http://mak-andak.blogspot.my/2012/07/peranan-dan-sumbangan-tun-dr-mahathir.html
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
BAB
1
PENDAHULUAN
1.0 Pendahuluan
Menyorot
tarikh bersejarah negara pada 28hb. Februari 1991 dalam menyingkap ucaptama Tun
Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-4 semasa beliau
memperkenalkan Wawasan 2020 di Persidangan Majlis Perdagangan Malaysia, beliau
telah mencetuskan hasrat untuk menaik taraf status Malaysia daripada sebuah
negara yang sedang membangun kepada sebuah negara perindustrian yang maju
sepenuhnya menjelang tahun 2020. Ucapatama beliau itu telah melahirkan salah satu
falsafah pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap perkembangan dan
pembangunan pendidikan negara selama 22 tahun perkhidmatan beliau sebagai
tonggak pemimpin negara. Antara ucaptama beliau di dalam persidangan itu ialah:
"Daripada pengalaman yang
menakjubkan selama dua dasawarsa yang lalu di kalangan semua negara yang
dulunya terbatas 'sumber alamnya', maka amatlah jelas bahawa sumber yang paling
utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha
rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada
sumber alam. Rakyat adalah sumber kita yang paling utama. Tanpa ragu-ragu lagi,
pada tahun 1990-an dan seterusnya Malaysia mestilah memberi perhatian yang
sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang amat penting ini”.[1]
Rentetan
dari cetusan idea Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merealisasikan Malaysia sebagai
negara maju menjelang tahun 2020 melalui Wawasan 2020, kerajaan Malaysia telah
membangunkan satu kerangka (framework) perlaksanaan pelan tindakan melalui
pembangunan sumber manusia yang komprehensif melalui proses pendidikan kepada
semua peringkat golongan di Malaysia terutamanya kaum Bumiputra khasnya
masyarakat Melayu. Ini jelas diungkapkan oleh beliau di dalam Persidangan yang
sama iaitu:
"Dalam pembangunan sumber
tenaga manusia, kita tidak harus mengabaikan separuh jumlah penduduk kita,
yakni golongan Bumiputra. Jika golongan ini tercicir, jika kemungkinan-kemungkinan
yang ada pada mereka tidak diperkembangkan, jika mereka dibiarkan menjadi
rintangan terhadap pertumbuhan kebangsaan kita, maka kemajuan kita pastilah
akan pincang”.[2]
Betapa
kita tidak boleh menafikan peranan dan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad di
dalam bidang pendidikan. Malahan beliau telah memberi rangsangan kepada rakyat
Malaysia khususnya kaum Melayu di dalam ucapan beliau sempena sambutan Hari
Kemerdekaan yang ke-40 pada 1991 supaya sentiasa berusaha melengkapkan diri
dari segala sudut, dari ilmu pengetahuan berasaskan teknologi tinggi sehingga
memupuk semangat kebangsaan yang unggul dalam jiwa masing-masing. Ujar beliau,
jika rakyat tidak bersedia menghadapi perubahan dunia, negara pasti tidak mampu
bersaing dengan negara-negara maju lain. Beliau mahu pembangunan negara
mestilah seiring dengan pembangunan rohaniah agar keseimbangan antaranya dapat
memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat medani. [3]
[Tun Dr Mahathir Mohamad]
1.1 Objektif Kajian
Kajian ini secara umumnya bertujuan untuk
menganalisa keberkesanan pendidikan sebagai ejen perubahan pada era petadbiran
Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memenuhi matlamat nasional untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Ini adalah kerana pengukuhan
ekonomi di samping kestabilan politik di Malaysia sebagai sendi utama kepada
kemampuan negara untuk bangkit dari ketinggalan dalam bidang ekonomi dan
seterusnya mempunyai daya saing berbanding dengan negara-negara ASEAN yang
lain.
Kajian
juga dibuat terhadap Perkembangan Pendidikan Negara sebelum dan selepas merdeka
bagi mengenal pasti evolusi Pendidikan Negara.
Seterusnya kajian juga dibuat terhadap penerapan nilai-nilai murni dan
adab ketimuran dalam dasar Pendidikan Negara pada era pemerintahan Tun Dr
Mahathir Mohamad dan kesannya terhadap masyarakat Melayu.
Selain
itu, kajian ini juga cuba menganalisis pendekatan berani Tun Dr Mahathir Mohamad
yang mengubah tanggapan masyarakat Melayu terhadap sains, ekonomi, matematik, teknologi,
aeroangkasa dan penguasaan Bahasa Inggeris yang sememangnya membantu
orang-orang Melayu bersifat terbuka dan berusaha gigih untuk lebih maju dan berdaya
saing dan seterusnya mendekatkan jurang pencapaian dalam bidang akademik,
sukan, politik dan ekonomi di antara orang-orang Melayu dan bukan Bumiputera.
1.2 Skop Kajian
Penulisan
kertas Ilmiah ini memfokuskan kepada peranan dan sumbangan Tun Dr Mahathir
Mohamad sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia serta
kesan-kesan positif yang sepanjang pemerintahannya di dalam bidang pendidikan.
Kajian ini juga akan cuba untuk melihat hubungkait rapat di antara pemikiran Tun
Dr Mahathir untuk menjadikan Malaysia dan rakyat khasnya orang-orang Melayu
dan Bumiputra untuk turut sama merealisasikan negara ini sebagai sebuah negara
maju melalui Wawasan 2020. Skop pernulisan ini juga akan membincangkan dengan
terperinci cetusan idea Tun Dr Mahathir yang telah memberi impak besar kepada
masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia pada amnya.
Walaupun
skop kajian yang dinyatakan adalah sepanjang tempoh 1981-2002 iaitu pada era
pemerintahan 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tonggak negara, adalah
perlu untuk penulis menghuraikan peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah
pendidikan negara sebelum 1981 secara ringkas. Ini untuk memperlihatkan
kesinambungan persejarahan dan supaya pemahaman yang lebih mendalam dapat
dilakukan. Namun begitu, secara khususnya skop kajian ini adalah merangkumi
tempoh 22 tahun bermula dari 1981 sewaktu Tun Dr Mahathir mula dilantik menjadi
Perdana Menteri ke-4 menggantikan Tun Hussein Onn.
1.3 Permasalahan Kajian
Permasalahan
kajian dilihat apabila Tun Dr Mahathir Muhamad mengadakan dasar-dasar yang
drastik serta berani. Contohnya
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris telah mewujudkan tentangan dan kontroversi di kalangan orang-orang Melayu.
Selain
itu, pelaksanaan dan penerapan dasar pendidikan Negara yang dilihat sebagai
melangkaui zaman atau batas masa.
Sebagai contoh matlamat Wawasan 2020 yang mahukan semua kaum di negara
ini berdaya saing dan maju. Ini memberi
satu peluang kepada orang-orang melayu meningkatkan taraf hidup. Peningkatan taraf hidup perlu selaras dengan
peningkatan pendidikan orang Melayu.
Kayu pengukur utama di dalam kajian ini ialah
penulis akan menilai dan mengkaji peranan serta sumbangan Tun Dr Mahathir
Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Di
bawah kepimpinan tiga orang Perdana Menteri yang terdahulu, Malaysia berada di
zaman peralihan selepas kemerdekaan. Malaysia pada ketika itu masih lagi
mengharapkan bantuan dari Barat untuk membantu memulihkan negara dalam aspek
pentadbiran, ekonomi, pertanian, teknologi, pertahanan dan pendidikan.
Justeru
itu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Dasar Pandang ke Timur, ianya
telah mengundang kritikan dan reaksi kurang senang dari Barat terutamanya
Britain dan Amerika Syarikat. Idea Dasar Pandang Ke Timur adalah bertujuan menjadikan
Jepun dan Korea Selatan sebagai model kejayaan Malaysia. Apatah lagi kedua buah
negara tersebut mempunyai ciri-ciri yang seakan sama dengan Malaysia iaitu
lokasinya yang terletak di Asia. Negara-negara tersebut juga adalah merupakan
negara pertanian pada peringkat awalnya. Melalui evolusi pendidikan, kedua-dua
buah negara tersebut telah mampu menyediakan rakyatnya dengan pelbagai
kemahiran yang diperlukan di samping mengubah mereka menjadi lebih progresif.
Apa yang menarik ialah sikap taat setia kepada negara yang menjadi sasar
pembangunan di samping penghargaan kepada nilai budaya tradisional yang menjadi
jati diri kepada kedua-dua bangsa di Timur Jauh itu.
1.4 Kajian Yang Lepas
Kajian
ini adalah lebih banyak merujuk kepada maklumat-maklumat yang lepas bagi
menyokong hujah-hujah yang akan dibahaskan. Jurnal-jurnal, artikel-artikel dan
juga keratan akhbar akan digunakan sebagai sumber maklumat di dalam kajian ini.
Antara jurnal dan arikel yang diguna pakai didalam penulisan ini adalah seperti
di halaman rujukan. Antara penulisan dan penyelidikan ilmiah mengenai peranan
dan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah dihasilkan adalah seperti
berikut:
Rusdi
Omar iaitu pensyarah di Sekolah Pengajian Antarabangsa dan Sivamurugan Pandian
yang juga merupakan pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di
Universiti Sains Malaysia telah menghasilkan jurnal yang bertajuk “Falsafah
pemikiran politik Dr. Mahathir Mohamad”. Di dalam jurnal tersebut mereka telah membuat
pengamatan mengenai peranan pemikiran “Mahathirisme”.
Istilah “Mahathirisme” ini ialah
memaklumkan kepada pembaca kedua-dua pensyarah ini melihat bagaimana idea-idea
yang telah dicetuskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama keunikan
pemikirannya bersama falsafah dan cara pengurusan negara yang telah dibawa oleh
beliau ke arah negara maju pada tahun 2020. Kedua-dua pengkaji ini juga
membahaskan “Mahathirisme” ini
membentuk ideologi politik Tun Dr Mahathir Mohamad seterusnya melahirkan 5
komponen dasar pemerintahan beliau iaitu:
i.
Nasionalisme;
ii.
Kapitalisme;
iii.
Islam;
iv.
Populisme; dan
v.
Autoritarianisme
Disamping
itu juga, kedua-dua pensyarah ini yang membuat pengamatan tentang falsafah
pemikiran politik Tun Dr Mahathir yang juga sebagai Perdana Menteri ketika itu telah
mengenalpasti 4 faktor utama yang membentuk falsafah pemikiran Tun Dr Mahathir
iaitu:
i.
Latarbelakang keluarga;
ii.
Penjajahan;
iii.
Kerjaya kedoktoran; dan
iv.
C.H.E Det
Menurut
Rusdi dan Sivamurugan, gabungan idea yang diserap dan digubal sebagai falsafah,
“Mahathirisme” telah berjaya membawa
Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani dan dihormati di persada
antarabangsa[4].
Menurut
Ahmad Fauzi bin Mohamad dalam artikel beliau yang bertajuk “Pendemokrasian Pendidikan: Suatu pentafsiran dan tinjauan mengenai pendekatan
serta perlaksanaannya dalam sistem pendidikan di Malaysia” telah
mengutarakan pengertian pendemokrasian pendidikan telah memberi kesan yang
sangat memberangsangkan di dalam perkembangan pendidikan di Malaysia. Beliau
banyak mengungkapkan semula ucapan-ucapan Dr. Mahathir Mohamad yang relevan
dengan topik pendemokrasian pendidikan. Umpamanya beliau memetik kata-kata
ketika Tun Dr Mahathir berucap sempena Persidangan Majlis Perdagangan Malaysia
pada 28hb Februari 1991 seperti berikut:
"Daripada pengalaman yang
menakjubkan selama dua dasawarsa yang lalu di kalangan semua negara yang
dulunya terbatas 'sumber alamnya', maka amatlah jelas bahawa sumber yang paling
utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha
rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada
sumber alam. Rakyat adalah sumber kita yang paling utama. Tanpa ragu-ragu lagi,
pada tahun 1990-an dan seterusnya Malaysia mestilah memberi perhatian yang
sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang amat penting ini”[5]
Ahmad
Fauzi telah membuat satu analisa ucapan Tun Dr. Mahathir dengan menghubungkaitkannya
dengan konsep pendemokrasian pendidikan, kepentingan isu pendemokrasian
pendidikan, kualiti pendidikan, kemudahan infrastruktur dan penekanan
pendidikan yang bertaraf dunia. Disamping itu juga, Ahmad Fauzi juga ada
menyentuh isu pendemokrasian pendidikan juga harus diimbangi dengan pembangunan
sumber manusia yang lengkap, seimbang dan bersepadu. Dengan kata lain pihak
kerajaan mestilah memastikan bahawa tidak boleh mana-mana golongan dan rakyat
di Malaysia tercicir atau diabaikan dalam prosess pendidikan tersebut. Ini
sejajar dengan kehendak Tun Dr Mahahir Mohamad di dalam persidangan yang sama
iaitu:
"Dalam pembangunan sumber
tenaga manusia, kita tidak harus mengabaikan separuh jumlah penduduk kita,
yakni golongan Bumiputra. Jika golongan ini tercicir, jika
kemungkinan-kemungkinan yang ada pada mereka tidak diperkembangkan, jika mereka
dibiarkan menjadi rintangan terhadap pertumbuhan kebangsaan kita, maka kemajuan
kita pastilah akan pincang”.[6]
Menurut
Ahmad Sohaimi Lazim pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan juga pengarang
buku “Dua Dekad Dasar Pandang ke Timur:
Satu Penilaian Aspek Pendidikan (1982-2002)” beliau mendapati bahawa sepanjang
pimpinan Perdana Menteri Malaysia yang ke-empat selama 22 tahun, Tun Dr.
Mahathir Mohammad telah mencetuskan pelbagai idea dalam pentadbirannya yang
banyak mempengaruhi dasar-dasar Malaysia meliputi aspek politik, ekonomi dan
sosial. Salah satu dasar menarik yang telah diperkenalkan oleh Dr. Mahathir
ialah Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan pada tahun 1982 bertujuan meniru
budaya dan etika kerja masyarakat Jepun dan Korea bagi memacu kemajuan ekonomi
Malaysia.
Tun
Dr. Mahatihir amat kagum dengan kejayaan Jepun dan Korea membangunkan ekonomi
mereka dan berhasrat menjadikan negara tersebut sebagai model kepada Malaysia
yang selama ini banyak bergantung kepada barat. Dr. Mahathir mengaitkan
kejayaan ekonomi Jepun dengan sikap positif rakyatnya seperti rajin, dedikasi,
inovatif, menepati masa dan mementingkan kualiti tinggi dalalam semua aspek
kehidupan., Bagi menjayakan dasar ini. kerajaan telah melancarkan program
menghantar pelajar dan pekerja Malaysia ke sana bertujuan mempelajari teknologi
dan mencontohi budaya kerja mereka. Sejak dimulakan pada awal tahun 1980-an
sehingga awal tahun 2000, beberapa ribu pelajar dan pekerja Malaysia berpeluang
mengikuti skim latihan yang disediakan. Kini setelah program ini berjalan selama
lebih daripada dua dekad, Ahmad Sohaimi telah membuat dan penilaian perlu
dibuat bagi menentukan sejauh mana kejayaannya kepada Malaysia.
Sebenarnya
Ahmad Sohaimi Lazim buku “Dua Dekad Dasar Pandang ke Timur: Satu Penilaian
Aspek Pendidikan (1982-2002)” adalah merupakan lanjutan kajian yang dibuat oleh
beliau semasa beliau menuntut di Universiti Sains Malaysia iaitu kertas ilmiah
yang bertajuk “Pengaruh Jepun Terhadap Bidang Pendidikan di Tanah Melayu
(Malaysia) 1941-1990 an. Ahmad Sohaimi Lazim telah membongkar perasaan generasi
sebelum merdeka terutamanya semasa zaman pendudukan Jepun dari 1941 – 1945 ke
atas perlaksanaan Dasar Pandang Ke Timur yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir
ketika itu. Pengalaman pahit serta suka duka generasi ketika zaman Jepun telah
mencetuskan kritikan dan perasaan tidak senang mereka terhadap Tun Dr Mahathir.
Dalam
kajian yang sama, Ahmad Sohaimi Lazim turut menyatakan bahawa hubungan
diplomatik yang terjalin di antara Malaysia – Jepun selepas merdeka adalah
berbentuk saling bergantungan. Ini kerana Jepun memerlukan bahan mentah dari
Malaysia dan Malaysia menyediakan peluang pasaran bagi eskport Jepun. Sementara
secara timbalbalik, Malaysia memerlukan pelaburan daripada ahli-ahli perniagaan
Jepun untuk melabur di Malaysia sebagai pusat pelaburan dan bersaing dengan
Singapura. Oleh itu, hubungan kedua-dua negara dapat ditingkatkan demi manafaat
bersama. Rakyat Malaysia yang telah terlibat di dalam program Dasar Pandang
Ke-Timur ini adalah terdiri dari 2 kategori iaitu:
i.
Pelajar-pelajar Malaysia yang menyambung
pelajaran sama ada di Jepun atau Korea Selatan
ii.
Para pekerja yang dihantar ke Jepun
ataupun Korea Selatan untuk program latihan kerja
Tujuannya
adalah untuk mendapatkan pengalaman serta membudayakan cara kerja Jepun dan
Korea Selatan dari aspek mutu dan dispilin kerja[7].
1.5 Metodologi Kajian
Dalam
penyusunan kertas ilmiah ini penulis mengambil data, dari pendapat para ahli
sejarah yang telah menghasilkan buku-buku atau jurnal tentang peranan dan
sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad pada era 1981-2002. Temubual dengan
pegawai-pegawai yang berkaitan dengan permasalahan kajian dari pada Kementerian
Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi juga akan di atur untuk
mendapatkan data-data yang relevan dengan kajian ini.
Sumber
primer dalam dalam penulisan ini kajian melalui penyelidikan di Arkib Negara Malaysia,
Perpustakaan Negara, Perpustakaan Tun Sri Lanang dan Perpustakaan Utama
Universiti Malaya. Istilah ini lazim disebut library research iaitu pengambilan data yang berasal dari buku-buku
atau karya ilmiah yang terdiri dari sumber primer dan sekunder. Disamping itu sekundernya
adalah buku-buku yang berkaitan dengan peranan dan sumbangan Tun Dr Mahathir
dalam aspek pendidikan yang relevan dengan pembahasan kajian ini. Maklumat yang
relevan dengan peranan dan sumbangan Tun Dr Mahathir seperti keratan-keratan
akhbar dan juga turut capaian internet digunakan dalam mendapatkan maklumat.
1.6 Pembahagian Bab
Kajian
ini dibahagikan kepada enam bab iaitu, bab pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima
dan bab keenam yang berupa kesimpulan. Di
dalam bab pertama adalah menghuraikan tujuan kajian ini dibuat, skop kajian,
membahaskan kajian-kajian yang telah lepas ke atas topik yang relevan serta
metodologi kajian.
Dalam
bab kedua akan di utarakan tentang latarbelakang
Tun Dr Mahathir Mohamad dari segi asal usul, keluarga, kejayaannya semasa
beliau menuntut di universiti, jatuh
bangun beliau di dalam politik, dan pemikiran semasa pentadbir negara dalam
tempoh 22 tahun sejak 1981 – 2002.
Bab
yang ketiga pula, membincangkan sejarah awal pendidikan di Malaysia sebelum
merdeka, selepas merdeka dan sistem pendidikan masa kini yang merangkumi Dasar
Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Negara, Pembudayaan masyarakat Malaysia,
peranan pendidik dan sebagainya.
Peranan
dan Sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad akan dibincangkan dalam bab yang keempat. Idea-idea Tun Dr Mahathir Mohamad untuk
membantu, merangka dan memajukan masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia pada
amnya akan dibincangkan di dalam bab ini. Umpamanya Dasar Pandang Ke-Timur,
mewujudkan lebih banyak universiti-universiti awam dan swasta tempatan,
memperkenalkan kursus-kursus yang berasaskan sains dan teknologi di pusat
pengajian tinggi tempatan, menggalakkan penuntut-penutut Malaysia untuk
melanjutkan pelajaran ke Jepun, Korea Selatan ataupun mana-mana universiti
tempatan. Di era Tun Mahathir Mohamad
telah memperuntukkan dana khas di dalam belanjawan negara mengenai pendidikan.
Umpamanya memperuntukkan dana khas untuk mewujudkan sekolah bistari dan
sebagainya. Seterusnya di dalam bab 4 ini, pengamatan perubahan-perubahan dasar
yang telah dilakukan dan oleh Tun Dr Mahathir dilakukan sejajar dengan kepentingannya
kepada pendidikan dan pembangunan negara
selaras dengan matlamat Wawasan 2020.
Bab
kelima merupakan bab yang menerangkan masalah dan kekangan-kekangan yang
dihadapi apabila beberapa perubahan dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad
dalam meningkatkan taraf pendidikan di negara ini. Perubahan-perubahan yang
drastik telah dibuat bagi memenuhi keperluan ekonomi dan mendepani sosio-budaya
masyarakat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, laterbelakang dan fahaman
politik yang berbeza-beza telah mendatangkan cabaran baru bagi Tun Dr Mahathir.
Umpamanya ketika beliau memperkenalkan matapelajaran sains dan matematik diajar
di dalam bahasa Inggeris. Pada sesetengah golongan Melayu, pendekatan ini
sangat baik bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dikalangan orang-orang
Melayu. Namun ada sesetengah golongan Melayu yang beranggapan bahawa pendekatan
ini adalah sekular. Begitu juga dalam aspek ekonomi. Cabaran yang paling utama
ialah menyediakan pendidik yang memahami kehendak industri. Silibus
matapelajaran di peringkat universiti itu sendiri mestilah bersifat futuristik[8]
bagi menyediakan tenaga kerja yang mahir, berkebolehan berkomunikasi lebih dari
dua bahasa, mempamerkan kebolehan untuk bekerja
di dalam kumpulan, mempunyai daya analitikal yang tinggi serta berinovasi
terutamannya dalam sektor pembuatan dan pengeluaran.
Bab
keenam adalah bab cadangan dan kesimpulan. Di dalam bab ini penulis akan
mencadangkan beberapa langkah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan supaya
sistem pendidikan yang sedia ada diberi nilai tambah serta untuk mendepani
cabaran-cabaran baru sama ada dari segi sosial-budaya mahupun daripada aspek
ekonomi. Umpamanya sistem pembelajaran sekarang adalah merupakan warisan
daripada sistem pembelajaran yang ditinggal oleh British. Iaitu memisahkan
aliran agama dan aliran kebangsaan. Sudah sampailah masanya Kementerian
Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi membuat penilaian semula
untuk menyatukan kedua-dua aliran ini supaya dapat melahirkan generasi yang
seimbang dalam aspek agama dan ilmu-ilmu sains.
Daripada
pemerhatian penulis, silibus di sekolah-sekolah agama tidak menekankan
matapelajaran sains dan matematik. Tetapi disebaliknya bagi sekolah kebangsaan,
mata pelajaran agama hanyalah diajar sehingga tingkatan 5 sahaja. Sebagai contoh, apabila para pelajar dari
aliran kebangsaan melanjutkan pelajaran ke universiti, mereka tidak lagi
belajar mata pelajaran agama. Ini merupakan satu kerugian kepada masyarakat
Melayu dewasa ini lebih-lebih lagi statitik daripada Jabatan Pendaftaran Negara
menunjukkan bahawa masalah kelahiran bagi anak tidak sah taraf adalah sangat
mendukacitakan iaitu ianya melibatkan kaum Melayu. Melalui pendidikan yang
mantap, penulis berpendapat gejala sosial akan dapat dibendung demi masa depan
masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia amnya.
Di dalam bab ini juga kesimpulan akan dibuat berdasarkan topik
perbincangan dari bab pertama hingga bab keenam penulisan ini.
BAB
DUA
LATARBELAKANG
TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
2.0 Latarbelakang Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun
Dr. Mahathir bin Mohamad adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Penggal
kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003. Beliau telah menerajui
Malaysia ke arah arus kemodenan yang amat pantas dalam tempoh 22 tahun dan membawa
kepada kemakmuran dan kesejahteraan untuk dinikmati oleh semua lapisan
masyarakat di Malaysia.
Semasa
beliau menerajui negara, beliau sentiasa mempamerkan gaya pentabdbiran yang dilihat
sangat optimistik. Beliau mempunyai pemikiran yang berpandangan jauh kehadapan
serta telah melahirkan cetusan-cetusan idea yang melangkaui zaman.
Faktor-faktor inilah yang telah mempengaruhi beliau didalam membuat
keputusan-keputusan penting negara seperti dalam isu-isu yang menyentuh aspek
ekonomi, sosial-budaya, sukan, penglibatan negara dalam projek aeorangkasa dan
yang paling utama adalah dalam bidang pendidikan. [9]
Didalam
bab ini, penulis akan menghuraikan bagaimana proses sosialisasi dan latarbelakang keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad telah
menjadi tulang belakang (backbone) kepada keperibadian beliau semasa menjadi
Perdana Menteri yang turut jelas terpamer didalam gaya pentadbirannya.
2.1 Latarbelakang Keluarga
Tun
Dr Mahathir telah dilahirkan pada 20hb Disember 1925 di Alor Setar, Kedah.
Ibunya bernama Wan Tempawan Binti Wan Hanapi adalah seorang berketurunan
Melayu, manakala ayahnya Encik Mohamad bin Iskandar adalah berketurunan Islam
India (Kerala). Encik Iskandar telah berkahwin dengan Siti Hawa yang mana Siti
Hawa (iaitu nenek kepada Tun Dr Mahathir) mempunyai susurgalur keluarga yang
terdiri daripada golongan bangsawan Melayu. Encik Mohamad bin Iskandar adalah
seorang guru bahasa Inggeris di sekolah Inggeris[10]
yang lebih terkenal dikalangan para pendidik ketika itu sebagai ‘Master
Iskandar’ yang beliau berpindah dari Pulau Pinang dan terus menetap di Kedah[11].
Tun
Dr Mahathir ialah merupakan anak paling bongsu dalam keluarga yang terdiri
daripada 9 orang adik-beradik. Beliau
mempunyai 4 orang abang dan 3 orang kakak. Nama abang-abang ialah Murad,
Mustapha, Mahadi dan Mashahor. Manakala nama kakak-kakak beliau ialah Rafeah,
Habsah dan Johara.
J.
Victor Morais telah merakamkan di dalam temubual dengan Tun Mahathir didalam
yang mana Tun Dr Mahathir pernah ditanya mengenai bapanya. Beliau menjawab:
“Ayah saya sudah meninggal dunia. Beliau
(Encik Mohamad bin Iskandar) menamakan saya Mahathir oleh kerana beliau sangat
menyukai dengan keganjilan huruf ‘M’.
Keempat-empat abang saya juga diberikannya, tetapi tidak kesemua adik beradik
yang perempuan yang dilahirkan selepas
mereka tidak diberikannya”.[12]
Menurut
Tun Dr Mahathir lagi di dalam temubual yang sama:
“Saya dibesarkan di dalam satu
keluarga yang berdisplin. Ayah saya telah mengelolakannya seperti sebuah bilik
darjah. Bunyi batuknya sahaja semasa dia mendekati rumah sudah mencukupi untuk
kami budak-budak berlari ke pangkuan buku-buku kami”
Abang
Tun Dr Mahathir bernama Murad telah berkhidmat sebagai seorang pegawai di Kolej
Pertanian Serdang, yang kini telah meninggal dunia. Mahadi adalah seorang bekas
pagawai perkeranian di dalam bidang Perkhidmatan Eksekutif Negeri Kedah tetapi
kemudianya menjadi seorang peniaga yang berjaya. Mashahor pula seorang pegawai
buruh dan Mustapha telah meninggal dunia semasa pemerintahan Jepun di Tanah
Melayu.
Bagi
Tun Dr Mahathir, zaman kependudukan Jepun di Tanah Melayu telah memberi
pengalaman yang pahit di dalam kehidupannya semasa kecil. Beliau telah
mengambil iktibar daripada pengalaman pahit ini untuk membawa manafaat kepada
dirinya dan juga rakyat Malaysia semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia
yang ke-4. Kesusahan dan penderitaan rakyat Tanah Melayu semasa kependudukan
Jepun telah membuka mata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membuat strategi untuk
membangunkan Malaysia.
Bertitik
tolak dari zaman pemerintahan Maharaja Meiji lebih dikenali dalam sejarah Jepun
sebagai zaman Pemodenan Jepun berikutan kejayaan cemerlang beberapa pembaharuan
yang telah dilakukan oleh baginda dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan
ketenteraan. Berikutan dari itu Jepun pada akhirnya telah mengalami anjakan
paradigma di mana ia telah berjaya beralih dari sebuah negara pertanian yang
mundur menjadi sebuah negara perindustrian yang maju.
Kejayaan
pemodenan Jepun ini adalah bergantung kepada sistem pendidikan. Dengan
cogankata "semua rakyat mestilah mencari ilmu di seluruh dunia".
Maharaja Meiji telah menghantar ramai pelajar ke luar negara bagi menimba ilmu
di bidang pertanian, perkapalan, ketenteraan, perindustrian dan pendidikan.
Bagi menyediakan rakyat Jepun kepada arus pemodenan ini, baginda telah
memperkenalkan satu sistem pendidikan yang baru kepada semua rakyat Jepun yang
di mana sebelum ini hanya dikhususkan kepada golongan samurai dan bangsawan
sahaja. Baginda telah meniru model pendidikan yang terbaik pada masa itu iaitu
dari Britain, Perancis dan Amerika Syarikat dan menyesuaikannya (customized) untuk
rakyat Jepun tanpa sama sekali membuang nilai-nilai pendidikan tradisional yang
ada dalam masyarakat tempatan seperti Koyohei-mama iaitu pendidikan dari rumah.
Penekanan diberikan kepada pendidikan vokasional dan teknikal bagi menyediakan
rakyat Jepun sebagai gunatenaga yang mahir dalam perindustrian. [13]
Banyak
sekolah-sekolah ditubuhkan dan sistem persekolahan diseragamkan diseluruh
negara Jepun. Ini adalah kerana kerajaan Jepun menyedari bahawa bidang
pendidikan adalah merupakan pelaburan yang menguntungkan Jepun di masa akan
datang. Bidang penterjemahan mendapat galakan dari kerajaan untuk menterjemah
buku-buku asing dalam berbagai bidang ke dalam bahasa Jepun. Kegiatan ini telah
meninggikan tahap literasi budaya rakyat Jepun. Selain itu setiap rakyat Jepun
telah ditanamkan semangat Ware Ware Nippon-jin iaitu kebanggaan berbangsa Jepun
serta cinta dan taat setia kepada negara. Caranya ialah dengan memartabatkan
bahasa Jepun sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pendidikan serta
menguatkan kembali ajaran Shinto yang menjadi asas falsafah masyarakat Jepun.
Dengan cogankata wakon yohsai iaitu semangat Jepun dengan teknologi barat,
Jepun telah muncul sebagai sebuah negara perindustrian yang maju menjelang abad
ke-20.[14]
Pengalaman
kejayaan Jepun bangkit sebagai negara yang mundur telah menjadi sumber
inspirasi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membangunkan Malaysia sebagai
sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Penerangan terperinci akan dihuraikan
di Bab ke-4.
2.2 Pendidikan
Dr.
Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada
tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment
English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid.
Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.
Tun
Dr Mahathir bercermin mata sejak beliau kecil lagi. Beliau memengang jawatan
sebagai pustakawan di dalam kelasnya dan sentiasa menjadi pemenang hadiah
bahasa Inggeris setiap tahun. Kebolehan Tun Dr Mahathir di dalam bidang
penulisan bahasa Inggeris sangat terserlah semasa di bangku sekolah. Beliau
pernah menjadi editor untuk majalah Sultan Abdul Hamid College yang mana
sub-editornya ialah guruny sendiri iaitu Sir John Augustin pada tahun 1945[15].
Semasa di sekolah, beliau dilaporkan tidak gemarkan sukan dan lebih berminat
dengan hobinya membaca buku.
Pada
1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan
biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King
Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan
seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Ketika
mununtut di kolej, minat beliau terhadap sukan mula tumbuh yang mana beliau aktif
dalam sukan ragbi. Beliau sentiasa mengambil berat tentang kebajikan
pelajar-pelajar lain. Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan kelulusan
Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya, Singapura.
2.3 Kerjaya
Dr.
Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor
pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah
dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi
kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di
Langkawi, Jitra dan Perlis[16].
Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk
membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim.
Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik
persendirian di Alor Setar yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik
sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000
Alor Setar dan kekal sehingga
sekarang. Keputusan untuk berhenti kerja sebagai kakitangan kerajaan adalah kerana
beliau merasakan bekerja di sektor kerajaan telah membataskan beliau untuk
bergerak aktif di dalam politik.[17]
2.4 Perkahwinan
Setelah
3 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Alor Setar, Kedah, Dr
Mahathir Mohamad telah melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya. Perkenalan
dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr.
Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII
Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian
masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan
lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 5hb Ogos
1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu
Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk
Mohzani), Mukriz (kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.
Ternyata,
ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tun Dr Mahathir juga menyukai
keganjilan huruf ‘M’ seperti bapanya almarhum Encik Mohamad bin Iskandar. Ini
jelas dengan beliau telah menamakan kesemua anak-anak beliau dengan pangkal
huruf ‘M’.
Susurgalur keluarga Tun Dr Mahathir adalah seperti di
Jadual 1 dibawah.
Jadual 1:
Salahsilah Keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
Gambar 1: Dr Mahathir
Mohamad &
Dr
Siti Hasmah Mohd Ali
(ketika
zaman muda mereka)
|
Gambar 2: YAB Tun Dr
Mahathir Mohamad
& YAB Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
(sekarang)
|
2.5 Penglibatan Di Dalam Politik
Penglibatan
Tun Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun
1950an kerana beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau
terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar
The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957
telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat dalam bidang politik. Beliau telah
dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.
Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi
calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket
Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan
masyarakat dan senario politik negara. Selepas memenangi pilihan raya umum pada
tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau
hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.
Kecenderungan
dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik
sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis
Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and
University of Malaya Council serta Chairman of the National University Council
pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau
melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum
tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding. Berikutan daripada
pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Sebagai
Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah
polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah
menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan
semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi
Menteri Pelajaran, beliau memberi peluang yang lebih kepada anak Melayu
melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan,
dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa
dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Beliau juga bertanggungjawab
meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli
akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Sebagai seorang yang
berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi
pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Kementerian
Pendidikan.
Kemenangan
beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO
(Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada
kejayaan politik beliau. Pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan
Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah
dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55
tahun. Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke
Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus
menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing. Kemenangan Dr. Mahathir dalam
pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di
dalam kabinet dan parti.
Falsafah
politik Tun Mahathir adalah bersifat terbuka untuk mengatasi masalah-masalah
secara terbuka. Beliau berpendapat bahawa dengan menyembunyikan sesuatu,
bersifat manis tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana. Mengenai polisi luar
negara, Tun mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara sama ada sesuatu
negara itu mengamalkan sistem pemerintahan sosialisme atau komunisme. Konsisten
dengan prinsip ASEAN iaitu mengamalkan sikap tidak campurtangan dalam hal ehwal
negara asing, Tun Dr Mahathir mempunyai harapan yang sama iaitu tidak mahu
urusan pentadbiran negara dicampuri oleh negara asing[18].
2.6 Pencapaian dan Sumbangan
Semasa
beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia, banyak pembangunan yang telah dibuat
sehinggakan beliau digelarkan sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia”, negarawan
ulung yang membawa Malaysia ke mercu kejayaan sehingga mendapat penghormatan
negara-negara asing. Malaysia juga menjadi pusat pelaburan baru di Asia
Tenggara menjadi alternatif kepada pelabur-pelabur asing selepas Singapura.
Antara kejayaan projek-projek mega yang berbentuk material yang dikaitkan
dengan Tun Dr Mahathir ialah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Menara
Berkembar Petronas (Petronas Twin Tower), Menara KL (KL Tower), Jambatan Pulau
Pinang, Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton), Perusahaan Otomobil Kedua
Negara (Perodua) Litar Formula One Litar Sepang, pembangunan Putrajaya dan mengalihkan pusat
pentadbiran negara daripada ibunegara Kuala Lumpur ke Putrajaya.
Sementara
itu sumbangan beliau dalam aspek pembangunan insan dan pendidikan akan
dihuraikan dengan lebih terperinci di dalam Bab ke-4. [Rujuk Bab 4: Sumbangan
dan Peranan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perkembangan Pendidikan Masyarakat
Melayu pada era 1981 – 2002].
Selepas
persaraanya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada 31hb Otober 2003, nama
Tun Dr Mahathir telah berada di kemuncak kegemilangan di persada antarabangsa. Beliau
telah mendapat anugerah Tun iaitu satu anugerah penghormatan tertinggi di
Malaysia kerana perkhidmatannya yang cemerlang sebagai Perdana Menteri Malaysia
selama 22 tahun iaitu satu era kepimpinan yang paling lama di Asia Tenggara.
BAB
TIGA
SEJARAH
PENDIDIKAN DI MALAYSIA
3.0 Sejarah Pendidikan Di Malaysia
Tun
Dr Mahathir bin Mohamad adalah seorang ahli politik yang mempunyai tahap
intelek yang tinggi. Adalah sukar bagi seorang pengkaji untuk menentukan adakah
beliau seorang ahli politik yang inteletual atau seorang intelektual yang
berpolitik.[19]
Ternyata beliau seorang yang sangat bijak dan mempunyai pemikiran strategik
dalam pembangunan negara. Dalam usaha memperkenalkan dasar dan program
pembangunan, Tun Dr Mahathir bin Mohamad telah mengemukakan dan menjelaskan
segala idea dan hasil pemikirannya kepada rakyat termasuklah dalam bidang
pendidikan.
Walaupun
skop kajian yang dinyatakan adalah sepanjang tempoh 1981-2002 iaitu pada era
pemerintahan 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia,
adalah perlu untuk penulis menghuraikan peristiwa-peristiwa penting dalam
sejarah pendidikan negara sebelum 1981 secara ringkas. Ini untuk memperlihatkan
kesinambungan persejarahan dan supaya pemahaman yang lebih mendalam dapat
dilakukan. Namun begitu, secara khususnya skop kajian ini adalah merangkumi
tempoh 22 tahun bermula dari 1981 sewaktu Tun Dr Mahathir mula dilantik menjadi
Perdana Menteri ke-4 menggantikan Tun Hussein Onn.
3.1 Sejarah Pendidikan Di Malaysia Sebelum Merdeka
Sistem
pendidikan sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan secara umumnya merupakan
pendidikan yang mempunyai satu bentuk yang sistem tersendiri. Para pengkaji
yang telah lepas pada amnya melihat pendidikan sebelum zaman kemerdekaan adalah
tidak menekankan aspek formality. Malah sistem pendidikan sebelum merdeka telah
dikelaskan dengan istilah “pendidikan tradisi”. Rata-rata pengkaji terdahulu
mengklasfikasikan sistem pendidikan sebelum merdeka adalah mempunyai kurikulum
yang terlalu sempit kerana pelajaran adalah terhad kepada teks Al-Quran sahaja.
Pada
pendapat penulis pada ketika itu sistem pendidikan adalah berlandaskan Al-Quran
dan Al-Sunnah. Para pelajar pada ketika itu memperlajari Al-Quran dan teks-teks
Hadith melalui kitab-kitab di dalam Bahasa Arab. Terdapat juga kitab-kitab Arab
yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tetapi bertulisan Jawi. Para
penuntut adalah diuji berdasarkan kebolehan mereka untuk membaca Al-Quran
dengan kaedah tajwid serta tartil yang betul. Manakala dalam aspek urusan
kehidupan pula, para pelajar diajar dengan kitab-kitab Feqah untuk memahami
hukum hakam yang melibatkan pembayaran zakat, kaedah fidyah, pengurusan
jenazah, pengurusan masjid, pendidikan akhlak
dan adab sopan.
Terdapat
ramai tokoh-tokoh agama yang bergiat cergas dalam aspek pendidikan di nusantara pada masa itu. Antaranya Haji Abdul
Malik Karim Amrullah. Beliau lebih dikenali dengan akronim nama beliau
iaitu HAMKA. Kitab karya terkenal yang
hingga kini masih digunakan sebagai bahan rujukan ialah Tafsir Al-Azhar.[20]
Manakala
antara tokoh agama di Tanah Melayu yang terkenal ialah Syeikh Mohamad Idris bin
Abdul Rauf Al-Marbawi.[21]
Antara sumbangan beliau ialah dengan menulis Kitab Bahru Al-Madzi yang
mempunyai 22 jilid syarah hadith yang telah disusun kemas mengikut bab-bab.
Kitab Bahru Al-Madzi ini juga masih digunakan sebagai teks rujukan hadith oleh
Fakulti Pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia
pada masa kini. Beliau sangat fasih berbahasa Arab sehingga telah menyusun kamus Al-Marbawi
iaitu sebuah kamus Bahasa Arab – Bahasa Melayu yang ditulis dalam bahasa Jawi.
Begitu juga dengan Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Mahmud al-Kedahi. Beliau mahir
dalam bidang nahu Bahasa Arab, Feqah dan
Hadis. Beliau mengajar ilmu-ilmu tersebut di Madrasah Nurul Iman, Hulu Langat.
Ramai
dikalangan tokoh-tokoh agama di Tanah Melayu pada ketika telah mendirikan
madrasah-madrasah untuk masyarakat Melayu mendapatkan pendidikan agama atau
lebih dikenali dengan sekolah pondok. Sekolah-sekolah jenis ini masih boleh
dilihat sekarang di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kesan
daripada penjajahan barat yang telah memperkenalkan bentuk tulisan rumi serta
memisahkan urusan agama dengan urusan dunia telah menyebabkan ramai masyarakat
Melayu kini tidak boleh menguasai tulisan Jawi dengan baik. Malah terdapat
anak-anak Melayu yang buta huruf Jawi.
3.2 Evolusi Pendidikan Di Malaysia Selepas Merdeka
Dalam
lipatan sejarah pendidikan negara, sistem pendidikan di Malaysia telah
mengalami evolusi sejak tercapainya kemerdekaan. Sistem kebangsaan yang
dibentuk berasaskan perakuan-perakuan di dalam Penyata Razak, Laporan Rahman
Talib (1960) dan Akta Pendidikan (1996). Setiap perubahan yang dibuat adalah
untuk menambah baik kelemahan-kelemahan sedia ada disamping untuk memastikan
ianya sesuai serta memenuhi keperluan masyarakat di Malaysia yang majmuk. Berikut adalah perinciannya:
3.2.1 Penyata Razak (1956)
Menteri
Pelajaran ketika itu Y.B. Dato' Tun Abdul Razak Hussein menubuhkan Jawatankuasa
Pelajaran dan mengesyorkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan dan
laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangan-cadangan dalam
penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957
Tujuan
Penyata Razak adalah:
a) Menjadikan
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar
di sekolah;
b) Mengeratkan
perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di
Tanah Melayu;
c) Mengembangkan
sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan;
d) Menyediakan
kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang
berdisplin, terlatih, liberal dan progresif;
e) Mewujudkan
sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan;
f) Mewujudkan
masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih , lieral dan progresif; dan
g) Memenuhi
keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan
3.2.2 Laporan Rahman Talib (1960)
Laporan
Talib yang diperakukan dalam Akta Pendidikan 1961 telah mengabdikan cita-cita
yang terkandung dalam Laporan Razak dan menggariskan hasrat sistem pendidikan
Kebangsaan yang terdapat sekarang. Terdapat empat aspek penting dalam laporan
ini iaitu:
a) Menjadi
titik permulaan ke arah pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar
utama dan proses penukaran bahasa pengantar
b) Mewujudkan
sistem peperiksaan persekolahan yang sarna walaupun berlainan bahasa di
peringkat rendah, menengah,dan menengah atas
c) Memberi
penekanan kepada pendidikan teknik dan vokasional untuk keperluan tenaga mahir
d) Memberi
penekanan kepada pendidikan moral dan keagamaan untuk keperluan kerohanian
sebagai teras.
Di
antara beberapa perubahan dan pindaan yang dibuat dari Laporan Razak yang
dikenali dengan Laporan Rahman Talib ialah:
a) Pelajaran
di sekolah rendah adalah percuma;
b) Sekolah
rendah menjadi sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan;
c) Sekolah
pelajaran lanjutan merupakan persekolahan hingga umur 15 tahun;
d) Murid
naik darjah secara otomatik;
e) Pelajaran
agama Islam bagi murid-murid hendaklah sekurang-kurannya 15 orang; dan
f) Pendidikan
akhlak dititikberatkan
Selepas
itu Sistem Pendidikan Aneka Jurusan ditubuhkan pada 1965 bagi Sekolah Menengah
Rendah menggantikan Sistem Pelajaran Lanjutan yang dihapuskan. Mata pelajaran
aneka jurusan di sekolah menengah pada waktu itu ialah Seni Perusahaan, Sains
Rumah tangga, Sains Pertanian dan Perdagangan.
Walaupun
hasrat dan tujuan Akta Pendidikan 1961 ini untuk menyatukan kaum yang ada di
Malaysia, tetapi secara praktikalnya, sukar untuk mencapai matlamat itu
memandangkan pola tempat tinggal yang berlainan. Misalnya orang Melayu tinggal
di kampung-kampung dan pinggir pantai, kaum Cina tiggal di kawasan perlombongan
dan kaum India di kawasan ladang-ladang getah. Dengan ini tentulah amat sukar
untuk menyatukan mereka.
Selepas
dari Laporan Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan
Hussein Onn (1971) dan Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah
untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan
Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.
3.2.3 Akta Pendidikan 1996
Selaras
dengan cabaran dalam bidang pendidikan dan pihak keprihatinan kerajaan dalam
bidang pendidikan, Akta Pendidikan 1996 telah digazetkan dan diluluskan oleh
Parlimen. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah merupakan kepentingan awam.
Peranan sistem pendidikan sangat penting dalam pembangunan negara. Pendidikan
yang berkualiti dan cemerlang merupakan usaha murni untuk membangunkan generasi
alaf baru.
Penguatkuasaan
Akta Pendidikan 1996 telah membuat penilaian semula ke atas definisi pendidikan
iaitu:
“Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dan
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkanwarganegara Malaysia
yang berilmu pengetahuan,berketerampilan,berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”[22]
Berdasarkan
Akta Pendidikan 1996, ianya telah diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan
sistem pendidikan yang mengambilkira prinsip-prinsip kesamarataan hak-hak
sosial setiap masyarakat Malaysia untuk menjadikan modal insan yang berkualiti.
Matlamat jangka panjang ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju
dengan menyediakan modal insan (human capital) yang seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani.
3.3 Sistem Pendidikan Di Malaysia Masa Kini
Di
Malaysia sistem pendidikan adalah di kategorikan kepada 3 peringkat[23].
Iaitu:
a. Peringkat
pertama: Sekolah Rendah (primary level)
b. Peringkat
kedua: Sekolah Menengah (secondary level)
i.
Menengah Rendah
ii.
Menengah Atas
iii.
Tingkatan 6
c. Peringkat
Ketiga : Pengajian Tinggi (tertiary level)
Sistem
pendidikan di peringkat Rendah memakan masa selama 6 tahun, peringkat Menengah
Rendah memakan masa selama 3 tahun sementara Menengah Atas adalah selama 2
tahun dan pada peringkat Tingkatan 6 adalah selama 2 tahun. Ini diikuti dengan
Peringkat Pendidikan Tinggi yang terdiri dari 2 jenis iaitu maktab, politeknik
dan universiti.
Peringkat-peringkat
pendidikan tersebut di atas boleh diklasifikasikan lagi kepada beberapa jenis.
Pendidikan Rendah contohnya terbahagi kepada 3 kategori iaitu:
i.
Sekolah Kebangsaan
ii.
Sekolah Rendah Kebangsaan
iii.
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina)
dan (Tamil)
Begitu juga pada peringkat
Menengah. Ianya dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Sekolah Menengah
Kebangsaan, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Vokasional dan Sekolah
Menengah Agama.
BAB
4
PERANAN DAN SUMBANGAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD
4.0 Peranan Dan Sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad
Bab ini mengandungi
tiga bahagian utama, iaitu:
a. Bahagian pertama membentangkan
pemikiran Tun Dr Mahathir mengenai orang-orang Melayu;
b. Bahagian kedua
memperkenalkan pendekatan atau keadah yang digunakan oleh penulis untuk
mengenal pasti peranan dan perlaksanaan pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam
bidang pendidikan; dan
c. Bahagian ketiga
pula mengenal pasti dan menyenaraikan sumbangan-sumbangan pemikiran Tun Dr
Mahathir dalam bidang pendidikan
BAHAGIAN PERTAMA
4.1 Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad Mengenai Orang Melayu
Pemikiran Tun Dr Mahathir
mengenai sikap orang-orang Melayu tersebar dalam pelbagai media. Beliau telah menghasilkan buku-buku tentang
nasib orang-orang Melayu contohnya The
Malay Dilemma (1970) dan Menghadapi
Cabaran (1976). Buku The Malay
Dilemma ialah pandangan berani beliau menyuarakan pendapat yang
memperkatakan mengenai masalah ekonomi orang Melayu dan Bumiputera pada ketika
itu. Beliau telah memberi beberapa pandangan untuk menyelesaikan masalah
tersebut malahan beliau turut mengkritik ketidakcekapan kerajaan ketika itu
dalam usaha untuk memulihkan keadaan berikut. Walaupun buku tersebut
diharamkan, ada beberapa perkara dan pandangan yang hampir sama dengan Dasar Ekonomi
Negara (DEB) yang dilancarkan pada 1971 yang menerangkan bagaimana untuk
memperbaiki keadaan Bumiputera ketika itu.
Di dalam buku tersebut, Tun Dr
Mahathir telah membidas sikap fanatik orang Melayu yang sentiasa menyalahkan
takdir dan sering menerima kekalahan melalui sifat pasif mereka. Pada 1970,
Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman telah meletakkan jawatan dan
digantikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Ketika itu Tun Dr. Mahathir
kembali aktif dalam UMNO dan mendapat sokongan ramai. Kekalahan dan kekecewaan
sebelum ini tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus berusaha untuk
memperjuangkan isu-isu yang mempunyai kepentingan dengan orang-orang Melayu.
4.1.1 Sejarah Orang Melayu
Antara asas
pemikiran Tun Dr Mahathir ialah sikap beliau terhadap sejarah terutama sekali
nasib yang menimpa orang Melayu, antaranya dasar penjajahan British[24], kemasukkan
orang-orang Cina dan India yang dibawa oleh British ke Tanah Melayu, kemunculan
elit-elit aristokrat dan birokrat Melayu dan zaman penjajahan Jepun. Tun Dr
Mahathir telah menganalisa kehidupan orang-orang Melayu dan mencari sebab
mengapa orang Melayu mundur di tanah air mereka sendiri. Menurut Tun Dr
Mahathir, nasib yang melintasi kehidupan bangsa sedikit-sebanyak telah
meninggalkan kesan pada “mind-set” sosio-budaya, politik dan ekonomi orang
Melayu.[25]
4.1.2 Punca Kemunduran Orang Melayu
Munurt Tun Dr
Mahathir di dalam The Malay The Lemma
ialah kerana faktor genetik (baka) dan alam sekitar. Kedua-dua faktor ini telah
memberi kesan terhadap kemajuan bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Ini
kerana pada era sebelum tahun 70-an, kebanyakkan masyarakat Melayu gemar
berkahwin sepupu dan saudara terdekat. Namun Tun Dr Mahathir berbeza pendapat
mengenai isu genetik ini. Beliau telah menempelak sikap orang-orang Melayu
dengan mengatakan bahawa:
“Satu perkara diterima umum ialah faktor-faktor
keturunan memainkan peranan dalam perkembangan sesuatu kaum”[26]
Menurut Tun Dr
Mahathir di dalam buku yang sama, beliau berpendapat bahawa:
“Amalan begini agak biasa berlaku di kalangan
orang-orang Melayu. Pengaruh keturunan boleh juga menimbulkan kesan buruk di
dalam masyarakat yang menggalakkan setiap orang berkahwin, tidak kira sama ada
orang itu sihat atau tidak. Oleh itu oranng-orang cacat tubuh badan atau otak
juga berkahwin dan beranak pinak”.[27]
Tun Dr Mahathir
juga mengajak orang-orang Melayu untuk berfikir dengan beliau telah membuat
perbandingan di antara adat perkahwinan orang Melayu dan Cina. Kata beliau:
“Kalau begitu memang wajarlah dikatakan bahawa
pembiakan seketurunan dan amalan kahwin paksa di kalangan orang Melayu lebih
tinggi kalau dibandingkan dengan kaum-kaum lain”[28].
Setelah membahaskan
isu pengaruh genetik pada perkembangan bangsa, Tun Dr Mahathir juga turut
membincangkan isu alam sekitar turut mempengaruhi cara masyarakat Melayu dalam
aspek ekonomi dan bersosial. Beliau mengatakan bahawa:
“Alam sekitar turut
memainkan peranan yang penting dalam membentuk diri seseorang, keluarganya dan
kaumnya. Di samping faktor keturunan, alam sekitar adalah faktor yang sangat
penting dalam membentuk perkembangan manusia dari segi fizikal, mental dan
psikologi”.[29]
Alam sekitar yang
melingkungi orang Melayu adalah subur dan tidak banyak halangan untuk
memperolehi sumber makanan, justeru itu kehidupan orang-orang Melayu adalah
relatifnya selesa. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Tun Dr Mahathir:
“Sebilangan besar orang Melayu terlibat di dalam penanaman
padi, iaitu satu pekerjaan bermusim. Kerja-kerja yang sebenarnya hanya memakan
masa dua bulan dan hasilnya dapat menampung bekalan hidup untuk selama setahun.
.. masa lapang mereka begitu banyak”.[30]
“Iklim negeri ini panas dan lembab juga tidak begitu
menggalakkan bagi pekerjaan berat ataupun daya pemikiran yang lebih aktif. Oleh
itu penduduknya kecuali sebilangan kecil lebih suka duduk rehat-rehat atau
berbual dengan jiran tetangga dan rakan-rakan mereka”.[31]
Dalam aspek
pertanian moden yang memerlukan penerokaan tanah-tanah baru, penanaman padi
adalah memerlukan guna tenaga yang banyak serta mengakibatkan keletihan. Tun Dr
Mahathir juga turut mengupas bahawa masyarakat Melayu yang mendiami kawasan
luar bandar adalah kurang keazaman untuk berjaya seperti tegasnya:
“Azam mereka untuk maju memang tidak begitu kuat
kerana kurangnya hubungan dengan dunia luar jadi semakin tipis. Lama-kelamaan
ketinggalan di dalam berbagai bidang”.[32]
Berbeza dengan
orang-orang Melayu di bandar[33] yang telah
mengamalkan perkahwinan campur, mereka juga lebih terpelajar berbanding dengan
orang Melayu luar bandar. Kemajuan yang dibawa penjajah British khususnya telah
mencorakkan imej baru masyarakat Melayu di bandar.
BAHAGIAN KEDUA
4.2 Perubahan Semasa Menjadi Menteri Pelajaran
Selepas Tun Dr
Mahathir berjaya memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu dengan menang tanpa bertanding
di dalam Pilihan Raya Umum 1974, [34] beliau telah
mendapat tempat di dalam barisan kabinet Allahyarham Tun Abdul Razak. Beliau
telah dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 6 Oktober 1974.
Semasa menjadi
Menteri Pelajaran, beberapa perubahan telah dibuat iaitu:
a. Tindakan pertama
beliau selaku Menteri ketika itu ialah mengubah dasar pendidikan negara dengan
melaksanakan usaha-usaha untuk membasmi dan menghapuskan kemiskinan dan
mewujudkan keadilan kepada semua;
b. Tindakan kedua
beliau ialah meminda Akta Universiti dan Kolej 1974 dengan meletakkan
pentadbiran universiti secara langsung di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau
telah mendapat banyak tentangan serta halangan daripada ahli akademik dan
mereka yang terlibat di dalam pendidikan, namun beliau tetap dengan segala
tindakan yang dilakukannya dan telah berjaya melenyapkan segala
kritikan-kritikan terhadap dasar-dasar pendidikannya.
4.3 Perubahan Semasa Menjadi Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir telah melakukan banyak
perubahan di dalam pentadbiran negara. Semenjak awal pelantikan sebagai Perdana
Menteri, beliau telah menyeragamkan sistem dan cara bekerja dengan mengadakan
sistem kad perakam waktu, pengenalan tag nama, sistem simpanan fail, urusan
surat menyurat dan pos, panduan dan penyelarasan dalam segala urusan pejabat.
Selain itu, beliau juga telah memperkenalkan slogan di dalam pentadbiran awam
negara di antaranya Kepimpinan melalui Tauladan, Dasar Pandang ke Timur dan
Penerapan Nilai-Nilai Islam di dalam pentadbiran. Melalui usaha ini, telah
banyak perubahan telah dilaksanakan seperti etika kerja yang baik, penerapan
nilai-nilai murni yang positif, rajin, efektif serta efisyen dan lain-lain.
Beliau juga telah melancarkan usaha
memerangi Rasuah dengan slogan “Bersih, Cekap dan Amanah” kepada semua pegawai
dan kakitangan kerajaan. Di zaman pentadbiran beliau, masalah ekonomi dunia
telah dilanda kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara
seluruh dunia terutama negara-negara Asia seperti Thailand, Filipina dan
Indonesia. Beliau telah berjaya menyelesaikan masalah ini dengan menambat mata
wang ringgit Malaysia kepada Dollar Amerika. Badan Kewangan Dunia seperti Bank
Dunia dan International Monetary Fund (IMF) telah mengkritik tindakan beliau
namun ia terbukti berjaya apabila Malaysia merupakan satu-satunya negara yang
terlepas dari belenggu kegawatan dan pelbagai syarat yang ditetapkan oleh
mereka. Tindakan berani dan bijak ini telah mendapat pujian daripada Horst Kohler,
Pengurus Besar IMF.
Tun Dr
Mahathir mempunyai aspirasi yang begitu tinggi untuk menyatukan setiap matlamat
negara ke arah pembentukan sebuah negara yang membangun. Beliau mempunyai
pandangan yang jauh untuk kesejahteraan dan kemakmuran, dan menebus maruah
bangsa, memajukan negara dan meletakkannya di persada antarabangsa. Segala
perancangan adalah di dalam bentuk jangka panjang menunjukkan satu titik
permulaan dan penyatuan negara secara keseluruhannya. Tun Dr Mahthir telah
berjaya merealisasikan impian dan harapan rakyat selaras dengan kehendak
Wawasan 2020 ke arah kemajuan negara.Wawasan 2020 yang telah diperkenalkan oleh
beliau dijadikan sebagai asas dan panduan untuk mencapai matlamat negara yang
maju dan sistematik dari segi sains dan teknologi, ekonomi dan infrastruktur
bertaraf dunia. Ia merupakan idea yang akan membawa negara ke arah mercu dengan
mempunyai panduan hala tuju tindakan di masa hadapan.
Beliau yakin
dan percaya bahawa setiap rakyat perlu memainkan peranan agar wawasan ini akan
berjaya dilaksanakan menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi dan maju menjelang
tahun 2020. Untuk mencapai segala matlamat yang dirancang, beliau telah
merancang strategi untuk meghadapi beberapa dugaan dan cabaran kepada generasi-generasi
yang akan datang terutama dalam aspek pendidikan.
BAHAGIAN KETIGA
4.4 Pendidikan Untuk Orang Melayu Dan Kaum Wanita
Keperhatinan Tun Dr
Mahathir Mohamad tentang pendidikan orang-orang Melayu dan golongan wanita
adalah sangat tinggi. Daripada 6 tulisan beliau di The Straits Times adalah
menyentuh tentang pendidikan orang Melayu di peringkat menengah Inggeris dan
pendidikan university di kalangan anak-anak Melayu dan juga wanita Melayu. [35]
Pada 1947 beliau
pernah menulis “Unless social reforms are
carried out, and that quickly Malay girls would be in danger of being neglected
and despised by boys of their own race.”[36]
Dengan social
reform menurut Tun Dr Mahathir adalah merujuk kepada: “A sound education system and through knowledge of modern housecraft
should be made available to Malay girls. Religiuos teaching designed to enable
them to distinguish between good and evil of Western culture must be initiated.
Let all Malay parents admit the inevitability of these reforms and take an
active part in them…. And as for the political bodies; they must shape a
difinete policy immediately on social problems or else….”[37]
Tun Dr Mahathir
juga ada menjelaskan bahawa kerajaan perlu menyediakan peluang pelajaran yang
komprehensif untuk orang-orang Melayu. Ini kerana pada 1948 Tun Dr Mahathir
telah menulis tentang “The Malays and
Higher Education” beliau mendapati bahawa daripada 17,000 murid Melayu yang
menghadiri sekolah kurang daripada 100 orang yang menghadiri sekolah Inggeris.
Oleh itu Tun Dr Mahathir telah menggesa kerajaan dan ahli politik Melayu supaya
memperjuangkan hak orang Melayu dalam pendidikan ini mengelakkan orang Melayu
jauh ketinggalan di belakang berbanding kaum-kaum lain.[38]
4.5 Bahasa Sebagai Ejen Perpaduan Dalam Proses Pendidikan
Memetik pendapat
Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam “The Malay The Lemma”
“Selain dari fungsi menyampai dan memajukan
pengetahuan, dasar pelajaran mana-mana negara sekalipun biasanya adalah suatu
cara bagi menanamkan dalam fikiran bakal rakyat perasaan bersatu, taat setia
dan bangga terhadap negara. Di negara-negara yang baru merdeka, pelajaran
dipergunakan dengan meluas untuk tujuan di atas”[39].
Tun Dr Mahathir
seterusnya telah kemudiannya merujuk kepada kejayaan negara maju seperti
Amerika dan Australia yang mana telah membangunkan sistem pendidikan negara
masing-masing dengan jayanya iaitu dengan adanya satu bahasa yang menyatukan rakyat
Amerika dan Australia iaitu penggunaan bahasa kebanggsaan sebagai bahasa
pengantar dan ejen perpaduan. Menurut Tun Dr Mahathir:
“Bahasa pengantar sangatlah penting dalam membentuk
perasaan bersatu. Oleh itu bahasa pengantar lazimnya adalah bahasa kaum yang
tetap. Memang sesiapa pun tidak terlintas untuk menuntut supaya bahasa
pendatang-pendatang baru dijadikan bahasa pengantar”. [40]
Walaubagaimanapun
menurut Tun Dr Mahathir, berbanding dengan bahasa pengantar yang penting ialah
seluruh kurukulumnya. Katanya:
“Pengajaran sejarah, geografi dan sastera semuanya
direncanakan untuk memupuk suatu idea yakni negara adalah milik penduduk tetap
dan untuk menjadi warga negara itu dan mendakwa menjadi milik negara itu, maka
seseorang itu hendaklah mengenal pasti dirinya dengan penduduk tetap. Mengenal
pasti ini meliputi segala-galanya dan sekali-kali tidak boleh ada kenal pasti
dengan negara atau kebudayaan lain. Mengenal pasti dengan penduduk tetap
bererti menerima sejarah mereka, geografi mereka dan sastera mereka, kebudayaan
mereka dan bahasa mereka dan menolak semua yang lainnya”[41]
Dengan ini dapatlah
disimpulkan bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4,
bahasa Melayu tetap diangkat menjadi bahasa kebanggsaan dan juga bahasa
pengantar di sekolah-sekolah seluruh negara. Bahasa juga memainkan peranan
sebagai ejen perpaduan rakyat. Dan ternyata Tun Dr Mahathir Mohamad sangat
berpegang kepada pepatah Melayu iaitu melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Jelas perpaduan di kalangan orang-orang Melayu dan bukan Melayu di pupuk sejak
mereka di bangku sekolah lagi. Ini kerana perpaduan adalah sendi kepada
kemakmuran dan keamanan negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
4.6 Model Ikutan Pendidikan Malaysia
Dasar Pandang Ke
Timur ini telah diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 8hb. Februari 1982
semasa Persidangan "5th Joint Annual Conference of MAJECA/JAMECA" di
Hilton Kuala Lumpur. Dasar ini bermakna, pihak Kerajaan akan membuat
pengkajian, penelitian dan pemilihan terhadap contoh-contoh dan teladan yang
terbaik daripada negara Jepun dan Korea dengan mengubahsuaikannya dengan
keadaan-keadaan di Malaysia. Adalah tidak tepat jika Dasar Pandang Ke Timur
ditakrif sebagai mengambil apa sahaja dari Jepun dan Korea untuk dipraktik di
Malaysia dan mengenepikan teladan yang boleh dipelajari dari negara-negara
Barat.
Tumpuan pandangan
Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas contoh-contoh yang harus di pelajari oleh
rakyat Malaysia ialah dari segi kemajuan Jepun dan Korea Selatan dari segi ekonomi, pendidikan, kesenian dan
kebudayaan. Ini kerana kemajuan kedua-dua negara ini adalah dipacu oleh
kecekapan, kesungguhan, nilai-nilai estetika (bersungguh-sungguh, rajin, setia,
hormat menghormati, menetapi masa) yang tinggi dalam cara hidup dan
berorganisasi masyarakat Jepun.
Oleh itu,
pendidikan untuk memanfaatkan pengalaman Jepun telahpun dibuat secara total cultural immersion. Mata pelajaran
Bahasa Jepun dijadikan bahasa pilihan dalam kurikulum sekolah menengah.
Universiti Malaya pula telah menubuhkan program matrikulasi Bahasa Jepun dan
pelajar-pelajar Malaysia dihantar ke Jepun untuk mengikuti program ijazah dalam
bidang kejuruteraan dan teknikal. Di samping itu dilaksanakan pelbagai program
susulan di antaranya ialah program kemahiran, kursus-kursus jangka pendek dan
program pertukaran pelajar di antara kedua-dua negara.
Kesannya daripada
Dasar Pandang ke Timur ini telah membawa perubahan yang positif telah menyediakan tenaga kerja yang berdaya
saing dari aspek 'kerajinan dan disiplin bekerja, kesetiaan kepada negara dan
perusahaan atau perniagaan di mana pekerja bekerja, keutamaan kepada kumpulan
dan tidak mementingkan diri sendiri, memberi focus kepada daya pengeluaran
(productivity) dan mutu yang tinggi (quality), peningkatan kecekapan,
pengurangan perbezaan dan perpisahan antara eksekutif dan pekerja am sistem
pengurusan yang menitikberatkan kejayaan jangka panjang dan tidak semata-mata
peningkatan dividen atau pendapatan kakitangan dalam jangka pendek, dan lain-lain
lagi yang dipercayai boleh menyumbangkan kepada kemajuan bagi negara kita.
Dasar Pandang Ke
Timur ini tidak bermakna bahawa Malaysia mengurangkan hubungan dagangannya
dengan rakan-rakan dagang seperti Amerika dan negara-negara Eropah. Sebaliknya
Kerajaan telah terus memperluaskan lagi perdagangannya dengan mengadakan
hubungan dengan rakan-rakan bukan tradisional di samping terus mengekalkan dan
memajukan hubungan perdagangan yang setia selaras dengan kepentingan negara.
4.7 Pendidikan Dan Isu Bahasa
Menurut Tan Sri
Awang Had Salleh, beliau berpendapat bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai
pendirian yang tertentu di dalam aspek pendidikan dan isu bahasa. Menurutnya
lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi keutamaan kepada perkara-perkara berikut
dalam caranya mentadbir dan mengurus negara, iaitu:
a. Perpaduan;
b. Keutuhan ilmu; dan
c. Penyertaan dan
pengagihan yang adil kekayaan negara dalam masyarakat Malaysia yang berbilang
kaum yang tidak saksama dari segi pemilikan kekayaan
Dalam aspek
perpaduan, pengalaman Tan Sri Awang Had Salleh menyatakan bahawa Tun Dr
Mahathir Mohamad pernah berucap kepada mahasiswa Universiti Malaya (UM) di
dalam Dewan Tunku Cancelor pada awal penubuhan UM. Tun Dr Mahathir menggunakan
sepenuhnya bahasa Melayu dan terdengar hiruk pikuk mahasiswa yang pada ketika
itu yang mirip sosialis. Mendengar ucapan yang berterusan dalam bahasa Melayu,
akhirnya kebisingan menjadi reda. Kemudian, Tun Dr Mahahir menerangkan kepada
hadirin yang hadir di dalam bahasa Inggeris bahawa beliau baru saja berucap di
dalam bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara mereka sendiri. Ketika itu
timbullah kesedaran dikalangan mahasiswa untuk menghormati bahasa kebangsaan
bahasa rasmi negara. [42]
Pada tahun 1974
(ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Timbalan Perdana Menteri), kerajaan
telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kabinet untuk mengkaji Perlaksanaan Dasar
Pelajaran dengan usul supaya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar
di sekolah jenis kebangsaan secara peringkat-peringkat. Namun ketika itu
kesediaan dan kematangan politik belum lagi wujud, maka tujuan perlaksanaan
bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan adalah
ditangguhkan dan mengekalkan status quo hingga ke hari ini. [43]
Namun begitu Tun Dr
Mahathir Mohamad lebih menitik beratkan pelajar-pelajar orang Melayu untuk
berkebolehan dan menguasai bahasa Inggeris . Ini kerana menurut beliau
pelajar-pelajar Melayu bukan sahaja lemah dalam bahasa Inggeris tetapi
berkacau-bilau pula dengan penguasaaan bahasa Melayunya. [44]
Di antara
tahun-tahun hampir umur persaraan Tun Dr Mahathir, beliau telah mengenengahkan
masalah penuntut-penutut lepasan Universiti tempatan tentang penguasaan bahasa
Inggeris mereka. Isu lemah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan orang-orang
Melayu bukan sahaja menyebabkan orang-orang Melayu itu sendiri ketinggalan ke
belakang dalam bidang sains dan teknologi malahan hilang daya saing ketika di
temuduga bagi kekosongan jawatan oleh syarikat-syarikat multinational yang
melabur di Malaysia. Isu lemah penguasaan bahasa Inggeris ini juga dilihat dari
aspek jurang pencapaian yang sangat besar di kalangan pelajar Melayu yang
tinggal di bandar san pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar.
Tun Dr Mahathir
Mohamad sangat percaya bahawa di dalam usaha untuk membenteras kaum Melayu
daripada terus ketinggalan di dalam kedua-dua bidang sains dan teknologi adalah
menjadi kewajaran pihak kerajaan untuk memastikan kewujudan profil di kalangan
pelajar-pelajar Melayu menunjukkan penguasaan bahasa kebangsaan yang tinggi
disamping cekap dan mahir dalam bahasa Inggeris.
Asprirasi Tun Dr
Mahathir ini menjadi realiti apabila Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan yang menetapkan bahasa
Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata
pelajaran Sains dan Matematik di semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering
menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun
Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003.
Akhirnya pada 8
Julai 2009 dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang
diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian
mendalam dilakukan. [45]
Isu penggunaan
bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara bagi mata pelajaran Sains dan
Matematik masih lagi belum selesai yang mana terdapat segelintir ibubapa
(terutama ibubapa yang tinggal dibandar) yang meminta kerajaan melalui Perdana
Menteri Malaysia sekarang iaitu Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
mempertimbangkan semula pemansuhan PPSMI menjelang tahun 2012. Menjawab soalan
wartawan berkenaan dengan permintaan
ibubapa terbabit mengenai kerajaan masih mengkaji saranan sesetengah ibu bapa
agar mata pelajaran Sains dan Matematik dibenarkan diajar dalam bahasa Inggeris
di beberapa sekolah terpilih, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata:
"Kami masih menilai cadangan tersebut dengan
mendapatkan pendapat serta reaksi ibu bapa, selain melihat sama ada kita boleh
wujudkan fleksibiliti. Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan akan membuat
keputusan mengenai hal ini," jelasnya.[46]
4.7 Pendidikan Tinggi Sebagai Sebuah Industri
Pada tahun 1993,
iaitu sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan kepada Parlimen tentang
Kajian Pertengahan Penggal Rancangan Malaysia Ke-6, beliau telah mengutara usul
berkaitan dengan bidang pendidikan. Beliau menyatakan adalah bidang pendidikan
perlu dibina sebagai satu komponen yang penting dalam industri perkhidmatan dan
akhirnya dinaik taraf kepada pendidikan bertaraf dunia dan menjadikannya
sebagai industri eskport.
Keperihatinan Tun
Dr Mahathir dalam bidang pendidikan ialah mengembangkannya menjadi salah satu
daya penggerak ekonomi negara. Pada ketika itu Malaysia telah dilanda krisis
ekonomi yang teruk dan satu pelan tindakan untuk mengurangkan perbelanjaan
kerajaan dengan mengurangkan kadar pengaliran matawang keluar negara telahpun
dibuat. Salah satu daripada punca pengaliran matawang ringgit keluar negara
ialah kos pembiayaan pendidikan bagi penuntut Malaysia di luar negeri. Kos
tersebut termasuklah kos pembiayaan kapal terbang, sewa tempat tinggal dan
elaun sara hidup.
Rentetan daripada
itu satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mempermudahkan penubuhan institusi
pendidikan tinggi, penganugerahan ijazah dan memperakukannya. Kerajaan juga
telah menggalakkan program berkembar di antara institusi pendidikan tinggi
swasta dengan universiti-universiti terkenal luar negara. Ini termasuklah
penubuhan kampus-kampus cawangan dalam negara.
Kita lihat dengan
jelas bahawa proses ini masih berjalan dan berterusan sehingga hari ini dengan
kemungkinan IPTS mengendalikan program ijazah itu sepenuhnya di dalam negara.
Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya oleh wartawan apabila melihat kejayaan
ini, beliau berkata bahawa konsep Malaysia menjadi hub kecermelangan pendidikan
di rantau ini bukan sahaja memantapkan matlamat awal menjadikan pendidikan
sebagai salah satu penjana ekonomi dan menarik pelajar-pelajar asing belajar di
Malaysia malahan Malaysia boleh dan mampu untuk mengeksport pendidikan keluar
negara. Bagi Tun Dr Mahathir kunci kejayaan ialah pengawalan kualiti. Ini dapat
dilihat dari petikan ucapan beliau semasa merasmikan International College, Bukit
Bintang di Kuala Lumpur pada Jun 1994:
“We must be rigorous with regard to standards if we
are to maintain the reputation of being providers of quality education. Our
credibility must not be undermined. We are aware that if we are not sufficient
vigilant, there is the temptation that in the pursuit of quick profits, dubious
arrangements will be resorted to and certificate mills will be set up. The
behavior of a few can undermine the credibility of the whole nation, and the
whole education industry will be brought into subsequent loss to everyone.”[47]
4.8 Pendidikan Dan Agama Islam
Tun Dr Mahathir
Mohamad sangat menekankan bahawa seseorang yang beragama Islam sepatutnya
menjadi seorang rakyat di sebuah negara yang maju. Memetik ucapannya pada 18
April 2004 kepada sebilangan cendiakawan di Maghribi, beliau berkata tidak
sepatutnya negara-negara Islam yang ada sekarang ini berada pada tahap yang
mundur dari segi ekonomi. Beliau telah menyingkap sejarah sarjana-sarjana Islam
semasa di zaman kegemilangan Islam dulu umat Islam sangat maju dalam pelbagai
bidang umpamanya ilmu sains, pelayaran, perubatan, astronomi, matematik, falaq
dan falsafah.
Sehubungan dengan
itu, Tun Dr Mahathir merasakan perlunya anjakkan paradigma mengenai pendidikan
agama khususnya di Malaysia. Pada 1983 kerajaan telah menubuhkan sebuah IPTA
yang berlandaskan Islam iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
UIAM merupakan salah sebuah universiti yang agak selalu diperkatakan di dunia
Islam. Ini kerana antara tujuan UIAM ditubuhkan ialah untuk menghidupkan
kembali konsep pembelajaran secara Islam dan meluaskan bidang pilihan kepada
umat Islam dalam pengajian peringkat tinggi. Maka tidak hairanlah sebahagian
daripada kos permulaan UIAM ini ditaja oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)
dan beberapa negara Islam.
Cadangan untuk
menubuhkan universiti ini lahir pada awal tahun 1982, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad,
mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk merancang dan menubuhkan Universiti
Islam di Malaysia. Setelah dipersetujui kabinet, UIAM telah ditubuhkan secara
rasmi pada 10 Mei 1983. Presiden pertamanya, Tun Hussein Onn telah dilantik
pada 16 September tahun yang sama.[48]
Begitu juga dengan
penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dahulu dikenali: Kolej
Universiti Islam Malaysia, KUIM) merupakan salah sebuah institusi pendidikan
tinggi awam di Malaysia pada 1998.
USIM merupakan
sebuah Universiti Islam Malaysia yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia
di permulaan abad ke-21. Ia merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang
ke-12 di negara ini dan didaftarkan dengan nama Kolej Universiti Islam
Malaysia. Di antara tujuan penubuhan USIM ialah memartabatkan pendidikan Islam
serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan negara dan menekankan
penggunaan teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan penyelidikannya.
Penguasaan bahasa Arab dan Inggeris di samping bahasa kebangsaan juga menjadi
tumpuan.
Dalam usaha
mempastikan matlamat tersebut terlaksana, USIM menetapkan syarat kemasukkan
kepada pelajarnya terhad supaya tumpuan khusus dapat diberikan untuk membina
ketrampilan, kebolehan dan disiplin serta keimanan yang jitu di kalangan
pelajar.[49]
Dengan penubuhan
UIAM dan USIM ini, nama Malaysia harum di kalangan negara-negara Islam sedunia
dan ianya dapat merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hub pendidikan
di rantau ini.
Bagi Tun Dr
Mahathir menuntut ilmu adalah satu jihad. Berkaitan dengan pemikirannya dalam
usaha untuk menggalakkan umat Islam seluruhnya dan umat Islam di Malaysia
khususnya supaya menguasai ilmu segala bidang. Bagi Tun Dr Mahathir, tanpa ilmu
pengetahuan ummah tidak akan dapat mempertahankan diri daripada pencerobohan
musuh. Tanpa ilmu juga ummah tidak akan berjaya menguruskan negara dan menjana
ekonomi dengan baik. Dalam ucapan beliau di Persidangan Isu dan Proses
Pembukaan Minda Umat Melayu Islam pada Januari 2002, Tun Dr Mahathir berkata
betapa umat Islam telah ditinggalkan oleh arus Revolusi Industri di Barat bila
pemikiran kita “tertutup bukan sahaja kepada ajaran atau pendapat kumpulan lain
berkenaan dengan agama, tetapi juga kepada keadaan dan perkembangan di
sekeliling, baik perkembangan dalam bidang ilmu atau ideology atau peningkatan
kebolehan manusia dalam bidang-bidang lain”.[50]
Beliau di dalam
ucapannya antara lain menegaskan bahawa: “Justeru
itu penguasaan ilmu sains dan teknologi dan perolehan hasil daripada ilmu-ilmu
ini juga adalah jihad, bahkan lebih baik daripada mereka yang secara buta tuli
menyerang musuh dan mengundang malapetaka kepada umat Islam yang lain”.[51]
4.9 Kemahiran Hidup Dalam Pendidikan
Pada awal tahun 1965,
pendidikan aneka jurusan iaitu Sains Pertanian, Sains Rumahtangga, Seni
Perusahaan, dan Perdagangan telah dilaksanakan yang mana pelajar dibenarkan
hanya memilih satu bidang daripada empat pilhan yang ditawarkan. Oleh itu dalam
sistem pendidikan aneka jurusan pelajar hanya belajar satu kemahiran sahaja dan
ini tidak memberi peluang pelajar-pelajar mempelajari pilhan lain.
Semasa Tun Dr Mahathir
Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau telah memasukkan input kepada kurikulum
sekolah mata pelajaran kemahiran hidup yang bermula daripada andaiannya bahawa
pendidikan tidak sepatutnya hanya mendedahkan pelajar kepada teori tetapi
sepatutnya juga amat bergantung kepada praktis.
Berdasarkan daripada
kelemahan pendidikan aneka jurusan, mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB)
diperkenalkan pada tahun 1989 yang bercorak terbuka yang mana pelajar
berpeluang mempelajari semua bidang elektif. Mata pelajaran ini merupakan
sebahagian usaha pendidikan ke arah mempertingkatkan kemahiran teknologi dan
keusahawanan. Mata pelajaran ini membekalkan kemahiran yang berguna dan
berfungsi agar murid boleh bertindak dan mengendalikan kehidupan harian secara produktif
dalam dunia teknologi dan industri yang kompleks dan sentiasa berubah. Pelajar dipupuk
sikap kerja yang positif seperti menghargai kerja yang berkualiti tinggi,
berinovasi dalam pembinaan projek, penuh yakin dan berdikari dalam daya usaha.
KHB merupakan satu mata
pelajaran amali yang berunsurkan teknologi. Ia ditawarkan kepada semua pelajar
di Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3. Matapelajaran ini dirancang adalah untuk
mencapai matlamat ke arah mempertingkatkan produktiviti negara melalui
penglibatan masyarakat secara kreatif, inovatif dan produktif. [52]
Mata pelajaran KHB,
mempunyai dua komponen iaitu bahagian teras dan pilhan.Bahagian teras mengandungi
tiga bahagian iaitu Kemahiran Manipulatif, Perdagangan dan Keusahawanan serta
Kekeluargaan. Bahagian pilihan pula mengandungi 3 bahagian iaitu pilihan
Kemahiran Manipulatif, Ekonomi Rumahtangga dan Pertanian.
Tan
Sri Awang Had Salleh berpendapat[53] bahawa cetusan idea Tun Dr Mahathir untuk
mewujudkan kursus kemahiran hidup dalam pendidikan adalah kerana faktor-faktor
berikut:
a. Pertama:
Latihan dan pendidikan perubatan yang diterima;
b. Kedua
: kerana amalan perubatan yang menjadikannya satu kemestian memiliki kemahiran
dalam pengubatan;
c. Ketiga:
mungkin juga ia tercetus daripada hobinya sendiri yang melibatkan kemahiran
kraf dan seni tembaga;
d. Keempat:
mungkin juga timbul dari kesedaran kepenggunaan di mana kejahilan dalam
kemahiran manipulasi asas menjadikan penguna amat tinggi kepergantungannya
kepada peniaga-peniaga kecil tertentu.
Oleh
itu melalui proses pendidikan, pelajar-pelajar harus didedahkan untuk
memastikan mereka mempunyai kebolehupayaan untuk mempraktiskan ilmu yang
dipelajari di sekolah atau di universiti sebagai langkah untuk membenteras
kepergantungan rakyat negara dalam bentuk serupa (d) ini.
4.10 Pendidikan Sains dan Teknologi
Satu lagi kejayaan
dan sumbangan Tun Dr Mahathir kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia amnya
ialah tentang penekanan matapelajaran sains, teknologi dan mematik. Umum
mengetahui bahawa Tun Dr Mahathir seorang yang sangat berminat dalam sains dan
teknologi. Kecenderungannya telah dipamerkan sejak zaman kanak-kanak dengan
beliau telah mengambil aliran sains semasa menuntut di Maktab Sultan Abdul
Hamid lagi. Beliau turut mengakui bahawa pendidikan dalam bidang perubatan
banyak membantu beliau dalam karier politik dan petadbiran negara. Beliau
berpendapat bahawa sains dan teknologi mempunyai peranan yang sangat luas untuk
pembangunan manusia sejagat. Berikut adalah pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad
mengenainya:
“Dalam erti kata yang amat luas sains ialah kaedah
sistematik penghuraian dan pengawalan dunia yang rasional dan adalah kajian
hukum alamiah sejagat. Perkembangan hukum, teori dan prinsip sains sepanjang
6000 tahun yang lalu ialah hasil minda manusia dalam usaha menuntut ilmu dan
mencari kebenaran. Sains tidak mencipta, tetapi menukar apa yang sedia wujud.
Kita seharusnya melihat ilmu dan sains sebagai prasyarat segala usaha manusia”.[54]
Selepas Tun Dr
Mahathir mengambil alih pentadbiran negara beberapa langkah penting telah di
ambil serta idea-idea baru dilaksanakan untuk mengembangkan sains dan
teknologi. Pada tahun 1986, Dasar Sains Negara telah dilancarkan.
Menurut Tun Dr
Mahathir lagi, keperluan pengurusan sumber manusia amat penting memandangkan
negara memerlukan golongan sains dan jurutera yang mencukupi kerana sains dan
teknologi amat penting untuk mewujudkan satu masyarakat saintifik yang
progresif. Beliau turut memasukkan elemen sains dan teknologi dalam salah satu
teras Wawasan 2020 iaitu pekara 7 adalah:
“Wewujudkan masyarakat saintifik dan progresif
inovatif dan memandang ke depan bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi
kepada penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa hadapan. Malaysia
sepatutnya mempunyai sebilangan saintis yang komited terhadap kerjayanya dan
Malaysia bukan sahaja memerlukan pekerja-pekerja yang tahu menggunakan
teknologi malah tahu mencipta teknologi baru untuk keperluan industri”.
4.10.1 Pembangunan Teknologi Kenderaan Bermotor
Selepas Tun Dr
Mahathir mengambil alih tampok pemerintahan negara, beliau telah melancarkan Proton
Saga merupakan model pertama keluaran syarikat automotif pertama Malaysia iaitu
PROTON, berasaskan model Mitsubishi Lancer Fiore. Ia dibangunkan buat pertama
kali di Shah Alam pada bulan September 1985. Pada tahun yang sama Tun Dr
Mahathir Mohamad telah merasmikan Jambatan Pulau Pinang pada September 1985
dengan menaiki Proton Saga yang menghubungkan Seberang Perai dan Pulau Pinang.
Perodua adalah
syarikat kereta Malaysia yang kedua selepas Proton. Dilancarkan pada 27 Ogos
1994, kilangnya terletak di tapak seluas 80 hektar di Sungai Choh,Serendah,
Selangor. Nama Perodua merupakan singkatan untuk "Perusahaan Otomobil
Kedua".
Tun Dr Mahathir
mensifatkan bahawa kejayaan yang dicapai oleh PROTON dan PERODUA membolehkan
negara menyediakan kenderaan mampu milik oleh ramai penduduk Malaysia. Bilangan
permintaan yang banyak dari penduduk Malaysia membolehkan kedua-dua syarikat
kenderaan nasional itu membangunkan komponen kenderaan dengan rangkaian jualan
seluruh negara disamping keupayaan penyelidikan bagi kenderaan penumpang.
Pada 7hb Februari
1995, Malaysia sekali lagi telah maju setapak dalam industri pembuatan
permotoran dengan wujudnya Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd, atau lebih
dikenali sebagai Modenas ialah syarikat pengeluar motosikal nasional yang
menghasilkan pelbagai model motosikal kecil 200cc untuk pasaran tempatan dan
antarabangsa. Ibu pejabat dan kilangnya terletak di Gurun, Kedah, Malaysia.
Modenas adalah usahasama syarikat Malaysia iaitu DRB Hicom dan 2 syarikat Jepun
iaitu Kawasaki Heavy Industri Ltd dan Nissho Iwai Corporation.
Dalam ucapan Tun Dr
Mahathir di Majlis Tandatangan Memorandum Persefahaman Pembangunan dan
Pembuatan Motosikal Nasional dan Jentera Kecil Pelbagai Penggunaan di antara
ketiga-tiga syarikat usahama itu pada 7hb Februari 1995 di Kuala Lumpur, Tun Dr
Mahathir berkata:
“Saya yakin pembangunan dan pembuatan motosikal
nasional dan jentera kecil kami akan memberikan satu lagi kemajuan besar dalam
bidang ini disamping membantu negara mencapai tahap penduduk yang memiliki
kenderaan bermotor pada kadar tinggi. Selain itu jentera kecil pelbagai
penggunaan boleh digunakan secara meluas dalam sektor pertanian dan pembinaan
bagi membantu rakyat kami meningkatkan productiviti dan kecekapan dengan
perbelanjaan modal yang minimum”.[55]
Tun Dr Mahathir
juga melihat penglibatan Malaysia sebagai negara pembuat kenderaan permotoron
adalah sebagai batu loncatan bagi Malaysia untuk menembusi pasaran ASEAN, Asia
Timur, dan Eropah.
Jelas peranan dan
sumbangan Tun Dr Mahathir dalam bidang teknologi pembuatan kenderaan nasional
tidak dapat dinafikan. Malaysia berbangga mempunyai jenama kenderaan sendiri
setanding dengan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat (Ford,
Jeep, Pontiac), German (Mercedez, BMW), Italy (Fiat) dan Perancis (Peugeut).
Namun begitu usaha
gigih untuk meningkatkan kualiti pembuatan hendaklah sentiasa dibuat supaya
Malaysia boleh menjadi negara pengeksport kereta dan memasuki negara maju
tersebut sebagaimana kejayaan syarikat-syarikat Jepun menembusi pasaran Amerika
Syarikat,dan negara-negara Timur Tengah (negara-negara Teluk).
4.10.2 Pelancaran Program Satelit Micro Malaysia (MEASAT)
Malaysia telah
memasuki industri Angkasalepas dan telekomunikasi secara rasmi pada 13hb
Januari 1995. Program satelit micro telah membawa Malaysia selangkah ke hadapan
yang mana rakyat Malaysia sudah mampu mereka bentuk, membina, membuat dan
melancarkan kapal angkasa Malaysia. Kontrak Measat 1 dan Measat 2 telah
ditandatangani pada Mei 1994 telah membuka jalan bagi penyertaan Malaysia dalam
bidang teknologi aeroangkasa dan telekomunikasi. Dengan pelancaran sistem
Measat ini ianya boleh dijadikan platform dalam bidang penyelidikan dan
pendidikan aeroangkasa disamping menyokong pembangunan infrastrutur
telekomunikasi dan berteknologi tinggi.
Measat 1 dan Measat
2 telahpun dilancarkan serentak ke orbit pada tahun 1996 dengan menempatkan
sistem satelit micro. Satelit micro ini adalah seberat 50 kilogram telah direka
untuk menjalankan operasi sains dan pendidikan serta penderian jauh untuk
mengumpulkan data dari permukaan bumi untuk pengurusan sumber, kegunaan tanah
dan perlindungan alam sekitar[56].
Namun begitu
selepas persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad usaha murni dalam bidang ini tetap
diteruskan dengan pelancaran Measat 3 ke orbit pada tahun 2006.
Gambar 3: Juruteknik sedang mengendali satelit Sistem Pintar di El Segundo, California, menyediakan satelit perhubungan MEASAT-3.
Gambar 4: MEASAT-1 mengorbit atas Malaysia
|
Gambar5: MEASAT-3
mengorbit atas Malaysia
4.10.3 Malaysia Pusat Bagi Industri Tinggi
Semasa Rancangan
Malaysia Ke-4, Dasar Perindustrian Berat Negara telah diwujudkan. Tun Dr
Mahathir Mohamad telah menyarankan satu dasar digubal dengan anjakan paradigma
dalam struktur ekonomi negara yang sebelum ini berteraskan pertanian sama ada
secara sara diri ataupun komoditi, perladangan getah dan kelapa sawit dan bijih
timah. Dengan adanya Dasar Perindustrian Berat Negara atau nama singkatannya
HICOM bagi membawa gelombang perubahan baru dalam industi pembuatan kenderaan
negara terutama sekali industri permotoran.
Rasionalnya
penubuhan HICOM ini adalah kerana industri berat mempunyai potensi jangka
panjang dalam proses rancangan perindustrian negara kerana dasar ini adalah
merupakan satu langkah ke arah satu ekonomi yang lebih kukuh dengan memperluas
dan mengukuhkan asas dan struktur perkilangan agar ianya terus mampu menghadapi
pertumbuhan dan kematangan.
Selama ini,
Kerajaan adalah merupakan pelabur yang terbesar sementara sektor swasta kurang
memainkan peranan dan pelaburannya adalah terlalu lembap. Sektor ini tidak
dinamik di mana ia lebih bertindak balas kepada galakan dan perlindungan tanpa
memberi perhatian kepada 'new areas' dan berbelanja untuk penyelidikan dan
pembangunan. Pada masa-masa yang lepas sektor swasta lebih memandang ke dalam
(inward-looking) dan polisi ditujukan ke arah itu iaitu gantian import dan galakan
perlindungan tanpa memikirkan persaingan dalam pasaran dunia. Dasar
perindustrian berat diharap dapat mengubah keadaan ini agar sektor swasta
meningkatkan pelaburan mereka dan mengambil bahagian cergas dalam pembangunan
ekonomi melalui program perindustrian berat yang lebih sophisticated yang akan
mengwujudkan industri-industri sokongan dan berkemampuan untuk bersaingan dalam
pasaran dunia.
Kebanyakan
pelaburan sehingga hari ini, adalah 'assembly of packaging type'yang gagal
memberi peluang untuk 'forward or backward linkages'. Akibatnya, walaupun
proses perindustrian telah berlangsung selama 25 tahun, Malaysia masih belum
mempunyai 'industrial elite' dan masyarakat perindustriannya sendiri. Malaysia
perlu mempunyai kedua-dua ini jika mahu terus maju setanding dengan
negara-negara perindustrian yang lain.[57]
4.10.4 Pendidikan Dan Pemindahan Teknologi
Menurut statistik
projek pelaburan Jepun ke Malaysia pada tahun 1986, permohonan projek yang
disertai oleh syarikat-syarikat Jepun ke Malaysia dar 44 pada 1986 telah
meninggkat ke 229 iaitu 5 kali ganda. Modal pelaburan dari Jepun telah
meningkat daripada RM285 juta pada 1986 kepada RM6,738 pada 1990 lebih 23 kali
ganda jumlah pada 1986. [58]
Ketika berucap di
Majlis Perasmian Pembukaan Canon Opto (Malaysia) Sdn Bhd di Shah Alam pada 22hb
Februari 1991, Tun Dr Mahathir telah melahirkan hasrat beliau agar syarikat-syarikat
dari Jepun ini sanggup berkongsi teknologi mereka dengan syarikat tempatan.
Pemindahan teknologi ini bagi beliau sangat diperlukan bagi memacu ekonomi ke
arah perindustrian peringkat tinggi. Disamping itu rakyat Malaysia juga
mendapat peluang pekerjaan serta dapat dilatih dengan kemahiran dan kecekapan
bagi memenuhi keperluan industri.
Di dalam majlis
yang sama juga Tun Dr Mahathir telah memberi komitmen kepada syarikat-syarikat
Jepun dan asing yang melabur di Malaysia bahawa kerajaan Malaysia akan
menyediakan tenaga kerja dan kemudahan pelaburan dengan katanya:
“Malaysia menyediakan persekitaran ini. Kerajaan
Malaysia secara konsisten berjaya memastikan kestabilan politik serta dasar
ekonomi dan infrastruktur yang baik, termasuk tenaga kerja yang berpelajaran
dan terlatih. Pembangunan dan latihan tenaga kerja terlatih ini mesti dilakukan
oleh syarikat. Mereka perlu berusha menyemai etika dan budaya kerja yang baik
yang dapat menanam nilai tinggi dalam kesetiaan kepada syarikat dan
produktivi”.[59]
Pemindahan
teknologi oleh syarikat-syarikat asing terutamanya dari Jepun dapat membantu
rakyat Malaysia untuk memahami teknologi bagi kepentingan ekonomi negara.
4.10.5 Pendidikan Dan ICT
Pada lewat tahun
1990-an, minat Tun Dr Mahathir untuk menyediakan Malaysia maju dan lebih
berdaya saing berbanding dengan negara jiran seperti Singapura dan
negara-negara yang mempunyai kos buruh lebih rendah seperti China, India,
Indonesia dan Vietnam, beliau telah memperkenalkan projek Multimedia Super
Corridor yang menekankan IT sebagai asset rakyat untuk menjadi negara maju
menjelang tahun 2020. Pada 1hb Ogos 1996 Tun Dr Mahathir telah merasmikan
Multimedia Super Corridor semasa Persidangan Multimedia Asia.
Kelebihan Daya
Saingan MSC akan membolehkan perkembangan industri telekomunikasi serta
multimedia sebagai salah satu kemudahan asas di Malaysia. Idea Tun Dr Mahathir
Mohamad menggabungkan kedua-dua industri tersebut telah membolehkan Malaysia
untuk menyediakan frasarana kepada pelabur-pelabur asing (FDI) dan juga
pelabur-pelabur tempatan (MDI) untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pelaburan
mereka.
Multimedia
merupakan gabungan antara bunyi, data, grafik dan video. Sementara itu,
industri telekomunikasi telah membolehkan hubungan jarak jauh didekatkan dengan
rangkaian komputer. Masa depan untuk perkembangan industri multimedia serta
telekomunikasi bergantung kepada pergabungan kedua-dua teknologi untuk
memberikan lebihan daya saingan kepada syarikat yang menjalankan perniagaan
strategik.
Adalah dianggarkan
bahawa pasaran multimedia akan mencecah angka US$3.5 trilion menjelang tahun
2002. Ini adalah lebih kurang saiz ekonomi negara USA pada awal tahun 1980an.
(Bradley P.Holmes, Multimedia Global Alliances:Business Opportunities on the
Information Highway, APT Jurnal Jan 1995). Memandangkan "kek ekonomi"
bagi industri multimedia adalah terlalu besar untuk mana-mana negara, maka
langkah Malaysia mewujudkan MSC untuk turut bersama negara-negara lain dalam
pembangunan industri multimedia adalah langkah bijak. Walaupun Malaysia baru
menceburi bidang teknologi maklumat secara serius dan terdapat gergasi industri
teknologi maklumat di Silicon Valley, California, Amerika Syarikat, tetapi MSC
menawarkan beberapa tarikan yang boleh disifatkan sebagai lebihan daya saingan
MSC berbanding lokasi lain di dunia.[60]
Dengan adanya minat
Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bidang ICT, kesemua perancangan pendidikan
menengah dan peringkat universiti telah digerakkan ke arah itu. Penubuhan
berbagai universiti yang menawarkan kursus-kursus seperti Teknologi Maklumat
dan kursus-kursus yang relevan dengan tuntutan baru dalam bidang ICT ini telah
turut diwujudkan. Ini adalah salah saru usaha beliau yang sentiasa konsisten
untuk membantu anak-anak Malaysia amnya dan masyarakat Melayu khususnya
terutamanya sekali golongan muda yang mahir, separuh mahir dan peka kepada
perubahan dan tuntutan alaf baru.
BAB KELIMA
CABARAN
5.0 Cabaran
Setiap invidu di
Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk mendapat pendidikan tidak mengira
umur, jantina atau pun bangsa. Dasar Pendidikan Negara menginginkan pelajarnya maju
dari segi intelek, rohani, jasmani, emosi dan sosial. Walaupun begitu penulis
beranggapan bahawa terdapat cabaran-cabaran yang perlu diambil kira oleh setiap
rakyat Malaysia untuk memastikan bahawa Malaysia benar-benar menjadi negara
maju menjelang tahun 2020. Antara cabaran-cabaran tersebut ialah:
5.1 Perpaduan Melalui Pendidikan
Sehingga ke hari ini
pelbagai pendekatan yang telah dibuat oleh kerajaan untuk memastikan bahawa
semua rakyat Malaysia sentiasa mumpunyai semangat bersatu padu. Penulis
menyokong penuh akan Konsep 1 Malaysia yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Mohd
Najib Tun Abdul Razak pada 1hb Julai 2009. Namun jika amati dengan teliti usaha
untuk menyatu padukan rakyat Malaysia telah mengalami satu proses yang panjang.
Dengan cabaran-cabaran dalam masalah kegawatan ekonomi dan sistem politik
jikalau tidak stabil boleh menggugat semangat perpaduan negara. Oleh itu
mendepani cabaran perpaduan, usaha-usaha melalui proses pendidikan mestilah
diteruskan supaya memastikan rakyat Malaysia sentiasa dalam keadaan aman
sejahtera dan tidak perasaan syak wasangka diantara satu sama lain. Perpaduan
dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara
sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat
bersama secara jujur dan ikhlas.
Dalam kata lain
perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu
identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan Negara. Di
samping itu juga, definisi perpaduan[61]
menurut Kamus Bahasa Melayu mentakrifkan sebagai penggabungan, peleburan,
persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu,
sepakat dan sebagainya. Manakala definasi pendidikan[62]
pula, pendidikan bermaksud
sesuatu proses belajar dan juga mengajar. Manakala maksud bagi perkataan memperkasakan
adalah memantapkan atau mengukuhkan sesuatu.
5.2 Peranan Pendidik Pada Masa Akan Datang
Profesion sebagai
pendidik adalah satu kerjaya sangat murni dan mulia.Dengan memasuki satu lagi
era baru, peranan pendidik bukan sahaja sebagai pemudah cara kepada pelajar.
Tetapi pendidik mesti sentiasa peka dengan kehendak industri demi kepentingan
negara. Oleh itu, setiap pendidik di Malaysia hendaklah sentiasa perlu lebih
sedia dan peka bagi mewujudkan dan
menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Pelajar
perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Malahan,
pelajar dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu
pembelajarannya. Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis.
Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang
membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan
dan maklumat. Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar
membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.
Pendidik masa hadapan
bukan lagi bersifat pemudah cara, tetapi juga pembimbing, pakar motivasi,
mempunyai kemahiran membaca Al-Quran dengan baik, mempunyai pengetahuan dalam
bidang Al-Hadith agar pendidik itu sendiri benar-benar mempunyai dunia yang
bukan sekadar untuk menjadi pemudah cara malahan juga sebagai tempat rujukan
(source of reference) kepada anak-anak didiknya.
5.3 Cabaran Dalam Aspek Pembangunan Insan
Dalam mendepani masalah
gejala sosial dan pergaulan bebas muda-mudi terutama sekali golongan
pelajar-pelajar Melayu di negara kita, sistem pendidikan mestilah mapan untuk
menangani masalah sosial ini. Masalah sosial telah dikupas saban hari di
dada-dada akhbar umpamanya gejala pecah rumah, penghisapan rokok, meragut,
penzinaan di kalangan remaja, pembuangan bayi, pengguguran bayi, penyalahgunaan
dadah dalam bentuk yang semakin canggih seperti pil-pil khayal dan sebagainya.
Kita tidak dapat menafikan bahawa kesan kemajuan dalam bidang ekonomi telah
menyebabkan kedua ibubapa sibuk bekerja. Anak-anak diberi tanggungjawab
sepenuhnya untuk guru-guru membimbing bukan sahaja dalam mata pelajaran
pengkhususan guru terbabit malahan tanggungjawab guru adalah memastikan akhlak
pelajar-pelajar juga dibentuk disekolah.
Sudah tiba saatnya bagi
pendapat penulis bahawa pra-syarat untuk menjadi seorang pendidik harus boleh
membaca Al-Quran walaupun seorang guru itu mengajar sains, atau pun mata
pelajaran sejarah sekalipun. Penulis berpendapat bahawa untuk membenteras masalah
sosial yang berluasa sekarang ialah bukan dengan pendekatan fizikal sahaja
tetapi harus diiringi dengan pendekatan rohani sekaligus.
5.4 Sentiasa Membuat Penilaian Semula Ke Atas Sistem Pendidikan Sedia Ada
Untuk mewujudkan satu
masyarakat yang benar-benar seimbang dari sepgi mental, jasmani dan rohani di
Malaysia, pembelajaran agama Islam hendaklah dilaksanakan hingga ke peringkat
universiti. Ini kerana mata pelajaran agama hanyalah bagi sistem pendidikan
yang sedia ada hanyalah diajar kepada pelajar-pelajar yang memasuki
sekolah-sekolah menengah kebangsaan termasuklah sekolah-sekolah aliran sains
dan berasrama penuh kerajaan setakat tingkatan 5 sahaja.
Bagi sekolah menengah
kebangsaan, adalah amat sesuai jika kerajaan melaksanakan mata pelajaran bahasa
Arab untuk pelajar-pelajar lebih memahami Al-Quran dengan lebih mudah. Ini
kerana kebanyakkan kes-kes masalah sosial bukanlah masalah remaja ataupun
ibubapa remaja yang tidak mendirikan solat tetapi tiada kemahiran membaca
Al-Quran dan kefahaman terhadap Al-Quran juga terlalu lemah. Jika kita ingin
benar-benar seimbang dalam aspek dunia dan akhirat, pendekatan ini haruslah
diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan untuk membuat penialain semula ke atas
sistem pendidikan sedia ada.
Pun begitu penulis juga sangat bersetuju dengan pandangan Tun Dr
Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Universiti Teknologi
Petronas (UTP) di Seri
Iskandar pada 22hb April 2010 bahawa sistem pendidikan perlu
diperbaharui dengan memasukkan elemen-elemen karakter bersama kebijaksanaan. Katanya
pembaharuan berkenaan perlu dilakukan oleh mana-mana negara sekali pun kerana
masih banyak perkara yang perlu dan telah tidak dimasukkan dalam sistem
pendidikan yang sedia ada.
"Masih terdapat ruang-ruang yang tidak digunakan dengan efektif, ini bagi mengelakkan lahirnya pelajar-pelajar yang mempunyai karakter tidak baik. "Pelajar yang mempunyai ilmu pengetahuan tetapi dengan karakter yang tidak baik membahayakan masyarakat...dia tidak boleh dianggap aset kepada kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Beyond Vision 2020".
Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji semula sistem pendidikan negara bagi mengelak perkara itu berlaku. Katanya, sukatan mata pelajaran turut memainkan peranan kerana ia perlu disesuaikan dengan masa dan keperluan pelajar.
"Setiap
mata pelajaran itu perlu dikaji mengikut keperluan pelajar dan apakah yang
ingin diketengahkan kepada mereka. Ia hendaklah memberikan ilmu pengetahuan
bagi memastikan mereka bersedia menghadapi dunia luar selepas meninggalkan
bangku sekolah," [63]
BAB KEENAM
KESIMPULAN
6.0 Kesimpulan
Selain
itu terdapat andaian bahawa perlaksanaan sistem pendidikan di bawah Dr.
Mahathir Mohamad yang lebih menitikberatkan kepada pendidikan sains dan
teknologi mempunyai serampang dua mata. Pertama ialah kerana merealisasikan
Dasar Pandang ke Timur dan Wawasan 2020 bagi menjadikan negara sebuah negara
industri yang maju. Keduanya ia adalah merupakan kesinambungan dari Dasar
Ekonomi Baru iaitu untuk memajukan orang Melayu agar setanding dengan kaum-kaum
lain bagi tujuan menjadikan mereka tenaga kerja yang profesional. Dari itu
mereka akan mengambil bahagian yang cergas dalam pembangunan negara dan
seterusnya menjamin keutuhan orang Melayu sendiri. [Summary
bab 1]
Kehidupan
semasa kecil dan remaja Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau telah mengalami fasa
penjajahan oleh 3 penjajah iaitu Siam, British dan Jepun. Beberapa pengalaman
lampau telah diamati dan mengangkatnya sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan
manafaat oleh beliau dan seterusnya menjadi tanda aras (benchmarking) didalam
membentuk dan membangunkan Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun
2020. Liputan sejarah yang menunjukkan British kalah kepada Jepun telah memberi
keyakinan kepada beliau bahawa Barat bukanlah bangsa yang terlalu agung
sehingga sukar disaingi.
Menurut
Rusdi dan Sivamurugan, gabungan idea yang diserap dan digubal sebagai falsafah,
“Mahathirisme” telah berjaya membawa
Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani dan dihormati di persada
antarabangsa[64].
Oleh
dengan itu, penulis sangat bersetuju dengan pernyataan Rusdi Omar dan
Sivamurugam Pandian bahawa ke semua aspek yang dinyatakan di atas telah
membentuk satu bentuk falsafah dan aliran pemikiran Tun Dr Mahathir mentadbir
negara dalam tempoh 22 tahun. [Summary bab 2]
Realitinya penulis mempunyai ruang yang
sedikit dan terlalu banyak keterbatasan untuk menulis kesemua peranan dan
sumbangan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang tempoh belaiu menerajui negara.
Beliau adalah pemimpin yang mempunyai karisma yang tinggi, cekal menghadapi
musuh-musuh politiknya sehingga beliau kekal memerintah selama 22 tahun untuk
menerajui Malaysia dari zaman pasca muram selepas kemerdekaan hinggalah ke
zaman kegemilangan Malaysia berjaya mengecapi ekonomi yang stabil.
Sebagai penutup kertas projek ini, memadailah
penulis membuat kesimpulan bahawa kepimpinan, pengalaman pahit di zaman
penjajahan, sifat, keperibadian, minat yang cenderung ke arah sains dan
teknologi, sikap yang sayangkan kepada orang-orang Melayu telah mendorong
beliau membangunkan Malaysia daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah
negara industri adalah sangat membangakan. Keberanian beliau yang sangat luar
biasa telah mengharumkan nama Malaysia ke persada dunia serta mendapat
pengiktirafan daripada pemimpin-pemimpin dunia yang lain.
Beliau sangat berbeza berbanding dengan 3
Perdana Menteri Malaysia yang lepas yang mana masing-masing mendapat pendidikan
dan pendedahan daripada luar negara. Tun Dr Mahathir Mohamad benar-benar
menunjukkan contoh tauladan dengan beliau sendiri adalah seorang graduan
tempatan telah berjaya untuk memimpin Malaysia ke tahap yang sekarang. Oleh itu
pada pendapat penulis, beliau mempunyai pendekatan yang sangat berbeza dan
langsung tidak mahu rakyat Malaysia mempunyai nilai pergantungan kepada model
pendidikan British atau Barat.
Prinsip dan formula beliau yang mengatakan
“buy British last” dalam usahanya untuk menghapuskan cengkaman dan manipulasi
British ke atas ekonomi Malaysia benar-benar menjadi dalam membangunkan
Malaysia dan masyarakat Melayu supaya boleh setanding dengan bangsa-bangsa yang
maju.
Peranan dan sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad
kepada masyarakat Melayu dalam era 1981 – 2002 dalam bidang pendidikan memang
besar dan jasanya hanya Allah SWT sahaja yang membalas. Di doakan Tun Dr
Mahathir Mohamad mendapat nikmat kesihatan yang kini sudahpun berusia 87
tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan