Selasa, 4 Februari 2014

EKONOMI ISLAM 2



ASAS KEKUATAN MASYARAKAT ISLAM

Sesebuah masyarakat Islam perlu maju dan membangun supaya ia jadi kuat secara lahirnya. Untuk mencapai kekuatan lahir ini bukan mudah. Ia tidak datang bergolek. Ia mesti diusahakan.Tidak seperti yang difahamkan oleh kebanyakan orang, usaha untuk mendapatkan kekuatan lahir tidak bermula dengan usaha lahir. Kekuatan lahir bermula dan bertitik tolak dari mencapai kekuatan rohani.Kekuatan umat Islam sama ada di peringkat jemaah, masyarakat atau negara, bukan terletak kepada ramai atau banyak bilangannya, kepada kepandaiannya, kepada kemajuannya, kepada kekayaannya dan lain-lain lagi. Ini semua adalah kekuatan-kekuatan tambahan yang tidak ada nilai apa-apa kalau tidak ada kekuatan-kekuatan yang asas.Malahan tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, semua kekuatan tambahan ini bukan sahaja tidak ada apa-apa makna, bahkan ia akan menjadi punca pecah-belah, rebut-merebut, perbalahan, perkelahian dan krisis. Lagi besar dan hebat kekuatan-kekuatan tambahan ini, lagi cepat masyarakat Islam akan runtuh. Ia ibarat membina rumah di atas tanah lumpur.Tidak ada tapak atau foundation yang kuat dan kukuh. Lagi besar rumah dibina, lagi cepat dan lagi dalam ia akan tenggelam.Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, umat Islam akan berpecah-belah seperti firman Allah SWT:

Maksudnya: “Kamu lihat mereka itu bersatu padu,tetapi hati mereka berpecah belah.” (Al Hasyr: 14)

Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas, umat Islam akan lemahwalaupun mereka ramai seperti sebuah Hadis yang bermaksud:Sabda Rasulullah SAW: “Akan tiba

masanya bahawa kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain (musuh) se-bagaimana orang menghadapi makanan dalam hidangan.” Seorang Sahabat bertanya: “Adakah ketika itu jumlah kami sedikit ya Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bahkan jumlah kamu di waktu itu ramai tetapi kamu tak ubah seperti buih di laut.”Tanpa kekuatan-kekuatan yang asas juga, musuh tidak akan takut dan gerun terhadap umat Islam seperti sabda RasulullahSAW dalam sebuah Hadis yang bermaksud:Sabda Rasulullah SAW: “Allah akan mencabut rasa ketakutan dari hati musuh-musuh kamu dan sebaliknya Allah akan masukkan ke dalam hati-hati kamu penyakit ‘al wahan’.”Seorang Sahabat bertanya: “Apakah penyakit ‘al-wahan’ itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “ Iaitu cinta dunia dan takut mati.”

Tiga Kekuatan Asas Masyarakat Islam
Kekuatan jemaah, masyarakat atau umat Islam terletak kepada tiga perkara asas yang terpokok iaitu:
1. Iman
2. Ukhwah
3. Kesefahaman dan keselarasan

Iman
Iman yang dimaksudkan di sini ialah iman yang sempurna yang menjurus kepada taqwa. Setidak-tidaknya di tahap iman orang soleh atau iman ‘ayan’ atau iman di hati. Tidak memadai iman yang hanya di akal. Tidak memadai hanya setakat percaya dengan rukun-rukun iman tetapi ia mesti diyakini dan dijadikan pegangan dan aqidah.Di antara sifat-sifat orang yang mempunyai iman ‘ayan’ ini ialah hatinya sentiasa mengingati Allah, sentiasa memikirkan tentang ciptaan Allah dan sentiasa merasakan bahawa dirinya diawasi oleh Allah. Cetusan dari keadaan hati yang seperti ini, dia akan sentiasa merasa malu dengan Allah, rasa tawakal kepada Allah, rasa sabar terhadap segala ujian dan mehnah dari Allah, rasa bersyukur terhadap segala nikmat Allah, rasa cinta dan takut kepada Allah dan berbagai-bagai lagi sifat mahmudah yang lain.Dengan iman yang di tahap ini, seseorang itu akan memperolehi kekuatan dan kemerdekaan yang luar biasa yang tidak boleh dikalahkan oleh kuasa apa pun selain Allah. Dia merasa gagah dan kuat dengan Allah. Dia berani berjuang dan berkorban kerana pergantungannya yang total kepada Allah.Dia rasa cukup dengan Allah. Allah itu modal dan asetnya yang paling besar.Kekuatan seperti ini tidak dapat dibina melalui apa cara sekalipun kecuali dengan menanam iman yang sebenarnya didalam hati-hati umat Islam. Kalau kekuatan seperti ini dapat dicapai maka sebahagian dari kejayaan sudah diperolehi.Usaha dan perjuangan yang dibangunkan oleh umat Islam yang teguh iman mereka seperti ini akan menjadi kuat dan dibantu oleh Tuhan walaupun jumlah mereka sedikit. Sebaliknya, usaha dan perjuangan yang dibangunkan oleh umat Islam yang lemah iman mereka akan turut menjadi lemah dan tidak dibantu Tuhan walaupun jumlah mereka ramai. Lagi ramai, lagi cepat mereka jatuh, gagal dan kecundang kerana terlalu ramai yang membuat masalah dan terlibat dengan dosa dan noda yang menjadi hijab dari bantuan Tuhan. Firman AllahSWT di dalam Al Quran:Maksudnya: “Jika ada di kalangan kamu 20 orang yang sabar, akan dapat mengalahkan 200 orang musuh.” (AlAnfal: 65)Maksudnya: “Allah itu pembela (pembantu) bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al Jasiyah: 19)



Ukhwah
Ukhwah dan kasih sayang sesama umat Islam tidak akan dapat dibina tanpa iman dan taqwa. Kasih sayang adalah buah dari iman. Tidak ada apa-apa erti kalau kita berslogan, berkempen dan mengajak masyarakat supaya berkasih sayang jika iman yang sebenarnya tidak ada di dalam hati. Sampai bila pun masyarakat tidak akan dapat berkasih sayang.Kasih sayang sesama manusia lebih-lebih lagi sesama umat Islam adalah cetusan dari rasa cinta kepada Tuhan. Tuhan akan campakkan ke dalam hati-hati orang yang mencintai-Nya, rasa perikemanusiaan. Dengan rasa perkemanusiaan inilah manusia akan saling mengasihi di antara satu sama lain.Allah SWT berfirman:

Maksudnya: “Berpeganglah kamu pada tali-tali Allahdan janganlah kamu berpecah belah.” (Al Imran: 103)

Tali-tali Allah itu dimaksudkan kepada syariat Allah. Semua umat Islam mesti sama-sama menerima dan mengamalkan syariat Tuhan. Berpegang kepada tali-tali Allah juga bermaksud sama-sama merasa cinta dan takut kepada Allah. Orang-orang yang sama-sama rasa cinta dan takut pada Allah akan diikat hati-hati mereka oleh Allah dan akan mudah berkasih sayang.Hasil dari ukhwah dan kasih sayang akan timbul tolong-menolong, bantu-membantu, bela-membela, berlapang dada, bertoleransi, suka memberi maaf, suka meminta maaf, bertimbang rasa dan sebagainya. Akan timbul rasa bersama dan bekerjasama. Ini semua akan mencetuskan perpaduan dan persaudaraan. Umat Islam akan menjadi kuat dan bersatu padu.


Kesefahaman dan keselarasan
Kesefahaman tidak akan timbul tanpa iman dan ukhwah. Iman dan ukhwah boleh menyuburkan kesefahaman. Umat Islam perlu bersatu fahaman dalam segala hal. Bersatu fahaman dalam aqidah. Bersatu fahaman dalam ibadah. Bersatu fahaman dalam akhlak. Bersatu fahaman dalam menetapkan siapa lawan dan siapa kawan. Bersatu fahaman dalam menerima hal-hal ijtihad dan mazhab dalam masalah-masalah furuk. Bersatu fahaman dalam berjuang dan berkorban dengan minda yang satu dari pemimpin yang satu.Sekiranya kefahaman tidak sama dan tidak disatukan, maka pegangan akan berbeza. Kepercayaan akan berbeza.Keutamaan akan berbeza. Akhirnya tindak-tanduk juga akan berbeza. Jika kesefahaman tidak wujud di antara pemimpin dan pengikut, maka ketaatan sukar dicapai. Kalaupun Nampak macam ada ketaatan, ia hanya ketaatan lahir. Hati tidak bersama. Ketaatan itu tidak total.Tanpa kesefaman, ukhwah dan perpaduan boleh menjadi rosak. Manusia boleh terpisah ke dalam berbagai kumpulan, puak, parti atau klik mengikut fahaman mereka masing-masing.Rosak ukhwah dan perpaduan maka lemahlah masyarakat Islam.Tanpa kesefahaman, tidak akan lahir keselarasan, sama adapada rasa, pemikiran dan tindak-tanduk. Ini boleh menyebabkan umat Islam menjadi kucar-kacir. Dalam bergerak dan berjuang, ada yang hendak ke hulu, ada yang hendak ke hilir.Ada yang hendak ke darat, ada yang hendak ke baruh. Ada pula yang hendak duduk diam, tidak mahu pergi ke mana-mana. Tenaga umat Islam tidak dapat digemblingkan ke satu arah yang sama untuk kepentingan bersama.Seperti juga di dalam satu perahu, ada yang hendak berdayung ke hadapan. Ada yang hendak berdayung ke belakang. Ada yang tidak mahu berdayung langsung. Maka perahu akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Kalau nasib tidak baik, ia boleh karam dan semua orang di dalamnya akan tenggelam.Ketiga-tiga kekuatan asas ini tidak timbul dengan sendiri.Ia perlu kepada seorang pemimpin yang membawa minda dan yang mendidik masyarakat Islam ke arah itu. Pemimpin ini pula bukan calang-calang pemimpin. Dia mesti pemimpin yang berilmu, bertaqwa, berwibawa, yang manusia member hati padanya dan yang mendapat rahmat dan berkat dari Allah.

Kekuatan Tambahan Yang Utama

Begitulah tiga kekuatan asas bagi umat Islam. Tanpa ketiga-tiga kekuatan asas ini, umat Islam akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Dengan adanya ketiga-tiga kekuatan asas ini, barulah kekuatan-kekuatan lahir atau kekuatan-kekuatan tambahan yang lain akan mempunyai makna dan akan membantu menambahkan lagi kekuatan umat Islam. Kalau tidak, semua kekuatan lahir tersebut akan menjadi punca perpecahan dan kelemahan umat Islam.Di antara kekuatan-kekuatan lahir atau kekuatan tambahan ini ialah tenaga dan jumlah yang ramai, harta kekayaan, wang-ringgit, kekuatan ekonomi, ilmu, kepakaran, teknologi, kekayaan hasil bumi, kesuburan tanah dan sebagainya. Diantara kekuatan-kekuatan tambahan ini, ekonomilah yangmenjadi kekuatan tambahan yang pertama dan utama.Namun begitu, kita harus sedar bahawa kekuatan ekonomi tidak akan dapat dicapai tanpa masyarakat Islam terlebih dahulu mengusahakan tiga kekuatan asas yang disebut sebelum ini. Berjayanya kita dalam usaha menegakkan ekonomi Islam yang kuat dan teguh tertakluk kepada setakat mana berjayanya masyarakat Islam mencapai iman, ukhwah dan kesefahaman dan keselarasan. Kalau ekonomi ditegakkan didalam masyarakat Islam tanpa iman, ukhwah dan kesefahamandan keselarasan, ia akan mati sebelum ia tumbuh. Kalaupun ia tumbuh, besar kemungkinan ia tidak merupakan ekonomi Islam seperti yang dikehendaki oleh Tuhan tetapi ekonomi batil  yang terhasil dari istidraj dan kemurkaan Tuhan. Tidak ada rahmat dan berkat Tuhan padanya.Itu sebab, kita lihat di dalam sejarah, Rasulullah SAW mengarahkan Sayidina Abdul Rahman bin Auf menegakkan ekonomi Islam pada era Madinah iaitu ketika masyarakat Islam sudah begitu teguh iman mereka, sudah sangat bertaqwa berkasih sayang dan bersatu padu hasil didikan Rasulullah SAW selama tiga belas tahun di era Makkah. Mereka berjaya memusnahkan ekonomi orang-orang Yahudi yang telah bertapak selama beratus-ratus tahun di Madinah hingga orang-orang Yahudi terpaksa gulung tikar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan