Terdapat begitu banyak salah faham dan
kekeliruan tentang sejarah peringkat awal Asia Tenggara. Keadaan ini tidak begitu banyak berubah sepanjang 100 tahun
kebelakangan ini. Dalam artikel ini apa yang akan saya cuba bincangkan adalah
tentang teori alternative yang pada pendapat saya kurang diketahui oleh
masyarakat kita iaitu lokasi Shih-li-fo-shi atau Srivijaya di Chaiya selatan
Thailand. Sebenarnya teori ini bukan teori baru, namun demikian oleh kerana
teori Coedes dan Slamet Muljana yang amat popular mengatakan Srivijaya berpusat
di Palembang maka teori-teori lain terkubur dan terlindung dek bayang-bayang
teori aliran perdana ini. Melalui Hipotesis ini kita akan melihat bagaimana
sejarawan jepun Takashi Suzuki meletakkan pusat Srivijaya di Chaiya selatan Thailand.
Saya sebenarnya setuju bahawa Pusat terawal Srivijaya bukanlah bermula di
Palembang kerana masih tidak terdapat bukti kukuh hingga hari ini yang dapat
menyatakan dengan jelas bahawa Palembang adalah tempat bermulanya Empayar
Maritim Melayu ini.
Setakat ini yang dijumpai adalah prasasti-prasasti
yang belum cukup untuk membuktikan teori tersebut. Malahan candi-candi dan
kota-kota purba adalah susah sekali untuk dijumpai di Palembang. Namun jika
kita ke Semenanjung Tanah Melayu bermula dari Segenting Kera hingga ke
Negeri-negeri utara Malaysia banyak ruins atau runtuhan-runtuhan kota dan candi
serta tinggalan arkeologi yang boleh kita jumpa terutama di Kedah. Itu belum
lagi di Kelantan yang mungkin ada lebih banyak tinggalan kota-kota purba yang
hanya tunggu untuk digali. Begitu juga dengan inskripsi Grahi yang dijumpai di
Chaiya dan beberapa buah wat yang memang sah mempunyai gaya binaan Srivijaya. Jadi
pada pendapat anda kawasan yang mana paling pas untuk menjadi kawasan
bermulanya kerajaan Srivijaya yang jaya itu? Adakah di Palembang yang dalam
kebanyakan catatan cina dikatakan sebagai sebahagian daripada jajahan Shi Li Fo
Shi yang mana agak pelik kerana jika Palembang adalah pusat pemerintahan dan
juga Srivijaya mengapa pula dikatakan banhawa Palembang adalah jajahan
Srivijaya? Namun walau apa pun keputusannya kita terima dengan minda yang
terbuka.
Seperti telahan saya
sebelum ini saya memang menjangka bahawa Srivijaya bermula di utara semenjung
Tanah Melayu tak kiralah di Kelantan, Pattani atau di Chaiya Thailand. Hal ini
adalah kerana Srivijaya adalah penerus bagi kegemilangan kerajaan Melayu Funan!
Sudah tentulah elit-elit Funan yang melarikan diri daripada serangan dan
penindasan Chenla telah menuju ke negeri-negeri Melayu atau City State Melayu
di Semenanjung kerana mereka memang mempunyai hubungan rapat dengan tempat ini
dan dipercayai nenek moyang mereka juga pernah berasal dari sini. Samaada di
Kelantan atau Chaiya mereka mula membina kekuatan baru dan mengumpul tentera
untuk membina sebuah kerajaan yang baru. Akhirnya mereka berjaya menubuhkan Sriwijayamala.
Berbalik kepada kekeliruan sejarawan tentang
lokasi pusat Srivijaya yang sebenarnya. Hipotesis Palembang telah dibentangkan
oleh G. Coedes dan telah disokong oleh kebanyakan ahli sejarah. Namun demikian
seorang ahli sejarah dari jepun Takashi Suzuki merasakan bahawa hipotesis itu
tidak rasional dari banyak aspek dan ia dibuktikan dengan beberapa kesilapan
ketara. I-Ching dalam "Xin (Baru) Tang-Shu" menulis bahawa Shih-li-fo-shi
terletak di hemisfera utara, dalam erti kata lain di Semenanjung Tanah Melayu .Sejarah
Asia Tenggara telah diputarbelitkan oleh hipotesis yang salah katanya.
Kesilapan yang paling serius ialah 'Hipotesis Palembang'.
Dr Quaritch Wales dan
R.C. Dr. Majumdar adalah diantara sejarawan yang percaya bahawa Sriwijaya
bermula di utara Semenanjung Tanah Melayu. Ciri-ciri hipotesis sejarawan jepun Takashi
Suzuki kebanyakannya penilaian semula terhadap bukti teks Cina dari
sudut pandangan seorang ahli ekonomi dan ahli sejarah ekonomi. Pada masa yang
sama, dia cuba untuk menetapkan lokasi negeri-negeri penting yang dicatatkan
dalam sejarah Cina. Tanpa pengenalan yang tepat terhadap beberapa negeri-negeri
penting, sejarah Asia Tenggara tidak boleh dibincangkan dan dijelaskan. Shih-li-fo-shi
di zaman dinasti Tang telah terkenal sebagai Srivijaya. San-fo-chi yang muncul
pada tahun 904 di peringkat terakhir Dinasti Tang (618 ~ 907) telah diakui oleh
pegawai Tang sebagai Srivijaya. Dan dalam masa Song, ia telah diiktiraf sebagai
San-fo-chi, yang menurut Chau-Ju-ka, mula menghantar utusan ke China sejak 904.
Menurut Takashi Suzuki antara
Shih-li-fo-shi dan San-fo-chi, terdapat negeri baru Kha-ling (Sailendra). Namun
ia semua adalah merujuk kepada Srivijaya. Srivijaya terdiri daripada lebih
daripada 14 bandar dan kebanyakan dari Bandar tersebut adalah adalah
negeri-negeri atau Bandar kota pelabuhan yang mengambil bahagian dalam
perdagangan antarabangsa. Negeri-negeri terpenting adalah, Shih-li-fo-shi
barangkali Chaiya, Kha-ling di Jawa Tengah dan San-fo-chi, Jambi serta Kedah.
Melalui tiga peringkat sejarah Srivijaya, semua raja-raja terkemukanya adalah
keturunan raja Funan penganut Buddhisme Mahayana. Raja-raja Funan selepas
ditendang keluar dari Kemboja, melarikan diri ke negeri takluk mereka, iaitu
Pan-pan Pada pertengahan abad ketujuh, mereka menubuhkan sebuah negeri baru
yang dikenali sebagai Shih-li-fo-shi atau mungkin Sriwijayamala. Sebelum
membina Shih-li-fo-shi, mereka menggabungkan negeri-negeri lain di Semenanjung
Tanah Melayu.
Pada akhir 670 hanya nama Shih-li-fo-shi kekal
di tengah-tengah Semenanjung, yang dicatatkan dalam sejarah Cina sebagai sebuah
negara jajahan. Sebelum itu Chi-tu, Tan-tan dan Pan-pan hilang. Shih-li-fo-shi
membuka tingkap untuk ke Selat Melaka, selepas Kedah yang bergabung dengan
Chi-tu yang menjadikan kedah sebagai sebuah entity yang kuat, kemudian kedah
diserap ke dalam Shih li fo shi. Adalah amat perlu untuk Shih-li-fo-shi
mengawal Selat Melaka bagi membeli dan mengawal kemasukan komoditi barat yang
datang dari seluruh Teluk Bengal. Pada pertengahan abad ketujuh, kehadiran
negara-negara barat, Parsi dan Arab, telah meningkat di Tang. Ini bermakna
status Shih-li-fo-shi, sebagai orang tengah menjadi goyah dan mungkin melemah.
Oleh sebab itu Shih-li-fo-shi atau Sriwijayamala menghantar ekspedisi tentera
laut untuk meletakkan Malayu , Jambi dan Palembang di bawah kawalannya dalam
tahun 680.
Selepas kempen yang berjaya, Shih-li-fo-shi
memahat beberapa inskripsi berhampiran Palembang dan Jambi. Kemudian
Shih-li-fo-shi menghantar wakilnya pada tahun 686 di Pulau Bangka dan Kha-ling
= Sanjaya, yang terletak di Jawa Tengah. Tentera laut Sriwijaya mungkin telah
berjaya mendarat di Pekalongan, sebuah pelabuhan utama Kha-ling. Shih-li-fo-shi telah menubuhkan kerajaan
Sailendra. Walau bagaimanapun Sailendra wujud bersama dengan kerajaan Sanjaya.
Pada akhir abad ketujuh, wilayah Shih-li-fo-shi menjadi yang terbesar, meliputi
pertengahan Semenanjung Tanah Melayu, pantai timur Sumatera dan Jawa. Pada masa
yang sama, Shih-li-fo-shi mula untuk mengawal lalu lintas di Selat Melaka.Walau
bagaimanapun, sekitar 745, Chen-la (Kemboja) menyerang Shih-li-fo-shi, dan
menduduki Chaiya dan Nakhon Si Thammarat.
Pada masa yang sama kawalan ke atas Selat Melaka
runtuh. Hampir dua puluh tahun kemudian, barulah Srivijaya mampu menyerang
Chen-la dan mendapatkan kembali Chaiya dan Nakhon Si Thammarat. Pada kempen ini
tentera laut Sailendra dari Jawa memainkan peranan utama dan raja Sailendra
telah diberi gelaran 'Maharaja Srivijaya. Bagi memperingati kejayaan ini sebuah
prasasti yakni prasasti Ligor telah dipahat pada tahun 775. Sailendra menjadi
negeri terkuat dalam konfederasi Srivijaya, tetapi Sailendra telah menghantar
utusan ke dinasti Tang di bawah nama 'Kha-ling sama seperti Sanjaya.
Sekitar 830, selepas
Maharaja Samaratuńga meninggal dunia, Sailendra telah hilang kuasa di Jawa
tengah dan tidak lama selepas itu pemerintahan Sailendra di Jawa telah dirampas
oleh Sanjaya. Putera Balaputra melarikan diri ke Suvernadvipa (Sumatera dan
Semenanjung Tanah Melayu) namun dia tetap mewarisi gelaran Maharaja Srivijaya.
Dia mungkin pada mulanya telah melarikan diri ke Palembang, tetapi lokasi
terakhir adalah tidak diketahui.
Jambi mempunyai kuasa ekonomi yang kuat di
kalangan negara-negara Srivijaya pada masa ini dan sistem dirajanya juga tidak
dapat digoyahkan, jadi Balaputra telah pergi ke Kedah akhirnya. Pada akhir abad
kesembilan Srivijaya membentuk konfederasi negeri baru iaitu 'San-fo-chi'.
San-fo-chi secara literal bermaksud 'tiga Vijaya', mungkin terdiri daripada Jambi,
Kedah dan Chaiya (atau Palembang). Peranan Palembang tidak menonjol selain
daripada laluan utama 'Timur dan Barat'. Selepas membentuk San-fo-chi, kawalan
Selat Melaka diperkuat dan San-fo-chi boleh menguasai perdagangan antarabangsa
dengan Tang dan Song. Sebaliknya, Sanjaya tidak boleh terus menghantar utusan
ke China, kerana Sanjaya tidak dapat membeli barangan barat dengan mudah
melalui Selat Melaka.
Pada awal abad ke-11,
San-fo-chi telah diduduki oleh Chola (hipotesis yang masih meragukan), dari
selatan India. San-fo-chi kembali menerajui pada akhir abad ke-11. Pada akhir
abad ke-12 Dinasti Song Selatan telah menghapuskan sistem jajahan disebabkan
kesukaran kewangan, dan termaktubnya regulasi baru yang dibuat untuk menghadkan
pengaruh kuasa dari luar melalui 'sistem adat maritim. Di bawah sistem adat
maritim yang baru, peranan San-fo-chi telah berkurangan sebagai negara naungan
terkemuka. Selepas 1178, nama San-fo-chi hilang dari rekod Song Selatan. Semua
bandar dan negara kota dalam negeri-negeri Srivijaya telah tenggelam di
tengah-tengah lautan 'sistem pasaran bebas'. Antara mereka ialah Tambralinga
(Nakhon Si Thammarat) muncul pada abad ke-13 di bawah pemerintahan raja
Candrabhānu.
Tambralinga menguasai
sebahagian penting Semenanjung Tanah Melayu dan mempunyai dua belas negeri
dibawah lindungannya. Namun setelah Candrabhānu gagal dalam kempen menentang
Sri Lanka sekitar 1260, kuasa Tambralinga menurun dan pada akhir abad ketiga
belas Tambralinga telah diserang dan diserap oleh raja Rama Khamheng dari
kerajaan Sukodaya. Kerajaan Yuan mewarisi 'adat sistem maritim', jadi mana-mana
individu hanya boleh berdagang dengan pegawai kastam di pelabuhan utama China. Pada
awal Dinasti Ming, maharaja pertama Hongwudi menyambung semula sistem jajahan.
Maka nama 'San-fo-chi' muncul kembali di istana Ming. Kali ini San-fo-chi
datang dari wilayah Palembang. Pada masa itu Palembang adalah sebuah negeri
takluk Jawa (kerajaan Majapahit).
Telah disebutkan bahawa
sejarah Srivijaya dibahagikan dengan tiga fasa sebagai negeri jajahan China.
Yang pertama adalah 'Shih-li-fo-shi, yang kedua ialah 'Sailendra (di Jawa
tengah)', yang ketiga ialah 'San-fo-chi. Shih-li-fo-shi menghantar kedutaan
pada 670 hingga 741, Sailendra semasa 768 ~ 860 dan San-fo-chi semasa 904 ~
1178. Pada setiap peringkat, keturunan keluarga diraja Funan mungkin menguasai
Srivijaya. Kesimpulan saya adalah bahawa Srivijaya adalah sebuah negara
berorientasikan konfederasi perdagangan (atau empayar) yang cuba untuk
memonopoli aliran perdagangan di tanah naungan dan jajahan China dari seluruh Asia
Tenggara. Semua negeri bawahan membawa komoditi mereka ke pelabuhan utama
Srivijaya, yang kemudian dieksport ke ke China. Fungsi Srivijaya kelihatan
seperti 'sogo shousha (firma dagangan gergasi)' di Jepun.
Seperti yang saya
sebutkan tadi Takashi Suzuki menegaskan hipotesisnya bahawa lokasi awal ibu kota
Srivijaya semasa I-ching melawatnya pada tahun 671 adalah di Chaiya Ban Don Bay
Thailand. Menurut beliau lagi Chaiya dikenali sebagai ibu kota Pan-pan yang
telah menjadi negeri jajahan Funan. Srivijaya telah dibina oleh elit Funan yang
melarikan diri ke Pan-pan, selepas mereka dikalahkan oleh Chen-la dipertengahan
abad keenam. Hubungan Funan dan Pan-pan sebenarnya sudah tidak aktif untuk
jangka masa yang agak lama. Sebenarnya Pan-pan telah ditawan oleh Funan melalui
pimpinan Fan-shih man dalam abad ketiga, sejak itu, Pan-pan telah digunakan
oleh Funan sebagai pelabuhan perdagangan utama menghubungkan Takua Pa dan
merentasi Teluk Siam OC- eo. Funan mengimport barangan berharga dari barat
melalui 'laluan trans-semenanjung' antara Takua Pa dan Pan-pan. Dari satu segi,
Pan-pan, bukan sahaja sebuah negara jajahan Funan, tetapi juga sebahagian dari Funan
itu sendiri
Pada awal abad ke-21,
beberapa orang sejarawan merasa ragu dengan lokasi Srivijaya terletak di
Palembang Sumatera, kerana, menurut G. Coedes, Palembang merupakan pusat
perdagangan antara Timur dan Barat dan sebuah pusat ajaran Buddhisme Mahayana.
Sebagai entrepot antara India dan China, Jambi terletak di lokasi yang lebih
lebih baik daripada Palembang. Manakala sebagai pusat Buddhisme Mahayana,
negeri-negeri Semenanjung Tanah Melayu, seperti Chaiya mempunyai kelebihan yang
lebih daripada Palembang. Menurut sejarah China, Funan dan Pan-pan telah
dikenali sebagai pusat ajaran Buddhisme Mahayana sejak abad kelima dan
menyumbang kepada tamadun China dalam bidang agama Buddha.
Dalam sejarah
Srivijaya, peranan Palembang terlalu dibesar-besarkan, akibatnya sejarah kuno
Asia Tenggara telah diputarbelitkan. Sebagai contoh hubungan perdagangan antara
China dan Indonesia (Jawa dan Sumatera) tidak begitu maju sebelum abad ketujuh.
Malah, inskripsi adalah jarang ditemui sebelum abad ke-7 di Jawa. kerajaan Cina
lebih suka barang-barang dari barat seperti India, Arab dan Parsi serta produk daratan
Asia Tenggara, seperti kayu wangi dan kemenyan. Namun Pulau Jawa tidak berada dalam
kedudukan untuk mendapatkan barang-barang barat dengan mudah, berbanding dengan
Funan dan Champa. Funan memperolehi barangan ini melalui pelabuhan Takua Pa dan
dibawa mereka melalui laluan tanah ke Chaiya. Dari Chaiya, Funan menghantar
barangan tersebut ke pelabuhannya, 'OC-Eo' dan terus ke China dan Champa.
Chaiya dan Champa mengekalkan hubungan yang baik untuk jangka masa yang lama.
Sejak dari zaman purba,
orang-orang India telah membawa pengaruh budaya mereka ke Asia Tenggara dalam
gelombang berturut-turut. Walau bagaimanapun, kumpulan asing yang pertama
datang ke Asia Tenggara adalah berkemungkinan sebagai pemburu perbendaharaan.
Mereka mencari emas dan logam berharga yang lain. Mereka mendapati terdapat beberapa
lombong emas di kawasan ini, Pahang contohnya di tengah-tengah Semenanjung
Tanah Melayu. Pendatang India membawa manik dan pakaian kapas untuk ditukarkan
dengan emas dan keperluan harian dari masyarakat pribumi.
Dalam fasa kedua, India
muncul di Asia Tenggara sebagai pedagang. Pada mulanya mereka membawa produk
India dan peringkat seterusnya mereka membawa produk barat seperti kemenyan,
barang kaca, ketulan gangsa dan pelbagai jenis barangan Arab dan Parsi.
Produk-produk ini telah digunakan oleh masyarakat tempatan dan dieksport semula
ke China atau negara-negara lain. Ekonomi India memerlukan lebih banyak emas
selepas aliran masuk syiling emas dari Rom. Di India, perak adalah mata wang
utama, tetapi kemudian perak digantikan secara beransur-ansur dengan emas. Dari
awal abad ketiga, Funan dan Lin-yi (Champa) muncul sebagai negara naungan
China. Kedua-dua negara menguasai perdagangan dengan China, tetapi dari pantai
timur Semenanjung Tanah Melayu, Kelantan, Pahang dan Pattani muncul sebagai negeri
yang tidak kurang hebatnya. Negeri ini bebas daripada kawalan langsung Funan.
Pada peringkat ini tidak ada bukti bahawa Jawa dan Sumatera telah berhubung
secara langsung dengan China.
Sami Cina I-Ching yang
menulis "Nan-Hui Chi-Kuei Nei-Fa Chuan" dan " the Memoir on the Eminent Monks who sought the Law in
the West during the Great Tang Dynasty "di mana beliau
mencatatkan bahawa beliau meninggalkan Canton pada 671 di dalam sebuah kapal
Parsi ke India. Beliau mendarat di pelabuhan antarabangsa, Shih-li-fo-shi, di
mana beliau mendapati sejumlah besar sami lebih daripada 1,000 yang belajar dan
mengamalkan Buddhisme tahap yang tinggi. Beliau tinggal di sana selama enam
bulan untuk mengkaji tatabahasa Sanskrit. Sejarah kontemporari percaya bahawa
Shih-li-fo-shi terletak di Palembang Sumatera. Namun kita sedia maklum bahawa
laluan utama pengajaran agama Buddha datang terus awalnya ke Semenanjung Tanah
Melayu dahulu bersama-sama dengan komoditi barat.
Pada masa dinasti Tang, Pan-pan mempunyai 11 kuil Buddha
dan Funan telah menjadi pusat Buddhism Mahayana di Asia Tenggara. I-Ching
menerima sambutan hangat dan layanan istimewa dari raja Shih-li-fo-shi dan dia
telah dihantar ke pelabuhan Malayu dengan kapal raja. Di Malayu, I-Ching
tinggal selama dua bulan, dari sini dia berpaling ke arah timur. Dalam
perjalanan ke pelabuhan di India Utara, Tāmraliptī, beliau berhenti di Kedah dan
kemudian di Pulau Orang yang berbogel yakni Kepulauan Nicobar. Lokasi Malayu,
Kedah dan Pulau telanjang hampir jelas, tetapi lokasi Shih-li-fo-shi masih
kabur untuk jangka masa yang lama.Tetapi sekitar tahun 1920, George Coedes
memberi jawapan yang tegas bahawa Shih-li-fo-shi perlu disebut sebagai
Srivijaya dan lokasinya di Palembang Sumatera selatan. Beliau mengambil
beberapa inskripsi sebagai bukti yang dijumpai di Palembang dan Jambi, yang akan dibincang kemudian.
Hampir dua puluh tahun
lebih awal daripada G. Coedes, Dr. Junjiro Takakusu telah menerbitkan sebuah
buku, " A
Record of the Buddhist Religion-as
practiced in India and the Malay Archipelago”
Oxford University, 1896, yang merupakan terjemahan Nan I-Ching”
-hai Chi-kuei Nei Fa Chuan". * Dalam buku ini, Dr. Takakusu melampirkan
lembaran peta yang menunjukkan jadual perjalanan ke India I-Ching dari China.
Dr. Takakusu membuat dua kesilapan besar di atas peta ini. Yang pertama adalah
dia menandakan bahawa destinasi pertama I-Ching ialah Palembang. I-Ching sebenarnya
tidak menyebut lansung tentang sebuah tempat yang bernama Palembang, beliau
menulis bahawa beliau tiba di Shih-li-fo-shi iaitu Srivijaya selepas perjalanan
kurang daripada dua puluh hari dari Canton.
Dr. Takakusu tersilap membuat andaian lokasi
Shih-li-fo-shi (Srivijaya) sebagai Palembang. Sebab musabab kenapa Dr. Takakusu
meletak Srivijaya di Palembang adalah sangat ketara. Beliau percaya apa yang
Ma-Huan tulis dalam "Ying-Yai Sheng-Lan pada tahun 1416, di mana Ma menyatakan
bahawa Ku-kang (Pelabuhan = Lama) adalah negara yang sama dengan San-fo-chi dan
Ku-kang juga dikenali sebagai Palembang yang pada masa tersebut berada di bawah
kekuasaan raja Jawa. Ku-kang sebenarnya (Old Port) merupakan satu lagi nama
bagi Palembang yang diberi oleh orang cina,namun seperti yang telah diterangkan
sebenarnya Palembang adalah salah satu daripada negeri-negeri bawahan
San-fo-chi pada masa dinasti Song, namun ia bukan San-fo-chi (Srivijaya)
mahupun ibu kota konfederasi San-fo-chi.
Membaca tulisan
Ma-Huan, Dr. Takakusu mungkin telah salah faham bahawa Palembang adalah
Shih-li-fo-shi, yang juga merupakan Srivijaya. Walau bagaimanapun, ini adalah kekhilafan
yang amat besar kesannya. Pada zaman dinasti Yuan (1271 ~ 1368), San-fo-chi
tidak wujud sebenarnya. Dalam Shih Yuan, nama San-fo-chi pernah disebut, dan
bukannya nama Mulayu. Mulayu bermakna jambi pada masa itu.
Pada peringkat awal
Dinasti Ming pula, Palembang adalah sebuah negeri taklukan Jawa, tetapi telah
menghantar kedutaan ke China dan berpura-pura sebagai San-fo-chi. Menurut
"Zhu-yuan-Zhi" ("Rekod Negara babar") yang ditulis oleh
Chau-Ju-ka (1225), Palembang adalah salah satu daripada lima belas jajahan
San-fo-chi dan bukan San- fo-chi sendiri. Dari satu segi, pada mulanya kerajaan
Ming telah ditipu oleh raja Palembang, dan Ma Huan juga telah dikelirukan.
Kemudiannya Dr. Takakusu membuat kesilapannya. Kekeliruan yang hebat berlaku
pada peringkat terakhir abad ke-19 apabila Dr. Takakusu menerbitkan bukunya
yang terkenal tentang I-Ching. Malangnya buku Dr Takakusu telah begitu
berpengaruh dan dibaca oleh ramai orang hinggakan Dr S.Q Wales sendiri percaya
bahawa destinasi pertama I-Ching ialah Palembang. Apabila Dr. Takakusu melukis
peta ini, dia tidak dapat membaca Shih-li-fo-shi sebagai Srivijaya, tetapi dia
menulis sebagai '(Sri) Bhoga'.
Kesilapan kedua adalah
Kedah. I-Ching menulis dengan jelas sebagai Khe-da, namun Dr. Takakusu membaca
sebagai 'Kacha', jadi I-Ching telah disesatkan ke Aceh Sumatera utara. 'Cha'
disebut sebagai 'da' dalam masa Tang, jadi ia sepatutnya disebut sebagai
'Ka-da', tetapi dia tidak tahu sebutan tersebut pada zaman Tang. Walaupun P.
Wheatley pernah menulis Kedah sebagai Chieh-cha, kemudiannya ia telah
diperbetulkan oleh ahli sejarah lain, namun salah faham Takakusu mengenai
Palembang tidak pernah diperbetulkan sehingga hari ini. Pada masa yang sama
beberapa ahli sejarah kemudiannya tidak memahami kepentingan Kedah dan laluan
perdagangan darat Semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah sebab-sebab mengapa
sejarah kuno Asia Tenggara sangat keliru. Catatan Sejarah Dinasti Ming
menyatakan bahawa San-fo-chi sebelum ini dikenali sebagai Kan-da-li (atau
Kan-Tuo-li,) dan telah menghantar ufti ke china sejak zaman dinasti Liang. Kan-da
(Tuo)-li bersamaan dengan Kedah, jadi tulisan sejarah Ming sebahagiannya adalah
betul. Pada peringkat zaman terakhir pusat ibu Kota Srivijaya adalah terletak
di Kedah.
Kita dapat lihat dari teori ini bahawa kesilapan hanya satu istilah atau sebutan sahaja menyebabkan sejarah seluruh Asia tenggara menjadi tunggang langgang. Jelas disini adalah penitng untuk ahli sejarah mempunyai ilmu yang cukup dan pelbagai supaya tidak melakukan kekhilafan yang sebegini. Sekarang kita sudah tahu bahawa sememangnya Srivijaya bermula di Semenanjung Tanah Melayu yakni di Chaiya. Banyak fakta dan bukti yang boleh menyokong teori ini. Maka saya lebih yakin bahawa teori ini adalah diantara teori yang paling dekat dengan kebenaran malah menepati telahan saya dan teori yang diberi Cik siti. Tetapi artikel ini bukanlah pengakhiran, diharap anda dapat tunggu sambungannya nanti supaya kita dapat membayangkan betapa grand dan hebatnya sejarah bangsa Mala Srivijaya ini. Sekian wallah hua’lam.
KREDIT (http://lokalgenius.blogspot.com)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan