Ahad, 16 Februari 2014

(3) KAEDAH RASULULLAH SAW MELEMAHKAN EKONOMI YAHUDI

Sejak zaman rasulullah saw lagi, Islam menghadapi masalah dan cabaran dalam ekonomi..Semasa peristiwa HIJRAH ke Madinah, ekonomi dipegang oleh bangsa Yahudi..Umat Islam terpaksa membeli dengan mereka walaupun mereka tahu mereka ditindas..

Tapi, bagaimanakah rasulullah saw mengatasi masalah ini...??

Adakah membuat demostrasi jalanan..?? demostrasi memboikot..??
 
Ikuti pembacaan anda untuk :
 
Contoh (3) 


Nabi ﷺ bersabda; “Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan mendoakan penduduknya dan sesungguhnya aku mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim telah mengharamkan Makkah. Dan sesungguhnya aku juga berdoa agar setiap sha` dan mudnya diberkahi dua kali ganda dari yang didoakan Ibrahim untuk penduduk Makkah.” (riwayat Imam Muslim, no. 2422 dari Abdullah bin Zaid bin Ahimra)

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa pendakwah-pendakwah Islam adalah ‘marketeer’ atau ahli pemasar yang terbukti terbaik di dunia! Mereka memasarkan agama yang tidak dapat disentuh dan dilihat tetapi hanya boleh dirasai oleh akal dan qalbu.

Bayangkan, agama yang terakhir diwahyukan kepada Nabi Muhammad, seorang yang tidak tahu menulis dan membaca, memasar agama ini bersama sahabat baginda sehingga menjadi agama yang paling luas berkembang.

Yathrib adalah sebuah penempatan yang diduduki oleh bani tempatan iaitu Aus dan Khazraj yang kemudiannya dikenali sebagai kaum Ansar ketika penghijrahan Nabi ﷺ bersama Muhajirin. Kaum Ansar kebanyakannya menjalankan aktiviti sebagai petani dan perternak manakala kaum pendatang di Yahtrib yakni kaum Yahudi iaitu bani Qainuqa’, Nadhir dan Quraizah menguasai ekonomi di sana ketika itu.

Mereka mempunyai kuasa kewangan, politik serta kemajuan yang melebihi keupayaan penduduk tempatan. Oleh itu, tidak hairanlah kaum Aus dan Khazraj sentiasa tertindas serta menanggung hutang kepada kaum Yahudi.


Memecahkan Monopoli Yahudi

Penghijrahan Nabi mendapat sambutan dari penduduk Yathrib kecuali kaum pendatang Yahudi. Nabi bersama-sama sahabat ketika di Yathrib berdakwah secara terbuka namun itu tidak menghalang baginda dilantik sebagai pemimpin di sana, serta mematuhi segala keputusan yang dibuat baginda.

Malah bukan sahaja sikap mereka yang berubah, mereka berjanji akan mempertahan Yathrib bersama-sama Nabi dari sebarang ancaman. Yathrib kemudian ditukar dengan nama Madinah.

Nabi Muhamad ﷺ merubah sikap dan gaya hidup Arab Madinah. Mereka mulai bersederhana dalam semua perkara dan menghargai nilai-nilai disiplin hidup. Kegiatan bersosial minum arak dan berjudi mula ditinggalkan yang dahulunya banyak memberi kesan negatif; justeru pinjaman dari ‘ah long’ kaum Yahudi semakin ditinggalkan oleh mereka juga.

Apabila ini berlaku, ia mendatangkan kesan penguncupan hasil pendapatan dari bunga yang tinggi dan secara langsung pegangan kuasa ekonomi kaum Yahudi di Madinah makin lemah.

Sistem eksploitasi dan kapitalis kaum Yahudi semakin terancam. Islam mula dilihat sebagai ancaman kepada penguasaan mereka.

Pada peringkat awal hijrah baginda serta sahabat, pilihan yang ada hanya pasar yang dikuasai oleh Yahudi sahaja dan kaum Islam terpaksa berdepan dengan sistem ekonomi yang bertentangan dengan Islam. Ayat-ayat Makkiah banyak menekan soal jujur dan telus sebagai etika berniaga. Contohnya Allah سبحانه وتعالى berfirman;
‪“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”             (Surah Al-Mutaffifeen:1-3).
Beberapa ayat asas kepada sistem ekonomi Islam terdapat dalam ayat lain yang diturunkan di Makkah; zakat sebagai rukun serta larangan riba. Firman Allah سبحانه وتعالى;
“Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan (riba) yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah(zakat) yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.” (Surah Ar-Rum:3).
Perlu diketahui bahawa ayat-ayat Makkiah (ayat al-Qur’an yang diturunkan sebelum Hijrah) memberi bayangan awal asas-asas yang terdapat dalam sistem ekonomi Islam. Ia juga mendoktrinkan akauntabiliti manusia ke atas sikap dan perlaksanaan mereka menerusi sistem itu di akhirat kelak.

Manakala ayat-ayat yang diwahyukan di Madinah telah melengkapkan sistem ekonomi Islam dan ayat-ayat Madinah banyak mengandungi soal keadilan serta kebebasan dalam ekonomi. Nabi dan sahabat diberi prinsip ekonomi atau ‘economic order’ baru untuk menandingi dan bersaing di tengah-tengah ‘network’ ahli perniagaan Yahudi.

Nabi ﷺ juga menjelaskan serta memperincikan maksud ayat-ayat berkenaan tentang keperluan serta perlaksanaan perintah dan larangan dari Allah.


Strategi Ekonomi Nabi
Ketika menghadapi pasaran yang dikuasai sepenuhnya oleh Yahudi, atas sebab-sebab syar’i serta taktikal, Nabi ﷺ membina pasar baru sebagai tapak aktiviti ekonomi masyarakat Islam Madinah dan mengamalkan konsep pasaran terbuka kepada orang luar.

Pasar tersebut dimiliki dan diurus oleh masyarakat Islam Ansar dan Muhajirin. Corak urusan perniagaan serta kondisi pasar sentiasa diawasi mengikut tuntutan yang telah ditetapkan Nabi.

Membuka pasar baru memerlukan analisa serta strategi yang baik dan itulah yang dilakukan oleh Nabi. Ada beberapa perkara yang diambil kira sebelum Nabi ﷺ membuka pasar baru itu. Antara isunya ialah;

Network’ peniaga Yahudi menguasai barangan atau ‘supply’ keperluan di Madinah. Mereka memonopoli pasaran di sana.

Masyarakat peniaga Islam akan menghadapi tekanan kepada saingan harga kerana barangan niaga ketika itu kebanyakannya diperolehi dari rangkaian peniaga Yahudi. Harga di pasar baru sudah tentu hilang daya saing.
Namun, Nabi ﷺ sebagai rahmat yang diutuskan Allah سبحانه وتعالى sentiasa bijak dan rinci dalam perancangan baginda. Nabi ﷺ tahu masyarakat Islam punyai kekuatan sendiri iaitu;
  1. Pasaran sedia ada yakni pelanggan masyarakat Islam.
  1. Larangan & perintah dalam agama Islam seperti riba atau penipuan.
  1. Masalah harga diatasi dengan kebijaksanaan sesama peniaga.
Masyarakat Islam di Madinah menjadi pasaran sedia ada kepada ‘network’ atau rangkaian peniaga pasar baru ini. Kaum Ansar dan Muhajirin, gabungan potensi pasaran telah memberi keyakinan kepada aliran ekonomi dalam masyarakat Islam.

Mereka juga mempunyai satu pilihan lain yakni pasar baru yang diwujudkan. Pasar baru ini mengamalkan segala perukunan serta prinsip ekonomi asas sepenuhnya. Ia semestinya memberi kepuasan kepada pengunjung pasar dan secara langsung membuka pintu kepada potensi pasaran baru yakni penduduk bukan Islam di Madinah.

Nabi ﷺ membuka peluang perniagaan kepada bukan Islam dan secara langsung ia mengundang pengunjung dari luar.


Idea Ekonomi Abdul Rahman bin Auf
Walaupun peniaga di kalangan masyarakat Islam menghadapi saingan harga namun mereka mengatasinya dengan mengenepikan sifat tamak dan berpegang kepada kesabaran. Faktor keuntungan dikompromi.

Contoh terbaik ialah Abdul Rahman bin Auf رضي الله عنه yang mementingkan ‘volume’ atau kuantiti dalam menjual barangan beliau pada harga modal disamping kualitinya terjamin. Kuantiti mempengaruhi aliran barangan serta kewangan.

Seperti beliau pernah mengambil langkah menjual unta dan kuda yang berkualiti pada harga belian manakala beliau mengambil tali kekang untuk diniagakan berasingan bagi memperolehi keuntungan. Saingan dalam ekonomi Islam diatasi dengan kebijaksanaan.

Jelas agama Islam punya segala resepi untuk berjaya. Rahsia yang membezakan pencapaian ekonomi mereka adalah ketaatan pada perintah dan larangan Allah سبحانه وتعالى dan Rasul serta kebijaksanaan yang mereka gunakan sepenuhnya. Wajar kita kembali kepada jalan Nabi dan para sahabat dalam meraih kejayaan.

Kemajuan mereka telah re-brand Yathrib, sebuah penempatan kecil dengan tanpa modal kewangan dan terpencil dalam status sosial tetapi mampu rebranding Yathrib kepada jenama baru Madinah Al-Munawarah sehingga menjadi pusat ekonomi, pentadbiran serta ibadah pertama dalam sejarah Islam. Ciri-ciri sejarah, sosial, budaya dan ekonomi menjadikan Madinah sebagai simbol ikatan uniti masyarakat Islam di dunia.
Wajar kita mengambil contoh model ekonomi Madinah ini sebagai mengembalikan kekuatan ekonomi umat Islam di negara ini.

 Sumber (http://ilmuanmalaysia.com/re-branding-yathrib-kepada-bandar-penjana-ekonomi/)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan