MAJLIS PERASMIAN PERTEMUAN DUNIA MELAYU 1982
Dr Mahathir Mohamad
Gambar Hiasan |
ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari para jemputan sekelian, khasnya para sarjana, penulis dan budayawan dari luar negeri, iaitu dari Indonesia, Negeri Thai, Filipina, Singapura, Brunai dan Sri Lanka.
2. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional yang telah mengambil daya usaha dan berjaya menganjurkan Pertemuan Dunia Melayu 1982 ini. Di atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk berucap sepatah dua kata, dan seterusnya merasmikan Pertemuan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih.
3. Pertemuan cendekiawan seperti ini, bukan sahaja memberi kesempatan untuk saudara-saudari berbincang dan mencari penyelesaian mengenai pelbagai persoalan sosio-budaya ras Melayu, tetapi juga akan dapat mengeratkan lagi hubungan setiakawan dan kerjasama serantau.
Saudara-saudari sekelian,
4. Hari ini, bila kita memperkatakan tentang 'Dunia Melayu', kita berhadapan dengan sesuatu yang kesamaran. Dari segi geo-politiknya, apa yang mungkin dianggap sebagai 'Dunia Melayu' merangkumi wilayah yang tersebar luas di Nusantara. Dari segi kebudayaan pula, ia merangkumi aneka budaya daerah dan kesukuan yang telah mengalami perkembangan yang agak terasing dan tersendiri semenjak runtuhnya Empayar Melayu dan wilayah ini dipecah-belahkan oleh penaklukan kuasa-kuasa asing.
5. 'Dunia Melayu' mempunyai sejarah gemilang sebelum kedatangan kuasa-kuasa asing ke rantau ini yang telah membahagi-bahagikannya. 'Dunia Melayu' di dalam sejarah merupakan pusat peradaban yang tinggi, pusat kebudayaan dan perkembangan ilmu pengetahuan, dan pusat perdagangan yang penting. 'Dunia Melayu' dapat berbangga dengan negarawannya, pahlawan-pahlawannya, ahli-ahli pelayaran dan penerokanya, tokoh-tokoh agama, sastrawan dan ahli falsafahnya. Kedatangan kuasa-kuasa Barat, bukan sahaja telah melenyapkan 'Dunia Melayu' dari lembaran sejarahnya yang gemilang, tetapi juga telah menodai "world-view" Melayu hinggakan 'Dunia Melayu' merupakan interpretasi mengikut kaca mata penjajah. Bukan sahaja kita telah dijajah dari segi politik, dan dengan putar belitnya diperas pula dari segi ekonomi, malahan cara pemikiran dan nilai-nilai kita juga telah disogok dengan pendapat-pendapat dan nilai-nilai mereka. 'Dunia Melayu' hampir hilang teras-teras identitinya, dan 'Dunia Melayu' hampir lenyap dari sejarah.
6. Syukur alhamdulillah, kebangkitan semangat nasionalisme telah dapat menebus semula 'Wilayah Melayu' walaupun bukan lagi seperti 'Dunia Melayu' di zaman kegemilangannya. Hari ini, apa yang kita dapati ialah negara-negara kecil yang merdeka di mana penduduknya mungkin berketurunan Melayu, atau cuma golongan minoritinya Melayu. Masyarakat keturunan Melayu tersebar di sana-sini, bukan sahaja di kawasan Nusantara dan Pasifik, malahan hingga ke beberapa tempat lain seperti Sri Lanka, Malagasy dan juga di Amerika.
7. Kita tidak boleh mengubah sejarah. Dan kita tidak harus memporak-purandakan suasana politik dengan mengapi-apikan nasionalisme Melayu sempit untuk mewujudkan 'Dunia Melayu' sebagaimana di dalam sejarah dahulu kala. Tetapi, kita boleh mengubah nasib kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara warisan Melayu sebagai warisan peradaban masyarakat dunia yang progresif. Dalam hal inilah saudara-saudari dibebankan dengan satu tugas yang amat mencabar. Usaha-usaha ini mestilah dilaksanakan dalam rangka geo-politik yang wujud pada masa ini.
Saudara-saudari sekelian,
8. Keruntuhan politik 'Dunia Melayu' bukanlah kerana nenek moyang kita tidak bersemangat dan tidak berani. Ia berlaku kerana kita berhadapan dengan bangsa yang lebih tinggi ilmu pengetahuan dan teknologinya daripada kita, dan ia berlaku kerana kita ditipu-helahkan, dan kita disemaikan dengan bibit-bibit perpecahan supaya kita tidak boleh bersatu-padu. Ia berlaku kerana, dengan cara halus, bangsa asing telah dapat menguasai fikiran kita, hinggakan kita memandang rendah kepada diri kita sendiri dan kepada apa sahaja yang ada pada diri kita.
9. Bangsa penjajah lebih menonjol-nonjolkan kebudayaan, supaya kita lebih mementingkan seni dan budaya, warisan dan sejarah, sementara ilmu pengetahuan, ekonomi dan politik dipisahkan supaya tidak diberi perhatian, dan supaya kita lemah. Kita juga disogokkan dengan nilai-nilai dan kebudayaan mereka supaya kita akhirnya hilang identiti, dan menyanjung tinggi apa yang ada pada mereka.
10. Sekarang, setelah merdeka kita perlu membebaskan diri kita dari segala rupa bentuk pengaruh yang melemahkan kita. Yang penting di sini ialah memupuk semula nilai dan keperibadian Melayu kita yang mempunyai dinamismenya sendiri. Dengan perkataan lain, kita perlu menebus semula maruah kita sebagai satu rumpun bangsa yang berkeperibadian tinggi, dan berkeupayaan menjadi manusia yang maju dalam semua bidang.
11. Inilah yang perlu menjadi teras "world-view" Melayu moden. Kita tidak harus lagi terperangkap sebagai "katak di bawah tempurung". Kita perlu berjejak di dunia nyata, dan mencari kemuliaan dan kemajuan di dunia nyata yang mencabar ini.
12. Salah satu alat yang boleh digunakan bagi menggerakkan usaha ke arah 'world-view' Melayu yang dinamis ialah dengan penulisan. Saudara-saudari yang menguasai alat ini, perlulah menggunakan daya penulisan dan daya kreatif bagi menggerakkan pemikiran 'Dunia Melayu' mengikut landasan-landasan yang telah saya sebutkan tadi. Sama ada dari segi penulisan sejarah, puisi, novel, cerpen, penyelidekkan, dan lain-lain, dorongannya haruslah untuk memupuk dan membangkitkan nilai-nilai mulia di kalangan suku-suku keturunan Melayu. Biarlah akhirnya sumbangan kita menjadi daya penggerak 'Dunia Melayu Baru' yang menyumbangkan kemajuan di setiap ceruk rantau di mana juga keturunan Melayu berada.
Saudara-saudari yang saya hormati sekelian,
13. Sekarang izinkan saya menyentuh 'Dunia Melayu' dalam konteks yang lebih khusus, iaitu konteks negara Malaysia.
14. Kebudayaan adalah keseluruhan manifestasi pemikiran dan nilai mulia sesuatu masyarakat. Perbincangan tentang kebudayaan harus bebas daripada segala prasangka politik. Tetapi, harapan ini tidak mungkin berlaku lagi dalam keadaan sekarang, di mana kebudayaan selalunya ditiup dengan semangat politik yang rumit dan sensitif. Hal ini amat jelas dalam percaturan politik di beberapa negara baru.
15. Kita juga berhadapan dengan masalah ini di Malaysia. Pembinaan kebudayaan kebangsaan berhubungan langsung dengan perpaduan nasional dan pembentukan keperibadian nasional berasaskan kehidupan rakyat berbagai keturunan, agama dan kebudayaan yang sama sekali berlainan. Tetapi, kita telah dapat meletakkan beberapa asas, semasa kita mencapai kemerdekaan. Yang menjadi beban kita sekarang ialah pelaksanaannya.
16. Dalam keadaan seperti ini, kebudayaan nasional bukanlah lagi warisan nenek moyang yang tumbuh dan berkembang serta mengalami perubahan melalui proses yang bebas. Malahan sebaliknya, kebudayaan nasional, seperti juga aspek-aspek kehidupan moden yang lain, perlu dibina dan dimajukan mengikut 'perancangan' dan dengan pendekatan serta strategi tertentu.
17. Beberapa tahun lalu, apabila menyebut 'perancangan kebudayaan' ada orang yang merasa aneh, kerana kebudayaan seharusnya tumbuh dan berkembang dengan natural, sebagai warisan manusia dari satu generasi ke satu generasi. Sekarang, 'perancangan kebudayaan' telah menjadi perkara biasa dan diterima. Sungguhpun sebenarnya suatu kehidupan itu merupakan satu warisan, namun ia tidak statik; ia sentiasa mengalami perubahan yang, ada kalanya, begitu radikal sifatnya. Kemampuan kebudayaan mengalami perubahan seperti ini, memberikan kita harapan untuk merancang dan melakukan perubahan-perubahan, sesuai dengan keperluan semasa. Kita boleh meninggalkan nilai-nilai dan amalan-amalan yang merugikan, atau yang bertentangan dengan kepentingan nasional; kita boleh memupuk dan memperkukuhkan nilai-nilai yang baik yang belum menjadi amalan masyarakat; dan kita boleh juga menanamkan nilai-nilai baru yang boleh membantu kita membina bangsa yang kuat. Dan ini semua dapat dilakukan tanpa merosakkan, malah memperkukuhkan keperibadian kita sebagai satu bangsa.
18. Kebudayaan Melayu, sejak ratusan tahun, telah memperlihatkan kemampuannya untuk berkembang di samping perkembangan kebudayaan luar, sama ada dari Asia mahupun dari Barat. Bahasa, kesusastraan, kesenian, pemikiran, nilai dan norma, dan cara hidup orang Melayu telah begitu banyak berubah. Oleh kerana itu, apabila dasar kebudayaan kebangsaan menetapkan kebudayaan kebangsaan akan hanya menerima unsur-unsur kebudayan asing yang sesuai dan wajar, ini bukanlah suatu hal yang baru, dan bukan pula sekadar kata-kata saja. Kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini, yang menerima asimilasi unsur-unsur kebudayaan asing, dan yang menjadikan Islam sebagai unsur yang penting, sebenarnya adalah sesuatu yang telah berlaku sejak ratusan tahun yang lampau. Perbezaannya ialah perkembangan pada masa lalu berlaku tanpa tindakan dan perancangan, sehingga ikut terserap unsur-unsur yang tidak membantu dan tidak diingini, malah menghalang pertumbuhan kebudayaan kebangsaan yang wajar, yang boleh membentuk satu bangsa yang kuat dan benar-benar setia kepada negara Malaysia.
19. Semasa kita membuat persiapan untuk kemerdekaan, dan juga waktu kita memulakan hidup sebagai negara baru yang merdeka, persetujuan bersama telah dibuat mengenai beberapa perkara pokok yang penting, yang dianggap sebagai asas bagi pembinaan bangsa dan negara kita yang moden ini. Perkara-perkara pokok itu telah menjadi asas kepada Perlembagaan negara kita. Rukunegara dan Dasar Ekonomi Baru juga dirumus dalam rangka yang telah dipersetujui itu.
20. Kita semua telah bersetuju, perpaduan dan keutuhan itu akan kita bina dan pupuk melalui satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan; satu kebudayaan, iaitu kebudayaan kebangsaan. Maka bahasa kebangsaan diasaskan kepada bahasa Melayu, dan kebudayaan kebangsaan ialah kebudayaan yang berteraskan kebudayaan rakyat asal pribumi Malaysia. Kebebasan untuk mengamalkan kebudayaan masing-masing sebagai kebudayaan kesukuan, dalam rangka dan batas-batas tertentu, adalah terjamin dalam Perlembangaan negara kita.
21. Dengan demikian, persoalan konsep kebudayaan kebangsaan tidak timbul lagi, sama seperti persoalan bahasa kebangsaan juga tidak timbul lagi. Yang menjadi persoalannya hanyalah usaha dan tanggungjawab untuk mengisi konsep ini, bagi kepentingan hidup bersama. Jika kita semua benar-benar inginkan sebuah negara yang aman makmur, dengan kehidupan rakyatnya yang damai serta bahagia, bahasa dan kebudayaan tidaklah seharusnya lagi dijadikan isu politik yang hanya akan menguntungkan golongan yang anti perpaduan, dan yang taat setianya boleh diragukan.
Saudara-saudari sekelian,
22. Usaha-usaha pihak penganjur dan ahli-ahli jawatankuasa penyelenggara Pertemuan yang bersejarah ini adalah membanggakan. Tentulah banyak masa, fikiran dan tenaga yang telah dicurahkan bagi menjayakan pertemuan seperti ini. Saya mendapat tahu, ada orang-orang yang 25 tahun lalu bertungkus lumus menyelenggarakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang pertama, masih ikut menyumbangkan tenaga dan fikiran bagi menjayakan Pertemuan Dunia Melayu 1982 ini. Adanya 'orang-orang lama' yang masih sanggup bekerja secara sukarela demi tujuan yang murni ini, adalah suatu perkara yang harus kita sanjung tinggi. Semoga, dengan semangat yang tidak kunjung padam seperti ini, kita dapat berusaha menebus maruah dan harga diri kita sebagai warganegara dunia yang mempunyai keperibadian dan peradaban tinggi.
23. Akhir kata, dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan Pertemuan Dunia Melayu 1982 ini dibuka dengan rasminya.
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
al-khattab
2.30 p.m. / 21 Jan 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan