Jumaat, 21 Februari 2014

Tun D - Strategi Jayakan K-Ekonomi

ARKIB : 28/10/2000


UCAPAN penuh Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2001) di Dewan Rakyat semalam.
Tuan Yang Dipertua,

SETINGGI-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, dengan izin dan limpah kurniaNya, kita dapat bersama pada hari ini membentangkan Belanjawan 2001. Kita kini berada di ambang Belanjawan pertama bagi abad ke dua puluh satu serta di permulaan Rancangan Malaysia Kelapan dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga. Belanjawan ini amat kritikal. Ianya bukan hanya mempaparkan angka dan statistik mengenai pencapaian dan peruntukan Belanjawan semata-mata, tetapi ianya juga menggariskan pelaksanaan rancangan strategik bagi mencapai Wawasan 2020.


Pelaksanaan Wawasan Strategik Terganggu
Krisis kewangan Asia hampir menggelincirkan kita dari landasan mencapai status negara maju. Kita telah kehilangan masa yang amat berharga kerana terpaksa mengalihkan perhatian dan tumpuan serta menggunakan sumber-sumber terhad bagi menangani krisis ini. Krisis ini juga telah mengejutkan ramai di kalangan kita dari lena.

Sebelum krisis, bagi tempoh 1987 hingga 1996, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat pada paras purata sembilan peratus setahun, manakala inflasi di paras yang rendah pada 3.5 peratus. Negara berjaya menarik pelaburan asing langsung secara berterusan. Sektor perkilangan berkembang pesat melebihi 14 peratus. Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pula merupakan destinasi utama bagi pengurus dana portfolio antarabangsa. Nilai permodalan pasaran mencapai tahap tertinggi sebanyak 891 bilion ringgit dalam bulan Februari 1997, sementara sistem perbankan negara diiktiraf sebagai antara yang terkukuh di rantau ini.
Setelah dua tahun berlalu, pertumbuhan ekonomi telah kembali melonjak kepada paras yang lebih tinggi daripada jangkaan asal. Kini, ramai telah mengiktiraf langkah Kerajaan merangka dasar dan strategik unik kita sendiri. Kejayaan langkah-langkah ini amat membanggakan.

Kita telah mendapat penghormatan daripada para cendekiawan, kerajaan negara-negara lain, mahupun Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Kita telah dapat menggerakkan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan kembali melaksanakan inisiatif strategik ke arah mencapai status negara maju.


Pencapaian Pra-Krisis Ke Arah Wawasan 2020
Sebenarnya, sebelum krisis melanda negara, pelaksanaan rancangan pembangunan ke arah mencapai Wawasan 2020 berjalan lancar. Kita mempunyai matlamat yang jelas dan telah melabur secara besar-besaran seperti menyediakan infrastruktur yang moden dengan membina lebuh raya dan pelabuhan, menyediakan perkhidmatan telekomunikasi dan kemudahan awam. Kita juga menekankan pertumbuhan seimbang dan hasilnya, kadar kemiskinan berkurangan daripada 17.1 peratus dalam tahun 1990 kepada enam peratus pada tahun ini.

Kita telah melancarkan beberapa inisiatif strategik, termasuk mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC), serta berani menarik syarikat-syarikat berasaskan teknologi dan pengetahuan untuk ditempatkan di satu kawasan yang disediakan dengan kemudahan infrastruktur tercanggih, insentif kewangan yang istimewa serta perundangan dan peraturan yang sesuai, digubal khusus untuk pembangunan MSC. Kita telah membina pusat pentadbiran baru Putrajaya, pusat multimedia Cyberjaya serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mampu menandingi mana-mana lapangan terbang utama di dunia.

Kerajaan terus berazam untuk memajukan negara sebagai pusat kewangan serantau melalui usaha-usaha pengukuhan sistem perbankan dan membangunkan pasaran bon dengan tujuan memperluas dan memperdalamkan lagi pasaran kewangan negara.


Melangkah Ke Hadapan
Sungguhpun kita telah membuat persediaan rapi, kita mengakui suasana ekonomi dunia sedang mengalami perubahan yang drastik. Kita berdepan dengan cabaran-cabaran globalisasi, liberalisasi dan gelombang digital dan implikasinya terhadap daya saing negara. Kita perlu menilai semula segala perancangan dan mengubahsuai di mana perlu dalam merangka strategi pelaksanaan dengan mengambil kira cabaran-cabaran ini.

Dunia kini menyaksikan antara lain, tren penggabungan syarikat-syarikat gergasi yang mencabar tatacara urus niaga dan pengurusan tradisional. Ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi yang semakin menjadi realiti juga menggugat konsep kelebihan berbanding, dengan izin comparative advantage yang lama. Revolusi dalam dunia teknologi dan penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat, dengan izin Information and Communications Technology (ICT), telah membuka prospek dan peluang perniagaan di pelbagai bidang baru. Kita terima globalisasi. Cuma kita perlu lebih berhati-hati dan waspada dalam menghadapi segala cabaran dan halangan serta pada masa yang sama, bersiap sedia untuk turut merebut segala peluang yang terbentang luas di hadapan.


CABARAN EKONOMI

Tuan Yang DiPertua,

Pemulihan ekonomi negara sangat membanggakan. Kini, KDNK telah melonjak tinggi daripada penguncupan 7.4 peratus dalam tahun 1998 kepada 5.8 peratus dalam tahun 1999. Pada tahun ini, KDNK dijangka mencapai 7.5 peratus, jauh melebihi ramalan awal 5.8 peratus. Apa yang lebih membanggakan kita semua, pertumbuhan ini dicapai dalam suasana tekanan inflasi yang rendah.

Pendapatan per kapita rakyat terus meningkat kepada 12,883 ringgit, lebih tinggi daripada tahap sebelum krisis ekonomi. Dari segi pariti kuasa beli, dengan izin purchasing power parity, keupayaan berbelanja rakyat di negara ini turut meningkat kepada 7,716 dolar Amerika. Imbangan pembayaran juga terus kukuh dengan lebihan semasa sebanyak 29.8 bilion ringgit atau 9.9 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Rizab luar negara sehingga 23 Oktober 2000, berjumlah 32.3 bilion dolar Amerika, mampu membiayai 5.1 bulan import tertangguh. Indeks Komposit BSKL, kini berada di paras 796.22 menunjukkan pemulihan sebanyak 14.1 peratus berbanding paras terendah 697.80 pada tahun ini.

Pelaburan langsung asing ke negara ini telah meningkat. Permohonan pelaburan dalam sektor perkilangan yang dikemukakan kepada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), telah kembali meningkat dengan ketara sebanyak 67.6 peratus bernilai 17.5 bilion ringgit bagi tempoh tujuh bulan pertama 2000. Semasa membentangkan Belanjawan tahun 2000 yang lepas, saya telah mengumumkan Pakej Galakan Istimewa, dengan izin Pre-packaged Incentives untuk menggalakkan aktiviti pelaburan dan perniagaan. Sehingga kini, tujuh projek dengan pelaburan sebanyak 11.25 bilion ringgit telah diluluskan oleh Kerajaan. Di samping itu, pelaburan bagi projek berteknologi tinggi di MSC kini bernilai sebanyak 2.8 bilion ringgit.

Sungguhpun prestasi ekonomi amat menggalakkan dan momentum pertumbuhan yang kukuh dijangka dapat dikekalkan, namun begitu, masih wujud risiko dan ketidaktentuan dalam suasana ekonomi dan perdagangan di dalam dan di luar negeri. Di antara cabaran-cabaran yang utama ialah untuk:
* Meningkatkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI);
* Memperbaiki daya saing negara;
* Mengekalkan lebihan imbangan pembayaran serta membendung tekanan inflasi;
* Meningkatkan kecekapan sektor perkhidmatan;
* Mempelbagaikan barangan dan pasaran eksport; dan
* Mempastikan peningkatan upah sejajar dengan peningkatan produktiviti.

Oleh itu, kita perlu melipatgandakan usaha, menggembleng sumber dan melangkah bersama mendepani segala cabaran. Kita perlu lebih bijak dan berhati-hati bagi mempastikan negara dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi. Kita perlu meneliti semula dan mengemas kini program pelaksanaan rancangan pembangunan dengan mengambil kira perkembangan terkini. Negara juga perlu mempertingkatkan azam, menguatkan tekad dan keyakinan terhadap kemampuan kita untuk terus maju.


STRATEGI BELANJAWAN 2001
Kerajaan akan melaksanakan strategi dan langkah yang lebih gigih untuk membolehkan negara melonjak bagi mencapai taraf negara maju. Arah tuju kita jelas dan kita tidak akan terpesong daripada matlamat ini. Oleh yang demikian, dalam Belanjawan ini, saya menggariskan lima strategi utama seperti berikut:

Pertama: mempergiatkan pertumbuhan ekonomi negara;
Kedua: mengenal pasti sektor pertumbuhan baru;
Ketiga: meneruskan dasar rangsangan fiskal dan kewangan untuk mendokong pertumbuhan;
Keempat: memperkukuhkan lagi daya saing negara; dan
Kelima: meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Daripada lima strategi ini, saya mencadangkan kita memberi tumpuan khusus kepada tiga teras utama iaitu:

Pertama: merangsang pertumbuhan ekonomi negara;
Kedua: melaksanakan inisiatif strategik mempertingkatkan daya saing negara; dan
Ketiga: meneruskan agenda masyarakat penyayang.


PERTAMA : MERANGSANG PERTUMBUHAN EKONOMI
Dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan memperhebatkan kegiatan beberapa sektor pertumbuhan baru yang mencorakkan ekonomi di abad ke dua puluh satu. Ini termasuk k-ekonomi, ICT dan modal teroka. Selain daripada itu, Kerajaan akan meneruskan agenda pembangunan seimbang di antara Koridor Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Usaha-usaha ini akan disokong dengan pemberian insentif cukai dan bukan cukai.

K-ekonomi
Kita mesti terima realiti k-ekonomi. Sesungguhnya kita tidak ada pilihan. Kita semua akan menjadi warga K-ekonomi. Kerajaan mahukan setiap rakyat beralih ke arah K-ekonomi. Kerajaan yakin peralihan ini akan memberi manfaat yang begitu besar. Ekonomi baru akan membawa kepada produktiviti yang meningkat, pendapatan yang lebih tinggi serta kualiti hidup yang lebih baik. Kehidupan dalam ekonomi global berasaskan ilmu pengetahuan dalam dunia tanpa sempadan, memerlukan setiap kita memperlengkapkan diri dengan kemahiran baru dan menyusun semula keutamaan dalam menerapkan budaya berteknologi tinggi dan keusahawanan yang dinamik.

Ini bukanlah merupakan satu angan-angan. Sebaliknya, Kerajaan telah berusaha membina landasan yang kukuh, terutamanya melalui dasar pendidikan dan pembangunan sumber manusia. Saya yakin di setiap kampung terdapat mereka yang telah berjaya mendapatkan kemahiran dan pengetahuan di bidang teknologi daripada institusi pengajian tinggi. Saya percaya ini tidak wujud pada lima atau sepuluh tahun yang lalu.

Gabungan kemahiran dan keusahawanan akan menjadi tenaga penggerak ekonomi baru. Pada masa hadapan, pertumbuhan KDNK akan dijana melalui industri berasaskan pengetahuan di semua sektor, terutamanya sektor perkilangan dan perkhidmatan. Untuk itu, kita menggalakkan pelaburan dalam ICT, pendidikan dan latihan semula pekerja.

Kita memerlukan pekerja berpengetahuan yang sentiasa mempertingkatkan tahap kemahiran dan kecekapan memandangkan K-ekonomi merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Pembangunan sumber manusia terus menjadi agenda utama negara. Ini bermakna, pembelajaran sepanjang hayat perlu diterap sebagai budaya, tidak berhenti setakat menerima ijazah atau mendapat kenaikan pangkat.

Ini merupakan ramuan utama dalam mencapai kemakmuran. Sebenarnya, negara mempunyai ramai bijak pandai yang telah mendapat faedah daripada perubahan ini. Sesetengah daripada mereka ini berkhidmat bukan sahaja dengan syarikat-syarikat besar tempatan bahkan dengan syarikat-syarikat antarabangsa di dalam dan di luar negara.

Bagi menjamin kejayaan dari ekonomi baru dapat dicapai, kita memerlukan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dari dalam dan luar negara. Usaha-usaha perlu diambil bagi menarik, dengan izin best brains tanpa mengira bangsa dan negara asal, dari Bangalore hingga ke California. Ini merupakan langkah ke arah mewujudkan tenaga kerja bertaraf dunia. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia berkemahiran yang bekerja di luar negeri mesti digalakkan pulang. Saya dengan ini mencadangkan rakyat Malaysia yang mempunyai kepakaran yang diperlukan oleh negara diberi galakan berikut:

* Pendapatan yang dibawa balik dalam tempoh dua tahun dikecualikan daripada cukai pendapatan;
* Semua barangan persendirian yang dibawa balik, termasuk dua buah kereta diberi pengecualian cukai; dan
* Isteri atau suami dan anak-anak yang bukan rakyat Malaysia diberi taraf pemastautin tetap dalam tempoh enam bulan.

Untuk menjayakan aspirasi negara mewujudkan masyarakat berpengetahuan, kita mesti bermula dengan anak-anak di bangku sekolah. Program celik komputer di kalangan penuntut sekolah dan program Sekolah Bestari telah dilaksanakan. Fasa pertama projek perintis ini melibatkan 90 buah sekolah yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan. Kejayaan projek perintis ini akan dijadikan asas untuk Kerajaan memperluaskannya ke seluruh negara.

Kerajaan juga sedang melaksanakan program makmal komputer di mana setiap sekolah akan dibekalkan dengan di antara 12 hingga 43 buah komputer yang dilengkapi dengan kemudahan multimedia dan Internet. Keutamaan akan diberi kepada sekolah-sekolah di luar bandar.

Sebagai langkah permulaan, kerja-kerja membina 2,200 buah makmal komputer telahpun dimulakan di seluruh negara. Menjelang akhir tahun 2001, semua sekolah yang mempunyai bekalan elektrik dan telefon dijangka akan dilengkapi dengan peralatan dan perkakasan komputer melalui program ini. Langkah ini diambil untuk melahirkan lebih ramai pelajar celik komputer yang dapat mempertajamkan pemikiran mereka supaya lebih pintar, berinisiatif, kreatif serta mampu berdikari.

Harapan saya, para pelajar juga tidak akan mengabaikan peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris. Ini adalah kerana bahasa utama dunia ICT adalah bahasa Inggeris. Kita tidak boleh lari daripada kenyataan ini dan tidak merugikan sekiranya kita dapat menguasai satu lagi bahasa selain daripada Bahasa Kebangsaan.

Kerajaan juga telah membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengeluarkan caruman mereka bagi membeli komputer bagi keperluan pembelajaran anak-anak mereka di pusat-pusat pendidikan tinggi mahupun di peringkat persekolahan.

Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pencarum telah menyalahgunakan kemudahan ini bagi tujuan lain. Namun, Kerajaan juga yakin masih terdapat ramai di kalangan rakyat yang ingin turut serta dalam arus perkembangan teknologi maklumat. Justeru, saya mencadangkan supaya semua pencarum juga dibenar untuk mengeluarkan caruman mereka bagi membeli komputer untuk kegunaan sendiri. Di samping itu, saya juga mencadangkan:

* Pemberian komputer baru oleh syarikat kepada pekerjanya yang kini dianggap sebagai manfaat berupa barangan, dengan izin benefit-in-kind tidak dikenakan cukai pendapatan sementara perbelanjaan syarikat itu pula dibenarkan sebagai potongan cukai;
* Kakitangan Kerajaan dibenarkan membuat pinjaman komputer setiap lima tahun sekali; dan
* Sumbangan dalam bentuk tunai dan bukan tunai kepada program membudayakan ICT dibenarkan sebagai potongan cukai.

Bagi melengkapkan usaha-usaha di atas, Kerajaan akan memberi insentif percukaian untuk menyemai dan memupuk tabiat membaca. Tabiat membaca adalah asas penting untuk menjamin kesinambungan pemilikan ilmu pengetahuan mana-mana masyarakat. Oleh yang demikian, saya mencadangkan pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM500 setiap tahun bagi setiap pembayar cukai untuk membeli buku, termasuk buku teks sekolah.

Memajukan Industri Teknologi Komunikasi dan Maklumat serta Modal Teroka
Penekanan terhadap ICT diteruskan memandangkan bahawa aplikasi berasaskan ICT adalah perlu untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. Inisiatif ini telah dimulakan dengan membangunkan prasarana di MSC. Kita perlu memperkemaskan pelan pelaksanaan MSC keseluruhannya. Di samping itu, Multimedia Development Corporation (MDC) telah diberi tanggungjawab untuk mempastikan integrasi antara aplikasi-aplikasi perdana MSC dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Sehubungan ini, MDC juga akan diperteguhkan lagi dengan tenaga kepakaran baru, di samping untuk memberi peluang kepada generasi muda yang lebih peka dan cenderung dalam revolusi ICT. MDC juga seharusnya berusaha lebih gigih untuk membawa syarikat ICT bertaraf dunia yang akan menjadi daya tarikan kepada syarikat ICT yang lain.

Kerajaan menyedari kepentingan dan peranan modal teroka sebagai satu sumber alternatif pembiayaan modal, khususnya dalam ICT. Dengan ini, saya mengumumkan penubuhan satu lagi Tabung Modal Teroka berjumlah RM500 juta. Bagi memastikan Tabung ini digunakan dengan sepenuhnya, Kerajaan bersedia membenarkan pihak luar yang berkemampuan menguruskannya secara out-sourcing, dengan izin. Kerajaan juga sedar bahawa industri modal teroka adalah berisiko tinggi, justeru Kerajaan bersedia mengambil langkah untuk membantu, dengan izin business angels yang berani melabur ekuiti dalam modal permulaan. Bagi tujuan ini, saya mencadangkan pendapatan berkanun syarikat yang melabur dalam syarikat teroka di peringkat dengan izin, start-up, seed-capital dan first-stage financing diberi potongan bersamaan dengan jumlah pelaburannya.

Untuk mengelakkan insentif ini disalahgunakan, potongan cukai ini tertakluk kepada syarat bahawa pelabur tidak boleh menjual ekuitinya dalam syarikat teroka sehingga syarikat disenaraikan.

Selain daripada itu, sebuah agensi khusus untuk menyelaras pembangunan modal teroka akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan. Agensi ini akan bertindak sebagai, dengan izin one stop agency, dan bertanggungjawab untuk mempastikan industri modal teroka dapat membangun dan berkembang dengan lebih cekap dan berkesan.

Badan ini juga akan menggubal, menyelaras dan memantau semua dasar, strategi, insentif dan menyelia industri modal teroka. Bagi memudahkan syarikat modal teroka mendapat lebih laluan dalam pasaran modal, beberapa syarat, dengan izin listing di MESDAQ akan dilonggarkan, termasuk mengurangkan syarat 70 peratus daripada hasil listing, digunakan di Malaysia.


Penyelidikan dan Pembangunan
Bagi menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan modal teroka dan ICT, kerajaan telah memperluaskan skop kerja-kerja penyelidikan di bawah, dengan izin Intensification of Research in Priority Areas (IRPA), kepada syarikat-syarikat modal teroka yang berminat untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) di MSC dan mana-mana tempat yang diluluskan oleh kerajaan. Di bawah pakej galakan istimewa, kerajaan telah mensyaratkan bahawa satu peratus daripada nilai jualan tahunan diperuntukkan bagi R&D. Sekiranya syarikat tidak dapat menggunakan sepenuhnya peruntukan tersebut, bakinya akan dimasukkan ke dalam tabung IRPA. Sehubungan ini, usaha-usaha R&D tidak semestinya ditumpukan kepada memulakan kerja-kerja penyelidikan daripada sesuatu yang baru tetapi boleh merangkumi kerja-kerja memperbaharui, meningkat dan menyesuaikan penemuan teknologi sedia ada. Di mana perlu, kerajaan juga bersedia untuk memperoleh teknologi baru melalui perolehan ekuiti dalam syarikat-syarikat asing. Kerajaan akan menyediakan peruntukan secukupnya bagi tujuan pemilikan teknologi dan mengkomersialkan penggunaan teknologi baru. Bagi mewujudkan perkhidmatan sokongan dan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan kepada industri berteknologi tinggi, kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM16.7 juta bagi melengkapkan Tecno Center di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park.

Pakej Galakan Istimewa
Dalam usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan dan meneruskan pengukuhan asas ekonomi, pelaburan swasta akan dipertingkatkan sejajar dengan matlamat menjadikan sektor swasta sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi. Sehubungan ini, kerajaan akan terus menawarkan pakej galakan istimewa bagi meningkatkan pelaburan swasta tempatan dan juga pelaburan asing. Oleh yang demikian, kerajaan mengalu-alukan cadangan projek daripada semua sektor untuk diberi pertimbangan mendapatkan galakan istimewa ini. Di samping itu, saya mencadangkan supaya skim galakan pelaburan semula diperbaiki dengan memberi insentif elaun modal dipercepatkan bagi pelaburan semula dalam aktiviti yang digalakkan selepas syarikat menikmati galakan elaun pelaburan semula. Selanjutnya, saya juga mencadangkan supaya insentif cukai bagi kawasan yang digalakkan yang akan tamat menjelang akhir tahun ini dilanjutkan kepada 31 Disember 2005. Dengan demikian, projek-projek yang ditempatkan di Koridor Pantai Timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan terus menikmati tahap pengecualian cukai yang lebih baik.

Meningkatkan Penggunaan Dalam Negeri
Di samping itu, kerajaan juga terus berusaha mempertingkatkan lagi perbelanjaan permintaan dalam negeri, terutamanya penggunaan swasta sebagai satu sumber menjana pertumbuhan. Sebagai langkah untuk meningkatkan pendapatan boleh guna dan selanjutnya merangsang penggunaan, saya mencadangkan supaya pembayar cukai individu berpendapatan rendah dan sederhana diberi kadar rebat yang lebih tinggi. Mulai tahun taksiran 2001, kadar rebat pembayar cukai dinaikkan daripada RM110 kepada RM350. Rebat bagi isteri dinaikkan daripada RM60 kepada RM350. Golongan pembayar cukai yang layak mendapat rebat ini dinaikkan daripada kumpulan pendapatan bercukai RM10,000 kepada RM35,000 ke bawah. Ini melibatkan 1.23 juta pembayar cukai dan akan mengurangkan hasil kerajaan kira-kira RM434 juta. Saya berharap semua pembayar cukai dapat menggunakan sepenuhnya rebat ini dan berbelanja secara bijak bagi meningkatkan kualiti hidup, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Kerajaan akan terus mengamalkan rejim percukaian yang rendah untuk menggalakkan penggunaan dalam negeri dan juga mempertingkatkan daya saing negara.

KEDUA: INISIATIF STRATEGIK UNTUK MENINGKATKAN DAYA SAING NEGARA
Struktur ekonomi global telah berubah kepada sistem yang lebih kompleks, canggih dan kompetitif sejak beberapa tahun lalu. Pelaksanaan Wawasan 2020 kita telah terganggu sedikit selama dua tahun semasa krisis. Namun, saya ingin menegaskan bahawa wawasan kita tetap tidak berubah. Cuma, kita perlu mengemaskinikan strategi pelaksanaannya untuk mengambil kira perubahan dan fenomena baru ini. Oleh yang demikian, dalam belanjawan ini, saya memperkenalkan beberapa inisiatif strategik yang akan memacu negara ke arah mencapai Wawasan 2020. Antara lain, kita memberi satu perspektif baru kepada konsep perkongsian strategik, peranan FDI (Pelaburan Langsung Asing) dan pembangunan pasaran modal. Kita juga perlu mengambil inisiatif strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran, pengedaran dan dengan izin transhipment dalam era AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN) dan WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia).


Rakan Strategik dan FDI
Peranan FDI tidak seharusnya dihadkan kepada menambahkan stok modal negara sahaja. Kita juga mahu melihat FDI memainkan peranan dalam meningkatkan daya saing negara dan meningkatkan penglibatan negara dalam rantaian nilai antarabangsa. Di samping menambah kapasiti pengeluaran, kita juga menggalakkan syarikat-syarikat asing untuk melabur dalam pembangunan sumber manusia dan bersedia memindahkan teknologi.

Kita terus mengalu-alukan kedatangan serta penyertaan pelabur asing, bukan hanya dalam bidang pengeluaran, malahan kita sanggup berkongsi dalam sektor-sektor strategik seperti ICT, tenaga, pelabuhan serta sektor kewangan. Malahan, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan kesediaan untuk menerima penglibatan pelaburan asing melalui perkongsian bijak, bukan sahaja dari segi pegangan ekuiti bahkan juga, dalam peringkat pengurusan. Kerajaan juga telah membenarkan perkongsian ekuiti dengan pihak asing dalam industri penerbangan awam negara serta kereta nasional.

Ikatan perkongsian bijak ini akan dapat memperluaskan bukan sahaja pasaran tempatan, malahan meliputi pasaran luar dengan menggunakan khidmat kepakaran asing yang cekap untuk memperoleh laluan ke pasaran antarabangsa. Oleh itu, kita perlu mengamal sikap terbuka dalam usaha kita menarik FDI. Dengan dunia tanpa sempadan, syarikat gergasi antarabangsa kini mempunyai lebih pilihan dalam membuat keputusan untuk menempatkan pelaburan mereka. Manakala negara-negara pesaing, saling berebutan untuk menarik FDI ke negara masing-masing.

Meletakkan Malaysia dalam Era AFTA dan WTO
Oleh kerana kedudukan strategik negara yang berada di tengah-tengah ASEAN serta memiliki kemudahan infrastruktur antara yang terbaik di rantau ini, kebanyakan pelabur asing menganggap Malaysia sebagai tapak permulaan kegiatan pelaburan ke seluruh rantau ASEAN, terutamanya dalam era AFTA dan WTO. Justeru, kita semestinya mengambil inisiatif untuk merebut segala peluang daripada keistimewaan ini. Sebagai contoh, KLIA yang diiktiraf sebagai satu kecemerlangan kejuruteraan dan seni bina harus juga dieksploitasikan segala potensinya. KLIA boleh dijadikan dengan izin, regional hub and spoke, bukan sahaja untuk kegiatan perkhidmatan penerbangan tetapi juga sebagai pusat pengagihan dan pengantaraan serantau. Dalam hal ini, sekiranya perlu, kepakaran asing boleh dibawa masuk, malahan penyertaan mereka dalam pengurusan lapangan terbang negara juga boleh dipertimbangkan.

Sebagai sebuah negara terbuka yang banyak bergantung kepada perdagangan luar, kita perlu meningkatkan keupayaan perkapalan negara. Dalam hubungan ini, saya mencadangkan Tabung Perkapalan Negara ditambah sebanyak RM1 bilion lagi daripada RM1.1 bilion yang telah digunakan sepenuhnya. Untuk memastikan tabung ini akan memberi faedah kepada syarikat-syarikat perkapalan tempatan, garis panduan mengenainya akan disemak semula. Saya berharap syarikat perkapalan tempatan dapat bersaing dengan syarikat perkapalan asing dalam dunia tanpa sempadan.

Memantapkan Sistem Kewangan
Penyediaan Pelan Induk Pasaran Modal dan Pelan Induk Perkhidmatan Kewangan kini di peringkat akhir. Cabaran kita adalah untuk menyelaras pelaksanaan kedua-dua pelan induk ini supaya negara akan memperoleh satu rancangan dan pendekatan yang, dengan izin holistic. Ini akan memantapkan lagi sistem kewangan negara.

Pasaran modal akan digiatkan lagi bagi mendorong pembangunan ekonomi negara. Kerajaan telah mengambil langkah untuk mengurangkan pergantungan sumber pembiayaan kepada sistem perbankan untuk menggiatkan aktiviti ekonomi. Ini bertujuan untuk mengelakkan berulangnya keadaan tidak sepadan, dengan izin mismatch, yang berlaku semasa krisis kewangan di mana pinjaman jangka pendek oleh sistem perbankan digunakan bagi membiayai projek-projek yang mempunyai tempoh pulangan jangka panjang.

Dalam hal ini, pasaran bon akan diperluas dan diperdalamkan lagi bagi meningkatkan peranannya sebagai sumber pembiayaan untuk memperluaskan kegiatan ekonomi baru. Kerajaan akan terus melaksanakan program ukur rujuk, dengan izin benchmarking, melalui penerbitan sekuriti kerajaan secara berjadual. Baru-baru ini, Kerajaan telah berjaya menerbitkan bon sebanyak AS$500 juta di pasaran antarabangsa, di mana sambutan pelabur asing amat menggalakkan. Bagi memperkukuhkan lagi pasaran bon, saya dengan ini mencadangkan duti setem dan cukai keuntungan hartanah berkaitan pengeluaran, dengan izin asset-backed securities dihapuskan.

Pasaran ekuiti adalah komponen penting dalam sistem kewangan. Meskipun BSKL telah pulih, kita merasakan pasaran masih terkurang nilai berikutan kurangnya kefahaman pengurus portfolio terhadap pasaran kita. Usaha perlu dipergiatkan ke arah penyebaran maklumat pasaran yang tepat, cepat dan berkesan serta menjalin perhubungan yang mesra dengan pelabur asing. Sehubungan ini, satu unit baru akan ditubuhkan di BSKL yang akan bertanggungjawab terhadap perhubungan dengan pengurus dana antarabangsa.

Untuk memantapkan lagi pasaran ekuiti, kerajaan juga akan mengkaji semula dasar-dasar penglibatan tabung-tabung institusi seperti KWSP dalam pasaran ekuiti. Di samping itu, kita akan menyeragamkan kadar duti setem ke atas semua urus niaga jual beli saham di BSKL yang melibatkan pelabur rakyat asing, sama ada yang dibuat melalui broker saham asing atau secara terus melalui broker saham tempatan.

Sekatan terhadap pergerakan ringgit dan penetapan kadar pertukaran kepada dolar Amerika telah membawa stabiliti kepada suasana urus niaga dan perdagangan. Pengeksport dan usahawan negara telah dapat berurus niaga dengan negara-negara lain dalam keadaan yang penuh kepastian. Ini amat berbeza dengan negara-negara lain, di mana pengeksport dan usahawan telah mengalami kerugian yang amat besar akibat pergerakan kadar pertukaran mata wang mereka yang begitu, dengan izin volatile. Selain daripada itu, para pelabur asing juga mendapat manfaat daripada rejim ini kerana mereka menikmati kadar pertukaran yang stabil dan ini telah dapat menjamin nilai pelaburan dan keuntungan mereka. Dari semasa ke semasa, kerajaan akan mengkaji keberkesanan langkah penetapan mata wang ringgit, khususnya dalam konteks kos faedahnya kepada negara.

Selain daripada menetapkan nilai ringgit, kerajaan telah juga mengenakan levi sebanyak 10 peratus ke atas keuntungan yang dibawa keluar dari pelaburan portfolio jangka pendek. Langkah ini adalah untuk mengelakkan daripada pengaliran keluar modal jangka pendek secara mendadak yang boleh menggugat kestabilan sistem kewangan negara. Memandangkan persekitaran pasaran modal sekarang lebih meyakinkan, saya mencadangkan keuntungan portfolio yang dibawa keluar selepas tempoh satu tahun, tidak dikenakan levi.

Urus Tadbir Korporat
Inisiatif memantapkan sistem kewangan akan dilengkapkan dengan usaha-usaha mempertingkatkan komitmen terhadap pengurusan yang lebih mantap, bertanggungjawab, telus dan akauntabiliti. Namun, peraturan demi peraturan dan undang-undang demi undang-undang yang disediakan tidak semestinya dapat menjamin ketinggian kualiti urus tadbir korporat. Kerajaan telah menerajui langkah-langkah urus tadbir seperti menyusun semula pengurusan syarikat-syarikatnya, di mana kuasa eksekutif tidak terjurus kepada seorang individu sahaja. Namun, saya kesal langkah yang diambil untuk memenuhi kehendak urus tadbir korporat yang baik telah disalahertikan dengan sinis. Kerajaan tidak bertujuan untuk membebankan sektor korporat dengan perundangan dan peraturan yang berlebihan, tetapi semua ini digubal demi untuk menjamin keutuhan pasaran dan memupuk keyakinan pelabur. Perundangan dan peraturan berlebihan sebenarnya tidak diperlukan sekiranya sektor korporat dapat mempraktikkan amalan terbaik dalam urus tadbir mereka. Kerajaan sedar perundangan dan peraturan yang terlalu banyak boleh menghakis semangat keusahawanan, memudarkan kesanggupan mengambil risiko, manakala pulangan pula tidak setimpal dengan risiko yang ditanggung. Cabaran utama sektor korporat ialah untuk beralih ke arah, dengan izin, self regulatory bagi memastikan mereka berkembang dalam persekitaran perundangan dan peraturan yang mendorong ke arah kemajuan dan kecemerlangan.

Mengurangkan Kos Kendalian Perniagaan
Daya saing negara akan terus diperkukuhkan melalui peningkatan tahap kecekapan dan produktiviti serta penjimatan kos di dalam proses pengeluaran. Sehubungan ini, pengeluar tempatan perlu beralih kepada menggunakan kaedah pengeluaran yang lebih efisien dan berteknologi tinggi. Bagi membantu sektor swasta mengurangkan kos kendalian perniagaan mereka, saya mencadangkan perkara-perkara berikut:

Syarikat perkilangan dan perkhidmatan yang digalakkan diberi pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas alat ganti dan bahan guna habis sehingga 31 Disember 2003;
i. Syarikat pengangkutan kontena atau hauliers diberi pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas prime mover dan trailer, dengan izin;
ii. Syarikat perladangan diberi pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas jentera dan peralatan;
iii. Syarikat yang memberi perkhidmatan bagi menjimatkan penggunaan tenaga diberi pengecualian cukai pendapatan, di samping pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas mesin dan peralatan berkaitan;
iv. Perbelanjaan modal ke atas mesin dan peralatan yang digunakan oleh syarikat bagi tujuan menjimatkan penggunaan tenaga diberi elaun modal dipercepatkan dan peralatan berkaitan diberi pengecualian duti import dan cukai jualan;
v. Perbelanjaan yang layak bagi elaun modal kenderaan baru dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000 dengan syarat harga kenderaan tidak melebihi RM150,000 ;
vi. Perbelanjaan bagi mendapat sijil halal, sijil kualiti dan akreditasi diberi potongan sekali dalam pengiraan cukai pendapatan;
vii. Perbelanjaan perkhidmatan reka bentuk pembungkusan produk bagi pasaran eksport diberi potongan dua kali dalam pengiraan cukai pendapatan;
viii. Kadar tertinggi duti setem ad-valorem bagi dokumen pindah milik hartanah dikurangkan kepada tiga peratus; dan
ix. Kadar duti setem spesifik untuk pelbagai dokumen diseragamkan kepada RM10,000.

Menghapuskan Kerenah Birokrasi
Untuk menjayakan pelaksanaan wawasan strategik, Kerajaan akan bertindak agresif untuk menghapuskan kerenah birokrasi. Satu pasukan khas akan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan setiap inisiatif yang saya telah umumkan dalam belanjawan ini. Ini adalah untuk memastikan pelaksanaannya membawa faedah yang diharapkan dan semua inisiatif strategik dapat dilaksanakan dengan lancar. Kita tidak boleh alpa.
Setiap agensi mesti lebih bersedia dan bersungguh-sungguh untuk menggerakkan aktiviti ekonomi. Kerajaan akan mengganti atau menukar peraturan yang usang dan membebankan semua pihak. Bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, semua agensi pelaksana diwajibkan mengemukakan laporan kemajuan projek secara berkala kepada pihak paling atasan. Malah, semua anggota pentadbiran diwajibkan memantau pelaksanaan projek-projek dengan rapi supaya rakyat, terutamanya mereka di luar bandar dapat menikmati hasil pembangunan negara di samping mempergiatkan aktiviti ekonomi. Bagi kementerian yang gagal membelanjakan peruntukan yang disediakan, kerajaan akan menarik balik dan mengagihkan semula peruntukan tersebut kepada kementerian yang boleh melaksanakan projek dengan cepat.


KETIGA : MENERUSKAN AGENDA MASYARAKAT PENYAYANG
Kerajaan sedar bahawa dalam ekonomi yang berkembang pesat, mungkin wujud golongan yang tidak dapat menikmati sepenuhnya hasil pembangunan. Justeru, kerajaan akan terus memastikan kemajuan dan kemakmuran negara dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan rakyat. Adalah penting nilai kemesraan, perkongsian dan masyarakat penyayang disemai dalam semua aspek pembangunan dan kehidupan. Kerajaan bertekad meneruskan agenda masyarakat penyayang yang diamalkan selama ini, bahkan ia kini akan dijadikan agenda nasional.

Meneruskan Agenda Sosial
Dalam kita mengejar kemajuan dan kemakmuran, kualiti hidup semua rakyat akan turut dipertingkatkan sejajar dengan arus pembangunan negara. Kerajaan juga akan memastikan prasarana sosial disediakan secukupnya dan kualiti perkhidmatan dipertingkatkan kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya Orang Asli, golongan orang tua dan istimewa. Justeru, program-program yang lebih berkesan, termasuk pemberian kredit mikro dan khidmat sokongan akan dipergiatkan lagi untuk membantu golongan ini. Di samping itu, langkah-langkah akan terus diambil untuk memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Meningkatkan Pendapatan Golongan Miskin
Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada program bagi meningkatkan pendapatan golongan kurang bernasib baik. Sejumlah RM182 juta diperuntukkan bagi tahun 2001 di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk melaksanakan projek-projek pemulihan rumah, peningkatan taraf kesihatan, pemberian mikro kredit, pembangunan ekonomi kampung dan bantuan pertanian. Sehubungan ini, paras kemiskinan dijangka terus berkurang kepada 5.4 peratus. Kerajaan yakin golongan rakyat termiskin berupaya meningkatkan taraf ekonomi dan kesejahteraan hidup mereka sekiranya mereka sanggup berusaha dengan lebih gigih dalam merebut peluang yang ada dalam ekonomi kita yang sedang berkembang maju.

Di bawah program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), semenjak tahun 1996, kerajaan telah menyediakan sejumlah RM300 juta sebagai tabung pusingan kepada golongan termiskin untuk menambah pendapatan melalui pelaksanaan projek yang berdaya maju. Setakat ini, pinjaman berjumlah RM240 juta telah disalurkan kepada 62,243 peminjam. Pada tahun 1998, dana berjumlah RM150 juta juga telah disalurkan kepada Yayasan Tekun Nasional bagi menyediakan pinjaman kepada penjaja-penjaja. Setakat ini, pinjaman berjumlah RM46.5 juta telah dikeluarkan kepada 16,215 penjaja. Adalah diharapkan badan-badan yang telah diamanahkan untuk melaksanakan program ini mengambil perhatian serius dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berhemat, agar dana yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran di samping membantu mencapai matlamat kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

Nasib rakyat Terengganu akan terus dibela, walaupun kerajaan Barisan Nasional tidak lagi menerajui kerajaan negeri. Untuk memastikan rakyat Terengganu terus menikmati kemajuan dan dapat bersama-sama dalam arus pembangunan, Kerajaan Persekutuan bersetuju meneruskan pemberian wang ihsan kepada kerajaan negeri Terengganu melalui Program Pembiayaan Wang Ihsan. Jawatankuasa Peringkat Pusat yang bertanggungjawab terhadap program ini, telah mengenal pasti tujuh kategori program untuk dilaksanakan yang akan memberi manfaat secara langsung, terutamanya bagi penduduk miskin di Terengganu. Ini termasuk bekalan air, elektrik dan jalan kampung, pendidikan serta program prasarana dan perumahan serta penempatan semula. Bagi sektor pertanian pula, beberapa program khusus disediakan, seperti tanaman kontan serta bantuan kepada nelayan pantai dan laut dalam. Di samping itu, wang ihsan akan diperuntukkan bagi pembangunan usahawan melalui program TEKUN-Terengganu, PROSPER-Terengganu dan tabung khas bagi pembangunan vendor, francais dan sebagainya. Wang ihsan juga akan digunakan untuk membantu warga tua, ibu tunggal, orang kurang upaya dan anak-anak yatim. Memandangkan Terengganu sering dilanda bencana alam terutamanya di musim tengkujuh, satu Tabung Bencana Alam akan ditubuhkan. Sebahagian program ini telah pun dilaksanakan.

Kerajaan juga peka dengan soal pembayaran gaji pegawai dan kakitangan di Terengganu. Dalam hal ini, wang ihsan akan mengambil kira defisit sebenar belanjawan kerajaan negeri yang akan disemak oleh Jabatan Audit Negara. Oleh yang demikian, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri Terengganu tidak perlu gusar kerana pembayaran gaji mereka adalah terjamin.

Ada yang mempertikaikan mengenai keputusan kerajaan untuk memberi wang ihsan kepada Terengganu. Sebenarnya, Petronas telah menandatangani perjanjian yang sama dengan semua negeri kecuali bagi Sabah dan Sarawak, di mana perjanjiannya adalah berbeza sedikit. Apa yang jelas, bagi negeri Terengganu atau mana-mana negeri dalam Semenanjung Malaysia, mereka tidak berhak mendapat royalti minyak. Apa-apa bayaran yang dibuat oleh Petronas adalah berbentuk ihsan sahaja seperti yang diputuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Kepada mereka yang menentang program ini yang bertujuan membela nasib mereka yang miskin, warga tua, ibu tunggal dan anak-anak yatim, saya mencadangkan mereka membawa perkara ini ke mahkamah. Tidak usah menentang usaha murni kerajaan dengan slogan-slogan atau kata-kata emosi. Pergilah ke mahkamah.

Meningkatkan Taraf Kesihatan
Kesihatan merupakan harta yang tidak ternilai kepada setiap insan. Rakyat sihat negara maju. Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa memberi perhatian penuh ke arah meningkat taraf kesihatan rakyat tidak kira di mana mereka berada. Sebanyak RM5.76 bilion disediakan bagi tahun 2001 untuk meneruskan antara lain pembinaan beberapa hospital baru. Selain daripada hospital-hospital untuk pesakit biasa, kerajaan juga peka tentang keperluan pesakit jiwa terutama dengan meningkatnya kejadian amok dan membunuh anak pada masa ini. Justeru, kerajaan akan membina hospital psikiatri di Sungai Petani dan Johor, sementara Hospital Bahagia Tanjung Rambutan akan diperbesar bagi menyediakan rawatan dan bantuan kepada mereka yang menghadapi tekanan jiwa. Sebanyak 452 buah klinik baru akan dibina di seluruh negara. Selain itu, Kerajaan juga meneruskan pembiayaan program pendidikan kesihatan yang meliputi amalan pemakanan dan cara hidup sihat di samping pengawalan penyakit berjangkit.

Kerajaan juga berharap supaya badan sukarela bukan Kerajaan tampil bersama untuk meringankan bebanan pesakit buah pinggang yang bilangannya semakin meningkat. Untuk menggalakkan badan sukarela bukan Kerajaan menubuhkan pusat hemodialisis di negeri-negeri, Kerajaan akan memberi, dengan izin matching grant pada nisbah bantuan sebanyak satu ringgit bagi setiap satu ringgit yang dikeluarkan oleh badan-badan ini bagi menubuhkan pusat-pusat hemodialisis. Kerajaan juga akan memberi subsidi bagi kos rawatan sebanyak RM50 kepada setiap pesakit yang menggunakan pusat hemodialisis badan sukarela bukan kerajaan. Ini akan melibatkan peruntukan kira-kira RM10 juta dalam tahun 2001.

Telekesihatan yang bertujuan untuk membantu dan menyokong meningkatkan tahap kesihatan umum rakyat, telah diperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk meneruskan projek yang telah dimulakan pada tahun 2000. Kerajaan juga akan melengkapkan semua hospital dan klinik kesihatan dengan sistem maklumat menyeluruh, dengan izin Total Hospital Information System (THIS). Dengan terlaksananya projek ini, sektor kesihatan akan memperoleh satu sistem maklumat kesihatan yang bersepadu.

Bagi membantu keluarga pesakit yang kurang berkemampuan untuk membiayai kos rawatan penyakit yang serius, saya mencadangkan supaya sumbangan daripada individu dan syarikat bagi tujuan tersebut dibenarkan sebagai potongan cukai pendapatan dengan syarat sumbangan itu disalurkan dalam akaun yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Rakyat juga hendaklah digalakkan mengambil langkah pencegahan sebelum penyakit menjadi mudarat. Saya mencadangkan supaya skop pelepasan yang diberi kepada pembayar cukai individu ke atas perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati, diluaskan untuk meliputi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan sehingga had maksimum RM500 setahun.

Perumahan Rakyat
Rumah merupakan kemudahan asas yang perlu disediakan kepada semua, sama ada oleh pihak kerajaan ataupun swasta pada harga yang mampu dibeli oleh sebilangan besar rakyat. Salah satu sebab wujudnya kawasan setinggan di bandar mahupun di pinggir bandar adalah kerana kekurangan rumah yang mampu dibeli oleh masyarakat, terutamanya bagi mereka yang berhijrah untuk merebut peluang pekerjaan. Justeru, saya menyeru kepada majikan di sektor swasta agar turut melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyediakan tempat penginapan untuk pekerja mereka.

Pemaju perumahan pula, digesa untuk membina rumah yang mempunyai permintaan pasaran, khususnya rumah kos rendah dan sederhana. Pada masa ini, terdapat lebihan hartanah yang ketara. Kerajaan telah membantu meningkatkan penjualan rumah melalui kempen-kempen pemilikan rumah serta memberi banyak insentif. Pemaju mesti lebih serius dan bersungguh-sungguh untuk mengurangkan lebihan ini. Jangan terlalu ghairah mengaut keuntungan beratus ribu, kurangkan harga pasti laku. Bagi kerajaan negeri pula, jangan terlampau mudah meluluskan tukar syarat tanah. Kerajaan tempatan juga jangan sewenang-wenang meluluskan pembinaan ruang pejabat dan kondominium mewah sebelum lebihan hartanah kembali reda.

Untuk meneruskan usaha menggalakkan lagi pemilikan rumah, kerajaan dengan ini membenarkan pencarum KWSP untuk mengeluarkan caruman bagi membeli rumah kedua dengan syarat mereka menjual rumah pertama. Langkah ini bertujuan membolehkan pencarum memiliki rumah yang lebih selesa.

Usaha-usaha menyediakan perumahan kos rendah akan diteruskan. Bagi tujuan ini, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah diberi tanggungjawab menyelaras dan melaksanakan kesemua tabung perumahan kos rendah yang telah ditubuhkan. Di samping itu, SPNB juga akan dipertanggungjawabkan untuk menangani masalah projek perumahan terbengkalai. Sejumlah RM797 juta disediakan untuk membiayai pelbagai projek perumahan kos rendah. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pembinaan sebanyak 37,000 unit rumah untuk menempatkan kesemua setinggan sedang rancak dilaksanakan di bawah Program Perumahan Rakyat Bersepadu. Dalam tempoh dua tahun, Wilayah Persekutuan akan bebas dari masalah setinggan, sekiranya pihak penguatkuasa menjalankan tanggungjawab mereka. Usaha-usaha yang sama akan juga dilaksanakan di bandar-bandar besar di seluruh negara.

Di samping itu, peruntukan yang besar sebanyak RM770.2 juta disediakan bagi pembinaan kuarters untuk guru, anggota polis, tentera, kastam dan imigresen. Bagi guru, sebanyak 341 buah projek melibatkan pembinaan sebanyak 10,252 unit rumah akan dilaksanakan. Bagi anggota angkatan tentera dan polis pula, di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sahaja sebanyak 4,000 unit rumah akan dibina.

Pembangunan Luar Bandar
Program pembangunan bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat luar bandar akan diteruskan. Bagi tujuan ini, kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM3.08 bilion untuk melaksanakan projek-projek pertanian, pembangunan kampung, bekalan air dan elektrik serta kesihatan dan pendidikan. Daripada jumlah itu, sebanyak 856 juta ringgit adalah untuk bekalan elektrik, air dan pembinaan jalan luar bandar dan jalan kampung di seluruh negara. Bekalan elektrik akan disediakan kepada 20,625 buah rumah lagi yang akan memberi faedah kepada 103,000 orang penduduk, manakala bekalan air bersih pula akan meliputi tambahan 72,000 buah rumah lagi untuk dinikmati oleh 360,000 orang penduduk. Pembinaan jalan di luar bandar sepanjang 4,992 kilometer pula akan memberi manfaat kepada seramai hampir satu juta penduduk.

Kesihatan penduduk luar bandar juga sentiasa diberi perhatian utama. Untuk itu, sejumlah RM1.74 bilion disedia bagi meningkatkan taraf kemudahan perkhidmatan kesihatan dan membina klinik desa dan klinik kesihatan di luar bandar.

Sebanyak 428 buah sekolah menengah dan sekolah rendah akan dibina di kawasan luar bandar. Sebagai langkah merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, sebanyak 1,262 buah makmal komputer akan ditubuhkan di sekolah-sekolah di luar bandar.

Di kawasan pedalaman, kerajaan akan meneruskan program Bekalan Air dan Kebersihan Kawasan Sekitar (Bakas) bagi tujuan bukan sahaja untuk memastikan penduduk pedalaman mendapat bekalan air bersih tetapi juga untuk memelihara kebersihan alam sekitar melalui penyediaan tandas yang sempurna.

Alam Sekitar
Pengurusan alam sekitar menjadi semakin mencabar dengan arus pembangunan pesat yang berlaku melibatkan tarahan bukit bukau untuk pembinaan bangunan, pembalakan dan juga pembersihan kawasan hutan untuk pertanian. Ancaman pencemaran di udara, air dan juga darat perlu dibendung. Usaha lebih gigih perlu dilaksanakan bagi memastikan khazanah negara yang meliputi sungai, hutan dan udara terpelihara agar kesihatan dan kualiti hidup rakyat sentiasa terjamin. Justeru, selain daripada pentingnya pendidikan dalam penjagaan alam sekitar, tindakan tegas perlu diambil terhadap individu ataupun syarikat yang tidak mengendahkan isu penjagaan alam sekitar. Pemaju hartanah yang degil dan tidak mematuhi peraturan alam sekitar, seharusnya dikenakan hukuman berat di bawah akta berkaitan serta disenaraihitamkan.

Peruntukan sebanyak RM85 juta disediakan di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi meneruskan usaha-usaha penguatkuasaan, pengawasan, pemantauan dan bagi menyiapkan Institut Kemahiran dan Latihan Alam Sekitar. Kerajaan juga telah memberi kontrak pembersihan parit dan sungai kepada syarikat yang mengendalikan sisa pepejal untuk mempastikan syarikat berkenaan menjalankan tugas dengan lebih bertanggungjawab untuk mengelakkan kejadian banjir kilat.

Pembangunan industri kitaran semula yang lebih teratur dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar. Untuk itu, saya mencadangkan supaya galakan dalam bentuk Elaun Modal Dipercepatkan diberi kepada syarikat-syarikat yang membuat perbelanjaan modal bagi aktiviti kitaran semula, di samping pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas mesin dan peralatan berkaitan.

Kerajaan juga sedang memajukan sumber tenaga baru biomass yang merupakan sumber tenaga yang mesra alam dan tidak akan pupus. Bagi menggalakkan syarikat pengeluar tenaga menggunakan biomass, saya mencadangkan supaya syarikat berkenaan diberi pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus dan juga pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas mesin dan peralatan berkaitan.

Membanteras Gejala Sosial Negatif
Selain daripada masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah yang masih belum reda, kini timbul pula masalah penggunaan pil esctasy secara berleluasa di kalangan remaja kita. Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi melaksanakan kempen kesedaran tentang bahaya pil tersebut. Keruntuhan moral dan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan juga perlu dibendung demi memartabatkan agama, bangsa dan budaya Timur kita. Kerajaan juga turut merasa bimbang dengan perilaku sebilangan pelajar di sekolah yang terjebak dengan aktiviti samseng, ponteng kelas, merokok dan vandalisme serta kegiatan di pusat-pusat permainan video yang boleh menghancurkan masa depan mereka. Sebagai satu langkah untuk menangani gejala-gejala yang tidak sihat ini, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menutup semua pusat-pusat video, di samping melaksanakan beberapa pindaan kepada Akta Rumah Perjudian Terbuka dan Akta Bekalan Elektrik. Kerajaan berterima kasih kepada rakyat kerana memberi sokongan kepada tindakan ini.

Di samping itu, langkah kerajaan melaksanakan persekolahan satu sesi juga bertujuan mengurangkan berlakunya gejala-gejala sosial negatif di kalangan pelajar. Dengan pelaksanaan ini, bukan sahaja kualiti pendidikan dapat dipertingkatkan, malah para pelajar berpeluang menyertai lebih banyak aktiviti kokurikulum. Begitu juga, langkah kerajaan untuk mempercepatkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mulai tahun 2001, akan dapat menjimatkan waktu menunggu bagi pelajar-pelajar selepas menduduki peperiksaan dan mempercepatkan mereka melanjutkan pelajaran seterusnya ke institusi-institusi pendidikan tinggi. Pengurangan waktu menunggu ini akan membantu menghindar pelajar-pelajar daripada menghabiskan waktu dengan sia-sia dan kemungkinan mereka terjebak dengan gejala-gejala negatif sosial.

Bagi tujuan membanteras gejala sosial negatif di kalangan masyarakat, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM94 juta. Perbelanjaan sebesar ini perlu disediakan oleh kerajaan demi memastikan bahawa segelintir masyarakat kita, khususnya kaum belia, tidak terus menuju kehancuran atau menjadi sampah masyarakat, terutamanya jika mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Walau bagaimanapun, perlu di sedari bahawa masalah sosial tidak akan dapat diselesaikan oleh kerajaan sahaja. Saya menyeru agar semua di kalangan kita mengeratkan hubungan kekeluargaan, menguatkan keimanan dan kecintaan kepada agama, memupuk nilai-nilai murni dan jati diri, menjaga maruah dan nama baik keluarga kerana hanya dengan cara inilah dapat kita membina ketahanan diri yang cukup kuat untuk memerangi gejala-gejala sosial negatif yang melanda. Para pendidik juga perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam memberi bimbingan kaunseling kepada para pelajar. Marilah kita berganding bahu untuk nasihat menasihati sesama kita dan berdoa agar segala usaha baik kita itu mendapat restu Allah subhanahu wa taala.

Tabiat merokok dan minum arak adalah membimbangkan kerana ia boleh membawa kepada ketagihan, memudaratkan kesihatan dan menimbulkan masalah sosial. Merokok boleh mengakibatkan kanser manakala ketagihan arak mengakibatkan keluarga porak-peranda. Sebagai langkah pencegahan, saya mencadang supaya cukai jualan bagi minuman keras dinaikkan daripada 15 peratus kepada 20 peratus dan bagi rokok dinaikkan daripada 15 peratus kepada 25 peratus.

Memartabatkan Islam
Islam menganjurkan perpaduan ummah. Perpaduan sangat besar ertinya kepada keamanan dan kestabilan negara yang menjadi prasyarat untuk membolehkan negara terus membangun dan maju dan hasilnya dikecapi oleh segenap lapisan masyarakat. Tetapi, amat malang sekali bagi kita sekiranya terdapat golongan yang mendakwa meneraju Islam sebagai ad-Din menganjurkan perpecahan di kalangan umat Islam sendiri. Sedang kerajaan memupuk perpaduan di kalangan pelbagai kaum, ada pula puak dan juak masih rancak menyebar fitnah, dusta dan nista bagi menyemarakkan sifat kebencian sesama sendiri dan juga di kalangan masyarakat.

Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk mengikis pandangan sempit terhadap Islam dan akan menerapkan nilai-nilai murni yang berasaskan Islam yang sejati yang akan memimpin hidup kita ke arah kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Selaras dengan itu, kerajaan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pembangunan serta memantapkan lagi penghayatan nilai-nilai Islam di kalangan umat Islam negara ini.

Bagi mencapai matlamat membangun bersama Islam, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM204.79 juta melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan insan secara lebih bersepadu. Di antaranya, termasuklah program pembangunan institusi keluarga dan khidmat sosial, peningkatan kefahaman dan penghayatan Islam, pendidikan sekolah agama dan Kelas al-Quran dan Fardu Ain, penerbitan rancangan berasaskan ajaran Islam menerusi siaran radio dan televisyen dan media cetak serta program pemulihan akidah. Jakim juga akan berusaha untuk memajukan ekonomi masyarakat Islam menerusi penyelarasan dan kerjasama dengan Majlis dan Jabatan Agama Islam di peringkat negeri bagi membangunkan tanah-tanah wakaf dan memperkemaskan serta memperkembangkan lagi kegiatan baitulmal.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan di bawah Kementerian Pendidikan sebanyak RM67.25 juta untuk melaksanakan program pengurusan pendidikan Islam dan moral. Peruntukan juga disediakan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM51.34 juta bagi pembinaan dan pengubahsuaian masjid, sekolah agama, pusat latihan Islam dan dakwah, dan Kompleks Darul Quran Fasa Kedua.

Masyarakat Penyayang
Dalam mempertingkatkan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara, kualiti hidup golongan kurang bernasib baik tidak diabaikan. Bagi membela kebajikan golongan orang kurang upaya, warga tua, anak-anak yatim dan fakir, kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM185 juta. Di samping itu, saya juga mencadangkan supaya orang kurang upaya diberi bantuan berikut:
* Pengecualian sepenuhnya ke atas kesemua bayaran rawatan perubatan di hospital kerajaan;
* Pengecualian sepenuhnya ke atas bayaran dokumen perjalanan;
* Pengecualian duti eksais sebanyak 50 peratus ke atas kereta dan motosikal nasional bagi golongan orang cacat anggota; dan
* Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan direka khas untuk kegunaan orang kurang upaya.

Dalam bidang pendidikan, golongan cacat pendengaran dan penglihatan akan disediakan dengan sekolah-sekolah menengah khas aliran vokasional meliputi mata pelajaran, termasuk seni grafik, muzik, pertukangan perabot, keusahawanan dan fisioterapi. Program ini, yang disediakan peruntukan sebanyak RM29.8 juta, akan membuka peluang kerjaya yang lebih luas kepada golongan ini.

Sebagai mengiktiraf jasa kakitangan awam, saya mencadangkan supaya faedah-faedah yang sedia ada di bawah Skim Pampasan Ex-gratia bagi kakitangan awam ditingkatkan agar menyamai faedah yang disediakan di bawah Skim Faedah Perkeso. Dalam hubungan ini, sekiranya seseorang kakitangan kerajaan mengalami kecederaan dan kehilangan dua jari, beliau akan dibayar sebanyak RM40,000 seperti kadar bayaran di bawah skim Perkeso berbanding dengan RM4,000 di bawah Skim Ex-gratia sekarang. Ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan kepada mereka dan tanggungannya, andainya berlaku kemalangan semasa bekerja. Kemudahan ini akan dipanjangkan juga kepada kakitangan Kerajaan di bawah skim kontrak dan sementara.
Kerajaan juga prihatin tentang kesulitan yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Pada masa ini, kerajaan memang menghulurkan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah sama ada melalui skim bantuan buku teks, bantuan makanan tambahan, penempatan di asrama dan juga skim biasiswa. Program-program ini akan diteruskan.

Pada masa ini, Skim Biasiswa Kecil Persekutuan diberi kepada pelajar-pelajar berprestasi tinggi dan pelajar-pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah di tingkatan satu hingga lima dan Skim Biasiswa Kelas Persediaan Universiti kepada pelajar-pelajar tingkatan enam. Saya mencadangkan supaya kadar kedua-dua jenis Biasiswa ini dinaikkan sebanyak 100 peratus. Kadar biasiswa dan pinjaman dalam negeri di bawah Mara juga diselaraskan mengikut kadar biasiswa dan pinjaman Jabatan Perkhidmatan Awam. Adalah diharapkan agar kenaikan ini akan mendorong pelajar-pelajar untuk terus cemerlang dalam prestasi pelajaran mereka, di samping tidak ada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah yang tercicir daripada sekolah akibat masalah kewangan keluarga. Kerajaan juga bersetuju untuk menambah bilangan penajaan pelajar cemerlang di bawah anjuran Mara daripada 200 pelajar setahun kepada 400 orang pelajar setahun ke universiti terkemuka di luar negara mulai tahun 2001.

Masyarakat Orang Asli
Bagi masyarakat Orang Asli, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk pelbagai program, termasuk peruntukan bantuan pendidikan kepada seramai 6,400 pelajar baru di sekolah rendah dan sekolah menengah. Program, dengan izin Stay With The School yang dilaksanakan secara perintis bermula tahun ini, akan melibatkan seramai 1,300 orang di enam buah sekolah rendah, bertujuan untuk meningkatkan minat pelajar melalui aktiviti kelas tambahan, kokurikulum, bimbingan intensif dan motivasi. Program ini bertujuan untuk mengurangkan kadar keciciran di kalangan anak-anak Orang Asli. Di samping itu, projek Penempatan Tersusun Kampung Orang Asli, program pembangunan ekonomi dan perkhidmatan sosial akan diteruskan untuk meningkatkan lagi taraf hidup golongan Orang Asli di negara ini.

Wanita
Peranan wanita dalam pembangunan ekonomi tidak pernah diabaikan. Golongan ini merupakan sebahagian besar daripada tenaga kerja negara. Meskipun banyak kemajuan telah dicapai dari segi penyertaan wanita dalam kerjaya di sektor awam dan juga swasta, namun masih terdapat aspek-aspek tertentu di mana kaum wanita masih memerlukan pembelaan, khususnya berkaitan dengan kemiskinan, buta huruf, gangguan seksual di tempat kerja dan sebagainya. Kerajaan juga prihatin dengan masalah ibu tunggal serta isteri-isteri yang teraniaya yang boleh membawa akibat buruk kepada anak-anak sekiranya keadaan mereka tidak terbela. Justeru, kerajaan akan terus mempastikan bahawa kaum wanita tidak akan terpinggir dalam arus pembangunan negara dan akan terus mengadakan program-program bagi meningkatkan kesejahteraan dan mutu hidup kaum wanita. Program-program yang bakal dilaksanakan, bukan sahaja melibatkan agensi kerajaan, tetapi juga badan sukarela bukan kerajaan.

Sebagai langkah berterusan untuk memberi kemudahan kepada pembayar cukai wanita, kerajaan baru-baru ini telah pun membenarkan mereka melaporkan pendapatan secara berasingan. Saya mencadangkan supaya perundangan dipinda bagi membolehkan pembayar cukai wanita yang suaminya tidak mempunyai pendapatan bercukai diberi pelepasan untuk suami, menyamai layanan cukai kepada pembayar cukai lelaki yang isterinya tidak mempunyai pendapatan bercukai.

Belia dan Sukan
Belia merupakan kumpulan sumber manusia yang terbesar dalam negara. Bagi tujuan menghadapi cabaran alaf baru, para belia perlu diperlengkapkan dengan semangat jati diri yang unggul. Untuk ini, peruntukan yang mencukupi akan disediakan bagi pelbagai program pembangunan belia, termasuk program Rakan Muda yang akan diberi imej baru dengan pengisian aktiviti yang lebih serasi dengan keperluan semasa yang menekankan nilai murni dan keagamaan. Program kepimpinan belia di semua peringkat juga akan diperbanyakkan untuk melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis bersemangat waja di kalangan belia yang lebih bertanggungjawab, dinamik dan berkualiti serta mampu menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran nusa dan bangsa.

Kita sama-sama berasa kecewa dengan prestasi kontingen sukan negara di kejohanan Sukan Olimpik di Sydney baru-baru ini. Walaupun sejumlah peruntukan yang besar telah disediakan, pelbagai kemudahan dan galakan diberikan, namun hasil yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Ahli-ahli sukan kita mesti mengamalkan tahap disiplin yang paling tinggi. Kekuatan mental juga mesti diberi keutamaan. Selain daripada itu, mereka tidak seharusnya mementingkan diri sendiri tetapi mementingkan kejayaan negara. Ketepikan segala sengketa dan perbalahan, tingkatkan kerjasama. Kejayaan mereka juga kejayaan negara dan rakyat. Harapan saya ahli-ahli sukan kita juga mempunyai semangat berpasukan yang tidak berbelah bagi. Dalam temasya sukan, mereka yang gagal mesti terus memberi sokongan kepada rakan-rakan sepasukan lain yang masih bertanding. Kerajaan menyeru supaya kita bangkit semula membina semangat berpasukan. Marilah bersama-sama kita menjulang semula nama negara di arena sukan antarabangsa.

Badan Sukarela Bukan Kerajaan dan Sukarelawan
Badan sukarela bukan kerajaan adalah penting dan perlu wujud subur dalam masyarakat Malaysia. Bagaimanapun, badan sukarela ini perlu bergerak di atas landasan yang betul dan tidak bertindak di luar batasan yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan negara. Kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada badan sukarela yang bergiat membantu meningkatkan kebajikan masyarakat dan kesejahteraan sosial. Kerajaan memandang tinggi terhadap dedikasi dan kesungguhan para sukarelawan yang tidak mementingkan diri sendiri dan terus menabur bakti kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya, semangat sukarela ini harus terus dipupuk dan diperkembangkan di kalangan semua rakyat. Perlu disedari akan hakikat bahawa tidak semua yang memerlukan bantuan itu mengharapkan bantuan kewangan semata-mata. Ramai yang memerlukan bantuan nasihat, bimbingan, penjagaan, asuhan dan sebagainya. Lantaran itu, kerajaan menggalakkan kegiatan sukarela dan mengharapkan agar lebih ramai lagi para sukarelawan yang tampil menyertai gagasan badan sukarela untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara.

Bagi menggiatkan lagi peranan badan sukarela di negara ini, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM41 juta bagi membantu mereka melaksanakan pelbagai kegiatan kemasyarakatan. Bagaimanapun, mereka perlu lebih bertanggung jawab dan akauntabil dalam menguruskan bantuan kewangan yang diberikan. Selain daripada bantuan daripada Kerajaan, pihak swasta juga disaran untuk memainkan peranan lebih aktif dengan memberi sumbangan tenaga dan kewangan kepada badan sukarela. Bagi menghargai khidmat bakti sukarelawan, saya mengumumkan kenaikan elaun bagi pegawai angkatan sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pasukan sukarela Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kakitangan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) seperti berikut:
* Elaun pakaian seragam dinaikkan di antara empat peratus hingga 50 peratus. Di samping itu, mereka juga akan diberi elaun baru untuk pakaian istiadat sebanyak RM750,000 setiap lima tahun sekali; dan
* Elaun kehadiran latihan tempatan dinaikkan di antara 45 peratus hingga 81 peratus.

Di samping itu, saya mencadangkan supaya Anggota Kerahan Angkatan Sukarela (AKAS) dibenarkan membuat caruman secara sukarela kepada Tabung Angkatan Tentera. Ini akan membolehkan mereka membuat sumber simpanan untuk digunakan di masa tua.

PERUNTUKAN BELANJAWAN 2001
Saya mencadangkan sejumlah RM91.05 bilion diperuntukkan bagi Belanjawan 2001 iaitu pertambahan sebanyak 16.7 peratus berbanding dengan peruntukan asal tahun 2000. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM62.21 bilion atau 68.3 peratus diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus manakala sebanyak RM28.84 bilion atau 31.7 peratus diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Dengan hasil kerajaan dianggarkan sebanyak RM69.6 bilion, akaun semasa belanjawan akan mencatat lebihan sebanyak RM8.9 bilion. Namun demikian, setelah mengambil kira perbelanjaan pembangunan dan terimaan balik serta peruntukan luar jangka, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka mencatat defisit 4.9 peratus daripada KNK.

Sebanyak RM32.14 bilion daripada Perbelanjaan Mengurus diperuntukkan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Antaranya, adalah untuk bayaran khidmat hutang negara, bayaran pencen dan ganjaran serta sumbangan kepada kumpulan-kumpulan wang terkanun. Sebanyak RM16.92 bilion adalah untuk Emolumen, RM10.08 bilion untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM1.15 bilion untuk pembelian kelengkapan serta kemudahan pejabat dan RM1.93 bilion bagi perbelanjaan lain, termasuk bayaran balik cukai.

Sebanyak RM10.935 bilion atau 37.9 peratus disediakan bagi meneruskan agenda sosial untuk melaksanakan projek-projek pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan dan pembangunan masyarakat serta belia dan sukan, seperti yang telah saya umumkan sebentar tadi. Seterusnya, peruntukan sebanyak RM9.429 bilion atau 32.7 peratus disediakan untuk meneruskan agenda ekonomi iaitu untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur, pertanian, perindustrian, bekalan elektrik dan air dan juga pembangunan luar bandar. Selain daripada itu, sejumlah RM3.158 bilion atau 11 peratus diperuntukkan bagi pembangunan di sektor keselamatan dan RM3.315 bilion atau 11.5 peratus pula kepada sektor pentadbiran am.

Meneruskan Agenda Ekonomi Sektor Pertanian
Sungguhpun kerajaan telah menyediakan pelbagai galakan memajukan pengeluaran pertanian negara, namun belanja import makanan masih tinggi hingga mencapai kira-kira RM11 bilion pada tahun lepas. Pada belanjawan yang lalu, kerajaan telah menyediakan insentif kepada syarikat-syarikat perladangan besar untuk menceburi bidang pengeluaran makanan. Malangnya, tidak ada satu syarikat perladangan pun yang mengambil peluang ini kerana syarikat swasta masih kurang yakin kepada potensi mendapat keuntungan daripada pelaburan dalam industri bahan makanan.
Untuk menarik minat mereka, insentif bagi sektor ini diperbaiki lagi. Saya mencadangkan syarikat yang melabur dalam syarikat milik penuhnya yang mengeluarkan bahan makanan, pendapatan berkanunnya diberi potongan bersamaan dengan jumlah pelaburannya itu. Sebagai pilihan, syarikat induk boleh menggunakan kerugian syarikat subsidiarinya untuk ditolak daripada pendapatannya sendiri. Di samping itu, syarikat yang mengeluarkan bahan makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya selama 10 tahun mulai dari tahun pertama ia membuat keuntungan. Walaupun buat permulaan, pulangan di sektor pertanian tidak sebesar pulangan dalam sektor-sektor ekonomi lain, syarikat-syarikat besar seharusnya berani menerokai bidang ini, kerana bidang pertanian berpotensi jika dilaksanakan dengan menggunakan teknologi baru dan tanaman secara integrasi dan berskala besar. Seterusnya, bagi menggalakkan syarikat menyediakan perkhidmatan, dengan izin cold chain facilities untuk meningkatkan kecekapan pengedaran bahan makanan, saya mencadangkan galakan Taraf Perintis diberikan untuk tempoh lima tahun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus.

Dasar Pertanian Negara yang ketiga telah menggariskan langkah-langkah positif ke arah membangunkan sektor pertanian yang moden, berorientasi komersial dan berintensif teknologi meliputi bidang-bidang pembungkusan, pemasaran dan pengedaran. Bagi memajukan sektor pertanian, kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM2.4 bilion bagi tahun 2001. Daripada peruntukan ini, sejumlah RM84 juta disediakan bagi mewujudkan 18,400 hektar Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Taman ini yang dirizabkan sebagai zon pengeluaran pertanian yang kekal, disewa kepada usahawan tani dan pengusaha-pengusaha swasta dengan kadar yang rendah. Projek ini merupakan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di mana sehingga kini, sebanyak enam perjanjian persefahaman telah dimeteraikan dengan kerajaan-kerajaan negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Johor, Melaka dan Sarawak.

Memajukan Industri Pelancongan
Kerajaan sedar industri pelancongan merupakan sektor penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan juga pertukaran asing. Pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi memesatkan lagi perkembangan sektor ini termasuklah memberi cuti hujung minggu, mengadakan aktiviti pameran, pesta dan ekspo, menjadikan Malaysia sebagai pusat membeli-belah yang terkenal, di samping menganjurkan perlumbaan Formula One untuk menarik peminat-peminat sukan antarabangsa. Kerajaan juga menyediakan prasarana dan produk pelancongan yang lebih baik, termasuk, dengan izin sports and eco-tourism. Namun, setiap rakyat perlu terus lebih kreatif dan berusaha menarik lebih ramai pelancong dengan mempromosikan segala khazanah kebudayaan dan kesenian negara serta lokasi tarikan pelancongan di negara ini. Kita mengalu-alukan semua pelancong tetapi kita mesti berwaspada supaya tidak menghalang kedatangan mereka disebabkan oleh segelintir yang tidak bertanggungjawab mencemarkan nama baik negara. Seramai 10 juta pelancong asing dijangka akan melawat Malaysia dalam tahun 2001 berbanding dengan 8.5 juta tahun ini. Bagi menarik lebih banyak lagi pelancong asing, kerajaan akan menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk menjalankan promosi secara bijak supaya lebih berkesan, di samping menyediakan prasarana yang lebih baik untuk para pelancong.

E-Village
Projek E-Village juga telah mula dibangunkan di kawasan seluas 240 hektar di bawah fasa satu. Projek ini bertujuan mempromosikan industri multimedia kreatif, termasuk industri perfileman dan juga aktiviti lain yang berkaitan dengan multimedia. E-Village akan menawarkan kemudahan, dengan izin state-of-the-art. Ianya juga bertujuan untuk menarik minat syarikat pengeluar perfileman antarabangsa ke Malaysia. Setakat ini, pengeluar filem India telah menunjukkan minat, di mana satu daripada syarikat filem animasinya telah menandatangani satu perjanjian teknikal dan pemasaran dengan E-Village. Saya juga berharap pengeluar filem tempatan akan menggunakan E-Village dengan sepenuhnya untuk produksi mereka supaya mutu filem tempatan dapat dipertingkatkan dan bersaing di pasaran dunia.

Pembangunan Prasarana Bertaraf Dunia
Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan prasarana. Sejumlah RM4.729 bilion diperuntukkan bagi pembangunan prasarana meliputi projek-projek pembinaan jalan raya dan jambatan, kereta api, pelabuhan dan penerbangan awam. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM3.07 bilion adalah untuk pembinaan jalan dan jambatan, sementara RM591 juta untuk penyelenggaraan jalan persekutuan sepanjang 15 ribu kilometer. Antara projek jalan utama yang akan dibina dan diteruskan adalah Lebuh Raya Pantai Timur, Merotai-Kalabakan dan Jalan Betong-Kayu Malam.

Sejumlah RM1.029 bilion disediakan bagi melaksanakan projek-projek pengangkutan khususnya projek landasan kereta api, pelabuhan dan penerbangan awam bagi mempertingkatkan kualiti sistem pengangkutan, penghantaran dan perjalanan. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah Landasan Berkembar Rawang-Ipoh, pembaikan Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan serta kerja-kerja pengorekan Pelabuhan Kuala Perlis. Bagi penerbangan awam, projek-projek yang akan dilaksanakan ialah lapangan-lapangan terbang baru di Tawau, Limbang dan Bintulu, di samping projek-projek pembesaran lapangan terbang di Miri dan Alor Setar. Baru-baru ini, kerajaan juga telah meluluskan pelaksanaan projek landasan berkembar perkhidmatan rel dari Seremban ke Johor Bahru.

Pembangunan Bumiputera
Bagi meneruskan agenda pembangunan bumiputera, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion kepada Kementerian Pembangunan Usahawan yang akan disalurkan kepada Mara, Perbadanan Kraftangan serta Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri-negeri. Tumpuan adalah diberikan kepada program-program latihan dan pembangunan usahawan, pembinaan dan pembelian ruang niaga, pinjaman perniagaan, latihan kemahiran dan teknikal serta penajaan pelajar-pelajar dalam dan luar negeri.

Pendekatan yang lebih bersepadu sedang dirancang untuk mewujudkan lebih ramai usahawan bumiputera yang berkebolehan dan berdaya saing bagi menceburi bidang-bidang perniagaan yang lebih besar. Beberapa program seperti Francais, Vendor, Perusahaan Kecil dan Sederhana, Pusat-pusat Pembangunan Kemahiran Negeri-negeri dan penyediaan ruang niaga akan dikaji untuk meningkatkan keberkesanan dan mempercepatkan pewujudan golongan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputra. Sehingga kini, pencapaian bumiputera dalam aktiviti perniagaan masih rendah. Oleh yang demikian, saya menggesa supaya bumiputera mengubah sikap supaya lebih positif, bersungguh-sungguh, bekerja keras dan komited untuk merebut peluang dalam setiap skim yang disediakan oleh kerajaan.

Pembangunan Sumber Manusia
Tenaga kerja yang berkemahiran, cekap dan berpengetahuan merupakan prasyarat ke arah mencapai matlamat utama negara untuk muncul sebagai salah sebuah negara maju di abad ini. Sehubungan ini, kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap penyediaan tenaga mahir supaya mampu berdepan dengan cabaran era kemajuan pesat dalam teknologi maklumat dan mampu beralih ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Bagi tujuan ini, peruntukan sejumlah RM1.2 bilion disediakan untuk membina 14 buah Institut Latihan Perindustrian dan empat Pusat Latihan Kemahiran Teknologi Tinggi serta mengisi Tabung Pinjaman Latihan Kemahiran. Pusat-pusat latihan ini yang dijangka siap dalam tahun 2001 akan dapat menampung seramai 17 ribu pelatih setahun. Manakala tabung yang disediakan dengan peruntukan sebanyak RM140 juta mampu membiayai 16,000 pelatih. Di samping itu, 10 buah Institut Kemahiran Belia Negara akan siap sepenuhnya yang berkeupayaan melatih seramai 8,950 orang setahun dalam pelbagai bidang kemahiran. Selain itu, Pusat Giat dan Institut Kemahiran Mara akan meningkatkan kemampuan untuk melatih seramai 30,370 orang lagi dalam tahun 2001.

Sektor swasta juga wajar meningkatkan peranannya dalam membangunkan sumber manusia. Bagi maksud ini, saya mencadangkan supaya syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar di institusi pendidikan tinggi tempatan diberi potongan dalam pengiraan cukai pendapatan. Di samping itu, pelepasan kepada pembayar cukai individu ke atas perbelanjaan untuk pendidikan dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM5,000 manakala bidang kursus yang layak juga diperluaskan kepada ICT. Sementara itu, pencarum KWSP juga dibenar mengeluarkan carumannya untuk membiayai pendidikan diri sendiri.

Dari segi pendidikan, kerajaan amat prihatin tentang kepentingan pelajaran untuk memastikan kesinambungan generasi intelek akan datang. Bagi tujuan ini, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar berjumlah RM18.6 bilion . Sebanyak 167 buah sekolah rendah, 120 buah sekolah menengah dan 42 buah asrama harian baru akan dibuka tahun depan dengan pertambahan kakitangan seramai 11,684 orang yang terdiri daripada 9,424 orang guru dan seramai 2,260 kakitangan baru. Pertambahan institusi baru serta kakitangan akan memberi manfaat kepada kira-kira 168 ribu pelajar baru di seluruh negara.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu dipertingkatkan selaras dengan perkembangan dalam era teknologi baru dan ekonomi yang berasaskan pengetahuan. Justeru, kurikulum baru sekolah dan buku teks juga sedang diperkemaskini agar sesuai dengan perkembangan dan keperluan semasa. Sehubungan ini, kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan para pelajar menggunakan e-book bagi mengurangkan bilangan buku yang dibawa oleh murid-murid ke sekolah.

Bagi tujuan menambah kemudahan pendidikan di peringkat persediaan sebelum ke universiti, kerajaan akan membina lima buah lagi kolej matrikulasi baru di Johor, Perak, Pahang, Selangor dan Kedah. Bagi tujuan menyediakan lebih banyak tempat pengajian dalam bidang teknik, Kerajaan juga akan membina tiga buah politeknik baru di Mersing, Pulau Pinang dan Miri.

Bagi institusi-institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) pula, sejumlah RM3.5 bilion disediakan dalam tahun 2001. Pembinaan empat buah universiti baru akan dimulakan di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis. Kurikulum dan mata pelajaran di institusi pengajian tinggi turut dikemas kini supaya pelajar-pelajar memiliki ilmu pengetahuan yang lengkap dan sesuai untuk memenuhi keperluan guna tenaga berasaskan k-ekonomi. Di samping itu, kerajaan juga terus menyediakan bantuan pinjaman kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian di Ipta dan di IPTS di negara ini. Bagi maksud ini, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion kepada Tabung Pendidikan Tinggi Nasional bagi memberi pinjaman pendidikan kepada lebih daripada 125,000 pelajar diploma dan ijazah di IPTA dan IPTS. Ini menunjukkan betapa pekanya kerajaan terhadap aspirasi rakyat dalam pendidikan.

Perusahaan Kecil dan Sederhana
Peranan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah sangat penting sebagai penjana kegiatan ekonomi melalui peningkatan pengeluaran untuk memenuhi permintaan dalam negeri, di samping mengurangkan keperluan untuk mengimport. Ia juga adalah wadah bagi peniaga dan pengusaha baru untuk memulakan perniagaan dalam industri pengeluaran dan seterusnya berkembang maju sebagai penggerak ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian menjelang 2020.

Sektor Perkhidmatan Awam
Kejayaan pembangunan negara hari ini adalah hasil sokongan dan komitmen dari kakitangan perkhidmatan awam, termasuk anggota keselamatan, khususnya polis dan tentera. Bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan ini, kerajaan telah pun menaikkan gaji kakitangan awam dan memberi beberapa imbuhan, termasuk kenaikan elaun perumahan bagi kategori tertentu. Kakitangan awam perlu berkhidmat lebih cekap dan berdedikasi serta sanggup bekerja lebih masa untuk memastikan semua dasar dan program dapat dilaksanakan dengan licin dan berkesan.

Kali terakhir semakan kadar pinjaman perumahan Kerajaan telah diadakan pada tahun 1993. kerajaan sedar bahawa harga rumah kini telah meningkat. Dengan ini, saya mencadangkan supaya kadar kelayakan pinjaman perumahan untuk kakitangan Kerajaan dinaikkan daripada antara RM35,000 dan RM200,000 kepada antara RM40,000 dan RM300,000. Manakala, kadar semasa pinjaman kereta bagi kakitangan Kerajaan, kali terakhir ianya disemak ialah pada tahun 1996. Saya dengan ini, mencadangkan kelayakan kadar pinjaman kereta bagi kakitangan kerajaan dinaikkan daripada di antara 23 ribu ringgit hingga RM45,000 kepada di antara RM45,000 hingga RM60,000.

Saya juga ingin mengumumkan kenaikan pencen terendah bagi kakitangan awam yang telah berkhidmat tidak kurang 25 tahun, daripada RM180 kepada RM280 sebulan. Kenaikan ini juga diberi kepada anggota tentera Malaysia yang telah berkhidmat tidak kurang 21 tahun. Kadar baru ini akan memanfaatkan seramai 9,149 pesara.

Dalam Belanjawan 2000, kerajaan telah membenarkan anggota perkhidmatan awam yang telah diletakkan di bawah skim pencen mengeluarkan semua caruman KWSP sumbangan mereka tanpa menunggu umur 55 tahun. Walaupun begitu, kebenaran tersebut tidak meliputi pesara perkhidmatan awam yang telah bersara secara pilihan. Oleh kerana mereka telah berkhidmat dengan kerajaan, maka sewajarnya pesara pilihan dibenar mengeluarkan kesemua caruman KWSP sumbangan mereka.

Untuk menghargai perkhidmatan doktor-doktor yang terpaksa melalui tempoh belajar dan latihan yang panjang berbanding dengan kerjaya lain, saya mencadangkan supaya elaun kritikal mereka dinaikkan 5 peratus daripada gaji atau minimum RM116 sebulan kepada satu kadar tetap sebanyak RM500 sebulan. Pada masa ini, seramai 4,976 orang guru besar dan pengetua sekolah rendah dan menengah menerima elaun di antara RM60 hingga RM100 sebulan. Walau bagaimanapun, seramai 3,749 orang guru besar dan pengetua tidak menikmati faedah ini. Saya mencadangkan supaya elaun ini diberi kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dan kadarnya ditingkatkan kepada RM100 sebulan bagi sekolah rendah dan RM150 sebulan bagi sekolah menengah.

Bagi Angkatan Tentera Malaysia, saya mengumumkan kadar sajian tunai dinaikkan di antara 62 peratus hingga 133 peratus. Kadar elaun ransum bagi pasukan polis akan juga diselaraskan dengan kadar sajian tunai ini. Di samping itu, elaun bulanan Putera Maktab Tentera Diraja dinaikkan daripada RM35 kepada RM70 sebulan, manakala elaun bulanan Perantis Putera Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat dinaikkan antara 62 peratus hingga 100 peratus. Elaun pakaian dan peralatan bagi Putera Maktab Tentera Diraja, Perantis Putera Sekolah Pertukangan dan Perantis Tentera Darat pula diberi sebanyak RM200 sekali dalam tempoh pengajian.

Bagi pasukan Bomba, kadar bayaran insentif dinaikkan daripada RM110 kepada RM140 sebulan bagi yang bekerja dua puluh empat jam dan daripada RM27.50 kepada RM90 sebulan bagi yang bekerja dua belas jam tanpa mengira gred jawatan. Manakala bagi anggota Kastam dan Eksais DiRaja Malaysia dan anggota Unit Pencegah Penyeludupan, kadar bayaran insentif pencegahan juga ditingkatkan daripada di antara RM70 hingga RM219 kepada RM300 tanpa mengira gred.
Saya juga mencadangkan supaya anggota polis diberi elaun tersebut tetapi dalam bentuk elaun insentif sebanyak RM100 sebulan bagi anggota yang disahkan layak oleh pihak Jabatan, seperti anggota penyiasat yang terpaksa bertugas, dengan izin long hours untuk menyelesaikan penyiasatan.

Meningkatkan Keberkesanan Penguatkuasaan
Memandangkan kegiatan perniagaan dan ekonomi dalam negeri semakin berkait rapat dengan perubahan perkembangan luar serta pergerakan perdagangan dan modal antarabangsa, maka perniagaan dan pengusaha memerlukan persekitaran yang mudah diramal dan juga dapat beroperasi dalam kerangka institusi yang lebih saksama. Kerangka ini mesti mencakupi semua bidang, termasuk penguatkuasaan undang-undang, peraturan dan proses perundangan. Lebih mudah kerangka institusi ini dapat diramal, lebih banyak peluang boleh diperoleh dari perdagangan dan pelaburan berikutan dari peningkatan keyakinan pelabur. Sehubungan ini, sejumlah RM224 juta untuk pelbagai program di bawah institusi kehakiman dan perundangan, termasuk menyediakan kemudahan sistem pengkomputeran bagi mempercepatkan pengendalian kes undang-undang.

Melalui Dewan yang mulia ini, negara kita telah dibekalkan dengan pelbagai undang-undang yang meliputi hampir kesemua aspek kegiatan hidup kita bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara. Undang-undang ini meliputi jenayah, perjudian, dadah, rasuah, kawalan harga, kastam, imigresen, pengangkutan jalan dan juga undang-undang maksiat. Bagaimanapun, baru-baru ini kita tersentak dengan terbongkarnya kegiatan pengeluaran berpuluh ribu lesen terbang dan beberapa lagi kes penyalahgunaan kuasa dalam melaksanakan undang-undang. Apalah ertinya semua undang-undang yang digubal jika ia tidak dikuatkuasakan dengan berkesan, dan apalah erti penguatkuasaan jika penguat kuasa sendiri ibarat harapkan pagar, pagar makan padi.

Setiap tanggungjawab dan tugas yang diberi merupakan amanah yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Kita perlu menanam budaya murni termasuklah bersikap jujur, bertanggungjawab dan berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri, tamak haloba dan terlalu mengejar kemewahan hidup melampaui kemampuan. Kerajaan memandang berat terhadap gejala rasuah di kalangan masyarakat yang jika tidak dibanteras akan menjadi barah yang membinasa diri. Kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam usaha membanteras gejala rasuah di semua peringkat, sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta. Bagi membendung gejala rasuah, penguatkuasaan undang-undang berkaitan akan dipertingkatkan. Selaras dengan ini, Kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM61.4 juta kepada Badan Pencegah Rasuah.

Memperkemaskan Pentadbiran Cukai
Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa berusaha memperkemaskan pentadbiran cukai supaya lebih cekap dan saksama. Bagi tujuan ini, saya bercadang untuk menyelaraskan pengenaan cukai perkhidmatan ke atas semua perkhidmatan telekomunikasi kecuali internet, dengan izin golf and golf driving range, premis penjualan minuman keras serta agen penghantaran.


V. PROSPEK EKONOMI TAHUN 2001 qc
Strategi-strategi belanjawan yang dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini, insya-Allah akan membawa negara ke mercu kejayaan dalam persekitaran antarabangsa yang kian mencabar. Prospek ekonomi dan perdagangan dunia pada tahun 2001 diramalkan terus berkembang, walaupun tidak sekukuh jangkaan pencapaian tahun 2000, berikutan kecergasan penggerak ekonomi dunia, iaitu Amerika Syarikat, mungkin reda sedikit. Bagaimanapun, ini akan diimbangi oleh prestasi kukuh yang dijangkakan bagi rakan-rakan dagangan utama lain di rantau Asia Timur dan Eropah yang kini menyumbang lebih kurang 68 peratus daripada eksport negara.

Berdasarkan kepada perkembangan luar serta dasar dan langkah-langkah pragmatik yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi dalam negeri, ekonomi Malaysia dijangka akan terus mencatat pertumbuhan yang kukuh pada kadar tujuh peratus pada tahun 2001. Ini merupakan satu permulaan yang cukup meyakinkan ke arah mencapai sasaran pertumbuhan yang lebih hebat dalam Rancangan Malaysia Kelapan yang akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada awal tahun hadapan. Adalah diharapkan sektor swasta akan memainkan peranan penting untuk menerajui pertumbuhan ekonomi serta mempertingkatkan perbelanjaan permintaan dalam negeri, manakala sektor awam terus menjadi pendorong dan pelengkap ke arah pertumbuhan yang mapan.

Punca pertumbuhan ekonomi pada tahun depan dijangka masih diterajui oleh sektor perkilangan, dengan sektor-sektor ekonomi lain turut menyumbangkan pertumbuhan yang positif. Nilai ditambah sektor perkilangan akan berkembang lagi pada kadar 12 peratus, disokong oleh peningkatan permintaan bagi keluaran industri berorientasikan pasaran dalam dan luar negera. Sektor pertanian dan perlombongan dijangka meningkat pada kadar menghampiri dua peratus,
manakala sektor pembinaan yang baru segar daripada krisis kewangan meningkat dengan kukuh sebanyak 5.5 peratus. Sejajar dengan prestasi sektor-sektor ekonomi utama ini yang turut disokong oleh pengukuhan perbelanjaan permintaan dalam negeri, terutamanya penggunaan dan pelaburan swasta, sektor perkhidmatan akan berkembang dengan mantap pada kadar 5.2 peratus.

Dari segi imbangan pembayaran negara, kedudukan akaun semasa dijangka terus mencatat lebihan, iaitu RM24.8 bilion atau 7.6 peratus daripada KNK. Dengan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran dan kegiatan ekonomi dalam negeri dijangka semakin cergas, kedudukan daya saing dan ketahanan negara akan bertambah kukuh lagi. Sementara itu, inflasi dijangka dapat dibendung di paras yang rendah sekalipun permintaan dalam negeri terus berkembang, memandangkan impak harga minyak mentah dunia dan inflasi import agak sederhana. Kadar pengangguran dijangka dapat dikawal di bawah paras rendah tiga peratus, sejajar dengan kecergasan aktiviti ekonomi dalam negeri yang semakin mantap. Kedudukan defisit keseluruhan kewangan Kerajaan Persekutuan pula dijangka dapat dikurangkan lagi kepada 4.9 peratus daripada KNK pada tahun 2001. Pengurangan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan peranan sektor awam dalam ekonomi negara.

Penutup
Kita amat bersyukur kerana dapat melangkah ke alaf baru dengan nafas baru setelah berjaya melepasi keperitan mengharungi kegawatan ekonomi yang paling teruk.

Belanjawan kali ini begitu kritikal dan penuh bermakna. Ia bertujuan memacukan negara mencapai Wawasan 2020 dan era ekonomi baru. Sesungguhnya, ia menjadi titik permulaan pencapaian Malaysia baru. Inilah hala tuju negara. Ia menjanjikan rezeki lumayan pada yang gigih, yang berdisiplin, yang rajin menimba ilmu, sanggup berkorban serta meningkat dan mempelbagaikan keupayaan. Yang terperangkap dengan tabiat abad silam, taksub dengan peranan sebagai pengkritis membuta tuli tanpa asas-asas yang kukuh, akan merana. Kita akui akan bahayanya terdapat golongan yang mungkin tertinggal, tersepit dalam digital divide, dengan izin. Tetapi kerajaan tidak rela melihat sesiapapun terpinggir. Masalah ini akan diatasi menerusi program terperinci seperti yang saya bentangkan hari ini.

Belanjawan ini menterjemahkan tekad kerajaan mengurangkan jurang, agar setiap individu, setiap keluarga dapat menambah rezeki di bumi bertuah ini. Agar anak-anak kita dapat memenuhi potensi besar masing-masing. Ramai yang sudah pun membuktikan keupayaan contohnya bila bekerja dengan syarikat-syarikat gergasi yang memberi mereka gaji dan tanggungjawab besar. Ramai yang berjaya dalam perniagaan. Ada yang beroperasi di Hong Kong, Amerika dan Eropah. Kita mampu dan kita layak. Yang perlu ialah membasmikan tabiat buruk dalam masyarakat dan wujudkan budaya yang benar-benar, dengan izin conducive untuk mencapai kejayaan.

Belanjawan ini juga berupa pelan bertindak masyarakat berilmu, dinamik serta mesra dan penyayang. Kita sudah baca pelbagai peristiwa sedih yang menyayat hati. Keluarga yang memerlukan pembelaan masih berpeluang menikmati kesenangan. Percayalah. Cuma, mereka mesti benar-benar bersedia merebut peluang-peluang yang tersedia ada.

Kerajaan ada formula untuk ubah nasib yang tidak berjaya. Kerajaan peka akan ketidakseimbangnya tahap ekonomi. Kita sudah lama berusaha. Kini, kita bekalkan komputer dan bantuan pada sekolah-sekolah desa. Kita hendak anak-anak kita belajar, banyak membaca dan mahir pelbagai bahasa, terutama bahasa Inggeris bagi menguasai Internet dan ICT dan mendapat manfaat dari ekonomi baru. Kita mengharapkan golongan kelas pertengahan, dengan izin middle class yang hidup mewah di Kuala Lumpur membantu mereka yang berpendapatan rendah. Yang sudah berjaya, memimpin mereka yang setakat ini belum bernasib baik. Setiap individu boleh berperanan. Ambillah anak-anak angkat semasa cuti persekolahan. Budaya mesra dan penyayang ini adalah agenda negara. Pensyarah, profesor di universiti, para profesional eloklah pulang ke kampung, kongsi kemahiran dan pengalaman dengan guru-guru dan anak-anak kita di kampung. Jadikan ini satu budaya penyayang dan bantu-membantu tanpa mengharapkan habuan. Bagi pihak kerajaan, usaha dan peruntukan kewangan akan terus disalurkan melalui badan dan agensi yang sedia ada.

Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa tidak ada percaturan politik dalam persoalan pembangunan negara, pembasmian kemiskinan dan perkongsian kejayaan. Kita berdepan dengan soal maruah dan martabat yang tercabar. Kerajaan menyeru semua eratkan perpaduan, amalkan keikhlasan dan tingkatkan kerjasama bagi menjayakan cita-cita bersama. Rakyat tolak mereka yang terlalu sinis, yang menanam perasaan benci-membenci dan yang mendakwa komplot jahat dalam setiap langkah kerajaan. Perjuangan Bangsa Malaysia yang menitiskan airmata ketika dihina satu masa dahulu, usah dipersiakan. Dasar Kerajaan jelas. Supaya kekayaan negara akan terus dibina, kemewahan akan sama dinikmati. Komitmen kita tidak berubah. Agenda kita adalah untuk mencapai wawasan strategik dan meneruskan agenda membentuk sebuah masyarakat penyayang.

Bukalah hati. Timbalah ilmu. Bantu-membantu. Ini doa saya yang sering resah melihat kemelut menjadi semakin kusut. Sauk, disifatkan sebagai sandiwara. Ada yang tolak hasrat duduk semeja. Mereka di universiti awal-awal lagi cuba dibrainwashed, dengan izin. Kita bimbang nanti ada pula yang gemar benci-membenci, sedangkan tujuan asal ialah memburu ilmu. Kerajaan tidak dapat selama-lamanya menjamin para graduan mendapat kerja bergaji lumayan walaupun keputusan akademik lemah. Mereka perlu bersaing dan buktikan kelebihan dan kecemerlangan. Malangnya, pelajar kita sering melihat contoh-contoh buruk yang mengheret masyarakat ke belakang.

Ada yang saban malam dan bertahun-tahun lamanya menyeru tanpa jemu-jemu kepada perpecahan dalam ceramah-ceramah, tanpa ada sedikitpun penyesalan. Kita harus lebih, dengan izin constructive bukannya destructive. Harus ada substance, ada intellectual input, supaya dapat memberikan ide-ide dan pandangan bernas sesuai dengan persekitaran ekonomi yang baru. Apakah nasib mereka yang kurang berada di tengah-tengah gelombang k-ekonomi? Sudahkah mereka memikirkan perkara ini?

Apakah kita perlu bergantung pada tahap emosi yang tinggi untuk mengejar cita-cita politik? Apakah budaya membenci satu manifestasi yang mereka bimbang akan terpinggir? Memang masih ada golongan masyarakat yang kurang berada. Tetapi adalah lebih menganiayakan jika mereka ini diperalatkan sebagai senjata bagi mereka yang ingin mencetuskan perbalahan dan rusuhan. Mereka akan guna emosi dan sentimen untuk membangkitkan kemarahan golongan mereka yang kurang bernasib baik menentang mereka yang berjaya. Sebenarnya, penyokong mana-mana parti politik pun, tidak perlu cemas ketinggalan dalam ekonomi. Kerajaan membuka peluang seluas-luasnya pada setiap rakyat mengejar cita-cita masing-masing. Semua harus dibantu, termasuk mereka yang memaki kita. Kita berdoa mereka akan insaf. Kerajaan mahu semua rakyat Malaysia berilmu dan berjaya.

Hakikatnya ialah negara akan terus membuka pintu pada pelabur dan pengurus antarabangsa, untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi. Ini realiti mutlak. Apakah anak-anak kita di kampung-kampung, dapat bersaing jika mereka asyik didendangkan lagu kebencian? Anjurlah majlis ilmu, teknologi, dan pelajaran komputer dan bahasa Inggeris yang diperlukan untuk menikmati ICT. Negara akan terus maju ke hadapan. Kita tidak mahu sesiapa ketinggalan.

Kita perlu memperkukuhkan tekad, memperteguhkan azam dan mengetepikan sengketa demi kestabilan, keamanan dan perpaduan rakyat seluruhnya. Sesungguhnya, kestabilan, keamanan dan perpaduan negara merupakan prasyarat dan jaminan kepada kesinambungan kejayaan pembangunan dan pertumbuhan negara. Walau apa pun kepercayaan kita dan biar pun apa cabaran yang merintang, kita semua bertanggungjawab untuk mempertahankan suasana aman harmoni, demi untuk anak bangsa dan generasi akan datang. Semangat jati diri dan semangat juang yang sentiasa berkobar-kobar akan terus ditiup di sanubari setiap anak muda harapan bangsa, untuk terus menjulang obor perjuangan ke mercu yang lebih gemilang dengan lebih gagah dan berani. Semoga kesungguhan, ketabahan dan kecekalan kita dalam mendaulatkan agama, bangsa dan negara, mudah-mudahan akan diberkati dan direstui Allah hendaknya. Insya-Allah.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah kaum Saba mengenai nikmat Allah Subhanahu Wa Taala seperti difirmankan dalam ayat 15 Surah Saba yang bermaksud: Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!

 
Artikel Penuh: 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan