keturunan Cau Seri Bangsa
adalah ekoran episod dimana seorang anak raja Siam bernama Rama Raja (yang
bergelar Cau Seri Bangsa) berjaya menewaskan membunuh Raja Sulaiman Syah dalam
satu peperangan. Cau Seri Bangsa berazam sekiranya kemenangan berpihak
kepadanya maka ia akan memeluk Islam.
Apabila
terjadinya ketegangan politik antara raja-raja Melayu Patani dan Johor maka
timbullah semacam ‘combat de pretige’ (penulis meminjam kalimah yang sering digunakan
oleh A. teeaw) dimana di dalam Salalatul Salatin ( Sejarah Melayu ) yang
ditulis oleh Tun Sri Lanang, seolah-olah tampak cuba menonjolkan kelemahan di
pihak Patani dengan membabitkan keturunan dan bangsa raja-raja Melayu Patani
yang kononnya keturunan Siam ( kerana disusur galurkan dengan Cau Seri Bangsa).
Supaya timbul kelak atau akan dikatakan bangsa yang sememangnya menjadi musuh
tradisi kepada kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung.
Tun Seri
Lanang mungkin berbuat demikian kerana dia sendiri muncul dari kalangan
pembesar (Bendahara) Johor. Dan barangkali mempunyai tanggungjawab moral untuk
membela hak dan kebenaran di pihaknya. Nyatalah Tun Seri Lanang sebenarnya
(atau mungkin secara tidak disengajakan) telah memutar belitkan fakta dan data
sejarah dimana Patani telah menjadi mangsa kerana yang timbul kemudiannya ialah
kesan neratif sejarah yang lain pula.
Oleh kerana kurang telitinya sesetengah penulis-penulis sejarah maka
tulisan Tun Seri Lanang ini dianggap sebagai sumber mantan yang paling benar.
Selepas
Ratu Kuning, pemerintah Patani diambil olah keturunan Kerabat D’raja Kelantan.
Pada masa ini, Patani digabungkan bersama Kelantan, Terengganu, Senggoro dan
Patthalung dalam kesatuan ‘Patani Besar’ oleh Raja Sakti, Pembangun Dinasti
Jembal. Puteranya, Raja Bahar telah ditabal menjadi raja Patani bersama
permaisurinya Raja Mas Kelantan. Patani sekali lagi bertukar tangan, kali ini
Raja Sakti II yang menjadi Raja Patani Besar telah melepaskan kuasanya kepada
Long Baha, menentunya dari keturunan Datu Nik Mustapha (bekas Datu Wilayah
Jambu) yang menjadi Raja Champa (Kambayat Nagara). Keturunan inilah yang
kemudiannya memainkan peranan besar dalam percaturan politik negeri Patani dan
Kelantan.
Sumber : http://jejakpatani.blogspot.my/2013/10/buku-tulisan-hj-abdul-halim-bashah.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan